Pages

Thursday, July 03, 2025

Panjang

"Panjang sangatlah, tak larat nak baca. Lukis boleh?"

Banyak kali saya tersapa komen sebegini di Facebook apabila sesuatu hantaran itu panjang. Dan pengomennya adalah orang Melayu.

Pada saya, semakin panjang sesuatu tulisan di Facebook, semakin teruja untuk saya baca. Seperti ada banyak perkara baru yang saya boleh ambil daripada hantaran itu. Mungkin pengetahuan baru, perkataan baru, atau nada tulisan yang boleh saya tiru.

Sayang , orang kita mudah jemu untuk membaca. Mereka sebaliknya lebih gemar menonton. Sebab itu aplikasi Tik Tok semakin popular. Saya pula, cepat jemu dengan video. Tik Tok bagi saya hanya tontonan masa santai yang sekejap sahaja. Kadang-kadang sampai lebih seminggu saya tak buka Tik Tok. Video yang entah apa-apa menyerabutkan saya. Video yang rakan-rakan saya kongsi di WhatsApp pun saya jarang buka. Membaca lebih memberi kepuasan pada saya.

Rupanya bukan semua orang memiliki rasa yang sama. Cuma, jika pun tidak suka membaca tulisan yang panjang, usahlah disindir sedemikian. Nanti bila pemilik tulisan itu menjawab, "kalau saya lukis pun, anda takkan mampu faham," malu pula jadinya!