Saturday, January 24, 2015

Sabtu

Hari yang lapang.

Saya mohon dari suami untuk tidak keluar ke mana-mana hari ini. Saya mahu berada di rumah, sepanjang hari. Jika dia mahu keluar tidak mengapa tetapi jangan ajak saya.

Kenapa?

Kerana ada banyak agenda yang perlu saya usaikan. Tentang kain sahaja ada empat agenda. Membasuh, menjemur, melipat dan menggosok. Belum lagi tentang bilik air yang berkerak dan lantai yang berdebu. Juga dapur yang perlu diasapkan tengah hari nanti!

Pun, bukan semua agenda yang saya atur itu sempat saya siapkan. Saya hanya seorang. Tiada pembantu. Dan cepat penat pula.

Alhamdulillah, walaupun tidak semua, saya mampu mengerjakannya seupaya saya. Untuk makan tengah hari, saya bersungguh memasak sayur lemak putih kacang panjang campur jagung muda dan bunga kubis. Sedap. Apatah lagi bila bertemankan ikan gelama goreng dan sambal tumis udang.

Akhirnya, saya kepenatan. Selesai solat Zohor saya tidur. Lama. Pukul 5.30 baru saya bangun untuk solat Asar dan mengaji Quran beberapa muka surat.

Saya teruskan lagi kerja yang masih ada. Kali ini saya melipat kain yang melimpah dalam bakul. Biar pun cuma berdua di rumah ini, kain sentiasa banyak. Memang kami sangat boros dalam memakai pakaian. Sebab itu ia sentiasa melimpah dan mengambil masa untuk dilipat.

Sekarang sudah pun 8.22 malam. Sekejap lagi Isya' tiba. Suami saya ke masjid dan akan pulang lewat kerana ada kelas mengaji di rumah kawannya. Saya pula baru selesai memasak nasi goreng untuk makan malam ini. Nampaknya, usai solat nanti saya akan teruskan lagi agenda yang ada sebelum masuk tidur.

Menggosok. 

Sent from Samsung Mobile

Zamani

Riuh di laman sosial minggu ini cerita tentang Zamani. Seorang vokalis tersohor yang punyai suara merdu bak buluh perindu, tiba-tiba ditangkap polis kerana terlibat dengan penagihan dadah. Wajah kacaknya yang pernah menjadi pujaan ramai kini cengkung tidak bermaya.

Zamani.

Saya juga pernah meminatinya separuh nyawa. Pada zaman prapernikahan dahulu, selain M. Nasir yang saya kagumi seni muziknya, Zamani juga termasuk dalam senarai penyanyi kegemaran. Suaranya sungguh lunak menusuk ke jantung hati saya. Lagu-lagunya menyentuh jiwa. Apatah lagi jika liriknya disusun indah oleh Habsah Hassan atau Awang BPR.

1995, itulah tahun yang membawa dia kepada saya. Saya sedang berpraktikal di Telekom Jalan Duta waktu itu dan menyewa rumah pangsa di Keramat Wangsa. Rakan serumah yang juga sekursus dengan saya di UKM membeli album SLAM yang saban hari diputar tanpa henti. Lagu-lagunya menjadi belaka. Semua lekat dalam hafalan saya.

Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling, Bukan Niat Membalas Derita, Nur Kasih antara yang masih saya simpan dalam koleksi lagu kegemaran saya di laptop ini. Ada juga Kurnia, Mentari Muncul Lagi, dan Syair Si Pari-Pari.

Ternyata wajah cengkungnya yang mengundang curiga di hati saya beberapa tahun ini terjawab dengan jelas kini. Beberapa kali saya menangkis kata-kata suami saya saat menonton Zamani di kaca TV. Suami saya dengan yakin berkata, "kurus begini mesti ambil dadah," tetapi saya menolak kata-kata itu. Tak baik menuduh, kata saya.

Entahlah, Saya sudah terlalu tua untuk terus-terusan menjadi peminat fanatik seorang penyanyi seperti Zamani. Dia cuma penyanyi, tidak lebih daripada itu.

Pun, dari segi kemanusiaan, saya sesungguhnya simpati padanya. Biarpun dia hanya penyanyi, dia tetap seorang manusia yang punya maruah dan ada keluarga yang perlu dihormati. Doa saya tetap ada buatnya, agar dia kembali berpaut pada dahan yang kukuh, bukan lagi mencari ranting yang rapuh.

Monday, January 19, 2015

Ombak Rindu

Ada-ada sahaja yang menyebabkan saya rindu pada dia.

Usai Maghrib tadi, saya membuka iQuran di Samsung Galaxy Note 2 saya untuk menyambung bacaan pada juzuk 26. Saya bermula di pertengahan surah Al-Fath.

