Wednesday, June 26, 2024

Childfree


Tiba-tiba belakangan ini istilah ini berlegar di merata-rata. Ada ramai yang memilih untuk menjadi pasangan yang "childfree" atas faktor-faktor tertentu, atas nama hak dan kebebasan. Saya berlapang dada tetapi tidak mahu kebebasan memilih disalahguna sewenangnya.

Saya juga seorang wanita yang "childfree", walaupun istilah yang lebih tepat untuk saya ialah "childless". Saya bukan memilih untuk sebegitu tetapi saya terima kenyataannya. Syukur atas setiap anugerah.

Jujur, apabila sudah berusia sebegini saya tidak lagi memilih untuk memiliki anak. Saya reda dan bahagia dengan apa yang saya ada dan tidak memiliki anak bukanlah suatu yang perlu saya sedihkan. Banyak lagi kurnia Tuhan untuk saya, malah terlalu banyak tidak terhitung, jadi kekurangan yang satu ini tidak berbekas apa pun.

Bagi pasangan yang memilih untuk "childfree", nasihat saya usahlah begitu. Benar hidup ini keras, tetapi menyalahkan anak atas keterbatasan hidup bukanlah cara yang betul. Anak itu sebenarnya akan memberi lebih rasa kemanusiaan buat kita, dan menimbulkan rasa kasih tanpa syarat yang menakjubkan. Rugi jika kita tidak memilih untuk menikmati kurnia sebegitu.

Bagaimana saya tahu rasa itu pada hal saya tidak memiliki anak?

Entahlah. Ia tetap ada, walaupun dalam rahsia.

 

Ambil Darah


Hari ini saya ke HUSM untuk ambil darah sebelum bertemujanji di klinik pakar minggu depan. Seperti selalu, saya akan mohon CRK kerana sepulang dari hospital saya akan berehat saja di rumah.

Bagi pesakit lain, proses mengambil darah sebenarnya sebentar saja, tidak sampai pun lima minit tetapi dalam kes saya, selalu saya terpaksa bersabar dengan situasi yang menakutkan juga menyakitkan. Lengan besar saya yang penuh isi ini, memayahkan jururawat mencari urat. Lalu ditepuk-tepuk (sebenarnya ditampar-tampar) berkali-kali dan saya menahan rasa. Masih tidak berjaya juga, lalu jururawat itu meminta saya ke meja sebelah kerana dia sudah "surrender" melihat lengan saya.

Saya menghulur lagi lengan kepada jururawat kedua (lelaki), dan seperti tadi juga, lengan saya ditepuk-tepuk dan dipicit-picit tetapi tidak daapt dikesan juga uratnya. Ah sudah!

Kak, kita ambil di tanganlah ya, katanya. Dicarinya urat di tangan pula, atas sedikit dari jari telunjuk tangan kanan saya. Saya merelakan saja. Dicucuknya di situ, sakitnya aduh! Tetapi saya kekal tenang. (Tunjuk macho eh?)

Darah yang keluar sangat perlahan. Saya nampak darah saya mengalir seperti terputus-putus saja. Kenapa? Darah kak bekulah, katanya. Ya? Lama disedut tapi yang dapat sedikit sangat, tak cukup.

Saya hulur tangan kiri pula, dan kali ini dia mencucuk berdekatan jari kelingking. Sakit juga, tapi saya tenang sentiasa. Haha!

Kali ini darah mengalir laju, dan dapatlah jumlah yang dikehendaki. Kiri lagi laju, sebab saya kidal kot.

Lalu bertampallah kedua-dua belah tangan saya. Rasanya hampir dua puluh minit juga baru selesai. Lama kan? Sakit pula.

Begitulah. Mujur saya mohon cuti hari ini, bolehlah saya balik tidur di rumah sampai hilang sakit di kedua-dua tangan saya ini. 




Monday, June 24, 2024

Untukmu Wajih



Tabahlah Wajih. Hidup memang begini, selalu ada perkara luar jangka yang kita tidak suka tetapi yakinlah, ia berlaku kerana Allah sedang berbicara dengan kita, sedang memberi satu makna dalam hidup kita.

Apa yang terjadi ini, mencalar segala rasa di hati-hati kami yang mengasihi Wajih. Tidak terhitung doa yang kami panjangkan kepada Allah agar Wajih sentosa dan selamat.

Alhamdulillah, Wajih seorang yang kuat. Semoga Wajih terus kuat untuk melalui setiap cabaran di depan nanti. Doa kami untuk Wajih tidak pernah berhenti. 





