Walaupun saya ini seorang yang suka menonton sukan sejak dari kecil, tetapi hakikatnya saya hanyalah seorang penonton.
Saya tahu perkembangan sukan dunia seperti Piala Thomas, Piala Dunia, Olimpik dan lain-lain tetapi saya tidak suka bersukan.
Apabila menjadi guru, saya tidak boleh mengelak daripada terlibat dengan aktiviti kokurikulum termasuklah sukan. Saya pernah diberi tugas sebagai guru penasihat badminton tetapi tidak lama kerana saya tidak memandu. Apabila murid perlu menyertai pertandingan, saya tidak boleh menghantar. Mujurlah.
Pun, saya tetap guru rumah sukan dan guru Pendidikan Jasmani. Anda rasa?
Susah mahu meletakkan sukan dalam jiwa saya kerana kenyataannya saya tidak berjiwa sukan. Semakin meningkat usia, semakin jauh saya tinggalkan sukan. Sejauh-jauhnya. Hilang rasa.
Kini, apabila murid saya meninggalkan kelas kerana pergi bersukan, saya rasa mereka adalah golongan yang rugi. Apalagi jika mereka murid Tingkatan 5. Lagilah rugi.
Pada saya, sekolah adalah ruang akademik. Sukan hanya sampingan untuk diisi pada waktu petang, santai-santai. Usah bazirkan masa PdPc dengan menyertai pertandingan yang tempohnya berminggu-minggu. Dan, apabila pulang dari pertandingan, mereka datang kepada saya meminta ulang mengajar bab yang mereka tertinggal. Oh tidak!
Jika kamu mengutamakan sukan, maka bab yang tertinggal itu kamu carilah sendiri! Mahu saja saya menjawab begitu.
Percayalah, sukan bukan sesuatu yang penting dalam hidup. Carilah pengetahuan dalam bidang lain, yang lebih bermanfaat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment