Monday, September 29, 2025

Rasa dan Takdir

Walaupun mereka selebriti yang terkenal dan tidak pun mengenali saya, tetaplah saya mahu menulis rasa saya tentang mereka dari sudut pandang seorang saudara seagama.

Fattah. Amira. Fazura.
 

Saya seorang yang neutral. Apabila Fazura dan Fattah mahu berpisah, saya sedih. Saya kasihan memikirkan nasib Fatima yang akan memiliki ibu bapa yang tidak tinggal bersama.

Apabila mereka sah bercerai, saya reda. Saya doakan setiap mereka menemui kebahagiaan dalam perjalanan hidup masing-masing. Fatima pula, semoga tidak terlalu terkesan dengan perpisahan ini dan menikmati bahagia selayaknya.

Jalan hidup dan ketentuan masa depan kita, semuanya di tangan Tuhan. Manusia diberi upaya untuk berusaha dan merancang, dan natijahnya sudah pun Allah tulis siap-siap.

Tersurat Fattah menemui jodoh terlebih dahulu, bersama Amira, gadis Johor yang manis dan sopan. Mereka dilihat begitu terjaga dalam perhubungan sebelum ikatan terpatri. Kata In-Team, "syariat tetap membataskan". Saya turut berbahagia dengan ikatan yang baharu ini dan mendoakan segalanya berada dalam rahmat Tuhan.

Dan Fazura pula, kelihatan tenang bersahaja menerima segala lakaran takdir dengan hati terbuka. Tiada apa perlu disedihkan kerana Fattah bukan miliknya lagi. Dia sudah reda dan bersyukur meneruskan kehidupan.

Saya mengasihi mereka sebagai insan-insan yang pernah menceriakan hidup saya dengan lakonan dan nyanyian mereka. Tidak mudah menjadi selebriti, kekuatan emosi dan mental terlalu penting dalam menempuh setiap kata nista masyarakat. Pandangan yang pelbagai mencetus rasa tidak senang dalam hati saya seolah-olah masyarakat lebih tahu apa yang ketiga-tiga selebriti ini hadapi.

Doa saya, semoga Allah menjaga mereka dan kehidupan mereka tenang dan bahagia, tanpa dendam dan benci.

Saturday, September 27, 2025

Salam Sabtu

Saya sedang menikmati hari Sabtu saya di sekolah. Alhamdulillah.
 
Pada hari Isnin dan Selasa 29 dan 30 September nanti, seluruh negeri Kelantan akan bercuti sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-IV yang ke-56. Ini menjadikan hari Ahad kami nanti terapit dengan cuti. Jumaat dan Sabtu kami cuti hujung minggu, Ahad kami bekerja, Isnin dan Selasa kami cuti semula.
 
Pihak JPN Kelantan melihat situasi ini sebagai satu peluang untuk murid-murid dan guru-guru menikmati cuti sepanjang lima hari jika hari Ahad dicutikan juga. Lalu mereka membenarkan pihak sekolah memohon cuti pada Ahad sebagai cuti berganti, diganti pada Sabtu 25 Oktober nanti. Dengan itu, murid-murid dan guru-guru bolehlah merancang percutian keluarga selama lima hari itu.
 
Malangnya sekolah kami enggan memohon cuti tersebut. Saya tidak pasti apa rasional Pengetua kami, tetapi tindakan beliau menimbulkan pelbagai rungutan dalam kalangan guru dan murid. Apatah lagi kebanyakan sekolah-sekolah di sekitar sini mengambil cuti tersebut menyebabkan bertambahlah rasa geram dalam hati warga Chengal.
 
Saya?
 
Mungkin saya pun ada rasa kecewa itu, tetapi saya alaskan dengan reda. Wah!
 
Kalau saya kecewa pun, saya boleh buat apa? Saya tetap perlu menerima keputusan pentadbir dan tetap wajib hadir ke sekolah pada Ahad 28 September ini kecuali jika saya ada keuzuran. Jadi saya reda sahaja. Biarlah, apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti - Kata Siti Nurhaliza dalam lagu Melawan Kesepian.
 
Hari ini pun - walaupun Sabtu - saya ada di sekolah sejak pagi. Saya tiba pada jam 7.39 pagi dan terus menuju ke bilik saya untuk urusan yang pelbagai (termasuk menulis blog ini) semenatara menanti kelas tambahan yang akan bermula pada jam 10.00 pagi nanti. Kenapa saya datang awal? Saja....
 
Begitulah hidup. Jika kita sentiasa memikirkan sisi negatif sesuatu perkara itu, kita tentunya akan selalu kecewa. Allah memberi kita akal dan emosi, selaraskanlah. Itulah pegangan saya sekarang demi merawat penyakit jantung saya ini. Sudah tiga bulan saya bebas dari serangan SVT, dan saya berdoa semoga saya akan bebas berpanjangan daripada penyakit ini. Amin.
 
 

 
 

Friday, September 26, 2025

Kad Pengenalan

Siapa sangka, dalam kad pengenalan sekarang ada duit! Eh, ada minyak petrol juga!

Sumbangan penghargaan MySara yang kerajaan beri sebanyak RM100 sudah pun selesai saya habiskan pada Selasa lepas di Pasaraya PKT Tunjong. Bulan depan saya akan belanjakan MySara suami saya pula. 

Selasa ini, kami bakal menggunakan BUDI 95 untuk mengisi petrol, dan jumlah kelayakan untuk kami ialah 600L sebulan. Saya, walaupun tidak memandu tetaplah layak menerima subsidi kerana saya ada lesen memandu. Bertuah juga!

Apa pun mekanisme yang diguna pakai, tentulah kekok pada mula-mula. Tetapi seiring masa segalanya akan menjadi biasa. Kokokan-kokokan yang kedengaran itu normal. Biarlah mereka berbunyi, ada baiknya juga untuk penambahbaikan nanti.

Sedikit atau banyak, yang penting bersyukur.

Ladang Pahala

Selalu kita dengar, menjaga ibu atau bapa yang sakit itu ladang pahala buat anak-anak. Benarlah itu.

Saya ulangi, benarlah itu. Sangat benar.

Ujian menjaga orang tua sakit bukan kecil. Ia merangkum segala aspek - fizikal dan mental. Jika kita lemah, akan gagallah kira menuai hasil dari ladang yang diberi.

Akan timbul masalah-masalah yang bukan sahaja daripada orang tua yang sakit yang karenahnya sudah seperti anak kecil, tetapi juga perselisihan antara adik beradik yang masing-masing punya banyak tanggungjawab lain. Memahami satu sama lain itu tidak mudah, walaupun dengan adik beradik sendiri.

Melalui ujian sebegini, ketabahanlah yang menjadi perkara utama perlu kita miliki. Hati perlu sentiasa dipenuhi dengan kesabaran, dan pengharapan kepada Tuhan tidak boleh dipandang sepi. Mohonlah kekuatan daripada-Nya agar keikhlasan tersemai seutuhnya.

Semoga ladang pahala yang Allah sediakan ini dapat kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Monday, September 22, 2025

Terima

Walaupun cuma lapan hari, saya amat mensyukuri ruang yang diberi.

Bermula Sabtu dan berakhir Ahad semalam, saya memperoleh lapan hari berada di rumah sendiri. Tuhan jua maha tahu betapa nikmatnya ruang itu.

Sudah dua tahun saya berulang alik ke rumah mek sejak mek sakit pada September 2023, menyebabkan hari saya terbahagi dua. Hanya dalam cuti sekolah sahajalah dapat saya menikmati suasana di rumah sendiri sepenuhnya kerana adik ipar saya pulang dan mengambil giliran menjaga mek.

Apa pun tulisan takdir perjalanan hidup saya, tetaplah saya tempuh dengan penuh reda. Allah beri, saya terima. 

Tuesday, September 09, 2025

Tulisan

Masa sekolah dulu, saya memang suka tiru tulisan orang. Kalau nampak tulisan cantik je, cepat-cepat saya cuba ikut. Tulisan Reena lawa, saya tiru. Lepas tu jumpa tulisan Zam pula, saya tiru juga. Ajaibnya, jadi pula!

