Friday, November 25, 2022

Now

24 November 2022.

Alhamdulillah.

It's time for all Malaysians to stand united with Anwar Ibrahim and steer the Country in a positive, harmonious and prosperous direction.


Wednesday, November 23, 2022

Istana Menanti

Langkah ini terasa terhenti-henti. Depan kelabu, pedih memilu, masa bukan lagi temanku.

Masih jua aku mengharap cahaya. Biar pun harus meredah belukar, pecahan kaca menusuk tubuh berdarah. Sakitnya tiada terkira!

Istana menanti bertatah hati, berseri. Istana menanti tempat kita pasti.

Getar jari jemari bertaut pada harapan ini. Aku membilang hari, apa akan datang hari? Ku nanti, istana menanti pasti.

(Lama lagi ke nak kena nanti PM10 ni eh?)

Tuesday, November 22, 2022

Mengundi

PRU 15 sudah selesai.

Pagi Sabtu itu, saya bersedia mental dan fizikal untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Saya akan membuang undi di SK Kadok, Saluran 2 dengan nombor giliran 517. 

Jam 9.00 pagi saya dan suami bersama-sama mek (yang bermalam di rumah kami) bergerak turun menaiki kereta Myvi AFR3113 menuju ke rumah mek. Mek kata dia tidak mahu keluar mengundi, dia tak larat. Tak apalah mek. Mek rehat-rehatlah. Kami menuju ke SK Kadok berdua saja, dan bertemu adik-adik saya - Ustaz Rifqi dan Ustazah Aziah - yang tiba pada masa yang sama dengan kami. Seperti berjanji pula.P

Proses mengundi selesai sekejap saja kerana orang tidak ramai. Alhamdulillah.

Menjelang malam, saya mula menunggu keputusan. Jangkaan saya sangat benar apabila keputusannya tiada pemenang majoriti. Rakyat Malaysia nampaknya semakin berani memilih mengikut kata hati tanpa terikat dengan parti tertentu. Saya suka begini walaupun terpaksa menunggu lama untuk pembentukan kerajaan.

Hari ini masih tiada lagi kerajaan Malaysia yang baru. Tidak mengapa, saya sabar menunggu. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk negara kami.





Thursday, November 17, 2022

Bekerja


Tadi di kantin, kami sembang pasal pencen. Biasalah dah umur-umur macam ni tentunya topik pencen antara yang hangat dibincangkan.

"Kak Ti ada berapa tahun lagi berkhidmat?"

Itu antara soalan yang biasa ditanya. Ya, muka saya dah nampak tua sangat kan, mestilah itu gaya soalannya. Tak apa, saya tak kecil hati pun. Jawapannya, lagi sembilan tahun.

"Cukup enam puluh?" 

Ya, insya Allah.

Dalam sembang itu, pelbagai ulasan dan pandangan dikongsi. Saya mencelah juga bagi memeriahkan suasana. Di sinilah - di sekolah ini - tempat saya berhuha-huha, nanti balik rumah saya bersepi-sepi sendiri saja.

Kata seorang adik guru yang baik hati, kalau kita lambat pencen kita akan hanya ada masa yang singkat untuk menikmati hidup. Sebahagian besar hidup kita akan terpenuh dengan kerja, kerja dan kerja tanpa sempat merasai nikmatnya. 

Begitulah. Ada benarnya kata-kata adik guru ini. Benar jika kita merasakan kerja itu satu beban dan tidak menyeronokkan. Benar jika kita meletakkan nikmat hidup pada waktu-waktu santai kita sahaja yang bebas ke sana ke mari menjelajah alam dan melayan hobi.

Pada saya, segalanya terpulang pada diri kita sendiri. Bekerja itu menjadi seronok jika di dalamnya kita letak segala nilai yang kita suka. Pada kerja saya, ada rasa bahagia apabila melayan karenah anak-anak didik saya yang menceriakan. Tetapi pada waktu yang sama ada juga rasa gundah apabila mereka tidak mampu memikul beban pelajaran yang sangat KBAT sekarang. Kasihan melihat wajah kosong mereka (apabila saya memberi soalan untuk mereka jawab) seolah-olah segala yang saya ajar satu pun tidak lekat. Ya, saya kasihan, bukan marah.
 
