Friday, September 30, 2022

Salam Oktober

Esok Oktober tiba. Sembilan bulan dalam tahun ini sudah berlalu dengan segala kisah yang terakam dalam kenangan.

Hari ini saya dan suami akan bergerak menuju ke Sutra Beach Resort, Merang pada jam 5 petang nanti untuk menyertai program Hari Keluarga SMK Kampong Chengal dan bermalam di sana. Ini kali pertama saya menyertai program Hari Keluarga sekolah saya ini sejak 2009. Teruk, kan?

Saya memang tidak begitu gemar dengan acara keramaian sebegini tetapi kali ini saya tidak berani ponteng. Mudah kata, saya terpaksa. Haha!

Dua hari lepas, mesin basuh saya rosak. Tiba-tiba keluar error dan basuhan saya tidak siap. Suami saya sudah menelefon tukang baiki tetapi hari ini baru dia lapang. Jadi basuhan yang tidak siap itu terpaksalah saya sudahkan secara manual. Pagi ini, selesai Subuh terus saya ke bilik air di dapur dan tercongok menyiapkan basuhan itu yang agak banyak. Lelah!

Apabila siap, saya kena jemur di luar pula kerana airnya menitik-nitik jika dijemur dalam rumah. Apabila membuka pinti dapur, Allahuakbar, kotornya tangga dapur saya. Bertahun tak pernah cuci. Usai menjemur, saya mencuci tangga dapur pula.

Dan saya letih. Barang-barang untuk dibawa ke Hari Keluarga belum dikemas, baju yang akan dipakai ke sana belum digosok. Sarapan pun belum. Jam sudah 8.02 pagi.

Aduh! Kalaulah saya boleh ponteng saja!

Wednesday, September 28, 2022

Tuesday, September 27, 2022

Kereta Lagi

 




Kini tinggal kenangan, selamat sudah kami menjual kereta Mercedes CLA 180 yang kami beli pada September 2018 pada Khamis lalu. Harga jualannya cuma RM107,000 berbanding RM180,000 harga yang kami beli dahulu.

Pun tidak mengapa, saya rasa lega.

Agak kerap juga kereta ini memberi masalah dan masalah itu menyukarkan kami untuk meneruskan pemilikan kereta ini. Ia cuma masalah sensor tetapi sangat mengganggu. Paling teruk, sewaktu kami pulang dari kemduri di Laloh pada 3 September lalu, sensornya rosak lagi sehingga suami saya tidak berani memandu sejauh itu untuk pulang ke rumah dalam kesesakan jalan raya yang agak teruk kerana musim cuti sekolah. Bukan kereta rosak, tetapi sensornya yang bermasalah. Terpaksalah suami saya memanggil towing dan sampai di rumah menjelang malam. Memang serik.

Lalu kami sepakat untuk menjualnya setelah empat tahun menggunakannya. Selamat tinggal Mercedes, kami mungkin tidak lagi mahu menggunakan kereta jenama ini selepas ini. Hati saya sejak awal pun tidak begitu teruja dengan Mercedes. Ia gah pada nama, bukan pada keselesaan saya. Nantilah, kami sedang memikirkan kereta apa pula selepas ini.

Saturday, September 24, 2022

Tenis


Saya mengenali tenis sejak di sekolah menengah lagi. Maksud saya, mengenali pemain tenis.

Pada 1990 saya pertama kali menonton perlawanan tenis secara langsung. Waktu itu jarang sangat ada siaran langsung tenis di TV tetapi saya berkebetulan dapat menonton perlawanan di antara Stefan Edberg dan Boris Becker. Seronok rupanya permainan ini.

Antara pemain tenis yang saya minati waktu itu ialah Andre Agassi. Ya, dia sangat kacak.

Lama juga saya lupa pada sukan ini kerana ia jarang ada di TV saluran percuma. Sehinggalah apabila saya melanggan Astro pada 2006, saya kembali menikmati permainan tenis ini. Waktu itu Roger Federer sedang menguasai sukan ini dan saya menjadi peminat setianya.

Hanya Roger Federer yang saya suka. Biar pun ada ramai lagi nama-nama gah seperti Rafael Nadal dan Novak Djokovic, mereka tidak menambat hati saya seperti apa yang saya rasa terhadap Federer.

Federer sangat tenang orangnya. Dia dapat menyerap segala tekanan dalam permainan dan tidak pernah bertindak emosional. Dia selalu tersenyum walaupun pada waktu-waktu genting. Dia bukan seorang yang angkuh walaupun namanya teratas dalam senarai terbaik. Waktu dia mendapat mata berharga, reaksinya tetap menyejukkan hati. Bukan terlompat, bukan menjerit, hanya sedikit aksi gembira yang wajar padanya. Menonton permainannya begitu mengujakan. Dia seperti seorang yang sangat bersungguh-sungguh tetapi redha dengan setiap keputusan.