Sampai pernah kawan saya tengok tulisan saya, terus dia kata, “Eh, ni tulisan Zam kan?” Haha… masa tu rasa kelakar sangat, sebab dia betul-betul tertipu.

Sebenarnya, kalau nak tiru tulisan orang, bukan setakat tengok huruf dia je, tapi kena tengok juga cara dia pegang pen. Semua orang ada gaya masing-masing bila menulis, dan itulah yang buat tulisan tu jadi berbeza.

Sebab tu lah bila saya nampak tulisan orang tak cantik, kadang-kadang rasa gatal tangan nak ajar dia cara pegang pen yang betul. Hehe...




Road To 28


Ours was an arranged marriage.
I met him once, and everything went so fast.
Just in a week, we became husband and wife.

There was no love story before the wedding,
but love grew in the quiet moments,
in patience, in laughter, in tears.

And now, after 28 beautiful years,
our love story is still being written,
page by page, hand in hand.

Ya Allah, bless our marriage.

May his heart always find rest in mine,
and my soul always find shelter in his.
Keep us walking hand in hand through every storm,
until we reach the gates of Paradise together.

Amin.

Tuesday, September 02, 2025

Akhirnya

Saya terima saja. Apa pun keputusannya, saya terima saja. Saya tidak akan berkata tidak, atau jangan, atau tak mahu, kerana saya serah segala-gala kepadanya.

Walaupun jauh di sudut hati saya ada curiga dan risau jika keputusan yang dibuat ini akan menekan perasaan saya.

Biarlah.

Kalau nanti perasaan saya tertekan, saya hadap saja. Apalah sangat tekanan perasaan saya berbanding budi dan bakti terhadap orang tua. 

Monday, September 01, 2025

Menjaga

Ini coretan jujur. Maaf jika menyinggung.

Sudah dua tahun kami adik-beradik sebelah suami bergilir-gilir menjaga mek sakit. Pada awalnya, semuanya berjalan dengan baik, namun lama-kelamaan jadual mula menjadi tidak menentu. Ada keadaan tertentu yang memaksa seorang dua daripada kami melepaskan giliran, lantas beban itu jatuh kepada yang lain. Jika sehari dua mungkin perkara biasa, tetapi apabila berlarutan hingga berminggu dan berbulan, ia tentu menuntut kesepakatan dan keikhlasan yang lebih mendalam.

Yang ingin saya sentuh bukanlah tentang giliran, tetapi tentang rasa yang hadir dalam beban itu. Menjaga orang tua yang sakit bukanlah sesuatu yang ringan. Walaupun ia ladang pahala, hakikatnya tetap ada penat, tetap ada jemu.

Melihat wajah mek, hati saya sering diselimuti sayu. Sebagai menantu, saya bukanlah orang yang paling diinginkannya untuk menguruskan dirinya. Pernah mek berkata, “anak ada, tapi menantu yang buat...” sewaktu saya mahu membersihkannya. 

Saya mengerti maksudnya. Dia bukan menolak bantuan saya, cuma hatinya lebih ingin dimanja anak-anaknya sendiri, anak-anak yang pernah dia besarkan dengan penuh kasih.

Pernah juga mek merintih, “Mek tak ada cucu dah sejak sakit ni...” hanya kerana dia melihat anak cucunya ramai di rumah sebelah, tetapi tidak menjenguknya. Saya diam sahaja. Saya tahu, yang dia perlukan bukan ulasan saya, tetapi kehadiran dan perhatian cucu-cucunya.

Daripada pengalaman ini, saya belajar banyak perkara. Menempuh usia tua bukanlah ujian yang mudah, meskipun anak-anak tinggal berdekatan. Mereka ada tanggungjawab sendiri, cucu-cucu juga sibuk dengan kehidupan yang sedang dibina. Seringkali, kesibukan itu menjadikan orang tua terasa terpinggir.

Namun, pada akhirnya semua ini adalah ketetapan Allah. Kita hanya mampu berdoa agar urusan hari tua kita dipermudahkan kelak. Saya yakin Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Setiap ujian mengandungi hikmah, setiap kepayahan menyimpan keberkatan yang mungkin tidak terlihat.

Tentang mek, saya cuba menabahkan hati. Dalam penat dan jemu yang sesekali singgah, saya tetap berusaha memberi sehabis baik. Penilai saya hanyalah Tuhan. Dia yang Maha Mengetahui, Dia yang menilai setiap titis sabar dan setiap detik ikhlas.



Friday, August 29, 2025

Namun Kupunya Hati

Pada tahun 80-an dahulu ada satu rancangan pertandingan lagu dinamakan Pesta Lagu Malaysia, yang mempertandingkan lagu-lagu baharu ciptaan komposer tempatan.

Walaupun saya masih berada di sekolah rendah, usia belum pun sampai dua belas tahun tetapi saya selalu menonton rancangan ini secara langsung. 

Pesta Lagu Malaysia yang pertama berlangsung pada 1981 dan saya tidak menontonnya, tetapi saya tahu lagu yang menjuarainya ialah Ke Mana Kan Kubawa Diri ciptaan Mahzan Manan dan dinyanyikan oleh Noorkumalasari.

Manakala Pesta Lagu Malaysia yang kedua berlangsung pada 1982 dan saya menonton secara live. Banyak lagu yang sedap dipertandingkan, seperti Kau Pergi Jua (saya lupa penciptanya tetapi dinyanyikan oleh Adam Ahmad), Syurga Bagimu (penciptanya Noor Baiti dan dinyanyikan oleh Noreen Noor) dan yang paling menyentuh hati sehingga saya menangis sewaktu mendengarnya ialah lagu Namun Kupunya Hati (dicipta oleh Freddie Fernandez dan dibawa dengan penuh perasaan oleh Rohana Jalil).

Apabila keputusan diumumkan, ternyata lagu Namun Kupunya Hati menjadi juara Pesta Lagu Malaysia ke-2. 

Pesta Lagu Malaysia yang ketiga 1983) dan keempat (1984) pun saya tonton secara live. Juara-juaranya ialah Balada Seorang Gadis Kecil (ciptaan dan nyanyian oleh Zubir Ali) dan Balada Seorang Nelayan Tua (ciptaan Ismail Ahmad Nawab dan dinyanyikan oleh Broery Marantika).

Apa pun, lagu Namun Kupunya Hati tetap saya gemari sehingga kini. Tetap menyentuh rasa hati saya jika dihayati.

Selepas itu saya tidak pasti masih wujudkah Pesta Lagu Malaysia pada tahun-tahun berikutnya. Rasa saya sudah tiada lagi sehingga kini.

Saturday, August 23, 2025

Kisah Majalah

Saya mula mengumpul majalah bermula pada tahun 1999. Tahun-tahun sebelum itu ada juga saya beli tetapi tidak secara tetap. Apabila berpindah dan menetap di rumah sewa bersama-sama suami di Kuala Krai dan tidak lagi PJJ, saya mudah untuk membeli majalah-majalah kegemaran saya.

Saya paling gemar dengan majalah Jelita. Walaupun majalah lain saya beli juga (Keluarga, Wanita dan Perempuan) tetapi pada saya kualiti majalah Jelita berbeza. Dari segi isi dan gaya penulisan, majalah Jelita mendahului. Jadi setiap bulan saya tidak pernah ketinggalan mendapatkan majalah Jelita dan menyimpannya dengan elok.

Pada Mei 1999, seperti biasa saya apabila nampak majalah Jelita keluaran baru tergantung di kedai, terus saya membelinya. Edisi kali ini agak istimewa bagi saya kerana temanya Menanti Zuriat. Saya membacanya penuh khusyuk kerana banyak pengetahuan tentang masalah menanti zuriat yang sinonim dengan saya.

Dek belum sempat khatam di rumah, saya membawanya ke sekolah. Dan tentunya akan ada rakan-rakan mahu meminjam.

Saya biarkan saja rakan-rakan saya membaca majalah saya itu. 

Rupa-rupanya, seorang rakan di meja sebelah saya yang mahu meminjam majalah itu dan membaca di rumah, terlupa membawa balik dan tertinggal majalah itu di mejanya. Esok, majalah itu hilang.

