Sunday, September 29, 2013

Muiz rindu

Dia cuma seorang anak kecil yang baru mengenal seperkara dua dalam hidup ini. Usia tiga tahunnya masih terlalu mentah untuk dididik menjadi matang dan tabah menerima. Tapi saya tahu, dia mencuba.

Lebih sepuluh hari saya tidak melihat dia. Terakhir kali, pada 16 September saat saya bertandang menemui mama dan abahnya sebelum mereka berangkat ke tanah suci sehari kemudian.

Sehinggalah dua hari lepas. Petang Jumaat yang indah.

Ismah mengkhabarkan Muiz ada di rumah tok ma. Saya yang rindu ini, menuju ke sana untuk menemuinya. Dia sedang riang bermain bersama Sufi dan Nasih. Jelas kedengaran suara ceria mereka bertiga saat langkah saya melepasi pintu rumah ma.

"Mama!"

Berlari Muiz menyambut saya tiba. Tergamam saya hingga tidak terkata saat dipanggil begitu. Ya Tuhan! Anak ini menyangka mamanya pulang!

Dengan nada bergurau, saya bersuara, "ya, ini mama!"

Wajahnya bertukar hiba. "Bukan.." katanya dalam nada yang tidak begitu ceria lalu berlari kembali kepada Sufi dan Nasih untuk terus bermain.

Kagum saya melihat dia yang begitu mampu menahan rindu. Kagum dalam sebak yang tertahan-tahan. Aduhai!

Tidak perlu gusarlah wahai mama dan abah Muiz. Jiwanya begitu kental menempuh setiap dugaan. Saya yakin amat, dewasanya nanti bakal menjadi nadi penggerak dan berupaya menyusur setiap onak dan duri kehidupan. Lihatlah, sekecil ini pun dia mampu!

Semoga Allah memberimu kekuatan itu. Amin.

Saturday, September 28, 2013

Perpustakaan

Saya gemar sekali ke sini. Sejak kecil, tempat ini menjadi ruang terbaik untuk saya mencari dan mendalami. Apa sahaja.

Di mana-mana saya pergi, saya cepat sekali mengenali tempat begini. Ia tenang. Ia damai. Ia ada satu rasa yang penuh keajaiban.

Pagi ini, saya membawa pelajar saya ke sini. Saya mahu mereka mencipta rasa yang sama seperti saya. Rasa ingin mencari. Ingin mendalami.

Dalam kedinginan suasana, sekumpulan pelajar memenuhi sebuah meja. Di atas meja itu tiada sebiji buku pun. Mereka hanya termangu dan termenung. Mata berkelip, tetapi kosong segala.

Kecewa sungguh saya. Mereka tidak mahu langsung menikmati keindahan mencari dan mendalami. Sungguh saya kecewa kerana jiwa mereka tidak pernah kenal makna sebuah harta paling berharga.

Sunday, September 22, 2013

Tamat

Tahniah. 

Tamat sudah kesemua anak ma dan ayah bergraduasi. Selepas ini, giliran pemilik-pemilik master dan cucu-cucu ma pula. 

Insya allah.
Amin.

Konvo 1996

Agak ngeri, tetapi saya mengenangnya sebagai kenangan terindah juga.

Tanggal 3 Ogos 1996, saya diminta hadir untuk menerima Ijazah Sarjanamuda Matematik dengan Kepujian Kelas Dua Bawah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM Bangi. Setelah berhempas pulas selama empat tahun untuk menyudahkan segala keperluan kursus, kini saya sudah diisytihar layak menerima segulung ijazah yang amat bermakna itu. Tentunya, bahagia berbunga bangga tumbuh mekar di hati saya.

Saya sedang berKPLI waktu itu, di MPKT Batu Rakit. Mahu dengan siapa saya pergi? Mujur ada beberapa orang sahabat dari kumpulan KPLI Al-Quran dan Sunnah yang juga bakal berkonvo pada hari yang sama membantu saya mendapatkan tiket bas KT - KL. Dihantar rakan sekelas, kak Affida yang tinggal di bandar Kuala Terengganu, saya pun berlepaslah ke KL bersendirian.

Ayah dan emak disertai adik-adik saya dan Ayah Mat bertolak dari Kota Bharu. Kami berjanji berjumpa di rumah Pak Su Soh di Bandar Baru Bangi.