Dalam gundah itu saya selitkan rasa bahagia seiring syukur yang berganda-ganda. Kenapa mesti saya rasa terbeban dengan kerja ini jika darinya Allah salurkan rezeki untuk saya? Sedang pada masa yang sama ramai orang perlu berpenat lelah membanting segala tulang yang ada berkerat-kerat demi sesuap nasi, saya hanya perlu mengelek buku melenggang kangkung menuju ke kelas dan mengajar dengan suara yang Allah anugerahkan senada dengan ilmu yang Allah bekalkan. Tiada tulang perlu dibanting pun.

Alhamdulillah.

Saya masih mahu bekerja. Sungguh. Setidak-tidaknya setakat hari ini saya masih belum berasa jemu menatap wajah-wajah suci anak-anak didik saya. Pedulikan dengan beban-beban yang sengaja diada-adakan oleh mereka yang di atas, kerana beban-beban itu mengajak kita berjuang memburu pembaharuan. Itu cerita berbeza.

Setiap masa, doa saya agar saya sihat dan mampu untuk terus berkhidmat. 

Perkenankanlah ya Allah!



Monday, November 14, 2022

Garis-garis itu

Nampakkah kalian garis-garis ketuaan yang sedang merona di wajahku? Itulah garis-garis kehidupan yang telah aku tempuh. Ada ranjau, ada onak, ada juga sinar dan cahaya pada seluruh jalan yang telah aku tinggalkan.

Aku bahagia, seadanya.

Bahagia itu bukan tiba begitu sahaja tetapi ia tercipta dari rasa syukur pada setiap kurnia. Bagiku, segalanya anugerah. Selagi aku mampu meniup rasa syukur pada setiap detik yang aku singgah, itulah yang akan aku lakukan. Pun, jika pedihnya terlalu menikam, aku tahu Allah akan menunjuk jalan. Kepadanya aku bermohon dan meminta penyelesaian.

Nampakkah kalian garis-gari ketuaan yang sedang merona di wajahku? Itulah harga sebuah pengalaman. Entah berapa lama lagi aku mampu bertahan, aku tidak tahu tetapi aku berharap agar laluan di hadapanku dapat aku susuri dalam kasih Tuhan.

Friday, November 11, 2022

Mencintai

Ku menyusun bait ini kerana tiba-tiba hati disentuh rasa rindu. Rindu kepadanya.

Dia hadir pada saat hatiku tak punya siapa-siapa, kosong. Dia hadir pada waktu aku sedang menanti satu ketibaan yang aku sendiri tidak pasti, tetapi selalu aku mohon dalam doa. Dia hadir umpama satu kiriman dari Tuhan sebagai jawapan sebuah permintaan.

Lalu aku layari hidup dengannya. Lalu aku buka ruang cinta untuknya. Dan aku pasrahkan seluruh jiwa dan raga buatnya. Aku mencuba, sedaya yang ada.

Dia setia, masih setia di sisi aku yang serba tiada. Dalam senda dia pernah mengusik mencari yang kedua dan aku tidak membantah, tetapi usikan kekal usikan. Hingga kini dia masih milik aku seorang. Susah senang, tangis tawa, pahit manis yang bersilih ganti kami lalui dengan kasih sayang.

Aku yakin dia mencintaiku kerana tanpa cinta kami tidak akan mampu bertahan sejauh ini. Dua puluh lima tahun, hanya berdua.

Suamiku, terima kasih kerana setia di sisiku untuk tahun-tahun yang berlalu dan tahun-tahun mendatang. Terima kasih menerimaku tanpa pernah mempersoal segala kekuranganku. Terima kasih menjagaku tanpa jemu, dengan penuh tanggungjawab.

Doaku untukmu wahai suami yang selalu aku rindu walaupun masih di depanku, semoga Allah menjagamu dalam segala keadaan, memudahkan segala urusan dan menyembuhkan segala kesakitan. Semoga rumahtangga ini dalam rahmat Allah yang melimpah ruah tanpa diganggu sebarang musibah.

Aku mencintaimu, selalu.

