Saya mula mengumpul majalah bermula pada tahun 1999. Tahun-tahun sebelum itu ada juga saya beli tetapi tidak secara tetap. Apabila berpindah dan menetap di rumah sewa bersama-sama suami di Kuala Krai dan tidak lagi PJJ, saya mudah untuk membeli majalah-majalah kegemaran saya.
Saya paling gemar dengan majalah Jelita. Walaupun majalah lain saya beli juga (Keluarga, Wanita dan Perempuan) tetapi pada saya kualiti majalah Jelita berbeza. Dari segi isi dan gaya penulisan, majalah Jelita mendahului. Jadi setiap bulan saya tidak pernah ketinggalan mendapatkan majalah Jelita dan menyimpannya dengan elok.
Pada Mei 1999, seperti biasa saya apabila nampak majalah Jelita keluaran baru tergantung di kedai, terus saya membelinya. Edisi kali ini agak istimewa bagi saya kerana temanya Menanti Zuriat. Saya membacanya penuh khusyuk kerana banyak pengetahuan tentang masalah menanti zuriat yang sinonim dengan saya.
Dek belum sempat khatam di rumah, saya membawanya ke sekolah. Dan tentunya akan ada rakan-rakan mahu meminjam.
Saya biarkan saja rakan-rakan saya membaca majalah saya itu.
Rupa-rupanya, seorang rakan di meja sebelah saya yang mahu meminjam majalah itu dan membaca di rumah, terlupa membawa balik dan tertinggal majalah itu di mejanya. Esok, majalah itu hilang.
Saya kecewa kerana saya belum habis baca. Isu Menanti Zuriat sangat menarik buat saya tetapi majalah sudah hilang! Kakak itu berjanji akan membeli ganti tetapi dia gagal mencari di kedai kerana sudah habis. Dia ganti dengan majalah Keluarga bulan Jun untuk saya.
Saya pasrah, tetapi hati masih teringat-ingatkan majalah itu. Begitu sekali obsesnya saya dengan Majalah Jelita. Apabila saya menyusun majalah di rak, Jelita 1999 hanya ada 11 buah kerana keluaran Mei saya hilang. Sedih, kan?
Lama suda peristiwa itu berlalu tetapi saya tetap ingat. Pernah saya menghantar emel kepada Syarikat Majalah Jelita meminta umtuk membeli keluaran itu tetapi emel saya tidak dijawab.
Tahun lepas, saya membelek Shopee dan mencuba mencari majalah lama yang dijual. Ada je Jelita lama tetapi keluaran Mei 1999 tidak pula saya tersapa. Tetap juga saya beli keluaran-keluaran lain yang tiada dalam simpanan atau yang sudah rosak.
Sehinggalah minggu lepas, saya mencari lagi. Bayangkan selepas lebih 26 tahun saya masih belum lupa tentang majalah ini. Sungguh saya mahu menghabiskan bacaan saya yang tersekat dulu!
Dan kali ini ia muncul di depan mata saya! Sungguh saya sangat teruja dan terus membelinya dengan harga cuma RM10.00. Saya tidak sabar menanti ketibaannya.
Hari ini, Sabtu 23 Ogos 2025, selepas 26 tahun 3 bulan saya mendapat kembali majalah kesayangan saya itu. Terus saya belek dan belek, dan saya begitu gembira kerana akhirnya ia ada dalam milikan saya. Kini rak majalah Jelita 1999 saya akan lengkap 12 buah.
Begitulah, jika masih ada jodoh, tentulah tidak akan ke mana.
No comments:
Post a Comment