Selamat Hari Guru.
Guru Pemacu Reformasi Pendidikan.
Tahun ini saya melangkah ke tahun ke-28 sebagai guru. Sejarah perkhidmatan saya bermula pada 6 Mac 1998 di SMK Mahmud, Raub. Pada tahun pertama itu jiwa guru saya masih rapuh tetapi tetap saya berusaha untuk mengukuhkan segala perasaan. Berjauhan dengan suami yang ketika itu mengajar di Kuala Krai, kemudian diuji dengan sakit sehingga perlu dibedah dan diberi cuti selama enam minggu yang menyebabkan temuduga lantikan jawatan saya ditangguh, menjadi liku-liku berharga dalam perjalanan awal saya.
Alhamdulillah saya melaluinya penuh tabah dan reda, di sisi suami yang sangat memahami dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.
1999, saya akhirnya pulang berkhidmat di Kelantan. Kali ini kami tidak berjauhan lagi, saya di SMK Kuala Krai dan suami saya di SMU(A) Rahmaniah. Kami menyewa rumah teres yang kecil tetapi sangat selesa untuk hidup berdua.
Di SMK Kuala Krai saya berkhidmat sehingga Januari 2006. Permohonan pertukaran kami ke Kota Bharu kerana mahu menginap di rumah sendiri yang sudah siap dibina, diluluskan. Pada Februari 2006 saya ditukarkan ke SMK Salor, bersama-sama dengan suami saya. Kami berada di sekolah itu sehingga Januari 2009, selepas permohonan pertukaran kami sekali lagi diluluskan. SMK Kampong Chengal menjadi sekolah saya yang seterusnya apabila diarahkan melapor diri di sekolah itu pada 1 Februari 2009 manakala suami saya pula bertukar ke SMK Kadok pada tarikh yang sama.
Hari ini, sudah lebih 16 tahun saya menjadi warga Chengal dan saya amat mensyukurinya. Sungguh saya sudah tidak mahu lagi berpindah sekolah. Saya mahu terus di sini sehingga saya bersara wajib pada 9 Januari 2032 nanti. Insya Allah, amin.
Terima kasih Tuhan, melorongkan perjalanan ini buat saya. Ia satu perjalanan indah walaupun penuh liku. Ia juga perjalanan yang mengajar saya banyak perkara tentang hidup dan kehidupan, juga membuka ruang seluasnya untuk mengumpul bakti menuju syurga abadi.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment