Walaupun mereka selebriti yang terkenal dan tidak pun mengenali saya, tetaplah saya mahu menulis rasa saya tentang mereka dari sudut pandang seorang saudara seagama.
Fattah. Amira. Fazura.
Saya seorang yang neutral. Apabila Fazura dan Fattah mahu berpisah, saya sedih. Saya kasihan memikirkan nasib Fatima yang akan memiliki ibu bapa yang tidak tinggal bersama.
Apabila mereka sah bercerai, saya reda. Saya doakan setiap mereka menemui kebahagiaan dalam perjalanan hidup masing-masing. Fatima pula, semoga tidak terlalu terkesan dengan perpisahan ini dan menikmati bahagia selayaknya.
Jalan hidup dan ketentuan masa depan kita, semuanya di tangan Tuhan. Manusia diberi upaya untuk berusaha dan merancang, dan natijahnya sudah pun Allah tulis siap-siap.
Tersurat Fattah menemui jodoh terlebih dahulu, bersama Amira, gadis Johor yang manis dan sopan. Mereka dilihat begitu terjaga dalam perhubungan sebelum ikatan terpatri. Kata In-Team, "syariat tetap membataskan". Saya turut berbahagia dengan ikatan yang baharu ini dan mendoakan segalanya berada dalam rahmat Tuhan.
Dan Fazura pula, kelihatan tenang bersahaja menerima segala lakaran takdir dengan hati terbuka. Tiada apa perlu disedihkan kerana Fattah bukan miliknya lagi. Dia sudah reda dan bersyukur meneruskan kehidupan.
Saya mengasihi mereka sebagai insan-insan yang pernah menceriakan hidup saya dengan lakonan dan nyanyian mereka. Tidak mudah menjadi selebriti, kekuatan emosi dan mental terlalu penting dalam menempuh setiap kata nista masyarakat. Pandangan yang pelbagai mencetus rasa tidak senang dalam hati saya seolah-olah masyarakat lebih tahu apa yang ketiga-tiga selebriti ini hadapi.
Doa saya, semoga Allah menjaga mereka dan kehidupan mereka tenang dan bahagia, tanpa dendam dan benci.
No comments:
Post a Comment