Dia adik bongsu emak yang seusia saya. Kecil dahulu kami adalah teman bermain dan berlari bersama-sama, setiap kali saya pulang ke kampung emak. Saya hanya memanggilnya dengan panggilan nama saja, Din, kerana pada saya dia terlalu kecil untuk dipanggil Pak Din.
Masa berlalu, kami tidak lagi kerap bertemu. Apatah lagi selepas ketiadaan datuk, kami jarang benar pulang ke kampung sekeluarga. Bila remaja, kami menuju haluan berbeza. Jika saya pulang ke kampung pun, dia jarang ada.
Dia ialah Kamarudin bin Che Idris, kata emak dia lahir semasa usia saya lima bulan. Menjadi anak bongsu yang kehilangan ayah pada usia enam tahun, banyak mencorakkan warna berbeza pada kanvas kehidupannya. Pendidikannya hanya sehingga menengah dan mencari rezeki dalam pelbagai cabang. Alhamdulillah, kini Pak Din sedang mengusahakan restoran di Johor Bahru dan restoran itu boleh tahan maju yang mendatangkan hasil lumayan.
Ahad semalam, saya berpeluang menemuinya setelah lebih sepuluh tahun tidak bersua. Walaupun sebentar, dapatlah merakam kenangan di Villa Huda sebelum kami terpisah lagi oleh jarak dan masa.
Kini hanya Pak Din seorang sahaja bapa saudara saya yang ada. Semoga Allah menjaga dan merahmati Pak Din sekeluarga. Amin.






