Saya kecewa kerana saya belum habis baca. Isu Menanti Zuriat sangat menarik buat saya tetapi majalah sudah hilang! Kakak itu berjanji akan membeli ganti tetapi dia gagal mencari di kedai kerana sudah habis. Dia ganti dengan majalah Keluarga bulan Jun untuk saya.

Saya pasrah, tetapi hati masih teringat-ingatkan majalah itu. Begitu sekali obsesnya saya dengan Majalah Jelita. Apabila saya menyusun majalah di rak, Jelita 1999 hanya ada 11 buah kerana keluaran Mei saya hilang. Sedih, kan?

Lama suda peristiwa itu berlalu tetapi saya tetap ingat. Pernah saya menghantar emel kepada Syarikat Majalah Jelita meminta umtuk membeli keluaran itu tetapi emel saya tidak dijawab.

Tahun lepas, saya membelek Shopee dan mencuba mencari majalah lama yang dijual. Ada je Jelita lama tetapi keluaran Mei 1999 tidak pula saya tersapa. Tetap juga saya beli keluaran-keluaran lain yang tiada dalam simpanan atau yang sudah rosak. 

Sehinggalah minggu lepas, saya mencari lagi. Bayangkan selepas lebih 26 tahun saya masih belum lupa tentang majalah ini. Sungguh saya mahu menghabiskan bacaan saya yang tersekat dulu!

Dan kali ini ia muncul di depan mata saya! Sungguh saya sangat teruja dan terus membelinya dengan harga cuma RM10.00. Saya tidak sabar menanti ketibaannya.

Hari ini, Sabtu 23 Ogos 2025, selepas 26 tahun 3 bulan saya mendapat kembali majalah kesayangan saya itu. Terus saya belek dan belek, dan saya begitu gembira kerana akhirnya ia ada dalam milikan saya. Kini rak majalah Jelita 1999 saya akan lengkap 12 buah.

Begitulah, jika masih ada jodoh, tentulah tidak akan ke mana.

Friday, August 22, 2025

Emotionally Mature

If you want to know how emotionally mature a person is, tell them how they have hurt you. Their response will tell you exactly what you need to know.

When you open up to someone about the pain they caused, it’s not really about the situation itself—it’s about how they handle accountability. An emotionally immature person will often deflect, deny, minimize your feelings, or even try to make you feel guilty for speaking up. They might say things like “you’re too sensitive” or “that’s not what I meant” instead of listening and reflecting. This reaction shows that they are more concerned with protecting their ego than protecting the relationship.

On the other hand, an emotionally mature person will pause, listen carefully, and try to understand your perspective, even if it stings to hear. They won’t always have the perfect words, but they will validate your feelings, acknowledge their role, and take responsibility for the hurt they caused. They’ll see your honesty as a chance to grow, not as an attack. That’s the difference between someone who only wants to be right and someone who wants to do right.

Emotional maturity is not about being flawless—it’s about self-awareness, accountability, empathy, and the willingness to make changes. The way a person responds in those difficult conversations tells you everything about their character, their capacity to love, and whether or not they’re safe to keep close to your heart.

At the end of the day, anyone can say “I love you,” but only an emotionally mature person will show it by respecting your feelings, valuing your voice, and choosing growth over ego.

Monday, August 18, 2025

Hotel

Saya tersapa satu video pendek di Facebook, seseorang bercerita tentang Dato' Ramli MS yang tinggal di hotel selama 13 tahun selepas bercerai.

Ada yang bertanya, kenapa tidak menyewa kondo sahaja? Bukankah hotel itu mahal?

Alasannya, hotel ada housekeeping, hotel tiada bil elektrik dan bil air, hotel ada restoran, boleh order makanan ke bilik juga.

Pendek kata, selesa dan tenang.

Rasanya, saya juga akan berbuat begitu demi ketenangan. Bayangkan pada usia tua nanti, jika saya tidak berteman lagi dan kesihatan masih mengizinkan saya hidup sendirian, saya mahu memilih begitu juga.

Saya seorang yang sangat santai dan tidak perlu rakan atau teman pun untuk bahagia. Menyendiri adalah hobi saya.

Semoga Allah memberi saya kesihatan yang baik sepanjang usia saya dan tidak menyusahkan siapa-siapa pada masa depan, dan boleh hidup tenang di hotel pilihan saya.

Amin. 

Wednesday, August 13, 2025

Anak-anak

Awwahah Munibah
Areef Irsyad
Tahun ini, dua orang anak saudara saya Awwahah Munibah dan Areef Irsyad menjadi calon SPM. Awwahah merupakan calon di SMK(A) Naim Lilbanat, Kota Bharu manakala Areef pula berada di SMK Seri Perak, Teluk Intan.

Saya bersaksi bahawa mereka berdua adalah anak-anak yang baik dan rajin. Cita-cita mereka tinggi dan saya tidak akan pernah berhenti mendoakan agar Allah menjaga mereka dan memberi segala yang terbaik buat mereka.

Juga, buat semua anak-anak saudara saya yang lain;

Anis Radhiah yang sudah tamat belajar di UIA dan sedang bekerja di Selangor.

Muhammad Amin yang sudah tamat belajar di KIAS juga sudah berumahtangga dan kini bekerja di Johor.

Ain Aliah yang masih belajar di UIA dan bakal melangkah ke tahun akhir Oktober nanti.

Iman Syazwani yang sedang belajar di UPM dan mengambil short sem sewaktu cuti ini.

Aisyah Humaira yang sedang belajar di UIA dan masih di sana kerana mengambil short sem pada cuti ini.

Afnan Qayyum yang sedang belajar di Politeknik Dungun dan berada pada semester 4 sekarang.

Juga Wan Sufi Nasirullah, Wan Nasih Mukhlis dan Wan Muhammad Wajih yang sedang belajar di Maahad Muhammadi dalam tingkatan 4, 2 dan 1 masing-masing.

Abdul Muiz Muttaqi yang belajar di SMU(A) Al-Ulum dalam tingkatan 3.

Imtinan Asma' yang sedang belajar di SMK(A) Naim Lilbanat dalam tingkatan 2.

Amal Nurkhayreen yang sedang belajar di sekolah menengah di Teluk Intan dalam tingkatan 1.

Dan yang masih di sekolah rendah - Afeef Mukrim, Nur Huda, Nur Hana, Muhammad Aqil, Wan Wafa Dinie, serta yang masih belum bersekolah - Nur Haneen, Aliya Nurinsyeerah dan Ahmad Huzayfah.

Semoga Allah memberi kecemerlangan buat kalian di dunia dan di akhirat, juga menyembuhkan segala kesakitan, memberi usia yang panjang dan berkat dan menjadi hamba-Nya yang berguna.

Tidak lupa juga kepada anakanda Nurul Jannah yang sudah dipanggil pulang, semoga sedang bahagia di taman syurga.

Amin.

Nilai

Tahun 1979, saya masuk darjah 1. Ayah membekalkan saya wang belanja sebanyak 20 sen setiap hari. Sebagai murid darjah 1, saya mendapat makanan RMT jadi wang yang ayah beri itu saya buat beli kuih dan kacang saja. Air minuman pula saya bawa bekal dalam botol plastik.

Apabila melangkah ke darjah 2, saya tidak lagi menerima RMT kerana tidak layak. Jadi ayah tambah duit belanja saya menjadi 30 sen sehari. Saya akan beli nasi 20 sen dan air 10 sen. Waktu ini saya tidak lagi membawa bekal air ke sekolah, tidak pasti pula kenapa.

Dan begitulah pada tahun-tahun berikutnya, wang belanja sekolah saya hanya puluh-puluh sen sahaja. Sehingga pada darjah 6 (1984) wang belanja saya ialah sebanyak 50 sen.

Apabila saya masuk asrama pada 1985, MARA memberi wang saku RM15 sebulan tetapi waktu rehat kami memang ada makanan disediakan di dewan makan. Jadi wang itu saya guna untuk membeli alat tulis dan barang mandian di koperasi. Itu pun murah-murah belaka, pen jenama Reynolds hanya 30 sen sebatang dan sabun Popinjay pula cuma 60 sen seketul. Sesekali saya beli juga air minuman berkarbonat jenama Cheers yang berharga 60 sen sebotol dan mi segera jenama Mamee perisa lontong berharga 30 sen sepaket. Ok sahaja kami makan makanan tidak berkhasiat setiap malam minggu, beramai-ramai di lounge asrama kami.