Itulah Federer, dan kerana itulah saya amat meminatinya. 

Awal minggu ini Federer mengumumkan persaraannya dari tenis dan hari ini menjadi hari terakhir dia bermain untuk kejohanan Laver Cup. Pada usia 41 tahun, dia tidak lagi berupaya untuk bersaing dengan pemain-pemain muda maka dia memilih untuk berehat.

Hilanglah sebutir permata yang menyerikan sukan tenis dunia. Siapalah pula yang akan menjadi pengganti legenda ini?

Saya rasa tiada. Federer hanya ada satu.

Selamat berehat my Champ!

Friday, September 23, 2022

Menulis

Sudah berminggu-minggu saya tidak menyiapkan RPH saya. Tahu kenapa? Kerana fail RPH saya pada minggu ke-17 telah corrupt, langsung tak boleh buka. Saya ulang buat yang baru, pun corrupt juga. Saya lelah.

Bukan mudah menaip fail RPH mengikut format yang diminta. Penggunaan Microsoft Word bagi saya bukanlah susah tetapi apabila perlu membina suatu fail yang mengandungi bahan yang siap sedia di dalamnya menggunakan developer, ia agak renyah.

Saya boleh buat, tetapi untuk saya mengedit dan menyusunnya, cukup seksa dan memakan masa. Apabila ia corrupt dan perlu dibuat semula, saya jadi sangat marah.

Sudahnya berminggu-minggu saya hilang mood mengadap komputer untuk menaip RPH itu.

Lama saya memikir, apa perlu saya buat supaya saya tidak disalahkan kerana tidak menulis RPH? Akhirnya saya memutuskan untuk kembali ke abad yang lepas, menulis RPH dalam buku. Saya rasa cara ini lebih sesuai dengan saya.

Lalu saya membeli buka bersaiz A4 dan mula menulis RPH saya menggunakan format lama. Saya rasa lebih tenang dan selesa.

Nanti saya akan tunjukkan buku itu kepada pentadbir apabila mereka meminta.

Saturday, September 17, 2022

Bila Keramaian

Jumaat petang, saya mengikut suami saya menyertai program Hari Keluarga SMK Kok Lanas bertempat di Bukit Keluang Beach Resort. Saya tidak tahu akan bagaimana perasaan saya di sana nanti. Saya risau dan gundah memikirkannya.

Tahu kan, saya tidak gemar malah tidak pandai bersosial? Keseronokan saya ialah berada di rumah melayan diri sendiri. Social circle saya cumalah keluarga dan rakan di tempat kerja. Jika perlu bertemu dan bergaul dengan circle yang saya tidak biasa, saya sungguh kekok dan tidak selesa. Sukar!

Perjalanan kami agak lama kerana jalan agak sesak. Maklumlah cuti Hari Malaysia. Saya suka, biar lambat sampai, tak perlu saya berada lama-lama di sana. Aduh, teruknya saya!

Jam menghampiri 6.30 kami pun sampai. Terus sahaja kami diberi kunci bilik bernombor 547 dan saya berehat sahaja hingga jam 8.45 malam. Usai solat Isyak, kami ke tempat barbecue. Meriah, ramai orang. Saya saja yang sendirian, yang lain bersama keluarga.

Itulah yang merisaukan saya. Kebanyakan guru datang bersama keluarga jadi mereka akan melayan keluarga masing-masing. Makan semeja dengan keluarga sendiri, tidak bercampur dengan keluarga lain. Saya? Saya tiada keluarga. 

Sepatutnya saya tidak perlu hadir pun. Biar saja suami saya hadir solo seperti mana beberapa orang guru lelaki lain. Tetapi bila suami mengajak, tergamakkah saya menolak?

Mujur juga ada beberapa orang yang saya kenal ada di sini, bolehlah bersapa-sapa. Tetapi sekadar itulah, mereka akan bersama keluarga mereka selebihnya. Saya terkial-kial sendiri. Suami saya tentu lebih banyak bersama rakan-rakan lelakinya. 

Belum pun habis acara, saya meminta pulang ke bilik. Suami saya pun mahu pulang juga. Jom.

Alhamdulillah selesai acara malam ini. Lega. Tunggulah esok pula.


Friday, September 16, 2022

Trials

Face our trials with positive hearts.

We acknowledge that trials are part and parcel of life. These trials will make us distressed and anxious. Sometimes we end up being hopeless and depressed, and questions begin to swarm our minds;

Why me?