Surah berkaitan pembukaan kota Makkah ini mengandungi 29 ayat. Saat saya mengalunkan ayat terakhir surah ini, bacaan saya menjadi lancar dan mudah. Ayat ini sebenarnya sudah sering kedengaran di telinga saya sejak dari saya sekolah rendah lagi.

Setiap kali arwah ayah berteleku di sejadahnya seusai solat fardhu, ayah selalu mengalunkan ayat ini. Acap benar alunannya singgah di gegendang telinga saya sehingga ia menjadi begitu mesra.

Setiap kali bacaan saya tiba ke ayat ini, setiap kali itulah sosok tubuh ayah yang sedang bersila lendik di sejadahnya menyertai saya. Duhai! Ada-ada saja yang menyebabkan saya rindu pada dia...

Tahun ini menjadi tahun kelima belas kami kehilangannya. Pun tiada yang mampu membuang arcanya dalam hati kami. Dia tetap ada di sisi kami. Jauh, tetapi sangat dekat.

Tuhan, ampuni dan lindungilah ayah kami.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, January 17, 2015

Adikku


Akhirnya penantian si bongsu Zahidah ini berakhir. Lebih setahun dia mengisi hari-harinya dengan sebuah pengharapan untuk menjejak langkah menjadi seorang pendidik. Pun dia dibiar ternanti-nanti dalam sejuta rasa yang hanya dia tahu

SMK Seri Pulai Perdana, sambutlah gadis berjiwa besar ini untuk mengisi ruang mengongsi ilmu dan mencari pengalaman. Dia bakal mewarnai sudut suram di situ. Berilah dia sebuah kesempatan berserta panduan, dan bimbinglah dia untuk meneruskan kecemerlangan. 

Adikku, kami di sini tidak pernah berhenti mendoakanmu. Biar kini kau telah bergelar guru, di jiwa kami engkau tetap si bongsu yang akan kami rindu.

Selamat membina impian. Moga Allah memudahkan jalanmu...


Sent from Samsung Mobile

Friday, January 16, 2015

Baiti Jannati



Kecil dahulu, saya sering mendengar emak bercerita tentang impian untuk memiliki rumah sendiri. Waktu itu, kami menetap di rumah sewa. Kata emak, saya lahir di rumah sewa di Kota Bharu, kemudian kami berpindah ke Mulong, ke Batu 8 dan ke Mulong semula. Semasa saya berusia sepuluh tahun, barulah ayah mula membina rumah. Itu pun secara sangat perlahan bergantung kewangan yang ada. Ayah tidak membuat pinjaman walaupun layak kerana gaji ayah tidak sebesar mana untuk dipotong bulan-bulan.

Apabila saya berusia dua belas tahun iaitu pada tahun 1984 barulah rumah itu sedia didiami. Seronok bukan kepalang rasa hati apabila berada di rumah sendiri. Tidak lagi emak perlu membayar sewa bulan-bulan kepada tuan rumah!

Alhamdulillah, selepas dua tahun saya berkahwin, suami saya mula berkira-kira untuk membina rumah. Awal juga dia merancang, dan saya memberi sokongan.

Awal 2001, kami mula menimbus tanah sawah pemberian Mek. Kosnya tidak mampu kami tampung tanpa membuat pinjaman. Saya dengan rela hati demi membantu suami, membuat pinjaman sejum;ah RM15000 dari Bank Rakyat. Wang itulah kami guna untuk kerja-kerja menimbus tanah dan membayar harga jalan.

Selepas dua tahun, tanah yang ditimbus sudah kemas molek. Kami pun bersedia untuk membina rumah. Suami mula memohon pinjaman perumahan kerajaan dan menguruskan segala keperluan untuk pembinaan. Tukang rumah, pelan rumah, peguam, dan segala macam hanya suami saya sahaja yang menguruskan.

Jun 2003, segalanya selesai. Kami memulakan pembinaan dengan wang simpanan yang ada. Selepas terbina tiga puluh peratus barulah wang pinjaman dikeluarkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan baik dan rumah kami siap sepenuhnya pada September 2004.

Pun, kami hanya berpindah pada November 2004. Itu pun sekadar menghantar barang-barang sahaja ke rumah baru sedang kami tidur di rumah Mek. Selagi proses jahitan langsir belum siap, tentu kami tidak boleh menginap lagi.

Secara rasminya, kami berpindah ke rumah baru kami pada 4 Februari 2005. Kami mengadakan sedikit majlis solat hajat, dan terus bermalam di situ.

Hari ini, kami sudah berada berdua di sini selama sepuluh tahun. Betapa pantas masa berlalu, betapa banyak kisah dan cerita yang terakam, betapa bahagianya kami berada di sini, hanya kepada Allah jua kami panjatkan kesyukuran.

Rumah ini, lambang kasih sayang kami. Kami akan menghargainya dengan penuh rasa kesyukuran.

