Saturday, September 27, 2025

Salam Sabtu

Saya sedang menikmati hari Sabtu saya di sekolah. Alhamdulillah.
 
Pada hari Isnin dan Selasa 29 dan 30 September nanti, seluruh negeri Kelantan akan bercuti sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-IV yang ke-56. Ini menjadikan hari Ahad kami nanti terapit dengan cuti. Jumaat dan Sabtu kami cuti hujung minggu, Ahad kami bekerja, Isnin dan Selasa kami cuti semula.
 
Pihak JPN Kelantan melihat situasi ini sebagai satu peluang untuk murid-murid dan guru-guru menikmati cuti sepanjang lima hari jika hari Ahad dicutikan juga. Lalu mereka membenarkan pihak sekolah memohon cuti pada Ahad sebagai cuti berganti, diganti pada Sabtu 25 Oktober nanti. Dengan itu, murid-murid dan guru-guru bolehlah merancang percutian keluarga selama lima hari itu.
 
Malangnya sekolah kami enggan memohon cuti tersebut. Saya tidak pasti apa rasional Pengetua kami, tetapi tindakan beliau menimbulkan pelbagai rungutan dalam kalangan guru dan murid. Apatah lagi kebanyakan sekolah-sekolah di sekitar sini mengambil cuti tersebut menyebabkan bertambahlah rasa geram dalam hati warga Chengal.
 
Saya?
 
Mungkin saya pun ada rasa kecewa itu, tetapi saya alaskan dengan reda. Wah!
 
Kalau saya kecewa pun, saya boleh buat apa? Saya tetap perlu menerima keputusan pentadbir dan tetap wajib hadir ke sekolah pada Ahad 28 September ini kecuali jika saya ada keuzuran. Jadi saya reda sahaja. Biarlah, apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti - Kata Siti Nurhaliza dalam lagu Melawan Kesepian.
 
Hari ini pun - walaupun Sabtu - saya ada di sekolah sejak pagi. Saya tiba pada jam 7.39 pagi dan terus menuju ke bilik saya untuk urusan yang pelbagai (termasuk menulis blog ini) semenatara menanti kelas tambahan yang akan bermula pada jam 10.00 pagi nanti. Kenapa saya datang awal? Saja....
 
Begitulah hidup. Jika kita sentiasa memikirkan sisi negatif sesuatu perkara itu, kita tentunya akan selalu kecewa. Allah memberi kita akal dan emosi, selaraskanlah. Itulah pegangan saya sekarang demi merawat penyakit jantung saya ini. Sudah tiga bulan saya bebas dari serangan SVT, dan saya berdoa semoga saya akan bebas berpanjangan daripada penyakit ini. Amin.
 
 

 
 

No comments:

Post a Comment