Sunday, June 23, 2024

Anak-anak ini


Menjadi guru sememangnya ada tekanan yang pelbagai. Usah disangka ia semudah masuk kelas, mengajar dan menanda kertas. Itu hanya tidak sampai tiga puluh peratus daripada tugas kami. Selebihnya ada banyak lagi yang perlu kami hadap.

Saya tidak mahu bercerita tentang yang selebihnya itu, kerana tujuan sebenar saya memohon untuk menjadi guru ialah untuk berhadapan dengan anak-anak muda generasi baharu dan memberi apa yang sepatutnya kepada mereka.

Anak-anak inilah jiwa saya. Tidak mudah mendidik mereka untuk menjadi seperti apa yang kita harapkan tetapi amanah dan tanggungjawab itu adalah kewajipan buat saya.

Anak-anak inilah penawar hati saya. Mereka ceria dan riang bergelak ketawa, tetapi pada masa yang sama mereka mengharap sesuatu yang indah dari saya. Saya mahu mereka cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga.

Saya sayang semua anak murid saya, biar dari kelas mana pun mereka. 5C1 sentiasa ceria dan nakal, tetapi tetap sopan dan terkawal. 5C2 agak pendiam tetapi sentiasa mahu menerima. Ada juga yang masih leka, belum mahu berubah untuk berhadapan dengan SPM, tetapi saya yakin nanti mereka akan sedar juga. Doa untuk mereka sentiasa ada.

Dan 5C5, mereka memberi saya satu cabaran getir tetapi saya tidak mahu menyerah. Saya akan cuba dekati mereka dengan cara saya agar ada juga terselit perasaan suka pada mata pelajaran saya ini. Bukan A yang saya sasarkan untuk mereka, cukuplah sekadar mereka tahu apa itu Matematik dan dapat meneruskan hidup yang berkualiti walaupun tanpa jujukan A di slip SPM mereka.

Terima kasih anak-anak, memberi cikgu kepelbagaian rasa dalam membentuk kalian. Cikgu terima setiap amanah ini dengan penuh ikhlas. Semoga nanti kalian dewasa dalam reda dan rahmat-Nya. Amin.

5C1

5C2

5C5



 

Sunday, June 16, 2024

Salam 9 Zulhijjah


Arafah, 1431 Hijrah


Salam 9 Zulhijjah dan selamat berwukuf kepada semua jemaah haji. Pada jam ini, 1:38 tengah hari waktu Malaysia bersamaan dengan jam 8:38 pagi di Arab Saudi, jemaah telah selesai berwukuf kerana 9 Zulhijjah di sana awal sehari.  Sekarang mereka sudah pun berada di Mina.

Setiap kali Zulhijjah menjelang, pastinya kenangan Haji akan menyapa. Sungguh, sesiapa pun yang pernah ke sana akan sentiasa merindui suasana dan persekitarannya. Walaupun sudah empat belas tahun berlalu, segalanya jelas dan terang dalam ingatan saya.

Impian untuk berhaji lagi tidak pernah padam dalam hati saya. Mungkin seperti sukar, tetapi saya tetap berdoa agar ada ruang itu sebelum saya hilang di dunia ini. Walaupun suami saya pernah berkata, "cukuplah sekali kita pergi haji, jika rindu kita pergi umrah saja" apabila saya menyatakan hasrat saya kerana dia tidak mahu menyekat peluang orang lain, tetapi saya berharap agar nanti kuota haji Malaysia bertambah juga. Mana tahu, Arab Saudi berkenan memberi kuota sehingga 60 ribu setahun, tentu waktu itu saya boleh menyelit juga. Insya Allah.

Apa pun, haji adalah pengalaman tidak terlupakan selama hidup saya. Ia mengajar saya banyak perkara, terutama tentang sabar dan reda.

 
Muzdalifah

Saturday, June 15, 2024

Idaman




Berkenan pula saya bila tengok rumah secomel ini. Tenang dan damai.

Banyak kelebihannya jika rumah kita kecil. Pertama, senang nak jaga. Sekejap saja dah siap kemas. Tak perlu susah-susah turun naik tangga ke atas ke bawah.

Keduanya, tak adalah orang datang nak menumpang tidur, sebab bilik tak cukup. Haha!

Jika diberi pilihan saya memang mahu rumah begini. Kecil dan selesa. Saya kan tinggal berdua saja, bukan perlu rumah besar pun. Cukup satu ruang tamu, satu bilik tidur, satu bilik air dan dapur.