Saturday, January 10, 2015

Bekerja

Esok, 11 Januari 2015 menjadi hari pembuka sesi persekolahan tahun ini. Dan saya bersedia jiwa dan raga untuk menghadapi dan memberi sepenuh rasa.

Seperti tahun-tahun yang dahulu, selalunya minggu-minggu pertama akan menjadi sibuk dan padat. Ada segalanya mahu dihimpun dalam satu-satu minggu. Mesyuarat, lawatan PPD, penulisan buku rancangan, buku pengurusan kokurikulum juga dan segala macam. 

Sepadat mana pun, saya tidak tega membawa kerja saya pulang ke rumah. Biarlah rumah saya menjadi tempat saya berehat daripada aktiviti pengajaran, kerana ada agenda lain yang lebih penting daripada itu untuk saya langsaikan di rumah.

Bukan tidak pernah, tetapi jika diukur dengan nombor rasanya hanya tidak sampai 10% tugasan sekolah yang saya bawa pulang ke rumah. Itu pun apabila benar-benar terdesak. Menanda kertas peperiksaan akhir tahun yang di dalam cuti itu pun saya sanggup bawa ke sekolah. Ada suasananya, baru ada moodnya.

Lalu, mereka berkata, mana sempat semua dibuat di sekolah?

Kenapa tidak? 

Saya tiba di sekolah seawal 6.45 pagi dan waktu sesegar itu sangat memberi ketenangan dalam bekerja. Ke kantin, saya benar-benar pergi untuk makan. Berbual-bual kosong sehingga habis masa free itu bukan saya.

Dan syukurlah meja saya tiada di bilik guru. Saya bersendirian di bilik peperiksaan yang jarang-jarang dikunjungi orang. Saya punya banyak masa untuk menyelesaikan segala kerja.

Komputer? Saya tidak perlu berebut. Setiap hari saya bawa komputer riba saya sendiri ke sekolah untuk kemudahan saya. 

Waktu pulang juga saya tidak pernah buru-buru. Pukul 2.00 tamat tugas, saya masih sempat mencuri waktu sebelum suami menjemput pada 2.30. Malah, jika saya mahu pulang lambat, saya akan minta suami saya menjemput saya lebih lewat.

Bukankah pengurusan masa itu di tangan kita? Lalu jangan menuduh yang bukan-bukan. Tersentuh saya bila ada yang berkata guru yang tidak membawa pulang kerja ke rumah ialah guru yang lambat menyiapkan tugas dan selalu melepasi deadline. Pada hal sayalah yang sering membantu mereka yang sudah terlepas deadline! 


Sent from Samsung Mobile

Friday, January 09, 2015

Usia

Syukur Tuhan, aku masih bernyawa pada ulang tahun kelahiranku yang ke-43 ini.

Arwah Pakcik Ahmad b Mustaffa, pulang menemui Ilahi pada usia inilah, 31 tahun yang lalu. Perginya mengejut, tanpa tanda-tanda sedikit pun. Hanya kerana sakit dada waktu terjaga tengah malam, ajalnya menjemput. 

Semudah itu.

Arwah Pakda Mahmud juga begitu. Pada tahun 1978 ketika berusia 45 tahun, dia meninggal semasa tidur.

Sesungguhnya maut itu pasti tiba tanpa mengira usia. Hanya kita tahu persediaan kita setahap mana.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, January 04, 2015

Mek


Mek, ibu mentua saya. Namanya Siti Raana binti Omar. Tahun ini usia Mek menjangkau 77 tahun. Mengikut kad pengenalannya, Mek lahir pada 1938. Tiada hari dan bulan, hanya tahun.

Dalam hitungan saya, Mek berkahwin dengan arwah Che pada tahun 1959. Pada waktu itu usia Mek baru 21 tahun tetapi Che sudah pun berusia 36 tahun. Status Che sebagai duda anak tiga yang kematian isteri, tidak menghalang Mek menerima lamarannya. Itulah jodoh.

Di sisi Che, Mek hidup cara kampung dan turut bekerja bersama-sama. Bersawah, berkebun dan menoreh getah. Dari rumah ibu bapanya di Kg. Chenok, Mek berpindah ke rumah Che di Batu 8.

Mek menerima kehadiran anak sulungnya pada 1960, seorang bayi perempuan comel diberi nama Rohaizan. Diikuti Rohaini (1962), suami saya Rosdi (1965), Rohaimah (1967) dan si bongsu Norhafizah (1979).

Alhamdulillah, anak-anak Mek berada dalam kategori selesa semuanya. Cucu Mek kini sudah sejumlah 19 orang dari usia paling tua 32 tahun hingga si bongsu yang baru 13 tahun.

Rumah Mek dikelilingi rumah anak-anaknya. Kecuali suami saya yang memilih untuk tinggal sedikit jauh dan anak bongsu Mek yang mengajar di Perak, tiga lagi anak-anaknya membina rumah bersebelahan rumah Mek. Mereka ada dekat dengan Mek. 

