Waktu aku dipilih Tuhan untuk menjadi seorang bayi, tarikh tertulis untuk aku menjengah dunia ialah pada Januari sembilan, tahun 1972. Tuhan meletakkan aku pada kedudukan kedua, lapan belas bulan selepas abang sulungku Lutfi menjadi permata pertama kesayangan ayah dan ibu.
Saat aku lahir, ibuku masih seorang wanita muda yang belum banyak pengalaman hidup. Baru berusia sembilan belas tahun lima bulan, ibu sudah diberi tanggungjawab menjaga dua anak. Namun tidak pernah pun ibu berasa sukar kerana kami hadir sebagai sinar dan cahaya kehidupannya.
Kerana itu ayah menamakan aku Noorhayati, cahaya kehidupan. Walaupun ayah tidak pernah bercerita, tetapi aku tahu ayah mahu aku bersinar seperti namaku itu. Ayah mahu aku sentiasa memastikan hidupku dan hidup seluruh ahli keluargaku bercahaya setiap ketika. Terima kasih ayah, menamakan aku dengan satu inspirasi.
Dunia aku di sisi keluarga sungguh terpelihara. Ibu dan ayah mempamer keupayaan luar biasa dalam mendidik kami. Syukur Tuhan, meletakkan aku dalam keluarga ini.
Enam orang lagi adikku lahir selepas aku untuk melengkapkan kebahagiaan ayah dan ibu. Tibanya Aziah, Rifqi, Muhammad, Husna, Ismah dan Zahidah berselang tahun, menjadi pewarna bahagia yang tiada tolok bandingnya. Sungguh kurnia Tuhan itu hebat. Ibu dan ayah tidak pernah berhenti mensyukuri nikmat yang besar ini.
Aku dewasa dalam persekitaran keluarga yang penuh warna-warni. Ada kala aku seronok menikmati keindahan bersama-sama mereka, namun pernah juga aku berduka saat hati dirundung hiba. Lumrah kehidupan, begitulah. Sehingga kini, bahagiaku bukanlah sepanjang masa tetapi aku terima saat duka dengan rasa penuh keredhaan. Aku tahu, bahagia tanpa rencah duka bukanlah bahagia namanya.
Kini, aku seorang wanita yang sedang meniti usia kematangan. Selepas empat puluh satu tahun aku menghirup udara dunia ini, pelbagai kisah dan cerita telah aku hayati. Sungguh ia memberi sejuta pengalaman dan penuh pengajaran.
Doaku, biarlah aku tergolong dalam insan yang bahagia bukan hanya di dunia, malah di akhirat jua.
Amin.
No comments:
Post a Comment