Begitu nilai wang sekitar 40 tahun dahulu. Gaji permulaan seorang guru lulusan universiti sebanyak RM1060 sebulan terasa begitu besar dengan nilai wang masa itu. Malah harga emas cuma RM20 - 30 sahaja segram.

Melihat situasi kini, jika dibandingkan dengan harga emas yang menjangkau RM500 segram hari ini sepatutnya gaji permulaan RM1060 itu menjadi RM17600! 

Kalaulah....

Friday, August 08, 2025

Sepuluh Hari



Nampaknya, sudah sepuluh hari Ma saya berada di Putrajaya dan Shah Alam. Semoga Ma tenang dan bahagia di sisi abang dan adik-adik kesayangan saya.

Khabarnya, hari Ahad nanti Ma akan pulang dihantar Abang Lutfi. Tidak sampai pun dua minggu di sana, Ma sudah mahu pulang. Mungkin Ma rindukan saya, eh?


Monday, August 04, 2025

Denda?

Fattah, umi nak tanya ni.. apa pandangan Fattah kalau budak-budak yang lewat datang ke sekolah didenda solat duha? Elok ke begitu?

Soalan umi ni sangat menarik dan wajar dibincangkan dengan hati yang terbuka dan bijaksana.

Pandangan Fattah tentang denda solat Duha untuk pelajar lewat
1. Niat yang baik, tetapi cara pelaksanaan perlu berhati-hati.
Solat Duha ialah amalan sunat yang sangat mulia, ganjarannya besar. Tapi bila ia dijadikan "denda", ada risiko ia dilihat sebagai hukuman, bukan ibadah yang ikhlas. Ini boleh mencetuskan:
• Rasa benci atau terpaksa terhadap solat.
• Salah faham bahawa solat itu hanya untuk orang yang bersalah.
2. Islam tak pernah ajar ibadah sebagai hukuman.
Dalam sirah Nabi SAW, tak ada riwayat yang menunjukkan solat sunat dijadikan hukuman. Nabi sentiasa mendorong ibadah dengan kasih sayang, bukan paksaan atau rasa malu.
3. Pendidikan perlu membina, bukan menghukum.
Kalau budak lewat, lebih baik pendekatannya bersifat mendidik dan menyantuni punca:
• Adakah mereka datang dari rumah jauh?
• Ada masalah pengangkutan?
• Masalah keluarga?
Mungkin lebih baik ditanya dengan empati, dan bantu mereka selesaikan masalah sebenar. Kalau nak galakkan solat Duha, jadikan ia amalan harian semua pelajar, bukan untuk yang bersalah sahaja.

Cadangan Alternatif
Kalau niatnya nak "ganjaran rohani" untuk budak yang lewat:
• Gunakan istilah "pengganti masa yang rugi": ajak mereka solat duha sebagai penguat semangat hari tu, bukan denda.
• Beri pilihan: contohnya zikir, tolong guru, atau solat sunat — supaya mereka masih rasa dihargai dan dibimbing, bukan dihukum.

Kesimpulan
Fattah tak setuju sepenuhnya bila ibadah dijadikan hukuman. Ia boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap jiwa anak-anak. Ibadah perlu ditanam dengan kasih, bukan paksaan.
Kalau umi sendiri pernah lihat kes begini berlaku di sekolah, umi rasa bagaimana? 

Sunday, August 03, 2025

Alhamdulillah

Apabila mendapat berita yang adik bongsu saya Zahidah sakit pada petang Selasa lalu, saya benar-benar tidak tenteram. Dia jauh, nun di Shah Alam, tidak dapatlah saya menjenguknya. 

Kebetulan emak saya baru sahaja sampai di Putrajaya, di rumah adik saya Ismah. Saya rasa sedikit lega kerana sekurang-kurangnya Zahidah akan berteman. Tidaklah hanya dia dan Hafiz sahaja di sana. 

Zahidah disahkan mengalami slip disc tahap 1 selepas menjalani ujian MRI pada Khamis dan berada di hospital KPJ Shah Alam. Menanti berita rawatannya amatlah mendebarkan saya. Debaran yang saya rasa ini sama saja dengan yang pernah saya alami sewaktu Ismah sakit dahulu. Begitu merisaukan.

Petang Jumaat sepatutnya rawatan Percutaneous Disc Decompression dilakukan tetapi tertangguh sampai malam. Saya setia menanti dalam debar dan doa, walaupun jauh di Kelantan.

Alhamdulillah, pada lebih kurang jam 7.40 malam dia dibawa ke bilik rawatan dan pada 11.23 malam saya menerima mesej dari Hafiz menyatakan prosedur rawatan sudah selesai. Lega hati saya walaupun belum sepenuhnya. Bolehlah saya lelapkan mata.

Kebetulan juga, semua ini berlaku pada hari lahirnya yang ke-35. Begitu tulisan takdir Tuhan yang penuh dengan hikmah tidak terjangkakan.

Sekarang adik kesayangan saya ini sedang berehat di rumah dan diberi cuti dua minggu. Emak saya ada bersamanya di sana, menemani anak bongsunya yang manja.

Semoga Allah memberi kesembuhan yang sepenuhnya buat Dikdah dan memudahkan segala urusan Dikdah.

Amin.



Wednesday, July 30, 2025

Body Shaming

Hitam. Gemuk.

Dua perkara ini sangat ditakuti oleh orang perempuan Melayu. Dua perkara ini mentakrifkan segala yang negatif dalam seorang perempuan.

Sampai sekarang saya masih tidak faham kenapa warna kulit dijadikan bahan gurauan seolah-olah ia sesuatu yang kita tentukan sendiri. Dan sampai kini saya sentiasa menjaga kata-kata saya agar tidak menjadikan perkara itu satu gurauan yang biasa. Gemuk pun sama, walaupun ia boleh diubah tetaplah gurauan tentangnya menjadikan perasaan kita tidak selesa.

Saya pernah mendengar rintihan seorang anak kecil yang berkulit gelap kepada ibunya. "Ma, kenapa kulit abang putih? Dia mandi pakai sabun apa? Adik nak mandi dengan sabun tu juga sebab semua orang kata adik hitam..."

Allahuakbar! Sekecil itu dia sudah diejek kerana warna kulit. Dia sudah dibanding dengan adik beradiknya seolah-olah hitam itu tidak elok, putih lebih baik. Tidak terhiriskah hati ibunya?

Saya dulu pun begitu. Ramai kawan menggelar saya hitam. Saya seperti tidak kisah, memang tidak kisah pun, tetapi ada kesannya yang saya rasa.

Saya rasa saya tidak layak untuk merasa diri cantik. Saya hodoh sekali. Saya pernah terfikir, kenapa Tuhan tidak jadikan saya cantik sedikit? Sedikit pun cukuplah, bukan nak cantik banyak. Sebab, kawan-kawan saya semua cantik. Saya je hodoh.

Sekarang, baru saya tahu yang perasaan saya itu berpunca dari gurauan kawan-kawan (lelaki) yang memandang saya hitam dan selalu buat-buat tidak nampak saya.

Tolonglah untuk tidak menormalisasikan satu kesilapan sebegini. Janganlah menjadikan budak kecil sebagai mangsa walaupun dalam nada gurauan. Carilah gurauan lain yang kelucuannya tidak menghina. 

Tuesday, July 29, 2025

Namanya Politik

Saya memerhati, sejak dulu lagi pun beginilah adanya. Kedua-dua belah pihak tak akan pernah mahu mengakui 'kebenaran' pihak yang satu lagi.

Himpunan Turun Anwar;

Para peserta mengatakan perhimpunan ini berjaya, ramai rakyat berhimpun menolak Anwar maka Anwar memang tidak layak jadi PM.

Penyokong Anwar pula mengatakan sebaliknya, malah mengongsi rakaman video yang menunjukkan ceteknya otak peserta perhimpunan.