Tetapi pada usia sekarang, saya sudah berpuas hati dengan apa yang saya ada. Tidak mahulah tambah-tambah lagi. Rumah saya sekarang pun bukanlah besar benar. Sedang elok dah.

Sekian celoteh malam ini.
 

Friday, June 14, 2024

Selera


Selera makan saya sudah kembali elok sejak saya sembuh dari pembedahan pada Mac tahun lepas. Saya masih ingat beberapa waktu sebelum itu, selera saya merudum teruk. Perut saya terasa lapar, tetapi semua makanan tidak mampu saya jamah. Rasa tidak lalu. Jika saya makan pun, semulut dua sahaja boleh telan. Terdetik juga, sudah di hujung usiakah saya ini?

Mungkin kerana sakit dan badan lemah, semua makanan rasa tidak sedap. Terseksa benar saya waktu itu kerana sesungguhnya saya lapar tetapi tidak boleh makan.

Alhamdulillah sekarang saya sudah pulih. Selera sudah kembali normal malah lebih-lebih pula. Kini saya berhadapan dengan masalah mengawal selera yang keterlaluan ini.

Semua benda nampak sedap. Perut pun cepat benar lapar. Baru sejam dua, sudah meminta untuk diisi. Aduhai!

Begitulah putaran hidup kita. Ketika berselera begini, mahu dikawal-kawal pula. Bila sakit dan tidak lalu makan, jadi terseksa badan. Semuanya perlu diatur dengan betul, tidak boleh mengikut hawa nafsu sahaja.

Semoga saya kuat untuk melawan selera makan yang semakin menjadi-jadi ini. Amin.
 

Saturday, June 08, 2024

Mencurah Rasa


Apabila usia menjangkau lima puluhan begini, semakin terasa banyak kekuatan telah tiada. Setiap hari pulang dari kerja, badan sudah tiada daya untuk mengurus apa-apa hal di rumah. Hanya tergolek kepenatan.

Begitu, tanggungjawab tetaplah tanggungjawab. Bukan hanya di rumah sendiri tetapi juga nun di seberang jalan, tempat syurga suami saya terlantar. Walaupun hanya sedikit sumbangan yang mampu saya beri, tetaplah ia memakan ruang dan masa.

Menemani mek pada waktu malam, sepertinya mudah sahaja. Mek akan tidur pada pukul 9.30 dan saya boleh melakukan tugas saya pula. Hakikatnya, bergerak dari rumah ke rumah begini sangat memakan masa. Saya tidak boleh membasuh baju pada malam hari atau menggosok pakaian pada waktu pagi seperti selalu.

Setiap petang saya perlu terus memilih baju mana untuk dipakai esok, dan menggosoknya siap-siap. Tidak boleh bertangguh lagi walaupun badan penat. Boleh juga saya menggosok di rumah mek tetapi saya akan kalut nanti kerana perlu mengurus mek juga.

Tidak mudah mendidik hati supaya redha dan ikhlas. Ada waktunya saya merengus juga, dek penat dan jemu yang terlalu. Dalam doa saya, saya minta Allah kuatkan jiwa dan mental saya agar setiap yang saya hadap ini tidak mendera.

Saya hanyalah wanita biasa yang sarat emosi. Ini cuma luahan rasa bagi melerai sedikit resah dan menghilang sedikit gundah.



 

Thursday, June 06, 2024

Berjaya

Nik Nur Madihah
Amalina Che Bakri

Nama-nama ini kembali berlegar di media sosial. Mereka pernah mencipta satu fenomena apabila keputusan SPM mereka hebat teramat. Bersusun-susun A mereka kumpul dan nama mereka harum semerbak. Tahniah.

Lalu mereka dijadikan inspirasi agar semua murid mencontohi mereka. Saya juga mengagumi kehebatan mereka. Malah, sangat kagum dan bangga. Alhamdulillah.

Cuma, isi penulisan saya hari ini nadanya sedikit berbeza. Saya mahu menulis isi hati saya tentang maksud kejayaan yang menjadi sebutan dan impian semua orang.

Kita mahu anak-anak kita berjaya tetapi adakah dengan mencapai apa yang dicapai oleh Nik Nur Madihah dan Amalina baru dikatakan berjaya?

Takkanlah kita mahu semua orang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan peguam sahaja? Siapa yang mahu jadi tukang masak, pemandu ambulan, penternak, tukang jahit dan penyanyi? Atau kerja-kerja sebegini hanya untuk orang-orang yang tidak berjaya? Bukankah tanpa mereka kita tidak dapat hidup sempurna juga?