Anak lelaki Mek cuma suami saya seorang. Besar benarlah tanggungjawab suami saya terhadap Mek. Dan itu semestinya.

Saya sebagai menantu cuba memberi yang terbaik. 17 tahun bermentuakan Mek, saya tidak nampak apa-apa masalah. Mek memang mentua yang sangat baik. Saya yang penuh kekurangan ini tidak pernah dipersoalkan. Alhamdulillah. 

Beberapa hari ini, Mek meminta untuk tidur di rumah saya. Selalunya Mek tidur di rumah sendiri dengan ditemani cucunya. Jika cucunya tiada Mek akan ke rumah Kak Rohaini. Rumah saya cuma dikunjungi sesekali. 

Mek sebenarnya demam. Badannya panas dan dia batuk-batuk. Di rumahnya, dia bersendirian. Waktu-waktu begini anak menantu Mek sibuk ke sana ke mari mencari kelengkapan untuk sesi persekolahan baru, hingga mungkin tidak sempat bertanya khabar Mek. Mek pula, tidak mahu mengganggu mereka, mungkin.

Jadi sejak seminggu, kami membawa Mek bermalam di rumah kami. Malam ini, kami bawanya ke klinik kerana demamnya masih enggan kebah. Semoga esok Mek akan segar kembali.

Melihat Mek, saya sehabis daya mahu memberi yang terbaik. Kehidupan silamnya yang begitu sukar dan sempit, biarlah menjadi satu kenangan lalu. Hari-hari tua Mek kini, biarlah dipenuhi kerehatan dan ketenangan. Mek tidak meminta banyak, hanya sedikit masa dari anak-anak dan secebis perhatian.



Sent from Samsung Mobile

Thursday, January 01, 2015

Kembara

Dan kembara ini berterusan. Selagi nyawa di badan.

Saban solat saya memanjat doa agar diberi kesihatan yang baik dan umur yang panjang. Alhamdulillah saya menginjak ke tahun keempat puluh tiga dalam pengembaraan usia saya. Syukur pada-Nya melimpah ruah. Benar usia ini sudah menghampiri separuh abad dan bagi wanita, usia ini sudah tiada serinya lagi. Tiada siapa sudi memanggil si manis empat puluh kerana wajah sudah menua, kedut di dahi sudah ketara dan tenaga juga sudah tinggal sisa.

Pun syukur tetap diucap kerana masih diberi peluang untuk terus menghirup udara dunia yang kian rencam ini. Dunia yang penuh dengan pelbagai konflik yang sememangnya menakutkan. Tetapi itulah laluan untuk sebuah perjuangan mencari syurga Tuhan.

Semoga kembara ini diakhiri dengan sebuah kemanisan. Amin.

Wednesday, December 31, 2014

Penutup

Hari ini pengakhirannya. Rabu 31hb Disember 2014 menjadi penutup satu tahun yang penuh ujian. Esok, Khamis 1hb Januari 2015 hanya membuka sebuah diari baru, sedang kisah dan cerita dari 2014 masih terus bersambung dan berulang, mungkin.

QZ8501 menjadi tragedi ngeri melibatkan pesawat Malaysia yang ketiga pada tahun ini. Tragedi menyayat hati yang meragut 162 nyawa ini sungguh memilukan. Terbayang-bayang suasana hingar dan kelam kabut saat pesawat menjunam ke laut. Tuhan! Ampunilah mereka.

Selain banjir yang menginsafkan, kemalangan pesawat yang menakutkan, ekonomi negara yang merudum, ada banyak lagi kisah yang iktibarnya perlu dihayati. Bukan semua membawa duka, kerana seperti selalu kita perlu mencari hikmah yang pasti terselindung di sebalik segala itu.

2015, jelmalah dengan sinar dan cahaya. Biarpun hari-harimu masih sama dan serupa, namun kami tetap mengharap sebuah kedamaian dan ketenangan. 

Amin.

Sent from Samsung Mobile

Kg Laloh

Pagi Selasa, 30hb Disember. Suami saya mengajak saya menziarah abang Awang dan keluarganya di Kg Laloh dan Manek Urai yang semua tahu, dilanda banjir yang luar biasa sejarahnya. Saya teruja dan terus bersetuju.

Kami cuba menghubungi mereka tetapi talian sangat teruk. Mujur sms boleh dihantar dan anak perempuan mereka, Suraya meminta kami membawa pakaian dan tikar.

Jam 10 pagi, kami turun ke PKT dahulu untuk membeli sedikit keperluan buat mereka. Yang ada cuma beras, susu, biskut dan air kotak. Sardin, bawang, gula, lilin, air mineral sudah kehabisan. Mujur di Nilam Puri, gula masih kedapatan.