Wednesday, November 09, 2022

Bersolek

Sebagai wanita, saya sentiasa mahu dilihat kemas dan berseri. Apatah lagi bila berada di tempat kerja, penampilan adalah antara faktor penting yang boleh membina keyakinan diri.
Untuk itu, saya perlu menata rias serba sedikit wajah kusam saya agar tidak kelihatan seperti orang demam atau mengantuk.

Sejak bergelar guru pada 1998, saya tidak pernah melangkah ke sekolah tanpa secalit bedak, celak dan gincu. Tiga serangkai ini sentiasa ada dalam beg saya walau ke mana saya pergi. Bedak paling penting, ia membantu menghilangkan kilat pada muka akibat berpeluh. Muka yang berkilat-kilat sangat teruk kelihatannya, apatah lagi bagi yang berkulit sawo matang seperti saya ini muka mudah berpeluh.

Celak pula menjadikan mata saya nampak segar dan bersemangat. Tidaklah ia seperti layu dan mengantuk. Manakala gincu, ia memberi seri pada bibir yang pucat. Sekurang-kurangnya tidak nampak seperti orang demam.

Jujurnya, saya boleh saja keluar rumah tanpa mengenakan sebarang solekan tetapi tidak sekali-kali jika saya ke sekolah. Saya segan membiarkan rakan-rakan saya melihat wajah saya yang teruk dan seakan menyeramkan. Betul, wajah saya teruk betul jika tidak dihias sedikit.

Sedikit saja, saya bukan bersolek tebal. Gincu pun saya pilih warna yang alami sahaja, bukan merah menyala. Saya cuma mahu nampak berseri dan bersemangat, itu sahaja.

Tuesday, November 08, 2022

Chengal

Awak, suami awak naik pangkat. Dari PK Kokurikulum kepada PK HEM. Yeaa!

Tapi, dia kena bertugas sebagai PK HEM di SMK Kampong Chengal. Hah? Itu sekolah saya!

Bisinglah semalam, apabila berita ini diketahui ramai. Saya pun terkejut, malah risau. Risau kalau-kalau nanti saya yang akan ditukar ke sekolah lain kerana kebiasaannya pasangan guru yang salah seorangnya pentadbir tidak dibenarkan bekerja di tempat yang sama atas isu integriti.

Mujur Tuan Pengetua memberi pencerahan. Katanya dia sudah menelefon pegawai berkenaan sebaik mengetahui berita ini kerana dia tidak mahu saya dipindah ke sekolah lain. Kata pegawai itu, tiada termaktub pun dasar yang sedemikian, jadi boleh saja saya berada di sini bersama-sama suami saya selagi tidak timbul isu-isu yang boleh memudaratkan.

Alhamdulillah. Sayang juga Tuan Pengetua kepada saya ya!

Tahniah Abe Di, semoga terus bersemangat untuk menyumbang bakti di SMK Kampong Chengal yang saya kasihi ini.


Sunday, November 06, 2022

Harapan

Semalam proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 selesai. Parlimen saya, P026 Ketereh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PH, BN, PN dan Putra. Calon-calonnya semua saya tidak pernah kenal, semua muka baru.

Pada PRU14 yang lalu, P026 ini dimenangi Tan Sri Annuar Musa yang berjaya mengalahkan Dr. Radzi Jidin (PH) dan Haji Wan Ismail (PAS). Sememangnya tempat ini sudah sinonim dengan TSAM, dan beliau memegang gelaran Ahli Parlimen di sini sejak saya remaja lagi. Boleh dikatakan penduduk di Parlimen ini begitu meyakini beliau walaupun jujurnya, saya tidak pernah memilih TSAM. Saya penyokong PAS, selalunya saya akan memilih calon PAS kecuali pada PRU14 saya memilih PH kerana inginkan perubahan di Putrajaya. Walaupun calon pilihan saya (DRJ) tewas, tetapi PH menang di peringkat pusat manakala DRJ terpilih sebagai senator dan diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan (pada era PN tebuk atap).

Kali ini, saya seperti mahu mengekalkan sokongan saya kepada PH. Biarlah apa pun yang disebarkan di sekitar saya, dalam negara demokrasi ini saya tidak bersalah apa-apa kerana saya bebas memilih. Saya tidak ada keyakinan kepada BN kerana memang sejak lama mereka bukan pilihan saya. Pada mata saya, BN dan Rasuah berpisah tiada dan itulah yang menjadikan saya tidak pernah mengundi BN.

