Wednesday, July 30, 2025

Body Shaming

Hitam. Gemuk.

Dua perkara ini sangat ditakuti oleh orang perempuan Melayu. Dua perkara ini mentakrifkan segala yang negatif dalam seorang perempuan.

Sampai sekarang saya masih tidak faham kenapa warna kulit dijadikan bahan gurauan seolah-olah ia sesuatu yang kita tentukan sendiri. Dan sampai kini saya sentiasa menjaga kata-kata saya agar tidak menjadikan perkara itu satu gurauan yang biasa. Gemuk pun sama, walaupun ia boleh diubah tetaplah gurauan tentangnya menjadikan perasaan kita tidak selesa.

Saya pernah mendengar rintihan seorang anak kecil yang berkulit gelap kepada ibunya. "Ma, kenapa kulit abang putih? Dia mandi pakai sabun apa? Adik nak mandi dengan sabun tu juga sebab semua orang kata adik hitam..."

Allahuakbar! Sekecil itu dia sudah diejek kerana warna kulit. Dia sudah dibanding dengan adik beradiknya seolah-olah hitam itu tidak elok, putih lebih baik. Tidak terhiriskah hati ibunya?

Saya dulu pun begitu. Ramai kawan menggelar saya hitam. Saya seperti tidak kisah, memang tidak kisah pun, tetapi ada kesannya yang saya rasa.

Saya rasa saya tidak layak untuk merasa diri cantik. Saya hodoh sekali. Saya pernah terfikir, kenapa Tuhan tidak jadikan saya cantik sedikit? Sedikit pun cukuplah, bukan nak cantik banyak. Sebab, kawan-kawan saya semua cantik. Saya je hodoh.

Sekarang, baru saya tahu yang perasaan saya itu berpunca dari gurauan kawan-kawan (lelaki) yang memandang saya hitam dan selalu buat-buat tidak nampak saya.

Tolonglah untuk tidak menormalisasikan satu kesilapan sebegini. Janganlah menjadikan budak kecil sebagai mangsa walaupun dalam nada gurauan. Carilah gurauan lain yang kelucuannya tidak menghina. 

No comments:

Post a Comment