Tuesday, June 30, 2026
Meminta
Monday, June 29, 2026
PRP dan MC
Ini kisah minggu lepas. Ia terjadi rentetan dari rasa tidak puas hati saya dengan apa yang berlaku di sekolah.
Sebagai guru Matematik SPM, masa yang ada untuk bersama-sama dengan murid saya pada waktu PdPc adalah sangat berharga, apatah lagi peperiksaan Percubaan akan berlangsung pada hujung Jun.
Tiba-tiba diumumkan Sukan Tahunan akan berlangsung seminggu sebelum Peperiksaan Percubaan. Walaupun murid tingkatan 5 dikecualikan, tetapi kami guru mereka tetap ditugaskan di bahagian AJK yang pelbagai. Murid tingkatan 5 pula dijadualkan untuk mengikuti bengkel-bengkel mata pelajaran yang tentunya bukan seperti PdPc harian. Pada hal, sukatan pun belum habis.
Saya rasa tidak seronok dengan keadaan ini jadi saya mencari ruang untuk menghilang pada hari berkenaan.
Kebetulan lutut saya kembali sakit sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Lalu pada Rabu itu (24.6.26) - hari kejohanan berlangsung - saya ke klinik Ehsan untuk merawat kesakitan ini. Sangka saya, usai dirawat saya akan diberi cuti sakit (MC) sehari.
Rupanya, doktor melakukan rawatan PRP pada lutut saya yang memerlukan rehat selepas rawatan jadi saya menerima MC dua hari. Alhamdulillah. Dapatlah saya berehat selama empat hari kerana bersambung dengan hujung minggu.
Rawatan PRP ini sebagai satu ikhtiar saya apabila doktor mengatakan lutut saya ini mengalami OA Stage 3. Semoga Allah mengizinkan kesembuhan untuk saya walaupun selepas 5 hari rawatan, lutut saya masih belum hilang sakitnya.
Friday, June 26, 2026
Berubah dan Mengubah
Orang kita memang cukup sinonim dengan pantang larang, terutamanya bab pantang makan selepas bersalin, pembedahan, bersunat, hinggakan lepas bertindik telinga pun kena berpantang.
Salah satu makanan yang paling ditakuti (orang Kelantan panggil 'bisa') pastilah telur. Ramai yang percaya, kalau baru lepas bersalin atau dibedah, jangan berani cuba makan telur, nanti luka jadi bernanah. Hakikatnya, dalam perubatan moden, telur adalah sumber protein yang sangat baik dan fungsinya memang untuk membaiki tisu serta mempercepatkan luka sembuh.
Kadang-kadang terfikir juga, dari manalah orang tua-tua dulu dapat fakta sebegini? Mungkin bermula daripada kebetulan—ada seseorang makan telur dan lukanya bernanah akibat jangkitan lain. Cerita itu kemudiannya dijaja kepada kawan-kawan dan saudara-mara, akhirnya satu kampung jadi takut nak makan telur.
Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Selepas lima kali melalui prosedur pembedahan, tidak pernah sekali pun saya berpantang makan telur, dan luka saya elok sahaja sembuh tanpa sebarang nanah. Sebab itulah saya tidak percaya dengan mitos sebegini. Tambahan pula sekarang ini, ramai pakar perubatan berkongsi ilmu di media sosial, menggalakkan pesakit makan telur untuk cepat sembuh. Memang sah, pantang telur itu mitos semata-mata.
Tetapi, peliknya masih ramai yang menolak mentah-mentah fakta perubatan dan kajian global.
Sebenarnya, situasi ini tidak jauh beza dengan sikap sesetengah pihak dalam isu agama. Bila ada pandangan atau pencerahan baharu yang tidak selari dengan amalan tradisi mereka selama beratus tahun, terus dikecam teruk pandangan tersebut tanpa dikaji.
Memang susah, ya, nak mengubah mentaliti dan kebiasaan orang kita?
Nissan Bluebird
Ini kenangan termahal untuk saya. Suami saya membeli kereta ini sebelum kami berkahwin lagi. Sebuah kereta mewah pada zamannya, dengan segala feature hebat yang belum ada pada kereta lain waktu itu seperti power steering, power window dan power side mirror, suami saya berjaya memilikinya pada Oktober 1997.
Nissan Bluebird 1.8, keluaran 1984 dibeli dengan harga RM23K dengan ansuran RM470 sebulan. Ia berada bersama-sama kami sehingga Oktober 2000, apabila suami saya mula penat dengan ragamnya yang pelbagai dan mahu mencari kereta lain pula. Akhirnya ia terjual di kedai kereta terpakai dengan harga RM8K sahaja.
Kali pertama saya menaiki kereta ini ialah pada Januari 1998, menuju ke bandar Kota Bharu untuk membeli belah. Kagum saya melihat betapa canggihnya kereta ini. Nak buka tingkap tak perlu pusing-pusing macam kereta ayah saya (Toyota Corolla GL), tekan saja dah terbuka.
Dimana ia sekarang? Entah ada entah tidak. Rindu juga ya..
Tuesday, June 23, 2026
Kembali Kanak-kanak
Ketika kecil, saya begitu ghairah untuk menjadi dewasa. Saya menyangka orang dewasa mempunyai kebebasan yang tidak terbatas. Namun setelah dewasa, saya sedar bahawa setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab, setiap kegembiraan datang bersama ujian, dan setiap pertemuan pasti akan diakhiri dengan perpisahan.
Andai masa boleh diputar kembali, mungkin saya ingin kembali seketika pada waktu yang lalu. Saya ingin duduk di sisi ayah dan ibu, mendengar suara mereka berbual, merasakan angin petang menyentuh wajah tanpa perlu memikirkan apa-apa.
Namun saya tahu, masa tidak akan kembali. Kanak-kanak yang pernah hidup dalam diri saya telah lama membesar. Yang tinggal hanyalah kenangan yang menjadi harta berharga.
Kini saya sedar, tujuan hidup bukan untuk kembali kepada masa lalu tetapi untuk cekal menempuh realiti, juga mendidik hati agar tetap memiliki keikhlasan, kegembiraan dan harapan seperti seorang kanak-kanak. Dan setiap kali kerinduan itu datang, saya akan mengingatkan diri saya untuk bersyukur kerana pernah melaluinya.
Protes
Saturday, June 13, 2026
JUSA
Friday, June 12, 2026
Kak Ina
Awak, ini senior saya! Tiba-tiba sehari dua ini namanya viral. Sebab apa? Sila cari sendiri.
Tahniah Kak Ina. Mungkin Kak Ina tak ingat pun saya, tetapi saya ingat sangat dengan Kak Ina sebab dari dulu lagi penampilan Kak Ina berbeza dari orang lain. Beginilah penampilan Kak Ina dari dulu sampai sekarang. Tak berubah pun.
Hebat Kak Ina!



