Pages

Monday, May 04, 2026

Selamat Hari Jadi Aliya

Anak comel lagi manja ini sangat mudah tersenyum. Melihat senyumannya hati Umiti jadi cair. Ya Allah, indahnya kurniaan-Mu. Tetapi sukar pula untuk Umiti dekati. Mungkin Umiti tidak cukup pandai mencuri hatinya.

Hari ini anak comel bernama Aliya Nurinsyeerah ini genap tiga tahun. Dilahirkan pada tarikh 4 Mei 2023, Aliya merupakan anak bongsu pasangan Muhammad dan Farah Dalila. Memiliki dua orang abang iaitu Areef Irsyad dan Afeef Mukrim, juga seorang kakak iaitu Amal Nurkhayreen, Aliya dilengkapi ahli keluarga yang penyayang.

Alhamdulillah, syukur pada-Mu ya Allah atas segala kurnia. Doa Umiti, semoga Aliya dikurniakan kesihatan yang baik, dilindungi dari segala perkara yang tidak diingini, dan berjaya di dunia dan di akhirat. 

Semoga pada cuti sekolah nanti, Umiti dapat mendekati dan memesrai Aliya dengan lebih baik. Amin.








TV Mama

Cuaca di Kelantan kini sangatlah panas. Suhu mencecah 36-37 darjah. Dalam bilik berhawa dingin pun peluh masih memercik. 

Rumah Mama turut terkesan dengan cuaca sebegini. Mama suka berbaring di ruang rehat itu, sambil menonton TV tetapi kini ruang rehat Mama sudah menjadi tidak nyaman. Kipas sahaja tidak memadai kerana bahang panas terlalu menusuk.

Saya menyarankan Mama berehat di bilik tengah, yang dilengkapi penyaman udara dan bilik air. Mama pun suka berehat di situ tetapi masalahnya, tiada TV. Mama rasa bosan jika hanya berbaring dan menatal telefon pintarnya sahaja tanpa TV. Mama suka menonton rancangan-rancangan ilmiah dan berita.

Lalu saya membeli sebuah TV baru, bersaiz 32 inci berjenama Samsung untuk Mama. Mulanya Mama menolak, tetapi saya tetap juga beli dari Shopee dengan harga RM594. TV itu berkualiti sederhana sahaja, bukan Full HD tetapi tetap cantik gambarnya. Ia selamat tiba pada 23 April lalu dan pemasangannya selesai pada hari ini. 

Alhamdulillah, Mama nampak gembira. Ceria sekali nada suara Mama di hujung corong telefon sewaktu memaklumkan TV itu sudah boleh diguna. Semoga Mama gembira selalu, dan tenang melayan hari-hari tua Mama, walaupun bersendirian di rumah pusaka tinggalan arwah ayah itu.

Sayang Mama!






Sunday, May 03, 2026

Solat

 


Tulisan di atas menggambarkan betapa salahnya konsep solat yang diterap dalam diri anak-anak kecil, menyebabkan mereka dewasa menyalahkan Tuhan.

Anak-anak kecil memang perlu diajar solat seawal 7 tahun tetapi janganlah digula-gulakan mereka dengan mengatakan jika kita solat Allah beri itu, Allah beri ini, tetapi kerana Allah beri kita banyak nikmatlah kita perlu bersolat untuk menunjukkan rasa kasih dan kehambaan kita.

Saya pernah baca, petikan dialog seorang ibu berkongsi kata-kata nasihat untuk anaknya (yang dibahasakan sebagaik kakak) supaya tidak tinggal solat. Petikan ini saya ambil dari satu perkongsian di Facebook. 

“Kakak tahu tak, dulu bila kakak solat betul-betul, Allah selalu kabulkan doa kakak. Apa kakak minta, Allah bagi. Nak result exam baik, dapat. Nak pergi jalan tempat best, pun dapat. Semua tu sebab kakak solat dan doa sungguh-sungguh.”

“Sekarang ni bila kakak dah mula lalai, kadang-kadang Allah tak terus bagi apa yang kakak minta. Bukan sebab Allah tak sayang, tapi Allah nak kakak betulkan dulu solat kakak.”

Entah kenapa, saya rasa ada yang tidak kena dengan kata-kata sebegini kepada anak kecil yang masih tidak faham tentang konsep solat. Ibunya seperti menjadikan solat itu dengan tujuan, bukan dengan keikhlasan.

Sebaiknya, dialog itu diubah kepada,

“Kakak tahu tak, kakak kena solat betul-betul, sebab Allah selalu kabulkan doa kakak. Apa kakak minta, Allah bagi. Nak result exam baik, dapat. Nak pergi jalan tempat best, pun dapat. Jadi kakak kena solat sungguh-sungguh sebab Allah beri banyak nikmat kepada kakak."

“Kalau kakak lalai, apa yang Allah bagi tu nanti tak berkat. Hidup tanpa keberkatan ni, walaupun senang dan kaya, tapi hati tak tenang.”

Mohon betulkan jika saya salah.