Tahun 1979, saya masuk darjah 1. Ayah membekalkan saya wang belanja sebanyak 20 sen setiap hari. Sebagai murid darjah 1, saya mendapat makanan RMT jadi wang yang ayah beri itu saya buat beli kuih dan kacang saja. Air minuman pula saya bawa bekal dalam botol plastik.
Apabila melangkah ke darjah 2, saya tidak lagi menerima RMT kerana tidak layak. Jadi ayah tambah duit belanja saya menjadi 30 sen sehari. Saya akan beli nasi 20 sen dan air 10 sen. Waktu ini saya tidak lagi membawa bekal air ke sekolah, tidak pasti pula kenapa.
Dan begitulah pada tahun-tahun berikutnya, wang belanja sekolah saya hanya puluh-puluh sen sahaja. Sehingga pada darjah 6 (1984) wang belanja saya ialah sebanyak 50 sen.
Apabila saya masuk asrama pada 1985, MARA memberi wang saku RM15 sebulan tetapi waktu rehat kami memang ada makanan disediakan di dewan makan. Jadi wang itu saya guna untuk membeli alat tulis dan barang mandian di koperasi. Itu pun murah-murah belaka, pen jenama Reynolds hanya 30 sen sebatang dan sabun Popinjay pula cuma 60 sen seketul. Sesekali saya beli juga air minuman berkarbonat jenama Cheers yang berharga 60 sen sebotol dan mi segera jenama Mamee perisa lontong berharga 30 sen sepaket. Ok sahaja kami makan makanan tidak berkhasiat setiap malam minggu, beramai-ramai di lounge asrama kami.
Begitu nilai wang sekitar 40 tahun dahulu. Gaji permulaan seorang guru lulusan universiti sebanyak RM1060 sebulan terasa begitu besar dengan nilai wang masa itu. Malah harga emas cuma RM20 - 30 sahaja segram.
Melihat situasi kini, jika dibandingkan dengan harga emas yang menjangkau RM500 segram hari ini sepatutnya gaji permulaan RM1060 itu menjadi RM17600!
Kalaulah....
No comments:
Post a Comment