Pages

Monday, April 14, 2025

Mi Goreng

Petang Sabtu semalam, seperti biasa kami turun ke rumah mek selepas Maghrib. Saya dengan rela hatinya memberitahu suami saya, malam ini saya mahu masak mi goreng jadi tak perlu beli untuk makan malam. Memang kebiasaannya kami beli saja makanan di kedai untuk makan malam di rumah mek. Kami akan beli sebungkus sahaja, tak kiralah mi ke, mihun atau apa saja, hanya sebungkus untuk tiga orang. Jimat, kan?

Tetapi malam itu saya rajin, mood saya baik. Saya bawa sebungkus mi mentah cap kunci, sebungkus fishball dan sedikit sayur kangkung.

Sampai di rumah mek, kakak ipar saya kata Anis datang tadi, bawa mi goreng. Ada lagi kat atas meja tu, Ti makanlah.

Eh, dah ada mi goreng rupanya. Saya pun makanlah sikit. Ok je cuma ada rasa manis. Saya tawarkan pada suami saya, dia kata tak nak, nak makan yang saya buat. Eh?

Saya kata, ok tapi saya buat mudah-mudah je ya!

Saya cuma tumis bawang putih dan bawang merah hiris, masukkan sedikit serbuk cili Baba's, masukkan fishball, masukkan kicap Jalen lemak manis dan sos ikan. Saya campakkan mi dan sayur, saya gaul-gaul, rasa, tambah lagi sikit kicap, terus tutup api. Siap.

Bila saya hidangkan kepada suami saya, dia makan bertambah! Katanya sedap sangat ni, boleh buat jualan di kedai Pok Yeh. Bungkus siap-siap sepuluh bungkus, jual tiga ringgit sebungkus. Ketawa saya mendengarnya!

Begitulah seorang isteri, akan rasa bahagia bila masakannya dipuji walaupun pujian itu hanya sekadar gurauan.

Gambar Google 


 

1 comment:

  1. Assalamulaikum teacher...jika ada kesempatan bagi tips belajar matematik tambahan....terima kasih.

    ReplyDelete