Sebagai guru, saya selalu rasa letih bila dipaksa membilang A. Saya rasa kita sudah hanyut dan tenggelam dalam arus yang merosakkan sistem pendidikan. Sepatutnya keputusan SPM itu menjadi kayu ukur untuk kita kenalpasti kecenderungan anak-anak kita. Jika A nya banyak, tunjukkanlah jalan yang sesuai untuk anak-anak itu teruskan kecemerlangan. Jika keputusannya berbeza, bawa mereka ke jalan lain pula. Mereka tidak gagal jika A tidak banyak atau tiada langsung, mereka cuma tidak mampu bersaing di medan itu. Beri mereka tempat yang sesuai, tentu mereka boleh menyerlah.

Menjadi Siti Nurhaliza tidak perlu 20A pun, tetapi dia sangat berjaya dalam liganya yang tersendiri. Menjadi Chef Wan tidak perlu cemerlang subjek Matematik Tambahan pun, tetapi dia tetap menyumbang pada kesejahteraan masyarakat. Begitu juga Zhang Toi, Jimmy Choo, Michelle Yeoh, Azwan Omar (Abang Viva) - kenalkah anda dengan mereka? Mereka menyumbang, mereka membantu, mereka berjaya.

Apa yang perlu kita tekankan kepada anak-anak kita ialah semangat untuk belajar agar mereka berilmu. Dapat A banyak atau sikit tidak perlu dibanding-banding, kerana selagi mereka rajin belajar dan tahu tujuan hidup, mereka tetap akan menjadi manusia berguna.

Usah di"padan muka"kan golongan yang tidak cemerlang SPM ini. Saya sudah menjadi guru hampir tiga puluh tahun dan saya jumpa ramai murid yang sangat rajin belajar tetapi keputusan SPM mereka tidak cemerlang. Perlulah saya biarkan mereka begitu saja?

Malah yang gagal sekali pun, mereka belum tentu akan gagal selamanya. Beri mereka peluang, dan saya yakin ada tempat untuk mereka asah kebolehan mereka. Akademik bukan segala-galanya.


 

Doa


Dalam sakit dan sedih, kita selalu mahu bersendirian menghadap dan mengharap kepada-Nya. Seperti satu pengaduan indah dan penuh tulus, kita rasa dengan jiwa.

Namun pada saat riang dan bahagia, kita jadi lupa untuk terus berlama-lama memohon dari-Nya.

Begitulah saya. Saat ini saya sedang berusaha agar sentiasa ada cerita untuk diadu pada setiap hujung malam, dan meminta segala yang baik-baik untuk semua.

Semua.

Ayah, ibu, suami, mentua, adik beradik, ipar duai, anak-anak saudara, ahli keluarga, guru-guru, sahabat-sahabat, jiran tetangga, anak-anak murid, para pemimpin, dan seluruh isi dunia.

Semoga sejahtera. Semoga terlindung dari segala bencana.

Amin. 

Monday, May 27, 2024

Luka


Apa yang melukakan kita terlalu? Harapan. (What hurt you the most? Expectation.)

Hari ini keputusan SPM 2023 diumumkan, banyak pula saya baca tentang kesedihan calon yang tidak mendapat keputusan seperti yang mereka harapkan. Mereka menjangkakan semua A, tetapi ada juga B terselit dalam senarai.

Selalu yang terluka ini adalah yang mengharap keputusan hebat seiring usaha mereka. Apabila yang muncul tidak sebegitu, kecewalah jadinya.

Kadang-kadang kita perlu mengajar anak-anak tentang "expecting the worst" agar tidak merasa luka dan kecewa.

Saya dahulu tidak meletakkan target tinggi pun dalam SPM, tetapi usaha tetap usaha. Jadi apabila menerima keputusan, saya sangat teruja kerana apa yang saya dapat lebih baik daripada apa yang saya jangka. Tiada langsung rasa kecewa walaupun tidak mendapat semua A. Kertas Biologi saya yang paling teruk apabila hanya mencapai gred C4 (setara gred B sekarang) tetapi saya bersyukur sangat sebab saya tahu ia adalah disebabkan kesilapan saya sewaktu ujian Amali. Tiada rasa kecewa.

Melihat gred Fizik saya A2 (setara A-), lagilah saya seronok kerana  selama ini tidak pernah sekali pun dapat A dalam peperiksaan di sekolah. Begitu juga Kimia, tidak pernah pun saya mencapai kredit, setakat lulus sahaja tetapi dalam SPM saya dapat C3 (setara B+).