What sins I have committed?

When will the help from Allah arrive?

And so many more.

It's not easy to tell ourselves to be patient and stay positive in whatever situations we are in. We know the power of being positive but we are just too weak to stay positive because the trials make us unable to be rational.

I don't want to give any tips on how to be positive. We all are created by God with different abilities, different views and different problems. May be what suits me won't work for you. So I just want to say that I will always pray and ask Allah to give solutions to every problems occur in your life.

Insya Allah he will help you, sooner or later. Just put a very high trust on Him, and believe that everything happens in our lives is to teach us lessons. Don't give up on Him.

Wish you all the best of solution for every trials in your lives.

Saturday, September 10, 2022

Corat Coret Cuti

Hari ini hari terakhir saya bercuti penggal dan esok Ahad, akan kembalilah saya bekerja demi sesuap nasi.

Hati saya gembira sebenarnya. Bercuti saya gembira, kembali bekerja pun saya gembira. Tiada apa untuk saya sedihkan. Perjalanan hidup yang sementara ini biarlah dipenuhi rasa gembira dan syukur sahaja. Diuji, semestinya. Redhalah seadanya.

Sembilan hari ini saya gembira kerana dapat memenuhi banyak keinginan yang ada. Bertemu ahli keluarga yang bekerja jauh nun di negeri lain dan jarang-jarang ketemu memang detik-detik membahagiakan yang sering saya nanti. Tidak pernah puas rasanya melayani masa bersama mereka, pun begitulah, mereka tetap juga perlu kembali ke negeri tempat mereka bertugas apabila cuti selesai.

Saya tahu adik-adik saya amat berharap untuk pulang berkhidmat di Kelantan, cuma masanya belum tiba. Doa dari saya tidak pernah putus agar permohonan mereka diluluskan. Semoga Allah mengizinkan mereka pulang bertugas di sini dalam jangka masa terdekat ini.

Alangkah indahnya jika semua adik beradik saya dapat berada di Kelantan. Emak tentu gembira tidak terkata. Ya Allah, izinkanlah!

Selain itu, cuti saya dipenuhi dengan deretan kenduri, kelas tambahan, mengemas rumah, dan berbelanja. Sememangnya begitulah. Ruang yang ada ini saya cuba manfaatkan sebaiknya dengan pengisian-pengisian yang tidak dapat dilakukan pada hari bekerja.

Pada Ahad, saya menjemput Abang Man dan isteri yang baru dinikahinya pada 6 Ogos lalu minum petang di rumah saya. Saya menyediakan mihun sup ayam sahaja, sekadar meraikan ahli baru dalam keluarga kami. Semoga Abang Man dan Umi kekal bahagia sampai syurga.

Sehingga bertemu semula dengan cuti penggal, kami akan kembali bekerja selama tiga belas minggu. Semoga kami diberi kesihatan yang baik dan usia yang panjang untuk terus mencari redha Tuhan di bumi yang sudah akhir zaman ini.

Thursday, September 08, 2022

Haneen

Buat anakanda Haneen, saat Umiti menulis ini, Haneen sudah dua hari pulang ke Putrajaya. Umiti tiba-tiba rasa rindu, rindu yang bukan dibuat-buat, rindu yang sungguh-sungguh.

Umiti rindu juga pada Huda dan Hana, tetapi rindu Umiti pada Haneen seperti berbeza. Haneen masih kecil dan sedang mengenali insan-insan di sekitar Haneen, termasuklah Umiti. Harapnya bila Haneen berada di Putrajaya Haneen masih mengingati Umiti.

Haneen sangat comel, sangat baik dan sangat Umiti kasih. Umiti akan sentiasa memohon doa agar Haneen diberi segala kebaikan di dunia dan di akhirat, membesar dengan sihat dan bijak, menjadi anak yang mendamaikan jiwa keluarga, dan berbakti kepada dunia.

Doa yang sama juga untuk Huda, Hana dan semua anak-anak saudara Umiti yang sangat Umiti kasihi dan syukuri.






Pelitup Muka

Semalam Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin umumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan kecuali di fasiliti kesihatan dan dalam pengangkutan awam sahaja.

Alhamdulillah.

Saya dah lama tak pakai mask ni. Sejak kelonggaran pertama hari tu, yang mana cikgu dibenarkan membuka mask masa mengajar, saya dah tak pakai dah masa masuk kelas. Rimas tau mengajar sambil pakai mask ni. Saya jenis berpeluh banyak di muka, bayangkanlah betapa tidak selesanya saya mengajar dengan memakai mask dalam kelas yang panas.

