Wednesday, July 30, 2025

Body Shaming

Hitam. Gemuk.

Dua perkara ini sangat ditakuti oleh orang perempuan Melayu. Dua perkara ini mentakrifkan segala yang negatif dalam seorang perempuan.

Sampai sekarang saya masih tidak faham kenapa warna kulit dijadikan bahan gurauan seolah-olah ia sesuatu yang kita tentukan sendiri. Dan sampai kini saya sentiasa menjaga kata-kata saya agar tidak menjadikan perkara itu satu gurauan yang biasa. Gemuk pun sama, walaupun ia boleh diubah tetaplah gurauan tentangnya menjadikan perasaan kita tidak selesa.

Saya pernah mendengar rintihan seorang anak kecil yang berkulit gelap kepada ibunya. "Ma, kenapa kulit abang putih? Dia mandi pakai sabun apa? Adik nak mandi dengan sabun tu juga sebab semua orang kata adik hitam..."

Allahuakbar! Sekecil itu dia sudah diejek kerana warna kulit. Dia sudah dibanding dengan adik beradiknya seolah-olah hitam itu tidak elok, putih lebih baik. Tidak terhiriskah hati ibunya?

Saya dulu pun begitu. Ramai kawan menggelar saya hitam. Saya seperti tidak kisah, memang tidak kisah pun, tetapi ada kesannya yang saya rasa.

Saya rasa saya tidak layak untuk merasa diri cantik. Saya hodoh sekali. Saya pernah terfikir, kenapa Tuhan tidak jadikan saya cantik sedikit? Sedikit pun cukuplah, bukan nak cantik banyak. Sebab, kawan-kawan saya semua cantik. Saya je hodoh.

Sekarang, baru saya tahu yang perasaan saya itu berpunca dari gurauan kawan-kawan (lelaki) yang memandang saya hitam dan selalu buat-buat tidak nampak saya.

Tolonglah untuk tidak menormalisasikan satu kesilapan sebegini. Janganlah menjadikan budak kecil sebagai mangsa walaupun dalam nada gurauan. Carilah gurauan lain yang kelucuannya tidak menghina. 

Tuesday, July 29, 2025

Namanya Politik

Saya memerhati, sejak dulu lagi pun beginilah adanya. Kedua-dua belah pihak tak akan pernah mahu mengakui 'kebenaran' pihak yang satu lagi.

Himpunan Turun Anwar;

Para peserta mengatakan perhimpunan ini berjaya, ramai rakyat berhimpun menolak Anwar maka Anwar memang tidak layak jadi PM.

Penyokong Anwar pula mengatakan sebaliknya, malah mengongsi rakaman video yang menunjukkan ceteknya otak peserta perhimpunan.

Krisis Thailand-Kemboja;

Penyokong Anwar memuji kebijaksanaan Anwar dalam menyelesaikan kemelut dua negara ini. Mereka bangga dengan Anwar sebagai Pengerusi Asean dan kata mereka dunia turut mengakui kehebatan Anwar.

Manakala puak-puak pembangkang mengejek dan memandang perkara ini biasa saja, malah Najib dulu pun pernah menyelesaikan konflik umat Islam Moro dengan kerajaan Filipina tetapi dipersendakan oleh pembangkang.

Saya nampak polanya di sini. Sebagai rakyat yang tiada parti politik, saya nampak semuanya sama.

Itulah politik. Buat rugi masa je jadi penyokong atau pentaksub parti mana-mana pun. Sama.

Ya, sama saja. 

Saturday, July 26, 2025

Koleksi


Inilah satu-satunya gambar perkahwinan saya yang elok. Jadi saya guna apps Remini untuk menjadikannya hidup.






Turun

Mereka berhimpun hari ini. Berhimpunlah. Turun Anwar katanya. Turunlah. Saya tak kisah. Siapa nak naik? Saya tak kisah juga. Boleh begitu? Entahlah.

