Monday, September 21, 2026

Ditelan Masa

 

Dia adik bongsu emak yang seusia saya. Kecil dahulu kami adalah teman bermain dan berlari bersama-sama, setiap kali saya pulang ke kampung emak. Saya hanya memanggilnya dengan panggilan nama saja, Din, kerana pada saya dia terlalu kecil untuk dipanggil Pak Din.

Masa berlalu, kami tidak lagi kerap bertemu. Apatah lagi selepas ketiadaan datuk, kami jarang benar pulang ke kampung sekeluarga. Bila remaja, kami menuju haluan berbeza. Jika saya pulang ke kampung pun, dia jarang ada.

Dia ialah Kamarudin bin Che Idris, kata emak dia lahir semasa usia saya lima bulan. Menjadi anak bongsu yang kehilangan ayah pada usia enam tahun, banyak mencorakkan warna berbeza pada kanvas kehidupannya. Pendidikannya hanya sehingga menengah dan mencari rezeki dalam pelbagai cabang. Alhamdulillah, kini Pak Din sedang mengusahakan restoran di Johor Bahru dan restoran itu boleh tahan  maju yang mendatangkan hasil lumayan.

Ahad semalam, saya berpeluang menemuinya setelah lebih sepuluh tahun tidak bersua. Walaupun sebentar, dapatlah merakam kenangan di Villa Huda sebelum kami terpisah lagi oleh jarak dan masa.

Kini hanya Pak Din seorang sahaja bapa saudara saya yang ada. Semoga Allah menjaga dan merahmati Pak Din sekeluarga. Amin. 

 

Sunday, September 20, 2026

Selamat Pengantin Baru

 My dear Anis Radhiah,

As you begin this beautiful new chapter of your life, I pray that Allah blesses your marriage with endless love, peace, patience, and happiness.

May you always find comfort in each other, grow together through every season of life, and never forget the love that brought you to this day. May your home be filled with laughter, kindness, understanding, and barakah.

May Allah protect your marriage, strengthen your bond through every joy and challenge, and guide both of you towards a beautiful life together in this world and, insya-Allah, all the way to Jannah.

So happy for you, my dear. 

Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama‘a bainakuma fi khair.

With lots of love and dua, Ummi Ti.














Thursday, September 17, 2026

Politik

Ada pelbagai rupa dalam politik yang sedang berada di Malaysia saat ini. Rupa yang menakutkan, yang membuat saya jadi malas berbicara tentangnya. Malas juga untuk mengambil tahu, jika boleh.

Apabila ada bicara politik, tentang Anwar atau tentang Najib atau tentang Zahid atau siapa pun, saya akan lari dari menyertai. Biarlah hanya saya yang tahu letak duduknya naluri saya berkenaan isu politik di Malaysia ini. Saya sebenarnya masih ada rasa keliru dengan figura-figura ini, tetapi jawapan dari persekitaran akan menambah kekeliruan. Minda wanita 54 tahun ini semakin teraba-raba apabila disumbat pelbagai cerita.

Kesudahannya - yang klise - kepada Tuhan saya memohon petunjuk agar apabila masanya tiba untuk saya melakukan pilihan, saya memilih manusia yang tahu kita masih ada perbicaraan di hadapan-Nya nanti sebelum kita diberi syurga atau neraka.


Saturday, September 05, 2026

Mengulang Kenangan


Menatap gambar yang sudah berusia 15 tahun ini, menerbitkan pelbagai rasa. Gambar ini dirakam pada September 2011, di tangga rumah ma. Mungkin peristiwa di sebalik gambar ini sudah saya lupa, tetapi emosinya tetap ada.

Hari ini menjadi hari terakhir kami - murid dan guru sekolah seluruh di Kelantan - menikmati cuti sekolah yang cuma sembilan hari. Dalam sembilan hari ini, item yang paling mendominasi ialah himpunan kenduri yang bersusun-susun sehingga lima tempat sehari. Itu lumrah cuti di sini, kami reda.

Segala yang terukir dalam sembilan hari ini pastinya akan menjadi kenangan indah pada lima belas tahun lagi. Semoga Allah panjangkan usia kita untuk terus berbakti.