PN pula, saya rasa tidak begitu percaya dengan kejujuran mereka, malah ramai juga katak-katak melompat yang wujud dalam gabungan itu. Saya tidak mahu mereka terus menjaga negara saya, walaupun  mereka kelihatan lebih baik daripada BN.

DRJ yang saya undi pada PRU lalu juga antara yang sudah melompat meninggalkan PH dan menganggotai PN. Begitulah politik, pada kebanyakan masa mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding rakyat.

Untuk rekod, calon PH di P026 ialah Haji Rahimi bin L.Muhamud dan baru kali ini saya mendengar nama beliau. Mungkin saya yang tidak peka kerana di luar waktu pilihan raya saya memang menjauhi politik.


Sedikit biodata calon pilihan saya ini.

Pendidikan: Western Michigan University, USA 1989 - 1991
                    MSM, Kuantan, Pahang, 1987 - 1989
                    MRSM Beseri, Perlis, 1985 - 1986
                    SMK Kota Bharu, 1982 - 1984 

Kerjaya:     Pengarah Urusan Maju Saintifik Sdn. Bhd., Kelantan.
                   Pegawai Penyelidik SIRIM Bhd (1992)



Tuesday, November 01, 2022

November Again

Menjelmanya 1 November hari ini - sebagai bulan kesebelas dalam perkiraan tahun Masehi - menandakan hujung 2022 sedang mendekati.
 
Cuaca pagi ini redup dan nyaman sekali. Saya melangkah ke sekolah dengan jiwa yang amat tenang dan penuh semangat. Harapnya semangat ini tidak akan pudar bersama masa. Apatah lagi kelas saya hari ini semuanya tingkatan lima, tentu saya mahu memberi yang terbaik buat mereka.

Kadang-kadang saya hairan dengan segelintir guru (yang ada di sekolah saya ini) yang setiap hari mencari alasan agar tidak perlu masuk kelas dan mengajar. Dia menyibukkan diri dengan aktiviti lain, yang sebenarnya boleh saja dielak. Kelasnya sudah berbulan-bulan ditinggalkan dengan alasan urusan sukan, tetapi tiada siapa boleh menghalang. Hebat benar dia.

Saya benar-benar marah dengan orang begini tetapi apalah yang saya mampu lakukan. Dia jerung, saya bilis cuma. Tetapi saya yakin Allah itu adil. Kepada Allah saya serahkan.

Selamat datang November, bawakan bahagia untuk kami...

Monday, October 31, 2022

Memudahkan Hidup

Sewaktu mesin basuh saya rosak selama hampir sebulan baru-baru ini, saya membawa kain baju kotor saya ke rumah ma untuk dibasuh di sana. Ma telah membeli mesin pengering Samsung Heat Pump pada awal tahun ini untuk kegunaan sewaktu musim tengkujuh. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk turut sama menggunakan mesin pengering itu. 

Ternyata, saya jatuh cinta.

Awalnya, saya tidak rasa pun saya memerlukan mesin pengering. Saya cuma tinggal berdua dengan suami saya, dan tempat menjemur kain saya letakkan di dalam rumah. Saya tidak berasa susah pun untuk menjemur kain, kerana saya tidak perlu tergesa-gesa untuk mengangkatnya. Maklumlah, jemur dalam rumah, seminggu tidak berangkat pun tidak mengapa! Jadi, apa perlunya mesin pengering?

Benarlah kata orang dahulu, tak kenal maka tak cinta. Apabila kenal, terus jatuh cinta! Seronok pula rasanya apabila kain yang siap itu sudah boleh terus dilipat, tak perlu jemur lagi. Mudah.

Saya menyuarakan keinginan saya kepada suami tersayang untuk membeli mesin pengering seperti ma, dan tanpa banyak soal dia mengiakan saja. Wah! 

Jumaat lalu, mesin pengering itu selamat tiba di kediaman kami. Betapa terujanya saya untuk menggunakannya, terus saya membuka kotak dan meletakkannya di tempat yang sesuai sewaktu suami saya ke masjid bersolat Isyak. Terkejut dia apabila pulang melihat mesin itu sedang bekerja. 