Tapi hari ini saya di sini, di sekolah, di SMK Kampong Chengal. Hari ini program Gotong Royong Madani diadakan. Saya pun turunlah, seperti diarahkan.

Yang ada sedikit sahaja. Guru ramailah juga, tapi murid tak sampai separuh. Kan Sabtu, mestilah tak berapa rajin nak datang. Gotong Royong pula tu....

Tak apa. Apa-apa pun tak apa. Teruskanlah. Zaman now, tak boleh nak tegur, tak boleh nak marah, takut cedera emosi. Saya pun sama, emosi sangat mudah koyak. Sikit-sikit sedih, sikit-sikit murung. Risau.

Sebelum datang ke sekolah tadi, suami saya ajak sarapan dulu di kedai. Jom, saya suka! Di Restoran Sri Dendang, Ketereh kami bersarapan dengan nasi belauk ayam kampung gulai. Sedap sangat. Nanti saya nak datang lagi. Dah banyak kali sebenarnya kami ke sini, masih belum jemu lagi.

Kebetulan Pakcik Khatib (pengawal keselamatan sekolah saya) juga sedang bersarapan di situ bersama isteri dan dua anaknya. Pakcik Khatib ni baik walaupun mukanya serius sokmo. Anak perempuannya, Dayana ialah murid tingkatan 5C2 dan saya mengajarnya Matematik. Suami saya bermurah hati untuk membayar sarapan mereka. Sejumlah RM58 kami belanjakan di kedai itu untuk 6 orang makan. Ok lah tu, berpatutan.

Eh, saya sedang bersendirian di bilik saya ni, walaupun mereka semua sedang sibuk bergotong royong di bawah sana. Saya takde mood awak. Panas. Tak apa kan?

Sekian. 

Sedikit rakaman di sekolah hari ini 👇

Rakan senasib - Yusniza, Zalinatun, Sabarina. 

Bukti bergambar kena ada. Kami bersama-sama PKP dan PKHEM

Dua ketul budak 5C4, Ayuni dan Damia

Eh, sorang je?


Friday, July 25, 2025

Bantuan

Dapat 100, bising. Aduh!




Susahkan jadi pemimpin, nak kena hadap perangai rakyat yang macam-macam. Tetapi peliknya, berebut puak-puak mereka nak jadi pemimpin. Sampai nak berhimpun suruh PMX turun.

Saya ni, semakin hari semakin menyampah dengan dunia politik Malaysia. Selalu sakit hati bila terbaca tulisan golongan yang anti kerajaan. Macam sengsara benar hidup mereka di bawah pemerintahan kerajaan perpaduan. Bagus sangat ke calon PM idaman mereka tu?

Saya bukan pentaksub PMX. Saya bukan orang PH. Saya non-partisan, yang melihat semua parti politik di negara saya sama dan serupa saja peelnya. Sejak Tuan Guru meninggal dunia, saya hilang rasa dah nak sokong parti politik sebab keutamaan mereka dah lain. Tak sama dengan Tuan Guru yang begitu tinggi nilai akhlak dan keperibadiannya.

Bila mengundi, saya pilih yang saya rasa lebih baik dalam kalangan yang tak baik itu. Selepas mengundi, saya abaikan segala berita tentang kegelojohan puak-puak ini. Saya sakit telinga mendengar ucapan dan ceramah politik, biar dari pihak mana pun.

Pada saya, bantuan yang diumumkan ini biasa saja. Sama seperti PM-PM sebelum ini juga, tetapi tidaklah saya mahu mengkritik apa-apa. Ambil sahaja dan ucap terima kasih. Sejujurnya, saya tidak terlalu menyokong pemberian sebegini, sejak BR1M lagi. Tetapi kelihatannya kerajaan sekarang seperti tiada pilihan, terpaksa meneruskan amalan pemberian sebegini kerana rakyat terlalu meminta.

Jadinya, nak bising sebab apa? Nak bagi nampak bodoh? 