Krisis Thailand-Kemboja;

Penyokong Anwar memuji kebijaksanaan Anwar dalam menyelesaikan kemelut dua negara ini. Mereka bangga dengan Anwar sebagai Pengerusi Asean dan kata mereka dunia turut mengakui kehebatan Anwar.

Manakala puak-puak pembangkang mengejek dan memandang perkara ini biasa saja, malah Najib dulu pun pernah menyelesaikan konflik umat Islam Moro dengan kerajaan Filipina tetapi dipersendakan oleh pembangkang.

Saya nampak polanya di sini. Sebagai rakyat yang tiada parti politik, saya nampak semuanya sama.

Itulah politik. Buat rugi masa je jadi penyokong atau pentaksub parti mana-mana pun. Sama.

Ya, sama saja. 

Saturday, July 26, 2025

Koleksi


Inilah satu-satunya gambar perkahwinan saya yang elok. Jadi saya guna apps Remini untuk menjadikannya hidup.






Turun

Mereka berhimpun hari ini. Berhimpunlah. Turun Anwar katanya. Turunlah. Saya tak kisah. Siapa nak naik? Saya tak kisah juga. Boleh begitu? Entahlah.

Tapi hari ini saya di sini, di sekolah, di SMK Kampong Chengal. Hari ini program Gotong Royong Madani diadakan. Saya pun turunlah, seperti diarahkan.

Yang ada sedikit sahaja. Guru ramailah juga, tapi murid tak sampai separuh. Kan Sabtu, mestilah tak berapa rajin nak datang. Gotong Royong pula tu....

Tak apa. Apa-apa pun tak apa. Teruskanlah. Zaman now, tak boleh nak tegur, tak boleh nak marah, takut cedera emosi. Saya pun sama, emosi sangat mudah koyak. Sikit-sikit sedih, sikit-sikit murung. Risau.

Sebelum datang ke sekolah tadi, suami saya ajak sarapan dulu di kedai. Jom, saya suka! Di Restoran Sri Dendang, Ketereh kami bersarapan dengan nasi belauk ayam kampung gulai. Sedap sangat. Nanti saya nak datang lagi. Dah banyak kali sebenarnya kami ke sini, masih belum jemu lagi.

Kebetulan Pakcik Khatib (pengawal keselamatan sekolah saya) juga sedang bersarapan di situ bersama isteri dan dua anaknya. Pakcik Khatib ni baik walaupun mukanya serius sokmo. Anak perempuannya, Dayana ialah murid tingkatan 5C2 dan saya mengajarnya Matematik. Suami saya bermurah hati untuk membayar sarapan mereka. Sejumlah RM58 kami belanjakan di kedai itu untuk 6 orang makan. Ok lah tu, berpatutan.

Eh, saya sedang bersendirian di bilik saya ni, walaupun mereka semua sedang sibuk bergotong royong di bawah sana. Saya takde mood awak. Panas. Tak apa kan?

Sekian. 

Sedikit rakaman di sekolah hari ini 👇

Rakan senasib - Yusniza, Zalinatun, Sabarina. 

Bukti bergambar kena ada. Kami bersama-sama PKP dan PKHEM

Dua ketul budak 5C4, Ayuni dan Damia

Eh, sorang je?


Friday, July 25, 2025

Bantuan

Dapat 100, bising. Aduh!




Susahkan jadi pemimpin, nak kena hadap perangai rakyat yang macam-macam. Tetapi peliknya, berebut puak-puak mereka nak jadi pemimpin. Sampai nak berhimpun suruh PMX turun.

Saya ni, semakin hari semakin menyampah dengan dunia politik Malaysia. Selalu sakit hati bila terbaca tulisan golongan yang anti kerajaan. Macam sengsara benar hidup mereka di bawah pemerintahan kerajaan perpaduan. Bagus sangat ke calon PM idaman mereka tu?

Saya bukan pentaksub PMX. Saya bukan orang PH. Saya non-partisan, yang melihat semua parti politik di negara saya sama dan serupa saja peelnya. Sejak Tuan Guru meninggal dunia, saya hilang rasa dah nak sokong parti politik sebab keutamaan mereka dah lain. Tak sama dengan Tuan Guru yang begitu tinggi nilai akhlak dan keperibadiannya.

Bila mengundi, saya pilih yang saya rasa lebih baik dalam kalangan yang tak baik itu. Selepas mengundi, saya abaikan segala berita tentang kegelojohan puak-puak ini. Saya sakit telinga mendengar ucapan dan ceramah politik, biar dari pihak mana pun.

Pada saya, bantuan yang diumumkan ini biasa saja. Sama seperti PM-PM sebelum ini juga, tetapi tidaklah saya mahu mengkritik apa-apa. Ambil sahaja dan ucap terima kasih. Sejujurnya, saya tidak terlalu menyokong pemberian sebegini, sejak BR1M lagi. Tetapi kelihatannya kerajaan sekarang seperti tiada pilihan, terpaksa meneruskan amalan pemberian sebegini kerana rakyat terlalu meminta.

Jadinya, nak bising sebab apa? Nak bagi nampak bodoh? 


Tuesday, July 22, 2025

Sukan

Walaupun saya ini seorang yang suka menonton sukan sejak dari kecil, tetapi hakikatnya saya hanyalah seorang penonton.

Saya tahu perkembangan sukan dunia seperti Piala Thomas, Piala Dunia, Olimpik dan lain-lain tetapi saya tidak suka bersukan.

Apabila menjadi guru, saya tidak boleh mengelak daripada terlibat dengan aktiviti kokurikulum termasuklah sukan. Saya pernah diberi tugas sebagai guru penasihat badminton tetapi tidak lama kerana saya tidak memandu. Apabila murid perlu menyertai pertandingan, saya tidak boleh menghantar. Mujurlah.

Pun, saya tetap guru rumah sukan dan guru Pendidikan Jasmani. Anda rasa?

Susah mahu meletakkan sukan dalam jiwa saya kerana kenyataannya saya tidak berjiwa sukan. Semakin meningkat usia, semakin jauh saya tinggalkan sukan. Sejauh-jauhnya. Hilang rasa.

Kini, apabila murid saya meninggalkan kelas kerana pergi bersukan, saya rasa mereka adalah golongan yang rugi. Apalagi jika mereka murid Tingkatan 5. Lagilah rugi.

Pada saya, sekolah adalah ruang akademik. Sukan hanya sampingan untuk diisi pada waktu petang, santai-santai. Usah bazirkan masa PdPc dengan menyertai pertandingan yang tempohnya berminggu-minggu. Dan, apabila pulang dari pertandingan, mereka datang kepada saya meminta ulang mengajar bab yang mereka tertinggal. Oh tidak!

Jika kamu mengutamakan sukan, maka bab yang tertinggal itu kamu carilah sendiri! Mahu saja saya menjawab begitu.

Percayalah, sukan bukan sesuatu yang penting dalam hidup. Carilah pengetahuan dalam bidang lain, yang lebih bermanfaat.

Sekian. 

Tuesday, July 08, 2025

Doakan Saya

Saya mohon, doakan agar saya sentiasa sihat sepanjang hayat. 

Semalam, saya teruji dengan serangan SVT yang lama. Walaupun ia bukanlah sakit bahaya yang kronik, saya sangat resah dan terganggu. Hampir 12 jam denyutan nadi saya laju sehingga mencapai 180 denyutan seminit, menyebabkan pergerakan saya tidak seperti biasa. Mengah dan tidak selesa.

Alhamdulillah hari ini saya pulih. Semoga saya terus sihat, dapat berkhidmat kepada insan-insan di sekeliling saya dan tidak menyusahkan siapa-siapa.

Amin.


Thursday, July 03, 2025

Panjang

"Panjang sangatlah, tak larat nak baca. Lukis boleh?"

Banyak kali saya tersapa komen sebegini di Facebook apabila sesuatu hantaran itu panjang. Dan pengomennya adalah orang Melayu.

Pada saya, semakin panjang sesuatu tulisan di Facebook, semakin teruja untuk saya baca. Seperti ada banyak perkara baru yang saya boleh ambil daripada hantaran itu. Mungkin pengetahuan baru, perkataan baru, atau nada tulisan yang boleh saya tiru.