Sekitar 11 pagi, kami memulakan perjalanan menuju ke sana. Awalnya ia lancar tetapi siapa sangka menjadi semakin sesak setiba di Kuala Krai. Kami singgah makan tengah hari di kedai kecil di Kg Keroh sekitar jam 12.30 tengah hari. 

Perjalanan seterusnya menjadi semakin panjang dan panas. Dek jalan rosak, kami bersesak-sesak selama 3 jam dari Guchil ke Laloh yang sepatutnya cuma setengah jam! Mencabar sekali, tetapi kami tidak mahu mengeluh. Abang Awang dan keluarganya sedang menunggu kedatangan kami. 

Apabila jam ke angka 4, barulah kami tiba di rumah Suraya. Sedih melihat suasananya. Ia bukanlah rumah, cuma warung kedai tempat Suraya berniaga nasi setiap pagi. Suami Suraya waktu itu sedang mengepam tilam yang diberi anaknya, untuk ayahnya tidur. Dengan hanya bertuala, dia melakukan kerja itu kerana kain sarung tidak ada sehelai pun! Abang Awang cuma terduduk lesu, manakala Kak Wan masih di dapur (jika boleh dikatakan dapur) memanaskan air.

Suami saya mengambil kotak-kotak pakaian dan makanan dari kereta untuk mereka. Segera Suraya mencari kain pelekat dan diberi kepada suaminya, sambil membelek-belek pakaian lain di dalam kotak itu. Saiz badannya lebih kurang saya, harapnya dia selesa memakai baju-baju pemberian saya itu.

Tidak lama kami di situ. Walaupun dalam keadaan sebegitu, Kak Wan tetap menghidangkan teh o bersama biskut dan roti buat kami. Terima kasih. 

Abang Awang pula meminta sedikit duit dari kami kerana dia sangat memerlukan. Suami saya menghulur sejumlah RM300 untuk mereka.

Sedih melihat suasana yang sehiba itu. Saya hanya mampu berdoa agar mereka diberi kekuatan untuk menghadapi masa hadapan.

Jam 5 petang kami pulang, dan jalan dari Laloh ke Manek Urai masih sesak. Hampir 3 jam kami terperangkap di situ dan saya sudah mula berasa pening. Almaklumlah, naik Pajero....

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah pada jam 11.03 malam. 


Sent from Samsung Mobile

Monday, December 29, 2014

Berkongsi

Jumaat 26hb Disember, sekitar jam 5 pagi,  bekalan elektrik di Batu 8 dan Kampung Kor diputuskan. Rumah yang terlibat adalah di kawasan rumah ma dan sekitarnya. Saya di Kampung Chenok masih ok.

Waktu begini, saya diberi ruang oleh Allah untuk berkongsi. Sempatlah mereka datang untuk mengecas telefon di rumah saya.

Jam 3 petang, rumah kami juga terputus bekalan elektrik. Sangka saya ia akan berpanjangan tetapi cuma sejam lebih sahaja. Menjelang Asar ia kembali berfungsi.

Dan malam itu, rumah kami dimeriahi dengan kehadiran mek, Nozah, Udin, Hani, Atiyah, Haziq dan Joe yang mahu menumpang tidur. Saya berbesar hati menerima kehadiran mereka dan sungguh, berkongsi begini memberi satu perasaan yang indah.

Pun, jam 3.30 pagi Sabtu itu saya dikejut suami mengatakan elektrik terputus lagi. Dan kali ini, ia membawa ke malam.

Kebetulan,  kakak ipar saya kak Rohaini akan berkenduri hari ini. Bukanlah kenduri besar, sekadar majlis makan-makan untuk keluarga dan jiran sempena pernikahan anak keduanya Zulhusni. Bayangkan, tanpa elektrik kenduri tetap diteruskan!

Tanpa perlu memanjangkan cerita, Alhamdulillah kenduri berlangsung sempurna walaupun ketibaan besan dari Sabah tertunda dek penerbangan Air Asia KK - KB yang tiba-tiba berpatah balik. Pasangan dari Sabah itu kami bawa menginap di rumah kami juga kerana hotel berdekatan tiada bekalan elektrik. 

Selesai majlis, sekitar jam 10.30 malam, elektrik pun kembali tetapi hanya di rumah kami. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk mengecas telefon dan bermandi manda. Telaga di rumah lama mek itu cuma satu, sedang penggunanya sangat ramai. Tentu sahaja rumah kami menjadi pilihan terbaik. Kami mengalu-alukan semua.

Ahad, masih begitu. Sudah masuk hari ketiga elektrik tiada. Hanya di rumah kami mereka mampu mencari penyelesaian. 