Rupanya, hari yang bakal menjadi ingatan abadi ini dicacatkan dengan peristiwa luar duga yang bertimpa-timpa. Sehari sebelum konvo berlangsung, satu Malaysia terputus bekalan elektrik. Ayah dan emak dalam perjalanan waktu itu. Dan entah mengapa, kereta mereka rosak di KL. 

Di rumah Pak Su saya tabah menanti. Dalam cahaya lilin saya memasak makan malam di dapur. Dan, dek bekalan elektrik yang belum pulih, membawa kepada kehabisan bekalan air pula!

Mujurlah, Allah tidak memberatkan perasaan saya. Sedikit pun saya tidak gusar malah saya tenang setenang-tenangnya. Tanpa elektrik, saya tidak dapat menggosok baju. Tanpa air, bagaimana saya mahu mandi? Tetapi hati saya sangat sopan kali ini. Sedikit pun tidak tergores rasa hiba.

Emak dan ayah tiba pada hampir tengah malam, pun mereka kelihatan teruja dan gembira. Kami sempat bersama-sama menikmati makan malam dalam suram cahaya lilin. Terima kasih Pak Su dan Mak Su, bersusah payah kalian meraikan kami yang tiba dalam suasana luar jangka ini.

Begitulah. Esok menjelma tanpa mungkir dan saya terjaga pada jam menghampiri lima pagi. Elektrik sudah menjelma, dan air masih berbaki. Sempat saya menggosok baju kurung dan bersiram seadanya. Alhamdulillah.

Apabila sampai di dewan barulah saya teringat satu perkara. Kamera! Bagaimana saya boleh lupa membawanya?

Maka, bergambarlah saya dengan kamera kawan-kawan saya dengan banyaknya tetapi satu pun tiada dalam simpanan saya. Waktu itu facebook belum ada dalam khayalan pun lagi. Apatah lagi twitter atau WhatsApp. Berlalulah hari bersejarah itu tanpa secebis kenangan!

Tetapi, Allah itu maha penyayang. Sepupu saya Bahri yang sedang belajar di situ, datang bersama kameranya. Lega rasanya kerana dapat juga saya menyimpan sedikit kenangan. Alhamdulillah.

Sunday, September 08, 2013

Cara Berbeza

Walaupun kita sama-sama guru, cara kerja kita berbeza. Kita mungkin sama dari segi matlamat dan hasrat tetapi manual kita ke arah itu berbeza. Kita manusia, yang sememangnya cuma kelihatan sama dari segi zahirnya sahaja. Batin kita, hanya kita yang tahu.

Lalu, biarkan saya mengemudi cara kerja saya sendiri. Jika saat ini saya masih belum punya rasa untuk melangsaikan segala yang bertimbun di atas meja ini, biarkanlah. Asal sahaja apabila tiba tempohnya, saya mampu memberi segala yang diperlu. Saya ada cara saya, waktu saya, dan mood saya untuk menyudahkan segala yang tertunggak itu. Terima kasih kepada yang cakna, tetapi cukuplah sekadar itu. Kerana memang kita sama-sama tahu, kita punya cara yang berbeza.

Nanti, apabila segalanya usai, saya yakin saya mampu mempersembahkan satu sejarah. Satu pencapaian yang berbeza daripada apa yang diperoleh sebelum ini. Saya yakin, dan saya berjanji!

Amin.

Friday, September 06, 2013

Emak sudah tua

Dalam seminggu, kesempatan saya untuk bersama emak hanyalah sekali dua. Itu pun sekejap saja. Benarlah, tugas dan tanggungjawab telah menjarakkan saya dengan emak.

Sedang dulu sewaktu kecil, berjauhan sebentar pun rindu bagai menggunung.

Sesekali berpeluang berada bersama emak, saya rasa bahagia. Jika boleh, saya mahu sering-sering bersama emak kerana di sisinya ada ketenangan. Cerita emak, nasihat emak, suara emak adalah bait-bait puitis yang tidak mungkin saya peroleh daripada orang lain.

Kadang-kadang saya rasakan betapa tidak adilnya saya kerana tidak mampu meluang masa yang lebih untuk emak. Saya sibuk, hingga tidak sempat menjenguk emak yang tinggal tidak sampai pun lima minit perjalanan dari rumah saya. Saya penat, pada hal apa sangatlah kerja yang saya buat. Maafkanlah saya, emak!