Tetapi, stok mask saya masih sangat banyak. Di rumah dan di sekolah, mask masih berpaket-paket. Tak tau lah bila nak guna dah ni. Hari tu beria beli, macam-macam warna ada nak match dengan baju. Sekarang korang duduk diam-diamlah dalam laci tu ya!

Wednesday, September 07, 2022

Tentang Cuti

Jika cuti sekolah itu sepenuhnya milik saya, tentu saya akan mahu berada hanya di rumah ma, bertemu adik beradik dan anak-anak saudara. Itu sahaja, dan saya sudah cukup bahagia.

Apa perlu lagi bercuti ke sana sini jika rumah ma sudah ada segala bahagia?

Tetapi begitulah. Cuti ini akan ada kenduri bersusun-susun, akan ada kelas tambahan, dan akan ada agenda pelbagai yang tidak mampu saya elak. Sudahnya, kesempatan berada di rumah ma tinggal sedikit benar.

Maafkanlah saya, ma. Saya adalah seorang wanita yang tertakluk dengan banyak kekangan. Saya tahu ma faham tetapi saya tetap rasa bersalah.

Semoga Allah memberi ruang lagi untuk saya berada di rumah ma pada cuti yang masih berbaki tiga hari ini.

Friday, September 02, 2022

Rosmah

 




Kisah Relief

Saya sudah menjadi guru yang menyediakan jadual guru ganti (relief) sejak tahun 2016. Saya okay sahaja, malah sangat suka dan seronok melaksanakan tanggungjawab yang satu ini. Tidak pula saya mahu bergilir dengan sesiapa seperti yang dilakukan oleh setiausaha sebelum ini kerana tugas ini pada saya lebih mudah dibuat sendirian.

Dalam seronok dan suka bertugas, ada juga dugaannya. 

PKP mengarahkan saya menyediakan relief untuk masa perhimpunan pada Ahad lepas kerana semua murid terlibat dengan peperiksaan. Perhimpunan di sekolah kami memakan tiga masa, jadi masa pertama dan kedua diberi kepada guru kelas dan guru back-up manakala masa ketiga saya perlu meletakkan guru relief.

Jika kehadiran guru tinggi, ia tidaklah sesukar mana. Tetapi pada Ahad itu, enam belas orang guru tiada di sekolah dan tiga orang guru meminta dikecualikan relief (ada temujanji). Bayangkan kesukaran yang saya hadapi untuk memasukkan nama guru yang lapang ke kelas-kelas yang ditinggalkan yang berjumlah menghampiri seratus! Saya akhirnya memilih kelas yang ada peperiksaan sahaja untuk direlief menjadikan jumlahnya enam puluh enam. Masih banyak. Cikgu yang boleh merelief tidak sampai pun lima puluh. Bagaimana ini? Belum lagi dikira masa pertama dan kedua yang melibatkan guru kelas dan guru back-up.

Sejak petang Sabtu saya sudah mula menyusun nama-nama guru untuk merelief pada Ahad esok. Malam itu, saya semakin buntu apabila semakin ramai guru menulis nama di ruang tidak hadir. Risau saya. Saya menelefon PKHEM untuk berkongsi rasa. Dia meminta saya memasukkan juga nama Pembantu Makmal. Baiklah, tetapi masih tidak selesai. PKHEM meminta saya memberitahu PKP untuk mengadakan perhimpunan supaya masa relief dapat dikurangkan. Oh tidak! Saya tidak berani kak! Lagi pun musim periksa begini akan ramailah cikgu mengomel, "periksa-periksa pun nak buat assembly".

Tak apalah, saya cuba sedaya saya.

Sudahnya, ada beberapa orang guru terpaksa merelief sehingga tiga masa. Apabila jadual diedar, berbunyilah seorang dua guru di dalam WhatsApp relief.

Entah nada bergurau atau serius saya tidak tahu, tetapi sedikit sebanyak tersentuh juga hati saya. Bayangkan sejak petang Sabtu, bersambung sehingga malam Ahad dan diteruskan lagi ke pagi Ahad itu saya mengadap komputer menyusun jadual ganti sehingga terlupa makan malam (ini bagus!) tiba-tiba mereka sesedap rasa mengkomplen itu ini. Saya cuba pejam mata tetapi hati di dalam tetap merasa.

Bukanlah setiap hari mereka perlu masuk relief sampai tiga waktu, hanya sekali inilah dalam setahun. Itu pun saya beri pada guru yang jadualnya cuma empat waktu saja pada hari itu. Malah saya sendiri sudah ada lima waktu, tetap saya mengambil tiga waktu relief juga. Lalu apa lagi yang mereka mahu?