Jadi anak-anak, janganlah mengharap keterlaluan. Letak sedikit rasa rendah diri dalam membina harapan agar kita lebih bersedia menerima setiap ketentuan.

Expect the worst, hope for a miracle. 

Wednesday, May 22, 2024

Tentang Murid


Tahun ini cabaran saya dalam melaksanakan tugas sebagai guru SPM agak hebat. Jika beberapa tahun dulu saya diberi kelas hadapan sahaja (sejak 2020), tahun ini saya diberi tanggungjawab mengajar kelas kelima.

Bukan saya tidak pernah mengajar murid-murid kelas kelima. Sudah banyak kali juga semenjak di sekolah ini tetapi tahun ini kualiti murid kelas ini sangat berbeza. Mereka adalah murid generasi Covid, iaitu pada tahun 2020 mereka masuk Tingkatan Satu tetapi pembelajaran mereka terganggu selama dua tahun. Hanya apabila di Tingkatan Tiga pada 2022 baru mereka mula belajar dengan normal. Dua tahun pertama yang percuma itu, tidak pernah diganti.

Mereka banyak tidak tahu tentang asas-asas mudah Matematik. Susah sungguh mahu memberi  faham topik Tingkatan Lima apabila asas pun masih bercelaru. Begitu pun, saya tetap mencari satu penyelesaian yang memberi kebaikan kepada mereka.

Saya ulang balik topik-topik Tingkatan Satu dan ternyata mereka sangat lemah dan memerlukan banyak pengukuhan. Saya tidak lagi mahu meletakkan sasaran untuk SPM mereka, sebaliknya saya mahu mengajar yang asas dahulu, agar tidak buntu hidup mereka nanti.

Saya reda sahaja jika mereka tidak mencapai gred baik atau cemerlang, asalkan mereka mahi belajar dan sanggup berusaha untuk meningkatkan penguasaan. Memang dari segi sikap murid-murid ini kurang bersungguh, jadi saya perlu lebihkan motivasi juga. Semoga Allah memberi saya ilham untuk terus mengajar mereka dengan lebih berkesan. Amin.

 

Monday, May 20, 2024

Senggang


Jam sudah ke angka 8.45 pagi. Saya sendirian duduk di meja kerja saya, melayan diri sendiri. Melayari Facebook, membuka bungkusan dari Shopee, dan menulis. Nun, di meja besar di hadapan saya, beberapa orang guru sedang berbual dan bergelak ketawa tanpa menghiraukan saya. Saya juga sama, tidak langsung teruja untuk turut bergelak ketawa bersama mereka. Lebih seronok sendirian di sini. Tenang.

Begitulah introvert dalam diri saya, apabila ia menguasai, saya langsung enggan berada dalam keramaian. Isu-isu yang mereka bualkan tidak saya minati dan langsung enggan ambil tahu. Teruslah kalian berbual, saya mendengar sipi-sipi sahaja ya.

Sebentar lagi saya akan ke kelas. Hari ini peperiksaan berlangsung untuk semua tingkatan. Sewaktu mengawas peperiksaan, saya boleh saja membuat kerja sendiri seperti menanda kertas dan menyiapkan tapak analisis SPM yang akan diumum minggu depan. Saya selesa juga membuat kerja sebegitu sewaktu mengawas peperiksaan walaupun sebenarnya tidak boleh. Sepatutnya guru kena berjalan dari meja ke meja untuk mengawas murid. Tetapi saya ini percayakan murid saya, mereka jujur dan bertanggungjawab. Boleh saja saya duduk dan memerhati mereka sekali sekala tanpa perlu berjalan.

Sekian coretan masa senggang. 

Friday, May 17, 2024

Pelik

Gaya seorang Tun Teja



Semalam, sempena sambutan Hari Guru yang bertemakan Kesultanan Melaka, saya bercerita serba sedikit tentang Hang Tuah dan Tun Teja sewaktu bersarapan di kantin kepada rakan-rakan guru yang makan bersama-sama saya. Saya sebut nama ibu Hang Tuah, Dang Merduwati. Saya kisahkan juga bagaimana Hang Tuah melarikan Tun Teja untuk dipersembahkan kepada Sultan. Tun Teja yang mencintai Hang Tuah tidak mahu menjadi Permaisuri tetapi Hang Tuah memberi Tun Teja makan sirih jampi sehingga Tun Teja menjadi benci kepada Hang Tuah.