Urusan masih belum selesai. Selain melayan tetamu dari Sabah, Nozah juga akan kembali ke Perak hari ini. Kami perlu menghantarnya ke airport yang jalan alternatifnya memakan masa 75 minit. Begitulah keadaannya apabila banjir melanda. Jalan biasa yang tidak sampai 40 minit perjalanan itu tidak mampu kami redahi.

Dan hari ini, Isnin, pagi-pagi lagi saya menerima dua berita gembira. Pertama, rumah ma, mek, dan semua di seberang sana sudah ada elektrik dan kedua, sesi persekolahan 2015 ditangguhkan ke tarikh 11 Januari. Alhamdulillah.


Sent from Samsung Mobile

Friday, December 26, 2014

Tenggelam

Ya Allah, belum pernah seumur empat puluh dua tahun hidupku melihat bah yang sebegini menakutkan. Belum pernah Ya Allah aku terfikir betapa bah kali ini menjadi sangat luar biasa. Pun siapalah aku, akalku terlalu kecil untuk mencapai ilmu-Mu.

Sahabat dan saudaraku, pada saat segetir ini aku tahu kepayahan yang kalian lalui. Biar pun aku belum bertemu gilirku, tetapi menyaksikan tenggelamnya bandar kesayanganku bersama-sama sekalian penghuni yang terpaksa bertarung nyawa mencari perlindungan, aku hulurkan jutaan doa. Semoga ujian ini menjadi penyebab sucinya diri kalian dan selepas ini, satu permulaan baru yang penuh garapan harapan akan kalian bina.

Aku hanya mampu menghulur doa dan sedikit bantuan yang tidak seberapa. Berat mataku melihat, tidak akan pernah sama berat bahu kalian yang menggalas. Namun percayalah, ujian ini sesungguhnya penuh dengan pengiktibaran. Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu dilalui. Yakinlah.

Biar semua tenggelam, kerana sinar mentari pasti menanti selepas ini. Cuma, jangan tenggelamkan kesabaran dan keimanan kalian. Kami akan terus mendoakan agar Allah memberi keampunan dan mempermudah segala kesukaran kalian pada saat ini.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, December 24, 2014

Banjir

Ujian banjir kali ini kelihatannya amat mencabar. Betapa besar kuasa-Mu Tuhan, kami pasrah menerima.

Semoga seluruh mangsa banjir tabah menghadapi setiap dugaan. Yakinlah, ada hikmah di sebalik segalanya. Allah mengetahui sedang kita tidak mengetahui.

Ya Allah, lindungilah kami seluruhnya. Amin.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, December 23, 2014

Tiba

Jumaat, 19hb Disember 2014

Malam itu, saya tidur lena sekali. Belum jam 10.00 saya sudah dibuai mimpi, dan terjaga pada jam 5.08 pagi. Syukur pada Allah, kenikmatan tidur saya tidak terganggu sedikit pun dengan pelbagai peristiwa luar jangka yang berlaku. Alhamdulillah.

Sabtu, 20hb Disember 2014

Jam 7.30 pagi, kami turun bersarapan di kedai mamak berhampiran. Nasi goreng berteman papadom dan teh tarik cukup memberi kesegaran. Sarapan kami percuma, kerana Al Quds Travel memberi peruntukannya. Terima kasih.

Seterusnya, tanpa perlu menunggu lama kami menaiki bas ke KLIA 2. Hampir jam 10 pagi kami tiba di sana dan terus berurusan di kaunter check in. Memang agak memakan masa kerana barang-barang kami sangat banyak, tetapi kami ceria seadanya.

Kisah rumah kami dipecah masuk pagi semalam rupanya sudah diketahui teman-teman seumrah kami. Masing-masing ingin mengetahui dengan terperinci. Saya dan suami bercerita seadanya.

Jam 12.30 kami bersedia di balai berlepas dan 12.55 tengah hari pesawat kami berlepas ke Kota Bharu. Penerbangan cuma empat puluh minit dan saya lena lagi. 

Di Lapangan Terbang Kota Bharu, keluarga kami telah sedia menunggu. Cuaca kelihatan mendung dan hujan menyambut ketibaan kami. Tiba di rumah Kak Zan, kami menikmati hidangan tengah hari. Mereka rancak bercerita tentang kisah kelmarin, dan kami rancak bertanya.

Hanya pada jam 4.30 petang barulah saya sempat melihat rupa rumah saya yang dipecah masuk itu. Hanya dua buah TV, sebuah laptop buruk yang saya sudah mahu campak ke tong sampah, satu kabel pengecas laptop dan buku akaun Tabung Haji yang diambil. Kerugian tidak sampai RM2000 pun pada perkiraan saya. Mujurlah dua biji laptop yang kami simpan dalam almari pakaian tidak diambil penjahat itu. Allah menghalang pandangan mereka daripadanya. Alhamdulillah!