"Eh, buat sorang-sorang je? Kenapa tak tunggu saya balik? Berat tu.. " 

"Tak pe, mudah je.. " jawab saya.

Syukur saya dengan segala anugerah Allah ini. Semoga mesin ini dapat memberi sumbangan pada tempoh yang panjang, berbaloi dengan RM2499 yang kami laburkan.

Amin.

Friday, October 28, 2022

Ceramah

Semalam, sekolah saya mengadakan sambutan Maulidurrasul dan antara pengisiannya ialah slot ceramah oleh ustaz Saibon Ismail. 

Penyampaian ustaz sangat bagus, bersemangat dan penuh tenaga. Semua hadirin seronok mendengar tetapi biasalah, tentu ada yang ingin dikomen sedikit sebanyak. Pada saya, ustaz patut memberi lebih penekanan kepada murid kerana merekalah audien utama. Tetapi isi ceramah ustaz banyak dituju kepada orang dewasa (baca: guru) seperti isu pinjaman bank, kaedah guru mengajar dan urusan rumahtangga. Kasihan murid-murid, mereka seperti terpinggir.

Tidak mengapalah, mungkin untuk program seterusnya pihak sekolah boleh menyediakan garis panduan kepada penceramah agar menyampaikan isu-isu yang lebih sesuai untuk murid-murid sekolah. Jika mahu dituju kepada guru, nanti kita jemput ustaz mengendalikan slot LADAP kami, tentu itu lebih mengujakan. 

Apa pun, saya seronok mendengar ustaz berceramah. Cuma jika boleh, kurangkanlah mengata orang perempuan. Eh?

Sunday, October 23, 2022

Anak Harapan

Selepas lama menanti hadirnya zuriat, tetapi tidak kunjung tiba, saya reda dengan sereda-redanya. Tiada apa untuk saya kesalkan kerana ketetapan Allah itulah yang terbaik.
Lalu saya curahkan naluri keibuan saya kepada semua anak-anak saudara saya yang berjumlah 21 orang kini. Mereka pada saya tidak ubah seperti anak sendiri, apa lagi saya mengajar mereka memanggil saya Umi (Ti), kerana sewaktu lahirnya Anis yang sulung pada 22 tahun lalu, saya benar-benar mahukan panggilan itu menggegar pendengaran saya. Alhamdulillah, terasa ajaibnya menyandang gelaran itu walaupun hanya pada anak-anak saudara.

Apabila ada antara mereka yang teruji dengan pelbagai kisah, percayalah saya sebagai Umi tidak pernah berdiam diri. Memang saya tidak boleh menjadi orang yang menunjuk ajar itu dan ini pada mereka kerana itu tugas dan tanggungjawab ibu bapa kandung mereka, tetapi di dalam doa saya yang panjang dan penuh ikhlas, nama mereka satu persatu saya lafazkan dengan segala harapan kebaikan dan kemudahan. Agar terjaga dan terlindung, dan diredai seluruh kehidupan.

Kepada merekalah kasih saya tercurah dan impian saya tertadah. Saya tidak mengharap apa-apa, kerana masa depan saya sentiasa saya serahkan pada Tuhan. Sepenuhnya.

Demi Anak Bangsa

Di sini saya hari ini, di sekolah untuk mengendalikan kelas tambahan Matematik Tambahan SPM. Nama pun Matematik Tambahan, kenalah selalu buat kelas tambahan. Begitu.
Cuaca hari ini agak sejuk dengan hujan sesekali mencurah ke bumi. Suasana dingin begini menjelang November amatlah mengujakan untuk bergolek dan berguling di katil, tanpa perlu susah payah mencari bahan mengisi kelas yang terjadual. Tetapi berada di sisi anak-anak SPM yang masih terkial-kial mencari rentak menuju medan, terasa lebih berbaloi.

Realitinya, SPM lah satu-satunya sijil peperiksaan yang dipandang berharga. Anak-anak yang sedang saya hadap ini sudah tidak boleh berpatah langkah. Mampu atau tidak, Matematik Tambahan mesti mereka tempuh. Dan saya mencuba sedaya yang ada agar perjuangan mereka tidak sia-sia.