Rakan-rakan saya bertanya, bagaimana saya tahu cerita itu? Saya kata, ada dalam buku Hikayat Hang Tuah yang tebal itu. Saya membaca buku itu sewaktu darjah enam, di perpustakaan SK Mulong. Tidaklah habis semua, tetapi banyaklah juga saya baca.

Mereka terkejut. Eh, peliklah, guru Matematik suka buku Sejarah?

Lalu saya memaklumkan saya sangat meminati bahan bacaan, termasuk sajak dan puisi. Saya baru sahaja membeli dua buah buku puisi tulisan SN Zurinah Hassan, dan sebuah antologi cerpen tulisan Siti Zainon Ismail.

Begitulah. Bagi mereka seorang guru Matematik seperti saya tidak sesuai untuk meminati Sejarah dan Sastera. Tetapi kenapa?

Sebab itu, bila ada yang melabel "orang Sains" begitu, "orang Sastera" begini, saya tidak gemar mendengarnya. Saya boleh saja masuk dalam kedua-dua kategori. Saya cemerlang sebagai pelajar aliran Sains, tetapi saya juga mencintai Sastera. Tidak bolehkah Sains dan Sastera bersatu dalam satu jiwa?

Kadang-kadang saya rasa rugi tidak diberi peluang mendalami ilmu kesusasteraan. Tetapi saya selalu juga mencari sendiri dengan membaca Dewan Sastera di perpustakaan MRSM  dahulu. Saya tahulah juga serba sedikit tentang istilah dan kaedah penulisan.

Rasanya, jika saya diberi peluang belajar Sastera, saya akan cemerlang juga.

Tidak mengapa kan masuk bakul angkat sendiri?


 

Wednesday, May 15, 2024

Tema


Sudah menjadi trend masa kini, setiap kali sambutan sesuatu acara diadakan di sekolah, akan adalah tema yang diberi. Bermacam-macam tema telah saya raikan sejak di sekolah ini. Ada Arabian (Hari Guru 2019), ada Retro (Hari Guru 2018), ada Klasik (Jamuan Tahunan 2022), ada Denim (Jamuan Tahunan 2023) , ada Bling Bling (Jamuan Tahunan 2017), ada Orang Kampung (Penutup Merdeka 2022), dan terbaru untuk Hari Guru esok, Pengetua memilih Kesultanan Melaka.

Saya sebenarnya seorang yang sporting juga. Jika temanya munasabah, saya akan memberi kerjasama sebaik mungkin. Tema Kesultanan Melaka ini bunyinya mesra juga, saya tiada masalah.

Cuma, cerita di sebalik tema ini yang agak melukakan. (Eh, terluka ke?)

Pada minggu lepas, Kelab Guru sudah memaklumkan yang Hari Guru tahun ini bertemakan warna sahaja iaitu Ungu. Saya pun menempahlah dua pasang baju baru berwarna ungu untuk dipakai pada hari kejadian. Siap dengan tudung juga. Oh ya, saya beli baju dua pasang bukan untuk dipakai serentak ya. Saya akan pilihlah yang lebih cantik. Saya selalu begitu, risau jika beli satu, ada cacat yang tidak dijangka.

Tiba-tiba, tiga hari sebelum majlis berlangsung Pengetua mengubah tema. Dia mahu Kesultanan Melaka pula. Bayangkan, dalam masa tiga hari apalah yang saya sempat lakukan?

Kelab Guru sudah memaklumkan yang guru-guru sudah bersedia dengan tema Ungu tetapi Pengetua tetap mahu tema Kesultanan Melaka. Saya jadi geram. Sudah tiada majlis lainkah selepas ini untuk tema sebegitu? Sambutan merdeka pada Ogos nanti kan lebih sesuai dengan tema Kesultanan Melaka?

Semalam, baju ungu saya sampai. Sedih pula rasa bila persiapan kita tiba-tiba tidak berguna. Tak apalah, saya bukan seorang yang emosional. Saya pakai baju ungu saya itu pada hari ini.

Esok?

Saya cuma akan memakai baju kurung songket yang saya beli dua tahun lepas. Baju lama, tapi itu sahaja yang ada. Sejak 2015, setiap kali Hari Guru saya memakai baju baru, tetapi tahun ini saya pakai baju lama. Lantaklah, bukan penting pun kan?

Saya tidak tahu adakh songket sudah wujud pada abad ke-15 itu, tetapi itulah saja yang saya ada.