Selepas maghrib, kami keluar makan nasi tomyam di restoran selera Batu 4 dan seterusnya singgah di G-Orange untuk membeli TV baru. Samsung 40'' menjadi pilihan dengan hara RM1199. Sempatlah suami saya menonton 30 minit terakhir perlawanan final Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Thailand yang menyaksikan kekalahan pasukan Malaysia dengan agregat 3 - 4.

Tidur saya malam ini masih lena seperti biasa.

Sunday, December 21, 2014

Pulang

Khamis, 18hb Disember 2014

Langkah kami meninggalkan Tanah Suci kali ini menjadi satu cerita baru. Begitulah hidup dan kehidupan, perancangan dan aturan, segalanya tetap dalam genggaman Tuhan. Kita hamba cuma, terimalah dengan redha. Tuhan menguji dan kita wajib melalui.

Apabila penerbangan Air Asia dari Jeddah ke Kuala Lumpur yang dijadualkan berlepas pada jam 7.30 malam waktu Arab Saudi tertunda hampir empat jam, memang ada resah mengganggu hati dan jantung saya. Berada dalam mode menunggu memang sangat menyeksa, apatah lagi di tempat yang tiada langsung keselesaannya. Alhamdullillah, Allah memberi kesabaran buat kami. 

Jumaat, 19hb Disember 2014

Seperti saya jangka, penerbangan ke Kota Bharu jam 3.30 petang tidak sempat kami gapai dek kelewatan kami tiba. Tidak mengapa, jalannya tentu ada.

Dalam masa yang sama, keluarga di rumah memaklumkan yang kediaman kami diceroboh orang awal pagi tadi. Dalam cemas dan bimbang, berita itu mereka sampaikan. Pun, kami menerima segala tanpa gundah. Ada hikmah tentunya di sebalik semua ini. Kami enggan terjerat dalam perasaan yang tidak menentu. Biar ada rasional dalam setiap penaakulan. 

Wajah suami saya tidak berkerut sedikit pun. Malah dia lagi bertanya saya, "Ti stressed?"

"Tidak." Saya menjawab ikhlas. Dan dia menyambung, "Jangan stressed ya, tak elok. Saya pun tak suka tengok... "

Agensi umrah kami, Al-Quds yang diwakili mutawif Ustaz Termize ternyata cemerlang dalam menangani masalah yang tiba. Kasihan juga pada ustaz yang nampak penat menguruskan segala tetapi Alhamdulillah, kami tidak dibiar begitu saja. Menginaplah kami di hotel City, Banting malam itu kerana penerbangan pulang ke Kota Bharu hanya akan berlepas pada 12.30 tengah hari esok.

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, December 17, 2014

Pandangan

Di mana-mana dalam masyarakat kita, seruan menutup aurat tidak pernah tiada. Menutup aurat itu wajib ke atas semua perempuan yang beragama islam dan telah akil baligh.

Dalam kebanyakan ceramah agama, perkara inilah yang acap diberi penekanan. Molek, kerana itu suruhan Tuhan. Saya tidak mungkin menafikannya dan saya sehingga kini masih berusaha menutup aurat dengan sempurna agar lengkap ciri muslimah saya ini.

Cuma terasa juga berat sebelah dalam lontaran suara para penceramah ini. Sungguh saya rindu untuk mendengar seruan penceramah ini menyeru kaum muslimin untuk menjaga pandangan mereka juga. Insyaallah aurat mereka sempurna terjaga kerana ia tidak sesukar mana tetapi bab mata dan bicara sering dibiar sepi. Mungkin ada, tetapi jarang-jarang.

Ingatkanlah juga kepada lelaki-lelaki ini wahai penceramah, kalau pun wanita itu berbogel di hadapan mereka, mereka tetap haram memandang apa lagi melakukan apa-apa. Beritahu kepada kaum lelaki ini wahai penceramah, wanita untuk dihormati dan dilindungi, bukan objek seks semata-mata.

Ada satu cerita, seorang wanita mabuk tidak mampu berjalan pulang ke apartmennya. Seorang lelaki A yang tidak dikenalinya membawanya menaiki lif dan menghantar ke apartmen hingga wanita itu selamat. Di dalam lif, ada seorang lelaki lain memerhati perbuatan lelaki A itu dan bertanya, kenapa tidak diambil peluang sahaja pada wanita mabuk itu? Lelaki A menjawab, saya menghormati wanita.

Jika minda lelaki sebegitu, tentunya kes jenayah rogol tidak akan menjadi-jadi. Tapi bagaimana mahu membina minda lelaki sebegitu?

Tentu sekali dengan pendidikan. Didiklah lelaki kita menghormati dan melindungi wanita. Bukan hanya mendidik wanita untuk menutup aurat. Kita seolah-olah tidak memberi keseimbangan dalam mendidik masyarakat.

