Pada tahun 80-an dahulu ada satu rancangan pertandingan lagu dinamakan Pesta Lagu Malaysia, yang mempertandingkan lagu-lagu baharu ciptaan komposer tempatan.
Walaupun saya masih berada di sekolah rendah, usia belum pun sampai dua belas tahun tetapi saya selalu menonton rancangan ini secara langsung.
Pesta Lagu Malaysia yang pertama berlangsung pada 1981 dan saya tidak menontonnya, tetapi saya tahu lagu yang menjuarainya ialah Ke Mana Kan Kubawa Diri ciptaan Mahzan Manan dan dinyanyikan oleh Noorkumalasari.
Manakala Pesta Lagu Malaysia yang kedua berlangsung pada 1982 dan saya menonton secara live. Banyak lagu yang sedap dipertandingkan, seperti Kau Pergi Jua (saya lupa penciptanya tetapi dinyanyikan oleh Adam Ahmad), Syurga Bagimu (penciptanya Noor Baiti dan dinyanyikan oleh Noreen Noor) dan yang paling menyentuh hati sehingga saya menangis sewaktu mendengarnya ialah lagu Namun Kupunya Hati (dicipta oleh Freddie Fernandez dan dibawa dengan penuh perasaan oleh Rohana Jalil).
Apabila keputusan diumumkan, ternyata lagu Namun Kupunya Hati menjadi juara Pesta Lagu Malaysia ke-2.
Pesta Lagu Malaysia yang ketiga 1983) dan keempat (1984) pun saya tonton secara live. Juara-juaranya ialah Balada Seorang Gadis Kecil (ciptaan dan nyanyian oleh Zubir Ali) dan Balada Seorang Nelayan Tua (ciptaan Ismail Ahmad Nawab dan dinyanyikan oleh Broery Marantika).
Apa pun, lagu Namun Kupunya Hati tetap saya gemari sehingga kini. Tetap menyentuh rasa hati saya jika dihayati.
Selepas itu saya tidak pasti masih wujudkah Pesta Lagu Malaysia pada tahun-tahun berikutnya. Rasa saya sudah tiada lagi sehingga kini.
No comments:
Post a Comment