Tuesday, July 22, 2025

Sukan

Walaupun saya ini seorang yang suka menonton sukan sejak dari kecil, tetapi hakikatnya saya hanyalah seorang penonton.

Saya tahu perkembangan sukan dunia seperti Piala Thomas, Piala Dunia, Olimpik dan lain-lain tetapi saya tidak suka bersukan.

Apabila menjadi guru, saya tidak boleh mengelak daripada terlibat dengan aktiviti kokurikulum termasuklah sukan. Saya pernah diberi tugas sebagai guru penasihat badminton tetapi tidak lama kerana saya tidak memandu. Apabila murid perlu menyertai pertandingan, saya tidak boleh menghantar. Mujurlah.

Pun, saya tetap guru rumah sukan dan guru Pendidikan Jasmani. Anda rasa?

Susah mahu meletakkan sukan dalam jiwa saya kerana kenyataannya saya tidak berjiwa sukan. Semakin meningkat usia, semakin jauh saya tinggalkan sukan. Sejauh-jauhnya. Hilang rasa.

Kini, apabila murid saya meninggalkan kelas kerana pergi bersukan, saya rasa mereka adalah golongan yang rugi. Apalagi jika mereka murid Tingkatan 5. Lagilah rugi.

Pada saya, sekolah adalah ruang akademik. Sukan hanya sampingan untuk diisi pada waktu petang, santai-santai. Usah bazirkan masa PdPc dengan menyertai pertandingan yang tempohnya berminggu-minggu. Dan, apabila pulang dari pertandingan, mereka datang kepada saya meminta ulang mengajar bab yang mereka tertinggal. Oh tidak!

Jika kamu mengutamakan sukan, maka bab yang tertinggal itu kamu carilah sendiri! Mahu saja saya menjawab begitu.

Percayalah, sukan bukan sesuatu yang penting dalam hidup. Carilah pengetahuan dalam bidang lain, yang lebih bermanfaat.

Sekian. 

Tuesday, July 08, 2025

Doakan Saya

Saya mohon, doakan agar saya sentiasa sihat sepanjang hayat. 

Semalam, saya teruji dengan serangan SVT yang lama. Walaupun ia bukanlah sakit bahaya yang kronik, saya sangat resah dan terganggu. Hampir 12 jam denyutan nadi saya laju sehingga mencapai 180 denyutan seminit, menyebabkan pergerakan saya tidak seperti biasa. Mengah dan tidak selesa.

Alhamdulillah hari ini saya pulih. Semoga saya terus sihat, dapat berkhidmat kepada insan-insan di sekeliling saya dan tidak menyusahkan siapa-siapa.

Amin.


Thursday, July 03, 2025

Panjang

"Panjang sangatlah, tak larat nak baca. Lukis boleh?"

Banyak kali saya tersapa komen sebegini di Facebook apabila sesuatu hantaran itu panjang. Dan pengomennya adalah orang Melayu.

Pada saya, semakin panjang sesuatu tulisan di Facebook, semakin teruja untuk saya baca. Seperti ada banyak perkara baru yang saya boleh ambil daripada hantaran itu. Mungkin pengetahuan baru, perkataan baru, atau nada tulisan yang boleh saya tiru.

Sayang , orang kita mudah jemu untuk membaca. Mereka sebaliknya lebih gemar menonton. Sebab itu aplikasi Tik Tok semakin popular. Saya pula, cepat jemu dengan video. Tik Tok bagi saya hanya tontonan masa santai yang sekejap sahaja. Kadang-kadang sampai lebih seminggu saya tak buka Tik Tok. Video yang entah apa-apa menyerabutkan saya. Video yang rakan-rakan saya kongsi di WhatsApp pun saya jarang buka. Membaca lebih memberi kepuasan pada saya.

Rupanya bukan semua orang memiliki rasa yang sama. Cuma, jika pun tidak suka membaca tulisan yang panjang, usahlah disindir sedemikian. Nanti bila pemilik tulisan itu menjawab, "kalau saya lukis pun, anda takkan mampu faham," malu pula jadinya!