Saya pernah terbaca, menundukkan pandangan itu bukan bermaksud pejam mata dari memandang aurat wanita semata-mata tetapi lebih kepada menjaga nafsu sendiri. Jika nafsu pun tidak mampu dikawal, apalah kuatnya seorang lelaki?

Takkan nampak betis wanita sahaja terangsang sudah tidak tertanggung?

Bicara lelaki juga ada kala memualkan. Di tempat kerja, saya mengelak berbicara dengan lelaki yang fikirannya tiada lain, wanita itu seks dan seks itu wanita. Bodoh leleaki seperti ini. Mereka tidak langsung ada rasa hormat pada wanita malah menjadikan wanita bahan gurauan semata-mata! Apakah tiada perkara lain dalam kepala mereka selain memikirkan untuk memenuhi keperluan kepala yang satu lagi?

Kadang-kadang saya mahu memberitahu wanita, kita menutup aurat kerana itu perintah Allah. Allah mahu imej wanita muslimah ini sopan dan berbeza daripada jahiliah, dan sesiapa yang melihat akan tahu dia wanita muslimah. Sesiapa yang melihat akan berasa aman. Berasa mahu menghormati. 

Tidak perlu timbulkan tentang takut dirogol, atau bimbang lelaki berdosa kerana melihat aurat kita. Juga tidak perlu samakan wanita menutup aurat dengan gula-gula yang berbalut yang tidak dihinggapi lalat. Kami bukan gula-gula. Kami manusia seperti lelaki juga. Itu tokok tambah yang melucukan hingga dijadikan bahan senda orang-orang kafir.

Menonton ceramah seorang ustaz tersohor yang mengatakan wanita ialah kanak-kanak yang tidak akan dewasa cukup menghenyak perasaan saya. Kami dianggap tidak matang dan suka menipu suami. Tidak sangka serendah itu pandangan orang agama terhadap kami. Apa dalilnya, saya pun tidak tahu.


Sent from Samsung Mobile

Untuk Kali Ini

Siapa sangka, saya akan uzur juga di sini. Sebelum ke sini saya sudah pun mengambil suntikan provera untuk meniadakan haid tetapi sungguhlah, kita hanya merancang. Ini anugerah Allah lalu saya redha.

Bohong jika saya tidak kecewa tetapi itu tidak mengubah apa-apa. Setiap kali bersendirian di bilik, hati saya disentuh pilu lebih-lebih lagi apabila menonton siaran langsung dari masjidil haram. Pun, saya wajib redha. Ini bahagian saya untuk kali ini dan saya tahu Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya.

Semoganya, akan ada lagi ruang buat saya ke sini pada tahun-tahun mendatang. Betapa saya tidak puas mendakap waktu di sini. Sungguh saya belum mahu pergi tetapi tempoh buat saya kali ini telah tamat.

Ya Allah, terima kasih memberi aku ruang biar pun tidak panjang. Terima kasih menghadirkan aku ke sini dan jemputlah aku lagi nanti. Hanya pada-Mu Allah aku meminta.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, December 16, 2014

Pasrah

Betapa sukarnya memahami sesuatu yang kita tidak mahu tetapi ia berlaku. Betapa payahnya mendidik hati menerima pasrah segala ketetapan Tuhan!

Di sini aku menjadi pilu. Terasa dosa menggunung tidak terpikul olehku! Tetapi wajarkah aku mencari kesimpulan sendiri atas hakikat yang aku alami ini?

Tuhan, tulisan takdirku di tangan-Mu. Betapa kerap aku meminta, pun kenyataan tetap wajib aku terima. Janganlah Engkau jadikan aku hamba-Mu yang rugi.


Sent from Samsung Mobile

Makkah al Mukarramah

Kami memulakan perjalanan menuju Mekah sekitar jam 2.45 petang. Tiba di Bir Ali, kami singgah berniat dan bersolat sunat ihram sebelum kembali meneruskan perjalanan. 

Ada sedikit sedih dalam diri. Kesihatan saya kelihatannya tidak seperti biasa. Tetapi saya terima dan redha dengan segala pemberian-Nya. Dia lebih tahu sedang saya tidak tahu.

Hampir jam 7.00 malam, bas berhenti untuk solat jamak dan makan malam. Saya cuma menjamah dua potong murtabak dan secawan teh o panas.

Hampir jam 10 malam tibalah kami di hotel Anwar Deafah yang cuma beberapa ratus meter dari masjidilharam. Kami makan dahulu sebelum dibawa menyelesaikan kerja umrah sekitar jam 11.30 malam.

Tawaf, saie dan bercukur. Perkiraan saya ia tidak selama mana tetapi mutawif kami mahu semua bergerak serentak menyebabkan penantian menjadi panjang. Ya Allah, ampunilah saya!

Semuanya selesai hampir jam 3 pagi. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Allah!

Semoga umrah ini mabrur. Amin.

Sent from Samsung Mobile