Saya bukan sensitif, cuma sekadar mahu meluah apa yang ada di hati.

Isnin dan Selasa seterusnya, masih lagi saya berdepan dengan situasi sukar dalam menyiapkan relief. Saya pun hairan, apabila ada peperiksaan maka ramailah guru yang tidak hadir. Waktu begini semua kelas perlu  direlief, tiada pengecualian langsung jadi sangatlah lama untuk saya selesaikan. Siapa yang peduli?

Tidak mengapa, saya tetap mahu meneruskan tugas ini sampai saya tidak lagi menjadi guru. Insya Allah.






Wednesday, August 31, 2022

Hari Kebangsaan ke-65

 

Hari ini Hari Kebangsaan ke-65. Dalam waktu yang ada, saya rajin mengedit gambar. Inilah hasilnya.







Terima Kasih Sayang

Petang semalam, sepulang dari sekolah saya menemani Kak Sham ke kedai emas. Awalnya kami ke Makmur Gold kerana ada promosi diskaun sempena hari kebangsaan. Harga ditawarkan cuma RM247 sahaja untuk satu gram emas 916. Murahlah tu. Setiba kami di situ apa yang kami lihat, barang yang ada sangatlah sedikit. Mungkin promosi sebegini sebenarnya untuk menghabiskan stok sahaja, getus hati kecil saya. Tak apalah Kak Sham, kita ke kedai lain.

Kak Sham membawa saya ke Natika Gold & Diamond di bandar Kota Bharu. Ini kali pertama saya mendengar nama kedai emas yang terletak di Jalan Buluh Kubu ini. Sebaik kami sampai, kami disapa mesra oleh pekerjanya dan mereka melayan kami dengan sungguh berbudi pekerti. 

Kak Sham mula memilih gelang tangan dan cincin. Saya pula ke bahagian rantai. Memang saya berhasrat membeli seutas rantai baru kerana saya sudah ada banyak gelang dan cincin sedang rantai hanya dua utas.

Banyak betul pilihan di sini. Berpinar juga mata melihat kelipan-kelipan yang cantik-cantik di depan saya ini. Saya mula memilih dengan bantuan adik manis yang sopan itu.

Diringkaskan cerita, saya tertarik dengan seutas rantai bercorak anggur seberat 48.44 gram. Cantik betul pada pandangan saya. Bila dikira harganya, sehabis rendah dia menawarkan RM12,850. Saya cuba meminta harga RM12,000 tetapi dia menolak. Rendah sangat katanya. Design anggur upahnya mahal. Begitu katanya. 

Tak apalah, saya tidak mampu lagi buat masa ini. Saya cuba meraih simpati, mana tahu menjadi. Tetapi adik manis itu tetap mempertahankan harganya, tidak menerima harga saya.

Lalu saya beralih ke sisi kak Sham, melihat dia memilih dan menawar sehingga selesai. Kak Sham membeli empat barang seberat 98.3 gram semuanya dengan harga RM25,800. 

Apabila kak Sham selesai, saya mencuba lagi bertanya harga rantai itu dengan adik yang melayan kak Sham tadi. Sama sahaja, dia memberi harga RM12,850 juga. Saya mengatakan saya tidak berani mengambil harga itu tanpa persetujuan suami. Dengan nada mesra dan sopan, adik yang kacak itu meminta saya datang lagi esok bersama suami. Pandai betul dia memancing hati saya.

Di rumah, saya teringat-ingat rantai itu, lalu saya ceritakan pada suami saya. Rupanya suami saya sangat baik hati dan memahami keinginan saya. Langsung dia mengajak saya ke sana esok, dan mengizinkan wangnya diguna untuk membeli rantai itu.

Saya teruja sesungguhnya!

Jadi hari ini kami berdua ke sana untuk menyelesaikan segalanya. Kebetulan pula harga emas turun sedikit hari ini jadi dapatlah dikurangkan RM100, menjadikannya RM12,750.

Alhamdulillah. Terima kasih sayang!



Tuesday, August 23, 2022

Najib

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Dalam penghakiman setebal 15 muka surat itu, beliau berkata, susulan keengganan pihak pembelaan untuk memfailkan sebarang hujahan, panel tiada pilihan lain selain memberi fokus kepada 94 alasan rayuan yang difailkan melalui petisyen sebelum ini.

Monday, August 22, 2022

HUSM Lagi

Hari ini saya datang ke KPP HUSM untuk urusan mengambil darah sebelum bertemujanji dengan doktor pakar kardiologi pada minggu depan. Seawal pagi suami saya menghantar saya ke sini, dan meninggalkan saya sendirian untuk berurusan kerana dia perlu meneruskan rutin kerjanya di SMK Kok Lanas.