 

Friday, May 10, 2024

Keputusan SPM 2023


Semalam, KPM mengeluarkan surat makluman tarikh pengumuman keputusan SPM 2023 ialah pada 27 Mei 2024 nanti.

Ramai yang terkejut kerana ia diumum dalam tempoh cuti sekolah, tetapi tidak saya. Saya rasa pelik pula apabila ramai guru mula merungut dan marah-marah, tidak suka tarikh itu menjadi pilihan. Kata mereka, tidak pernah pun keputusan SPM diumum dalam cuti sekolah sebelum ini.

Betulkah?

Mari kita menyusur kembali sejarah lebih lima belas tahun lalu iaitu pada 2006, 2007 dan 2008. Tahukah anda tarikh pengumuman keputusan SPM bagi tahun tersebut ialah dalam cuti sekolah? Tetapi waktu itu tiada yang bising-bising pun. Kami dengan rela hati hadir juga ke sekolah untuk menganalisis dan menyerah keputusan SPM kepada anak-anak murid kami.

Kenapa tahun ini bising betul? Ooo.. kerana YB Menteri Pendidikan sekarang sering dipandang serong oleh para guru. Apa saja keputusan berkaitan sekolah dan pendidikan, akan adalah yang membangkang. Aduhai!

Entahlah. Saya sudah hilang kata-kata melihat persekitaran Malaysia sekarang, tidak kiralah dalam apa bidang pun. Saya sudah malas mengulas. Biarkanlah. 

Thursday, May 09, 2024

Rutin Baru


Sudah lapan bulan lamanya mek - ibu mentua saya - sakit, dan selama lapan bulan itu jugalah saya dan suami bergilir-gilir dengan ipar-ipar saya menjaga mek. Giliran kami sebelah malam, jadi kami perlu tidur di rumah mek. Kami berada di rumah sendiri pada siang hari sahaja. Jika pada hari bekerja, hanya beberapa jam sajalah kami dapat berada di rumah kerana pulang dari sekolah sudah jam 3 petang.

Rutin kami, selepas Maghrib kami akan bergerak ke rumah mek. Jika hari minggu kami turun lebih awal, sekitar jam 6 petang. Saya yang uruskan mek - menyalin lampinnya, mewudukkannya, menjaga mek solat (kadang-kadang mek perlu ulang solat kerana terbatal wuduknya) juga menyuap mek makan. Pada pagi minggu pula saya akan membasuh kain baju mek yang kotor. Selain itu, saya turut diberi tugas memesan barang keperluan mek seperti susu dan lampinnya dari Shopee.

Suami saya jarang ada di rumah kerana dia selalu ke masjid. Tugas tetapnya ialah menjaga mek sewaktu tidurnya (saya tidur di dalam bilik, suami saya tidur di ruang tamu dengan mek).

Begitulah.

Jika difikirkan letih dan jemu, tentu sekali ia tidak dapat dinafikan. Tetapi sebagai anak menantu, begitulah tanggungjawab yang perlu kami lunaskan. Pinta saya pada Tuhan agar memberi kekuatan kepada saya untuk mengharungi setiap liku yang tertulis ini dengan penuh reda.

Dalam penat menjaga mek, saya tetap bersyukur kerana saya memiliki waktu tidur yang lebih selesa dan ruang lebih tenang. Nyaman sekali rasanya bila dapat bersendirian di bilik. Saya boleh bangkit seawal jam 4.30 pagi dengan mudah berbanding jika di rumah sendiri kerana saya boleh tidur seawal jam 9.30 malam. Saya boleh solat, boleh mengaji dengan banyak pada waktu pagi sebelum Subuh, dan paling saya seronok ialah dapat khatam lagi Al-Quran pada bulan Syawal. Insya Allah pada Zulkaedah ini juga saya cuba melakukan yang sama.

Apa pun ujian yang Allah beri, bila kita lihat sisi positifnya, tentulah kita akan lebih bahagia.

 

Wednesday, May 08, 2024

Ada Rindu


Lapan belas bulan lalu, pada 16 November 2022, suami saya bertukar ke SMK Kampong Chengal sebagai PK HEM. Saya menerima berita itu dengan perasaan berbaur - ada suka dan ada bimbang. Pun semuanya baik-baik sahaja, dapat kami tempuhi hari-hari kebersamaan di sekolah ini dengan tenang sekali.