Saya tidak kisah gred apa yang bakal terpapar di kertas keputusan SPM mereka nanti asalkan mereka ada usaha untuk faham, dan mengerti mengapa subjek ini mereka pilih. Matematik Tambahan bukan untuk dibangga dan digah tanpa dinikmati. Ia seni penyelesaian masalah yang memungkinkan mereka berfikir di luar kotak saat kesukaran menghambat kehidupan. Harap begitulah.

Anak-anak, cikgu sudah bersedia untuk apa saja demi masa depan kalian. Semoga jiwa kalian kuat untuk terus bersama-sama cikgu menyusun langkah dan memanjatkan doa agar segalanya direstui.

Sunday, October 16, 2022

Bubar

Saya seperti tiada perasaan kali ini. Apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, saya menerima dengan selamba sahaja. Tidak tahu mahu bagaimana.

Nanti, apabila hari mengundi tiba, saya akan tetap keluar mengundi. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab saya mahu melaksanakan hak saya sebagai pengundi. Sementara menanti waktu itu, saya akan mencari pedoman dari pelbagai sumber. Saya akan membaca, membanding, mengukur dan menimbang sebaik mungkin. Siapa yang akan saya undi, saya masih belum tahu. Semuanya sedang saya fikirkan.

Petunjuk dari Allah lah yang benar-benar saya harapkan. Doa saya saban waktu, agar bumi Malaysia ini damai dan makmur, tenang dan tenteram, utuh berpadu antara semua kaum yang ada tanpa curiga apa lagi benci dan dendam. Susahkah untuk terjadi sebegitu?

Saya tidak akan beerhenti berdoa, agar tangan-tangan jahat tidak lagi diberi kuasa.

Amin.



Friday, October 14, 2022

Bilal

Riuh juga tentang kisah seorang anak kecil bernama Muhammad Bilal ini. Ibunya (Neelofa) enggan mengongsi wajah comel bayinya (yang lahir pada Januari lalu) di media sosial, tetapi tidak mengapa jika bertemu di luar. Lalu terjadilah kes seorang hamba Allah ini mengambil gambar wajah Bilal tanpa izin apabila tersapa Bilal di sebuah premis, dan mengongsi di media sosial. Tercetuslah kisah kemarahan dan kekesalan di pihak keluarga Bilal terutama ibunya. Sayu pula rasa hati membaca nukilan ibu Bilal pada hantaran pertamanya yang mengongsi wajah Bilal di Instagram kepada umum (beberapa detik selepas gambar curi wajah Bilal tersebar dan disunting sesuka hati).

Saya bukan mahu mengulas apa-apa kerana saya maklum benar, dalam dunia hari ini masyarakat kita ada pelbagai wajah dan segala wajah itu terpamer tanpa selindung di media sosial. Wajah berkeladak, atau wajah suci bersih, semua boleh kita pandang dari cara mereka berinteraksi dan cara mereka memberi maklum balas pada setiap kisah yang timbul. Ngeri juga kadang-kadang apabila membaca tulisan-tulisan yang penuh idea sumbang dan karut tetapi tersebar dengan mudah dalam segala media yang ada. Punah jadinya, tetapi begitulah senario dunia sekarang. Sukar untuk kita menapis apalagi menghentikan kebobrokan sebegini.

Tidak mengapalah. Saya masih lagi mahu mengagumi kecomelan Bilal. Semoga Bilal dan ahli keluarganya terjaga dan terlindung selalu, di dunia dan di akhirat. Ini doa saya, seorang insan biasa yang bukan siapa-siapa tetapi mengimpikan dunia yang makmur tanpa dendam dan benci.




Thursday, October 13, 2022

Timba yang Retak

"Tentu sahaja tuan lebih sayangkan aku. Lihat sahaja banyaknya air yang dapat kubawa dalam setiap perjalanan" si timba kanan bersungguh mengata.

Timba kiri tidak menjawab. Diam dan sepi seribu bahasa.

Tiada apa yang hendak dijawab. Memang benar bagai dikata.

Dia bukan timba yang sempurna. Bocor sini dan sana. Kasihan melihat tuannya. Berjalan jauh menggendong air dari sungai ke baruh meladang. Di awal cedok, elok penuhnya. Sampai di ladang, air tinggal separuh.