Jam 6.56 pagi saya tiba. Sudah ada beberapa pesakit yang menunggu di hadapan kaunter. Saya tidak buru-buru, kerana selalunya urusan mengambil darah sangat cepat selesai. Dan sungguhlah, saya dipanggil ke bilik rawatan dan selesai dicucuk (tanpa rasa sakit pun, terima kasih misi yang sangat lembut dan sopan) pada jam 7.50 pagi.

Perut sudah berirama, maka perlulah saya penuhi permintaan ini dahulu. Saya menuju ke cafe untuk nasi lemak dan teh tarik. Tenang saja saya santap sendirian sambil memerhati keliling. Ragam manusia tidaklah begitu berbeza, tekun semuanya menikmati rezeki seperti saya juga.

Agenda seterusnya, saya ke farmasi untuk mengambil ubatan. Tidaklah lama menunggu. Awal pagi memang begini, tenang dan aman. Selesai di situ, saya ke klinik O&G pula untuk mengambil tarikh temujanji.

Sebenarnya, tarikh saya patut ke mari ialah pada 26/7/22 lepas, tetapi saya sengaja tidak hadir. Tahukah anda ada waktu-waktunya saya rasa sangat malas dan bosan untuk berada di klinik O&G yang sudah saya hadiri sejak 1998 lalu? Mungkin anda tidak tahu, tetapi itulah yang saya rasa. Jadi saya ponteng. Tetapi, saya tidak mahu temujanji saya di sini terkubur begitu saja. Saya masih memerlukan pemeriksaan dari pakar-pakar di sini kerana sakit saya ini belum sembuh. Jadi saya mengambil keputusan untuk meminta tarikh baru.

"Misi, saya terlepas tarikh temujanji pada Julai lalu. Bolehkah saya ambil tarikh baru?" Ujar saya sambil menghulur kad temujanji yang sudah lusuh itu.

"Boleh, tetapi kekosongan yang ada hanya bermula pada bulan sebelas," jawab misi itu dengan sopan.

"Ok, tak apa.."

Dia berlalu untuk mengambil rekod temujanji, manakala fikiran saya masih berkira-kira. Kalau temujanji saya ini jatuh pada masa cuti sekolah lagi bagus bukan?

"Misi, boleh tak kalau saya mahu bulan dua belas? Cuti sekolah lagi mudah saya datang. Lepas sembilan haribulan kalau ada.." 

"Boleh.." tersenyum misi itu menjawab.

Saya tahu mereka di sini lagi suka kalau saya minta tarikh lambat. Tarikh yang dekat-dekat ini sudah hampir penuh, nanti kalau ramai tentu mereka penat dan akan balik lewat. Saya faham, jadi saya cuba menggembirakan mereka.

"13 haribulan boleh?" Tanya misi itu dan saya mengangguk setuju.

"Puan sakit apa sebenarnya?" Dia bertanya. Saya maklumkan tentang masalah cyst dan fibroid saya, dan dia meminta saya hadir ke kecemasan jika ada masalah yang mendesak. Baiklah misi, terima kasih.

Saya sempat ke mesin ATM sebentar untuk mengeluarkan wang yang Ma pesan, dan pulang nanti saya akan singgah di rumah Ma untuk menyampaikan wang itu. Tunggu ya Ma!

Jam belum pun ke angka sembilan, semua urusan saya sudah selesai. Oh ya, saya bercuti CRK hari ini kerana saya malas mahu pulang ke sekolah. Saya mahu melayan diri sendiri seadanya.

Saya mahu menuju ke KB Mall untuk meronda-ronda di sana, tetapi jam sepuluh baru KB Mall buka. Di sinilah saya dahulu, di kerusi batu di hadapan HUSM ini menulisi hantaran ini sementara menanti waktu sesuai memanggil Grab.

Sekian.

Wednesday, August 17, 2022

Peperiksaan

Minggu ini anak-anak didik saya sedang diuji dengan peperiksaan penggal 2. Saya hanya menjadi pemudahcara dengan membantu mereka memahami pelajaran dan mengulangkaji.

Peperiksaan pada saya hanyalah satu alat dalam menilai dan mengukur, malangnya di negara kita peperiksaan sudah dijadikan satu matlamat hidup. Sukar sekali untuk mengubahnya.

Apabila UPSR dan PT3 dimansuhkan, kedengaranlah suara-suara yang tidak berpuas hati, marah dan tidak setuju. Kata mereka, bagaimana mahu mengukur pencapaian murid? Tanpa peperiksaan, murid tiada motivasi dan akan hanya bermain-main tanpa mahu belajar. 

