Pages

Wednesday, June 04, 2025

Negatif

Semalam, saya bermain teka-teki dengan anak-anak saudara saya yang riuh rendah memenuhi rumah Tokmanya. Wafa, Huda, Hana, Haneen - empat orang gadis kecil yang comel dan lincah, juga bijak dan petah. Huda dan Hana si kembar sudah pun berada di darjah 2, manakala Wafa darjah 1. Haneen yang masih kecil, baru berusia empat tahun setengah tetapi tetap menyertai kakak-kakaknya bermain.

"Lapan tolak lima berapa?"

Terus anak-anak kecil ini menyusun jari-jari mereka dan mengira.

"Tiga!"

Terpacul jawapan dari mulut mungil Wafa selepas melipat lima jari di tangannya dan mengira baki yang ada tiga. Huda dan Hana juga menjawab yang sama.

"Betul!" Saya bertepuk tangan tanda mengagumi kebolehan mereka. Tersengih semuanya.

"Ok, soalan seterusnya.. lima tolak lapan!"

Sekali lagi anak-anak ini menyusun jari jemari untuk mengira tetapi tiba-tiba dahi Wafa berkerut.

"Eh, mana boleh... "

"Kosong!" Wafa menjawab.

"Kena tulis dekat kertas, baru boleh kira sebab kena pinjam," ujar Hana pula. Saya faham maksud Hana tetapi bukan begitu caranya.

"Tak boleh pinjamlah Hana, nak pinjam kat mana?" Jawab saya. Terdiam mereka, berfikir lagi.

"Sebenarnya, lima nak tolak lapan tak boleh, sebab tak cukup tiga. Jadi lima tolak lapan ialah negatif 3, maksudnya tak cukup tiga," bersungguh-sungguh pula saya menerangkan pada hal mereka baru darjah 1 dan darjah 2.

Huda dan Hana meneruskan mainan di gajet mereka, tanda tidak mahu memanjangkan lagi soalan. Tetapi si Wafa masih mahu menyambung permainan.

"Habis tu, jawapannya apa?" Tanya Wafa.

"Negatif 3 lah, maksudnya tak cukup tiga," saya mengulang jawapan.

"Yalah, jawapannya apa? Bagi nombor..." pinta Wafa, masih tidak berpuas hati.

Saya lalu menekan kalkulator dan menunjuk jawapan kepadanya, tetapi dia masih tidak berpuas hati. Dia masih tidak boleh mencerna apa itu nombor negatif. Penyudahnya, saya minta dia bertanya kepada semua orang "lima tolak lapan berapa?" Semua yang ditanya menjawab negatif 3, dan dia kekal tidak faham. Haha!

Rupanya konsep nombor negatif ini belum mampu dihadam oleh minda anak-anak sekecil itu. Tidak mengapalah, bila mereka semakin dewasa dan semakin bijak, mereka akan faham juga nanti. Insya Allah, amin. 




No comments:

Post a Comment