Thursday, March 12, 2026

Jaga Periksa


Antara tugas wajib seorang guru ialah mengawas peperiksaan atau istilah santainya - jaga periksa. Pada waktu ini, suasana kelas menjadi sunyi kerana murid-murid tekun menatap soalan dan memikir jawapan. Mengawas kelas hadapan, sangatlah aman dan tenteram kerana mereka memang tekun menjawab. Sebaliknya, jika mengawas kelas belakang, banyaklah dugaan mendatang. Mahu keluar ke tandas, tidur, berbual, malah ada yang datang bertanya jawapan dengan cikgu!

Sekarang saya sedang mengawas peperiksaan Tasawwur Islam di kelas 4C3. Masa saya di kelas ini ialah dari pukul 11.10 pagi hingga 12.40. Satu jam setengah. 

Masa mengawas, guru sepatutnya memerhati dan memastikan murid menjawab sendiri, tidak meniru dan tidak menipu. Tetapi guru tidak digalakkan untuk terlalu kerap berjalan melihat murid menjawab kerana bimbang mengganggu konsentrasi. Guru hanya boleh melihat dari tempat duduknya, dan sekali sekala sahaja bangun berjalan.

Saya pun termangulah di meja guru ini. Ada seberkas kertas soalan yang belum ditanda tetapi saya rasa tiada mood untuk membukanya. Hari ini 22 Ramadan, bila menghampiri ke tengah hari mata mulalah terasa layu.

Selamat menjawab ya anak-anak. Cikgu doakan kalian berjaya. 

No comments:

Post a Comment