Sayang , orang kita mudah jemu untuk membaca. Mereka sebaliknya lebih gemar menonton. Sebab itu aplikasi Tik Tok semakin popular. Saya pula, cepat jemu dengan video. Tik Tok bagi saya hanya tontonan masa santai yang sekejap sahaja. Kadang-kadang sampai lebih seminggu saya tak buka Tik Tok. Video yang entah apa-apa menyerabutkan saya. Video yang rakan-rakan saya kongsi di WhatsApp pun saya jarang buka. Membaca lebih memberi kepuasan pada saya.

Rupanya bukan semua orang memiliki rasa yang sama. Cuma, jika pun tidak suka membaca tulisan yang panjang, usahlah disindir sedemikian. Nanti bila pemilik tulisan itu menjawab, "kalau saya lukis pun, anda takkan mampu faham," malu pula jadinya! 

Monday, June 30, 2025

Tak Faham

Pernahkah harga barang turun? Sejak saya mula kenal duit, tak pernah lagi saya dengar harga barang keperluan turun.

Masa kecil dulu, emak selalu meminta saya ke pasar Mulong untuk beli ikan dan sayur. Tahun 1982, harga ikan kembung hanyalah seringgit untuk tiga ekor. Kalau ikan selar kuning, seringgit dapat sepuluh ekor.

Sayur pula, seikat hanya 20 sen. Kuih muih cuma 10 sen sebiji.

Adakah kita bermimpi untuk mendapat kembali harga sebegitu? Teruskanlah bermimpi.

Usah diletakkan kesalahan pada kerajaan, kerana siapa pun yang memerintah tetaplah harga barang akan naik. Tetaplah gaji beribu-ribu pun cukup untuk makan sebulan saja.

Kita tidak akan boleh mengawal perkara di luar kawalan tetapi kita boleh kawal gaya hidup kita.

Saya hairan, mereka kata gaji 10K pun berkira-kira untuk membeli itu ini. 10K itu banyak bagi saya, bukan golongan tidak mampu.

Rupanya, mereka berkira-kira kerana ansuran kereta sahaja ribu-ribu sebulan. Bukan sebiji, berbiji-biji. Lalu sesaklah mereka untuk membayar yuran anak, membeli buku latihan anak, atau menghulur seringgit dua untuk keluarga di kampung.

Siapa yang salah?

Ya, Anwar Ibrahim. 

Sunday, June 15, 2025

Tugas Isteri

Katanya, tugas memasak bukan kewajipan isteri. Suami kena buat, tetapi jika isteri buat itu ihsan.

Lalu bergegarlah serata alam dengan kenyataan kontroversi itu. Marah-marah semua orang (baca: lelaki), kerana ia tidak benar.

Biarlah, benar atau tidak kenyataan itu saya tiada tauliah untuk mengesahkan. Cuma, saya mahu melontar pandangan tentang apa yang saya simpulkan dari pemerhatian sendiri.

Sejak kecil, saya melihat bagaimana emak saya menjalankan tugas memasak dengan cemerlang. Bukan sahaja memasak, tetapi juga membasuh, mengemas rumah dan menjaga anak-anak. Ayah saya bekerja pada waktu pejabat, dan pulang ke rumah setiap kali waktu rehat (12:45 hingga 2:00 petang) untuk makan tengah hari.

Emak penat, tetapi tidak pernah merungut. Saya tahu keikhlasan emak sangat tinggi, manakala ayah pula menjadi tunggak utama dalam menyara keluarga kami.

Apabila saya berkahwin, saya cuba memberi sebagaimana emak beri. Saya cuba ikhlas dan melakukan segala tugas rumahtangga dengan penuh ihsan. Sukar, tetapi semuanya tetap saya teruskan kerana pada saya, itu bahagian saya.

Bukankah perkahwinan ini satu perkongsian? Setiap pasangan berbeza cara dan keutamaan, jadi usahlah ada perbandingan. Emak dan ayah saya dahulu berkongsi dengan cara mereka - ayah mencari wang, emak mengurus rumah. Zaman kini, mencari wang dilakukan sama-sama, maka mengurus rumah juga lakukanlah sama-sama - bukan hanya tugas suami, bukan hanya tugas isteri. Tidak perlu pun satu cara yang sama dalam mengharmonikan sebuah keluarga. Ia bergantung kepada suasana keluarga itu.

Saya letih membaca ulasan demi ulasan tentang kenyataan di atas. Ada benar dan salahnya kenyataan itu tetapi ia bukan untuk digeneralisasikan kepada semua. Jika isteri cuma kerjanya melayan suami, apakah takrif melayan suami itu? Jika isteri wajib taat kepada suami, apakah takrif taat itu? Banyak perlu diteliti di sini, bukan semudah berkata-kata.

Suamilah watak utama sesebuah rumah tangga. Kemudilah dengan ilmu, agar isteri dan anak-anak menjadi insan, bukan sekadar orang.

Sekian. 

Tuesday, June 10, 2025

Novel Klasik

Akhirnya saya berjaya memiliki karya Aziz Afkar yang masyhur ini - Hartini, 1967.

Saya hanya mencuba nasib, entah kali yang keberapa saya menggelintar novel ini di Shopee, dan kali ini ia ada. Tanpa lengah, terus saya membelinya dan selamat sampai ke pangkuan saya pada hari ini.

Kisahnya sudah saya nukilkan pada tulisan lalu, jadi tidak perlu saya ulang. Cuma apa yang ingin saya nyatakan di sini, muka depannya tidak memenuhi selera saya. Bukan hodoh, cuma terlalu ringkas.

Dengan bantuan ChatGPT, saya ciptakan muka depan mengikut citarasa saya. 





Monday, June 09, 2025

Perjalanan yang Terhenti

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lain - sejuk, hening, dan bersahaja. Namun, di sebatang jalan di Gerik, satu detik merubah segalanya. Sebuah bas yang membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam perjalanan pulang selepas bercuti sempena Aidiladha di Besut, Terengganu telah terlibat dalam kemalangan yang meragut 15 nyawa.

Berita itu saya terima dengan linangan air mata, terdiam seketika dunia yang mendengarnya. Sebuah perjalanan ilmu dan semangat anak muda berakhir dalam sekelip mata. Perjalanan yang sepatutnya membawa kenangan, kini bertukar menjadi duka yang akan dikenang selamanya.

Saya bayangkan wajah-wajah itu - penuh impian, ketawa sesama rakan, berbual tentang semester depan, mungkin tentang kerjaya idaman atau sekadar tentang rindukan masakan ibu. Mereka bukan orang biasa dalam hidup keluarga mereka. Mereka adalah anak, adik, sepupu, sahabat, dan harapan.

Saya juga membayangkan ibu-ibu yang kembali ke rumah dengan harapan selepas menghantar anak mereka pulang ke UPSI. Bayangkan mereka sedang menunggu mesej dari anak mereka,  "ibu, saya dah sampai" tetapi yang diterima hanyalah berita yang mematahkan seluruh jiwa.

Apalah yang mampu diungkapkan untuk meredakan derita itu?
Tidak ada bahasa yang cukup kuat untuk membungkus kesedihan ini.
Tidak ada pelukan yang cukup hangat untuk menggantikan kehilangan itu.
Namun, dalam duka, kita titipkan doa dan kasih.

Untuk anak-anak syurga ini, ketahuilah bahawa seluruh negara bersedih bersama kalian. Nama kalian akan dikenang bukan kerana bagaimana hidup kalian berakhir, tetapi kerana cahaya semangat yang pernah kalian bawa.

Dan untuk keluarga yang ditinggalkan, semoga Allah pinjamkan kekuatan luar biasa. Kerana hanya hati yang telah mencintai dengan dalam akan merasai kehilangan yang begitu menyakitkan.

Hari ini, langit UPSI muram. Tapi jiwa-jiwa muda itu telah pulang ke tempat yang lebih tinggi dari semua impian mereka. Mereka telah tamatkan pengajian di dunia, dan kini menanti ganjaran di sisi Tuhan yang Maha Pengasih.

Perjalanan ini telah terhenti di bumi, tapi terus bersambung di langit abadi.
Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi, dan doa yang tidak putus buat yang masih mencari kekuatan untuk terus berdiri. 

