Friday, January 27, 2012

Tercari-cari

Zaman kanak-kanaknya penuh duri. Dalam usia yang masih tidak mengerti apa-apa, dia didera. Bukan penderaan biasa, tetapi seksual. Sukarnya untuk dia menempuh hidup kerana dia masih terlalu kecil untuk mengongsi segala rasa duka dengan siapa-siapa. Dia menangis dan menjerit dalam diam cuma.

Apabila sedikit dewasa, dia mula berani meluah rasa, berkongsi cerita dengan sahabat dan saudara. Malangnya, mereka hanya berkata, "sabarlah, itu ujian Tuhan".

Dia rasa terhina. Dia hanya seorang kanak-kanak sewaktu Tuhan mengujinya dengan penderaan sebegitu. Dia belum mengerti makna hidup dan kehidupan sepenuhnya, tetapi dia sudah diuji sebegitu rupa. Mengapa Tuhan zalim padanya?

Semakin dewasa, dia semakin tercari-cari. Merantau ke luar negara membuka ruang dia mengenali lebih ramai manusia daripada pelbagai agama. Dia melihat dan meneroka, lalu menemui rumusan sendiri. Rumusan yang membawa dia secara perlahan-lahan menjauhi Islam. Dia berasa Islam tidak adil padanya. Islam tidak memberi penyelesaian pada derita yang bertahun-tahun ditanggungnya. Islam hanya mahu dia bersabar, tanpa pernah mahu menghentikan segala. Penderaan demi penderaan masih berlaku pada kanak-kanak dan Islam masih gagal mengatasinya!

Dia lari. Lari sejauh-jauhnya. Dia tidak percaya lagi kepada Tuhan kerana derita yang dirasainya sekian lama, namun Tuhan tidak pernah mahu membantunya.

Lalu, apa tindakan kita yang sewajarnya pada dia? Hukum bunuhkah?

Kita akan berkata dia murtad. Kita akan menghina dia sepenuh rasa, sesuka hati. Namun kita tidak pernah mahu membawa dia ke arah satu penyelesaian yang jitu.

Wahai lulusan agama dan pendakwah-pendakwah sekalian! Insan-insan seperti inilah yang sangat perlu dibantu dengan memberi motivasi dan kesedaran sebenarnya agar dia tidak semakin jauh mencari dirinya sendiri. Agar dia tidak terus-terusan membuat kesimpulan daripada pemerhatian tanpa panduan kalian. Dia sangat perlu dibantu, namun golongan agamawan kini hanya tahu bertelagah sesama sendiri.

Saya simpati padanya. Dia tercari-cari kebenaran yang hakiki.

5 comments:

  1. inilah hakikat yg terpaksa kita terima hari ini. golongan agama semakin rancak bertelingkah soal perbezaan, sehingga terlepas pandang isu besar seperti isu murtad..tetapi, saya kurang bersetuju dengan k.ti yg menyeru golongan lulusan agama untuk bertindak. isu ini bukan tanggungjawab lulusan agama sahaja. Isu ini isu ummat islam. semua muslim wajib terlibat. sampai bila kita nak menuding jari dan bergantung semua hal keagamaan kepada golongan kelulusan agama yang semakin hari semakin jelas ketempangan akhlak sebahagian daripada mereka..=).. cukup2lah mengharapkan tindakan dari mereka..

    ReplyDelete
  2. Peliklah, saya baru post pagi ini tapi awak dah comment semalam lagi?

    Betul dik, ini isu ummat islam tetapi mereka yg lulusan agama punya pengetahuan yg lebih tinggi dan boleh mendekati golongan sebegini dengan hujah yg lebih tepat. Kalau orang macam saya, terlalu jahil dan tidak mampu memberi jawapan pada persoalan yg mereka hadapi. Paling tidak, saya hanya akan berkata, "Sabarlah, itu ujian Tuhan" dan dia akan semakin menjauh daripada saya.

    Pun, saya tetap ingin peka dengan apa yang berlaku di persekitaran saya dan membantu semampu mungkin. Insya Allah....

    ReplyDelete
  3. Eh, komen saya pun tersalah tarikh dan masa juga... waaaa!!!

    ReplyDelete
  4. hahaha..blog awak dah pening..haha..

    Hakikatnya,golongan agama atau tidak,semua bertanggungjawab terhadap agama mengikut jalan masing2.

    Memandangkan isu murtad ni isu agama, maka golongan agama lah yg perlu di hadapan menangani nya, kerana kita kan BUKAN BIDANG INI!

    Namun kerana golongan agama mngkin sibuk dgn perkara yg barangkali lebih AULA, maka kita yg jahil terpaksalah berdepan dan mengambil alih tugas ini.

    justeru,mari bersama menimba ilmu agama walaupun KITA BUKAN BIDANG INI kerana kata COLORS OF LIFE, 'cukup2lah mengharapkan tindakan dari mereka.'

    *kalau kita nak bersuara dlm hal agama, dikatanya KITA BUKAN BIDANG NI, sekarang bila tugas mereka tak terlaksana, pandai pula kata agama ni tanggungjawab semua.

    ReplyDelete
  5. golongan agama = bukan semua, ada yg berusaha keras, tidak dinafikan..much much love for them.

    ReplyDelete