"Sampai masanya nanti, engkau akan tuan gantikan dengan timba baharu. Lebih baik dan sempurna!" ujar timba kanan lagi, menambah garam di jarah luka.

Bagai tidak puas dengan untung dirinya. Hingga mahu ditebuk-tebuk si timba kiri yang sudah maklum akan cela yang ada.

"Tetapi, mengapa tuan masih menggunakan khidmatku?" si timba kiri termenung. Di mana sayangnya tuan pada dirinya yang cacat dan menyusahkan itu… misteri.

Suatu hari, si timba kiri memberanikan diri bertanya kepada tuan yang  duduk berteduh. Hari itu mentari terik menyimbah keringat, jelas kerut lelah di wajah tuanya.

"Tuan, saya ini timba yang retak. Tuan isikan air penuh di tepi sungai, tetapi saya hanya mampu menyampaikan separuh air untuk tuan berladang. Mengapa tuan masih menggunakan saya? Tidakkah baik tuan gantikan saya dengan timba baharu seperti timba kanan itu?" beliau bertanya, antara malu dan kasih kepada tuan yang sudah lama ditemaninya itu.

Petani itu tersenyum.

"Cuba kamu lihat lorong ke sungai itu. Apa yang kamu nampak?" petani itu menunding jari ke lorong kecil menurun lembah ke tebing.

"Kamu nampak, kan? Bahu kanan lorong itu kering tak punya apa-apa. Tetapi di bahu kiri, ia indah dengan bunga-bunga kecil yang menghiburkan hatiku tatkala aku melaluinya saban hari. Engkaulah yang menyiram bunga-bunga itu dengan belah dan retakmu. Ladang aku perlukan air. Bunga-bunga di jalanan itu juga perlukan air. Namun bunga itu tidak bertuan. Tiada yang memberi perhatian. Ia jariahku untuk mereka dan engkaulah asbabnya" jelas tuan, memujuk dengan senyuman.

Terima kasih timba kanan yang sempurna kerjanya.

Terima kasih timba kiri yang luas jasanya.

Janganlah duka andai kita timba yang retak.

Kasih sayang Allah itu Tinggi. 

Ikhlaskan hati berbakti kerana-Nya.

(Dipetik dari Facebook Hasrizal Abdul Jamil)

Wednesday, October 12, 2022

Tapi, Aku Bisa Apa?

Dia.

Dari hujung mata ini aku mencuri pandang. Ada dia di situ, di sekitarku. Dia yang tiba-tiba hadir, tapi aku bisa apa?

Dia.

Dari merdu kidungnya aku terpesona. Butir bicaranya ada kenyamanan yang membuat tenang, tapi aku bisa apa?

Aku bisa melihat dan mendengar.

Itu saja.


Tuesday, October 11, 2022

Tempahan

Kali ini - setelah melalui beberapa sesi perbincangan - saya dan suami bersetuju untuk menempah Toyota Camry 2.5VT untuk kegunaan kami menggantikan Mercedes CLA 180 yang sudah kami jual bulan lepas.

Camry, kami pernah memiliknya pada April 2010 dan menjualnya pada Oktober 2018 apabila suami saya mengalih rasa pada Mercedes. Waktu itu hati saya sedih, kerana cinta saya pada Camry sangat kuat, tetapi terpaksa melepaskannya pergi demi memberi ruang kepada suami saya memenuhi impiannya memiliki Mercedes yang gah. Walaupun gah, saya gagal memberi kasih sayang kepada kereta sebegini. Mungkin itu bukanlah citarasa saya. Saya memang tidak memandang rupa, dalam segi apa pun.

Dan sesungguhnya, masih saya teringat pada Camry pada saat Mercedes di depan mata.

Apa tidaknya, saya meminati Camry sejak 1996. Waktu itu saya sedang berkursus Diploma Pendidikan di Batu Rakit. Apabila melihat Camry meluncur di jalan raya, hati saya berbunga-bunga dan terbit cita-cita dalam hati - apabila saya bekerja dan ada kemampuan nanti, saya akan membeli kereta ini. Jika diberi pilihan antara Camry dan Mercedes, saya akan pilih Camry, itu kata hati saya pada waktu itu dan ia benar-benar terpahat kemas sehingga saat ini.