Jauh lagi perjalanan kita dalam meletakkan pendidikan pada tempat sebenarnya. Sangat jauh, sehingga saya mahu katakan ia hampir mustahil. Pada hal, dalam era dunia tanpa sempadan ini kita boleh saja mencari maklumat bagaimana sistem pendidikan dan acuannya di negara lain, untuk kita ambil pedomannya dan diaplikasi di sini. Tetapi seringkali akan ada juga nanti suara-suata yang mengatakan, situasi mereka dan kita tidak sama. Negara mereka lain, negara kita lain.

Ya, negara kita memang lain. Di sini, potensi anak-anak tidak pernah mahu kita kenali sebaliknya membiarkan mereka bersaing dalam arena yang sama walaupun potensi berbeza. Bilangan A lah yang kita kejar dan kejar, hingga sanggup apa saja demi A. Pada hal, anak kita yang menggenggam A berderet itu tidak faham pun asas-asas ilmu keran A yang mereka peroleh hanya kerana teknik menjawab dan latih tubi.

Saya sedih. Sedih kerana dalam kalangan guru sendiri pun masih ramai yang sesat dalam perjalanan memartabatkan ilmu. Mereka masih memuja peperiksaan seumpama peperiksaanlah segala-galanya.

Memang tindakan KPM menghapuskan UPSR dan PT3 itu satu keputusan yang mengejutkan tetapi ia bukan terburu-buru. Cuma mungkin mekanisme penilaian yang menggantikan peperiksaan itu masih perlu diperhalusi kerana PBD juga belum begitu sesuai di sini. Masih banyak yang perlu KPM perlu kaji dalam memastikan anak-anak kita menjadi sumber manusia yang berkualiti, bukan hanya mengejar A tetapi kecerdasan lain terketepi.

Semoga ada jalannya dan semoga Allah memberi kekuatan fikiran kepada pemikir-pemikir di KPM dalam menjana idea dan menggunakan kepakaran yang ada.

Saya hanya mampu berdoa agar Malaysia terjaga sentiasa.

Tuesday, August 16, 2022

Simpan Sini

Kenapa tiada exam di luar negara ? Jangan main teka-teka...

Berikut saya kongsi nukilan rakan saya Aida AR . Kami sempat bertemu di Malaysia Hall, London, beberapa tahun lepas berbincang tentang pendidikan di Msia. 
OT

Bismillah
Ada bapa yang bertanyakan pendapat saya tentang peperiksaan. Pendapat beliau, peperiksaan seperti UPSR dan PT3 perlu diwujudlan semula. Ini kerana anak-anak perlukan target untuk mereka berusaha belajar bersungguh-sungguh.

1. Kita terlalu bergantung kepada 'keputusan peperiksaan' untuk belajar sehingga berakar umbi melekat kuat dengan kita. Nak cabut akarnya memang susah. 

2. Maka saya tunjukkan target pendidikan sesetengah negara maju.. yg boleh kita boleh jadikan contoh.  Mereka mula dengan mencari jalan bagaimana untuk membantu semua anak BERJAYA  mengikut kekuatan masing2. Itu TARGET sekolah rendah mereka. 

3. Apa yg mereka belajar? Mereka belajar dua subjek - bahasa ibunda dan Maths (LINUS / 3M). Darjah 4 baru tambah subjek Sains. Aik? Macammana pelajar mereka boleh bercerita tentang sejarah, geografi, astronomi dan agama? Hmm… semua tu merupakan topik untuk bahan reading comprehension dalam subjek bahasa. Tak perlu disubjekkan… hanya ditopikkan. 

4. Kalau ada peperiksaan Tahun 6 pun (Year 6) , bukanlah ia national exam untuk membandingkan sekolah mana berprestasi tinggi. Ia untuk sekolah jadikan MAKLUMBALAS tentang apa lagi yg sekolah perlu lakukan. Dan untuk disiapkan laporan kepada sekolah menengah supaya guru sekolah menengah dapat MENYAMBUNG usaha guru sekolah rendah membantu pelajar2 untuk belajar. 

5. Maka sekolah menengah mana nak masuk/ berjaya masuk bukan menjadi target pelajar sekolah rendah nak belajar. Kita? kejar prestige. Prestige mesti datang dgn jumlah A. Bila dah semua dapat A, kena cipta A+. 

6. Setelah mereka mengenalpasti cara yg terbaik untuk menyokong pelajar2 untuk belajar, diperingkat sekolah menengah rendah, mereka beri sebanyak mungkin pendedahan kepada pelajar. Oleh kerana target mereka utk beri PENDEDAHAN, sekali lagi tiada national exam utk menengah rendah (spt PT3 yang kita ada sebelum ini). 