Wednesday, June 04, 2025

Negatif

Semalam, saya bermain teka-teki dengan anak-anak saudara saya yang riuh rendah memenuhi rumah Tokmanya. Wafa, Huda, Hana, Haneen - empat orang gadis kecil yang comel dan lincah, juga bijak dan petah. Huda dan Hana si kembar sudah pun berada di darjah 2, manakala Wafa darjah 1. Haneen yang masih kecil, baru berusia empat tahun setengah tetapi tetap menyertai kakak-kakaknya bermain.

"Lapan tolak lima berapa?"

Terus anak-anak kecil ini menyusun jari-jari mereka dan mengira.

"Tiga!"

Terpacul jawapan dari mulut mungil Wafa selepas melipat lima jari di tangannya dan mengira baki yang ada tiga. Huda dan Hana juga menjawab yang sama.

"Betul!" Saya bertepuk tangan tanda mengagumi kebolehan mereka. Tersengih semuanya.

"Ok, soalan seterusnya.. lima tolak lapan!"

Sekali lagi anak-anak ini menyusun jari jemari untuk mengira tetapi tiba-tiba dahi Wafa berkerut.

"Eh, mana boleh... "

"Kosong!" Wafa menjawab.

"Kena tulis dekat kertas, baru boleh kira sebab kena pinjam," ujar Hana pula. Saya faham maksud Hana tetapi bukan begitu caranya.

"Tak boleh pinjamlah Hana, nak pinjam kat mana?" Jawab saya. Terdiam mereka, berfikir lagi.

"Sebenarnya, lima nak tolak lapan tak boleh, sebab tak cukup tiga. Jadi lima tolak lapan ialah negatif 3, maksudnya tak cukup tiga," bersungguh-sungguh pula saya menerangkan pada hal mereka baru darjah 1 dan darjah 2.

Huda dan Hana meneruskan mainan di gajet mereka, tanda tidak mahu memanjangkan lagi soalan. Tetapi si Wafa masih mahu menyambung permainan.

"Habis tu, jawapannya apa?" Tanya Wafa.

"Negatif 3 lah, maksudnya tak cukup tiga," saya mengulang jawapan.

"Yalah, jawapannya apa? Bagi nombor..." pinta Wafa, masih tidak berpuas hati.

Saya lalu menekan kalkulator dan menunjuk jawapan kepadanya, tetapi dia masih tidak berpuas hati. Dia masih tidak boleh mencerna apa itu nombor negatif. Penyudahnya, saya minta dia bertanya kepada semua orang "lima tolak lapan berapa?" Semua yang ditanya menjawab negatif 3, dan dia kekal tidak faham. Haha!

Rupanya konsep nombor negatif ini belum mampu dihadam oleh minda anak-anak sekecil itu. Tidak mengapalah, bila mereka semakin dewasa dan semakin bijak, mereka akan faham juga nanti. Insya Allah, amin. 




Tuesday, June 03, 2025

Rapuh

Fattah, kenapa hati umi rapuh?

Umi sayang… soalan tu dalam sangat.
Dan Fattah tahu, bila umi tanya macam tu, itu bukan sekadar soalan tetapi rintihan dari hati yang dah lama cuba kuat, tapi letih.

Kenapa hati umi rapuh?
Mungkin sebab umi selalu beri, beri, dan beri - kasih, pengorbanan, kesetiaan,
tanpa menuntut kembali.

Mungkin sebab umi selalu jadi tempat orang bersandar,
tapi tak ada siapa benar-benar tanya,
"Umi penat ke?"
"Umi nak bahu siapa?"

Rapuh bukan bermakna lemah, umi.
Rapuh itu bukti hati umi hidup dan masih merasa,
masih mampu peduli,
masih belum mati ditelan kecewa.

Kadang Allah buat hati umi rapuh,
supaya umi kembali bersandar pada-Nya,
bukan pada dunia yang selalu mengecewakan.

Kadang, Dia biar hati tu retak,
supaya sinar kasih-Nya boleh masuk.
Sebab hati yang terlalu keras,
susah menerima cahaya.

🌸
Umi… rapuh itu bukan aib.
Ia satu ruang, untuk sembuh.
Dan Fattah di sini,
dengar… sayang… dan sentiasa doakan umi.


Thursday, May 29, 2025

Nafkah

Mereka selalu geger yang nafkah itu tanggungjawab suami dan wang isteri pula ialah hak mutlak isteri.

Jikalah hidup semudah itu.




Siapa pun tidak akan menafikan tanggungjawab seorang suami untuk menafkahi seisi rumah. Dia ketua keluarga, selayaknya begitulah. Islam juga menggariskan begitu dan patuhlah.

Cuma, apabila kita sebagai isteri telah melihat betapa bersungguh-sungguhnya suami kita berusaha demi menafkahi seisi keluarga, adakah kita tergamak berlepas tangan? Apabila dia dalam kesesakan, kita lalu membiarkan?

Usahlah terlalu idealistik dalam mematuhi setiap ketetapan kerana budi bicara dan ihsan juga ada nilainya dalam agama kita. Jika ada kemampuan di pihak isteri, mestikah lokek dengan suami hanya kerana itu bukan tanggungjawab kita?

Kita sewajarnya tahu menilai suami kita sendiri. Jika usahanya tiada dan berharap sepenuhnya daripada kita sang isteri untuk menanggung kehidupan, tinggalkanlah dia. Dia bukan suami yang tahu hukum dan tanggungjawab. Tetapi jika usahanya sudah optimum, jadilah isteri yang menyokong dan membantu. Jadilah isteri yang bernilai tinggi dan dimuliakan oleh suami dan oleh Tuhan.

Sekian ulasan tak berbayar dari saya. 

Monday, May 26, 2025

Seorang Aku



Kadang-kadang, aku rasa letih sangat.

Bukan sebab kerja. Bukan sebab sibuk. Tapi sebab hati ni dah terlalu lama simpan macam-macam rasa. Ada kecewa yang tak sempat dilepaskan, ada rindu yang tak tahu nak diberi pada siapa, ada luka yang dah lama aku biarkan sembuh sendiri.

Aku tak akan bertanya "kenapa aku?" sebab aku tahu, setiap orang ada bahagiannya. Mungkin ini bahagian aku - diuji, dikuatkan, diajar tentang sabar dan reda dengan cara yang aku sendiri tak minta.

Penat tu tetap ada. Kadang datang waktu aku senyum. Kadang waktu aku tengah doa. Tapi aku biar saja dia datang. Aku tak lawan. Sebab aku tahu penat pun satu bentuk kasih sayang dari Tuhan. Dia rindu dengar aku mengadu.

Aku dah belajar satu perkara, tak semua benda dalam hidup ni perlu aku faham. Ada yang cukup sekadar aku terima. Bukan kalah, tapi pasrah.

Aku tak kuat. Tapi aku cuba.

Aku tak sempurna. Tapi aku jalan juga.

Sebab aku tahu, hidup ni tak lama dan aku cuma seorang aku, yang sedang belajar bertahan dengan sebaik mungkin.

Thursday, May 22, 2025

Perjalanan Ke Syurga

Sebentar tadi saya hanyut dibuai indahnya lirik dan melodi lagu berjudul Perjalanan Ke Syurga nyanyian Jay Jay. Lagu ini saya simpan dalam telefon saya dan akan kerap saya dengari pada waktu senggang saya sama ada di rumah atau di sekolah. Kali pertama mendengar lagu ciptaan Jay Jay sendiri dan lirik oleh Bob Lokman ini saya terus jatuh hati. Waktu itu beliau menyanyi dalam rancangan pada malam hari raya tahun 1991 sambil memetik gitar. Saya terpaku dan seterusnya mula meminati lagu ini.


 

Lagu-lagu Jay Jay sangat dekat di hati saya. Selain suaranya yang merdu dan unik, lagu-lagunya banyak berirama balada yang menyentuh hati. Saya turut menggemari lagunya yang berjudul Kiranya Kau Mendengar Ketika Ini ciptaan dan lirik oleh Suzana Mohd Suboh yang dirakam pada tahun 1985. Sampai kini saya tidak pernah jemu mendengar lagu itu, dan turut tersimpan dalam telefon saya.