Atas sebab-sebab yang hanya dia tahu, pada Mac 2023 suami saya memohon pencen pilihan. Jika diikut usia, dia bakal bersara pada 4 April 2025 tetapi dia memohon tarikh 1 Mei 2024 untuk menamatkan perkhidmatannya. Hampir setahun awal. Mungkin faktor beban menggalas tugas HEM memaksanya bertindak begitu. Entahlah, saya enggan bertanya lebih-lebih. Saya menyokong apa saja pilihannya selagi tiada kemudaratan.

Maka pada 30 April lalu, berlangsunglah majlis persaraannya dengan meriah sekali. Sedikit pun tiada rasa sayu atau hiba, dia kelihatan gembira menamatkan perkhidmatan sebagai guru selama 36 tahun. Saya juga ceria-ceria saja.

Minggu ini, saya kembali ke sekolah tanpa kelibatnya. Entah mengapa, bila masuk ke pejabat, ternampak pintu biliknya saya rasa rindu. Melihat persekitaran sekolah, saya seperti ternampak-nampak dia sedang berjalan di bangunan sekitar. Eh? Macam kelakar, tapi sungguh ia begitu. Seperti ada rasa sayu pula bila teringat padanya.

Apa pun, dia sudah selesai dalam bidang pendidikan dan sedang menikmati rehat yang benar-benar rehat. Sedikit pun dia tidak memikirkan tentang sekolah, malah diajak masuk ke pagar sekolah pun dia enggan.

Semoga bahagialah abang, menikmati tempoh persaraan dengan tenang dan damai. Saya? Saya masih belum mahu memikirkan tentang bersara. Biar saya menyumbang sebaik mungkin dahulu, sekurang-kurangnya untuk setahun dua ini. Semoga saya terus sihat dan bersemangat, amin.


 

Monday, May 06, 2024

Tetamu Raya


Rasanya sudah lama benar saya tidak menerima kehadiran anak-anak murid pada hari raya. Entah kenapa, saya tidak begitu rajin menjemput mereka ke rumah. Jika mereka mahu datang tidak mengapa, tetapi untuk saya menjemput memang susah sikit.

Tiba-tiba tahun ini, ramai sungguh yang datang. Kisahnya, anak murid saya Aisyatul Husna yang tinggal sekampung dengan saya memberitahu saya dia ada datang ke rumah saya pada raya tahun lepas tetapi saya tiada di rumah. Jadi untuk tahun ini dia awal-awal lagi memaklumkan kepada saya yang dia akan datang beraya. Cikgu jangan tak ada pulak!

Ok, silalah datang, kata saya. Saya minta dia datang pada Jumaat, raya ketiga. Berapa orang? Tanya saya. Dalam sepuluh orang cikgu, katanya.

Jadi pada raya ketiga itu saya bersiaplah. Goreng mihun, rebus nasi impit, buat kuah kacang dan bancuh air oren satu balang. Tetamu lain ada juga saya jemput iaitu pasangan pengantin baru adik ipar saya Norhafizah dan Hisham, juga anak saudara saya Amin dan Fatini. Kakak ipar saya Dr. Zaiha dan anak-anak dari Terengganu pun turut datang memeriahkan suasana.

Lebih kurang jam 10 pagi, sampailah rombongan anak-anak murid saya itu. Katanya sepuluh orang, tapi yang datang lebih dua puluh orang! Bukan saja anak-anak murid saya, habis diangkutnya emak, adik beradik dan sepupu sepapat. Meriah!

Mujurlah makanan yang ada mencukupi. Mereka lebih mahu beriang ria sebenarnya, bukan mahu makan sangat. Riuh rendah rumah saya hari itu. Malah, mereka enggan pulang dan berada di rumah saya sehingga jam tiga petang.

Seronok juga, walaupun letih. Dan mereka berjanji tahun depan akan datang lagi. 













Thursday, May 02, 2024

Gaji 15


Semalam, semua penjawat awam terlompat gembira bila PMX umum akan ada kenaikan gaji sebanyak 15% pada Disember nanti. Seronok!

Betullah, siapa tak seronok bila gaji naik, kan? Tetapi sabarlah, jangan teruja lebih-lebih. PMX baru umum secara ringkas tanpa maklumat terperinci, jadi kita usahlah berspekulasi macam-macam. Nampak 'lapar' sangat eh! Tunjukkanlah ketamadunan fikiran dan sikap kita, usah ulas laju-laju, kerana kita tiada apa-apa panduan pun selain angka 15% itu. Tiada.

Bolehkan kita sabar sekejap sehingga ia benar-benar berlaku Disember nanti?