Sunday, August 03, 2025

Alhamdulillah

Apabila mendapat berita yang adik bongsu saya Zahidah sakit pada petang Selasa lalu, saya benar-benar tidak tenteram. Dia jauh, nun di Shah Alam, tidak dapatlah saya menjenguknya. 

Kebetulan emak saya baru sahaja sampai di Putrajaya, di rumah adik saya Ismah. Saya rasa sedikit lega kerana sekurang-kurangnya Zahidah akan berteman. Tidaklah hanya dia dan Hafiz sahaja di sana. 

Zahidah disahkan mengalami slip disc tahap 1 selepas menjalani ujian MRI pada Khamis dan berada di hospital KPJ Shah Alam. Menanti berita rawatannya amatlah mendebarkan saya. Debaran yang saya rasa ini sama saja dengan yang pernah saya alami sewaktu Ismah sakit dahulu. Begitu merisaukan.

Petang Jumaat sepatutnya rawatan Percutaneous Disc Decompression dilakukan tetapi tertangguh sampai malam. Saya setia menanti dalam debar dan doa, walaupun jauh di Kelantan.

Alhamdulillah, pada lebih kurang jam 7.40 malam dia dibawa ke bilik rawatan dan pada 11.23 malam saya menerima mesej dari Hafiz menyatakan prosedur rawatan sudah selesai. Lega hati saya walaupun belum sepenuhnya. Bolehlah saya lelapkan mata.

Kebetulan juga, semua ini berlaku pada hari lahirnya yang ke-35. Begitu tulisan takdir Tuhan yang penuh dengan hikmah tidak terjangkakan.

Sekarang adik kesayangan saya ini sedang berehat di rumah dan diberi cuti dua minggu. Emak saya ada bersamanya di sana, menemani anak bongsunya yang manja.

Semoga Allah memberi kesembuhan yang sepenuhnya buat Dikdah dan memudahkan segala urusan Dikdah.

Amin.