7. Bahkan… pelajar2 belajar macam2 seperti coding, gaming design, bertukang, masak2, menjahit, potong rambut etc… semua dapat peluang belajar. Ish!!! Lagi banyak ke subjek mereka? Tak… mereka cuma belajar selama 3 bulan saja. Setiap penggal subjek bertukar. Mereka tak belajar RBT dari sekolah rendah sampai menengah.

8. Cukup sekadar 3 bulan dalam tempoh pendedahan di peringkat sekolah menengah rendah (Year 7-9). Jadi sepanjang Year 7-9, mereka dapat berkenalan dgn banyak subjek. Tak perlu buku teks dan silibus banyak2. Pergi sekolah bawa pencil case dan bekal saja. 

9. Belajar dua jam- berhenti rehat utk bermain 45 minit. Sambung lagi 2 jam- berhenti rehat makan tghari. Sambung lagi 2 jam, balik dan aktiviti club. Mana tak seronoknya budak tu pergi sekolah? Tak ada peperiksaan. Belajar tanpa rasa takut tak dapat A. Mereka dapat explore puas2. Lambat asal selamat… 

10. Pun begitu, sbg usaha mengelakkan anak2 stress… masa bermain 45 minit diperuntukkan ya. Tak perlu berebut dgn waktu rehat makan. Masa makan nanti makan. Yang muslim, sempat solat jemaah. Masa rehat yg panjang. Mainlah ko nak main apa. Year 11 (mcm Ting 5) pun ada masa rehat khas utk bermain tau. Budak tetap budak. Setakat ni, Nampak tak beza target mereka dengan kita? 

11. Ok… bila pelajar2 ni dah cuba semua… dihujung Year 9 (Ting 3) mereka akan berbincang dengan serius tentang halatuju mereka. Mereka sudah boleh kenalpasti minat mereka. Kaunselor , guru, ibubapa akan bantu mereka buat pilihan. Anak2 dah ada pendedahan, senang nak buat pilihan sendiri. 

12. Anak2 yg tiada pendedahan, kena dengar cakap org dewasa yg dah makan garam terlebih dahulu. Pilih aliran berdasarkan cerita2 org. Maka target pelajar sekolah menengah atas mereka adalah untuk menjalani pengajian yang telah dipilih. Maka barulah ada sebab kenapa mereka kena menduduki national exam macam GCSE (setara SPM).

13. Secara umumnya, target mereka:
a. Sekolah rendah - memperkasakan kemahiran belajar & mencari cara untuk membantu anak2 belajar. Tak perlu peperiksaan utk sandarkan tujuan belajar. Target clear.
b. Sek menengah rendah - memberi anak2 pendedahan sebanyak mungkin agar anak2 mudah membuat pilihan bidang apa yg mereka mahu ceburi di masa hadapan mereka. Juga tak perlukan peperiksaan sbg sandaran halatuju utk belajar. Target clear.
c. Sek menengah atas - fasa pertama menceburi bidang pilihan. Barulah ada peperiksaan. Uji yang mereka perlu diuji saja. Bukan semua benda nak diuji. 

14. Kita tak perlu lahirkan masyarakat yg palatao kata budak2 skrg. Kita perlukan masyarakat yg melakukan terbaik dalam bidang yg diceburi. Dan kepakaran setiap org dlm bidang masing2 perlu dihormati. Mudah2an kita semua sedar, yg kita ni ilmunya tak banyak mana. maka buatlah yg terbaik dalam apa pun bidang yg kita suka. 

15. Jadi, bila Malaysia buat keputusan untuk menghapuskan peperiksaan… Malaysia tahu tak kenapa kena hapuskan peperiksaan? Atau kita putuskan tak mahu exam sebab stress saja? Landscape pendidikan di Malaysia diubah tak kepada landscape pendidikan yg tak perlu bersandar kepada peperiksaan untuk ada halatuju belajar? 

Aida Ar

Saturday, August 13, 2022

Merangkul Lara

Kukuak pintu duka, tersapa sebuah cerita nestapa. Menjadi manusia, aku dikurnia jiwa kaya rasa. Semua ada, segala rencah hiba lara.

Bukan aku mahu lari dari meniti jambatan perasaan. Aku terima setiap kenyataan biar apa jua salutan perisanya. Aku peluk, aku rangkul, aku bawa bersamaku ke mana-mana.

Cinta. Aku menyukainya. Tetapi di dalamnya ada lara. Aku jadi gerun dengan masa depanku yang masih kelabu.

Tuhan ada. Dia Maha Menjaga.