Izinkan saya melihat perkara ini dari sudut yang sedikit berbeza.
Murid yang lalai atau leka sehingga terlupa membawa buku memang perlu ditegur, tetapi tidak semestinya dihukum. Bagi saya, tugas guru bukan sekadar menghukum kesalahan, tetapi membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Hukuman mungkin membuat murid takut, tetapi belum tentu membuat mereka faham. Pada saya, nasihat dan peringatan yang berterusan, beserta contoh yang baik daripada guru kadangkala lebih memberi kesan kepada hati mereka.
Setiap murid sedang melalui proses membesar. Mereka akan melakukan kesilapan, terlupa, lalai dan bermain-main. Di situlah peranan guru sebagai pendidik – membimbing mereka supaya belajar daripada kesilapan, bukan sekadar menghukum kesilapan itu.
Ketegasan tetap perlu, tetapi biarlah ketegasan yang mendidik, bukan ketegasan yang lahir daripada kemarahan. Kerana akhirnya, matlamat pendidikan bukan untuk melahirkan murid yang takut kepada guru, tetapi murid yang belajar bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
Mungkin teori saya ini nampak gah dan padu, tetapi pelaksanaan tidak semudah itu. Di sinilah letaknya peranan kawalan emosi yang bijak. Menjadi guru, tidak boleh membiarkan emosi menguasai. Murid akan lebih lunak dengan akhlak guru, bukan hukuman. Tunjuk, bukan arah.
Sistem pendidikan kita akan lebih rosak jika guru-guru yang ada masih mahu meletakkan emosi di depan dan menjadikan hukuman sebagai bahan pengajaran.

No comments:
Post a Comment