Melihat raut wajah emak, garis-garis ketuaan mula membekas. Kudrat emak sudah tidak sekuat dulu lagi. Kesihatan emak juga sudah mula menurun. Ya, emak sudah tua.

Tapi kasih sayang emak tetap sama seperti dulu. Biarpun kesempatan mengunjungi emak jarang-jarang ada, emak tidak pernah merungut. Emak tidak pernah berasa dipinggir walaupun anak-anak jarang menghubungi kerana emak faham tuntutan tanggungjawab yang terpikul di bahu anak-anaknya.

Terima kasih emak kerana melahirkan saya ke dunia. Segunung jasa emak tidak akan mampu saya balas. Hanya doa agar Allah melindungi emak selalu.

Saya sayang emak.

Wednesday, September 04, 2013

Naik

kalian rampas subsidi kami
entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu
wang mesti dicatu
kita menuju maju

kalian kata:
jika tidak
semua menderita
habis harta negara

kalian berbahasa:
bukan barang naik harga
cuma subsidi turun sahaja
kami orang desa
mungkin tidak pandai kira berjuta-juta
kami orang kecil kota
mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu
biasanya kami diam selalu
tapi dapatkah kami dibohongi
tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah?
wang semakin lelah?
jika semalam berlauk
hari ini cuma berkuah
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah

jika semalam kau makan sepinggan hari ini separuh
kerana barang makin angkuh
wang papa makin rapuh

apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang

jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?j
anganlah nanti mereka membenci pertiwi
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini
atau kami jadi insan curang
kami diberitahu;
cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang,
nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja
pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak

sedangkan kalian manusia angkasa
istana permata dibina
kereta berjuta dirasa
elaun di serata
dari isteri sehingga seluruh keluarga
hidangan istimewa
konon meraya kemakmuran negara

Tapi kami masih di sini
di teratak ini
dengan lauk semalam
dengan hidangan yang tidak bertalam
dengan rumah yang suram
dengan wang yang hampir padam

tiada istana lawa
tiada kereta berharga
tiada layanan diraja
tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri
tiada hidangan vip
tiada persen di sana-sini
tiada bahagian anak dan bini

Tiba-tiba kalian kata:
kamilah beban negara
aduhai celaka bahasa yang kalian guna
kalian yang belasah
kami yang bersalah
kalian buat untung
hutang kami tanggung
kalian mewah melimpahkami susah parah
kalian hilangkan wang
poket kami yang terbang
kalian bina istana
rumah kami jadi mangsa
kalian makan isi
kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi..
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci
wajib mengganti buat kami
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...mengapa tambang tidak potong sahaja

tapi entah berapa kali janji
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi
kami terus termangu di sini
kalian juga yang nikmati
kami hanya menggigit jari

kembalikanlah kepada kami harta negara
jangan hanya kalian sahaja yang merasa

(Drmaza, 2010)

Tuesday, September 03, 2013

Sudah September

Begitulah masa. Tidak pernah mahu menanti aku yang tertinggal ini.

Hari ini aku butuh rehat yang panjang. Dalam tempoh empat puluh lapan jam yang lalu, aku tempuhi dengan rasa yang amat libang libu. Aku sakit. Tapi aku diam, kerana aku tahu suara aku tidak akan mampu mengubat apa yang aku rasai.

Sedar pagi ini, jam baru ke angka tiga. Mataku sudah enggan lena. Badan terasa sangat tidak kena. Mengiring salah, menelentang juga salah. Aku kesasar.

Bangkit hanya apabila jam ke angka 5.23 pagi. Fikiran masih belum mahu putus, apa perlu aku buat hari ini? Sambil tangan menggosok baju dan seluar suamiku, aku berkira-kira terus.

Saat azan subuh berkumandang, aku mula nekad. Aku mahu rehat seharian hari ini. Aku mahu rehat sungguh-sungguh. Perjalanan Kota Bharu - Bangi - Nilai - Kota Bharu semalam mengikis terlalu banyak tenaga aku yang hanya tinggal sisa ini. Aku perlu rehat. Rasanya, aku wajib rehat!

Lalu, aku maklumkan pada suamiku agar membiarkan sahaja aku di rumah. Di sekolah tidak akan memberi ruang untuk aku memanjai diri sendiri.

Sekarang, aku masih berehat.