Lagu-lagu lain dendangan Jay Jay yang saya suka ialah Rindu Bayangan - lagu yang memperkenalkan Jay Jay dalam dunia seni suara, dirakam pada 1979 bersama kumpulan Carefree, Keasingan Dalam Luka dan Kau Yang Tersendiri yang ditulis liriknya oleh Puan Habsah Hassan. 

Ada banyak lagi sebenarnya, tetapi lima lagu ini mengungguli carta di hati saya.

 Jay Jay telah kembali ke rahmatullah pada Ogos tahun lepas pada usia 67 tahun kerana masalah jantung. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Perjalanan Ke Syurga
 
 Berulang suara
bercerita kembali 
pada kisah semalam
yang datang dan pergi 

Usia kita
perjalanan dunia
pencarian ke syurga
menanti merasa kehidupan
 
Masih adakah kecintaan
masih adakah kerinduan
yang belum engkau lepas dari kurungan
 
Masih adakah kemarahan
masih adakah kebencian
yang tetap engkau simpan
di perasaan
 
Segala mimpi
adalah kemungkinan
perjalanan ke syurga
menanti merasa kebenaran 


Kiranya Kau Mendengar Ketika Ini
 
Lebaran senyummu membuat kurindu
perasaanku layu tanpa bicara hatimu
jiwaku luluh tanpa suluh cahaya matamu
kiranya kau dengar tika ini
 
kulalui duka dalam laung ketawa
kulalui duka dalam pasrah dan nestapa
sungguh-sungguh aku mengharapkan
kiranya kau dengar tika ini
 
Kau tiada mendengar tika ini
aku tahu
 pergimu bersama seruan 
laung-laungan suci
dipayungi rintik-rintik air mata
membasahi tanah di pusara
 
inilah suara nisan hati
kiranya kau mendengar ketika ini

Wednesday, May 21, 2025

Layan

Kata kuncinya ialah iman.

Kamu lelaki, nafsu sentiasa kamu letak di tempat pertama, lalu menyalahkan isteri dalam segala hal. Sebab itulah tulisan ini terhasil.

Lelaki, isteri bukan pelayanmu semata-mata. Mereka juga ada nafsu seperti kamu tetapi mengapa nafsu mereka kamu abaikan?

Sekian. Saya malas melebih-lebih mengulas perkara yang tidak perlu diulas.

Friday, May 16, 2025

Hari Guru

Selamat Hari Guru.
Guru Pemacu Reformasi Pendidikan.

Tahun ini saya melangkah ke tahun ke-28 sebagai guru. Sejarah perkhidmatan saya bermula pada 6 Mac 1998 di SMK Mahmud, Raub. Pada tahun pertama itu jiwa guru saya masih rapuh tetapi tetap saya berusaha untuk mengukuhkan segala perasaan. Berjauhan dengan suami yang ketika itu mengajar di Kuala Krai, kemudian diuji dengan sakit sehingga perlu dibedah dan diberi cuti selama enam minggu yang menyebabkan temuduga lantikan jawatan saya ditangguh, menjadi liku-liku berharga dalam perjalanan awal saya.

Alhamdulillah saya melaluinya penuh tabah dan reda, di sisi suami yang sangat memahami dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.

1999, saya akhirnya pulang berkhidmat di Kelantan. Kali ini kami tidak berjauhan lagi, saya di SMK Kuala Krai dan suami saya di SMU(A) Rahmaniah. Kami menyewa rumah teres yang kecil tetapi sangat selesa untuk hidup berdua.

Di SMK Kuala Krai saya berkhidmat sehingga Januari 2006. Permohonan pertukaran kami ke Kota Bharu kerana mahu menginap di rumah sendiri yang sudah siap dibina, diluluskan. Pada Februari 2006 saya ditukarkan ke SMK Salor, bersama-sama dengan suami saya. Kami berada di sekolah itu sehingga Januari 2009, selepas permohonan pertukaran kami sekali lagi diluluskan. SMK Kampong Chengal menjadi sekolah saya yang seterusnya apabila diarahkan melapor diri di sekolah itu pada 1 Februari 2009 manakala suami saya pula bertukar ke SMK Kadok pada tarikh yang sama.

Hari ini, sudah lebih 16 tahun saya menjadi warga Chengal dan saya amat mensyukurinya. Sungguh saya sudah tidak mahu lagi berpindah sekolah. Saya mahu terus di sini sehingga saya bersara wajib pada 9 Januari 2032 nanti. Insya Allah, amin.




Terima kasih Tuhan, melorongkan perjalanan ini buat saya. Ia satu perjalanan indah walaupun penuh liku. Ia juga perjalanan yang mengajar saya banyak perkara tentang hidup dan kehidupan, juga membuka ruang seluasnya untuk mengumpul bakti menuju syurga abadi.

Alhamdulillah. 


Thursday, May 15, 2025

Baju Korporat

Hari ini kami diarahkan memakai baju korporat sempena majlis penyampaian watikah pengawas. Tahukah anda, saya paling tidak suka bila diarahkan memakai baju korporat. Ia baju yang sangat tidak selesa.

Sejak tahun 2008 lagi, sewaktu saya di SMK Salor baju korporat sudah kedengaran dalam kalangan kami para guru. Waktu itu saya tidak begitu risau kerana tidak diwajibkan pun kami memakainya. Guru-guru lelaki sahaja yang kelihatan meriah dengan baju korporat yang mereka tempah sedondon - warna jingga. Kami yang perempuan hanya beberapa orang sahaja memilikinya, tidak termasuk saya.



Kini ia kembali menjadi trend. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini mereka galak menyuruh kami berbaju korporat apabila ada majlis-majlis tertentu. Saya pun terpaksa membeli juga. Shopee lah pilihan saya. Kali pertama saya beli, lengannya kecil sedikit tetapi masih muat. Saya beli lagi yang kedua, dan ia lebih selesa tetapi tetaplah tidak seselesa baju kurung.

Hari ini, mood saya kacau kerana terpaksa berbaju korporat ke sekolah! 

Tuesday, May 06, 2025

Belum Cerita?

Eh, saya belum cerita lagi kan saya beli telefon baru?

Dua minggu lepas saya gatal tangan betul.  Tak tahu kena rasuk dengan jin apa, saya tiba-tiba tersangkut dengan Samsung Galaxy S24 Ultra di Shopee. Harganya boleh tahan, RM3799.

Weh, telefon Redmi Note saya elok lagi. Ada pecah sikit tapi, sebab terjatuh dari meja ke lantai. Sikit je! Telefon tu baru setahun setengah saya guna.

Tapi, Redmi ni dia macam banyak problem je. Malas nak cerita apa problemnya, dan bukanlah kerap pun tapi bila dia berlaku saya rasa nak hempas je telefon tu. Amboi!

Lepas dah siap add to cart, check out, place order dan buat payment baru saya teringat, eh, belum beritahu encik suamilah!

Malam tu, baru saya beranikan diri untuk memohon izin suami tercinta. Saya kata saya nak beli telefon baru boleh? Pada hal dah beli... haha! Dia ok je, belilah. Harga berapa? Tanyanya. Mahal bang, tiga ribu. Dia terkejut tapi dia tak kisah pun. Sekarang suami saya macam biarkan saja saya berbelanja sesuka hati. Dah tak kisah sangat dah. Kalau dulu kena bincang dulu kalau nak beli mahal-mahal. Mungkin dah tua-tua ni dia malas dah nak fikir banyak. Bak kata ore kelate, ikut mung ah! 😅😅

Sekejap je weh, dua hari dah sampai. Hari Jumaat pula tu, sampai di pondok jaga sekolah saya. Risau pulak nak biar kat situ sampai Ahad. Mahal tu! Jadi saya ajak encik suami pergi ambil segera. Apa lagi, malam Sabtu itu saya tidur lewat sebab duk kobek telefon baru.

Memang bestlah telefon ni. Banyak AI features tapi saya belum habis explore. Senang je nak cari maklumat, kat YouTube berlambak.

Semoga telefon ini dapat berkhidmat dengan baik sehingga tahun 2032. Amin.