Apabila suami saya bertanya, kereta apa pula untuk kita selepas Mercedes ini dijual? Tanpa teragak-agak, dengan penuh yakin saya suarakan - Camry!

Dia sedikit tersentak, bukankah kita sudah pernah memilikinya? Ya, tetapi saya tetap mahu Camry juga. Saya masih sedih dan masih berasa kehilangan Camry kita dahulu. Saya rindu Camry itu. 

Suami saya seperti berfikir-fikir. Masih dia memberi beberapa cadangan model kereta lain tetapi saya menolak. Kata saya, jika tanya saya, saya hanya mahu Camry. Kalau dia mahu yang lain terpulanglah.

Nampaknya suami saya akur dengan saya kali ini. Cuma, dia sedikit cuak dan risau kerana harga Camry sangat mahal. Ejen Toyota yang dia hubungi memaklumkan harga kereta itu ialah RM215000 dan stok 2022 sudah tiada. Kami perlu menunggu tahun hadapan, seawal-awalnya pada Mac baru stok 2023 akan tiba. Lama.

Tidak mengapa, saya rela menunggu. Lama pun lamalah, kali ini saya benar-benar mahu. Walaupun saya tidak memandu, saya tetap mahu menaikinya dipandu suami saya.

Harga pula, sepertinya sangat mahal tetapi saya tahu kami mampu. Saya sudah membuat pengiraan dan kami tidak perlu risau dengan bayaran bulanan yang tinggi. Saya bercadang untuk membuat pinjaman sebanyak RM125000 sahaja dengan tempoh 6 tahun. Jumlah bayaran bulanan tidak akan melepasi RM2000 pun dan itu cuma bertambah RM500 daripada bayaran bulanan kereta Mercedes kami sebelum ini. Hilux kami pun sudah hampir selesai, insya Allah pada Julai 2024 nanti. Saya tahu kami mampu.

Akan terusikkah simpanan kami dengan pembelian ini? Sudah tentu, tetapi tidak mengapa. Yang terusik tidak sampai 10% pun dari simpanan yang kami ada. Harga jualan Mercedes yang kami dapat agak besar, jadi sedikit sahaja yang perlu kami keluarkan dari simpanan kami untuk membolehkan kami membayar wang pendahuluan sebanyak RM90000. 

Begitu perkiraan saya. Dan Alhamdulillah, suami saya dapat menerima setiap penerangan saya dengan baik dan menyetujui cadangan saya kali ini. Jadi pagi semalam, dia bersendirian memandu ke pusat jualan Toyota di Bunut Payong dan membuat tempahan kereta itu. RM1000 diberi tanda booking, dan hari ini tempahan kami disahkan.

Terima kasih suami, memberi peluang kepada saya memenuhi impian ini. Semoga Allah reda.




Wednesday, October 05, 2022

Rosak Sudah

Rabu minggu lepas, mesin basuh kesayangan saya yang berjenama LG dan berusia 4 tahun 8 bulan rosak!

Pada paparannya tertera "tE" dan apabila saya menggelintar Google, ia bermaksud "Thermistor Error". Suami saya memanggil tukang baiki datang pada Jumaat dan dia membawa mesin basuh saya pulang kerana perlukan masa untuk menukar barang yang rosak.

Memang sukar hidup tanpa mesin basuh tetapi saya tidaklah mahu menekan diri sendiri. Saya pilih-pilih kain baju yang perlu sahaja untuk dibasuh (tangan) dan membiarkan dahulu kain-kain yang tidak penting. Seronok pula ya membasuh secara manual begini, seperti kanak-kanak yang gembira bermain air lagaknya. Saya buka paip besar-besar dan bergelumang dengan air sehingga saya basah lencun. Macam main air, bukan basuh kain!

Tadi, tukang mesin itu memberitahu barang yang dipesan belum sampai. Tak apalah dik, kakak ok saja. Lagi pun hujung minggu ini kakak nak bawa kain baju kotor tu ke rumah ma, dan basuh di sana. 

Tidaklah kakak tertekan sedikit pun.