Thursday, April 30, 2026

Hari Pekerja

Esok 1 Mei ialah hari cuti umum sempena Hari Pekerja, tetapi kerana ia jatuh pada hari Jumaat, kami di Kelantan tidak menikmatinya. Kami hanya memiliki dua hari cuti hujung minggu seperti biasa. Dan guru-guru yang ada kelas tambahan, tetap ke sekolah seperti biasa.

Saya ok saja. Walaupun tidak mendapat kelebihan cuti Hari Pekerja, tetapi adik ipar saya di Perak pulang ke kampung hari ini kerana dia mendapat cuti itu. Maka saya dapatlah bermalam di rumah sendiri selama tiga malam. Itu satu hadiah yang sangat besar nilainya kepada saya, sejak September 2023.

Tiga hari, sepertinya sekejap saja tetapi jadilah.


 

Wednesday, April 29, 2026

Berdikari

Janganlah kecam saya, saya cuma ingin jujur.

Selama 28 tahun lebih saya menjadi guru, tidak pernah sekali pun tugas perguruan saya, saya minta orang lain buatkan, walaupun suami saya.  

Mata saya nampak macam-macam. Ada guru-guru yang sentiasa meminta pasangan mereka tolong itu dan ini, tanda kertas, kira markah, cetak sijil dan macam-macam. Bukan saja pasangan, anak-anak pun kena. Jika di sekolah, mereka suruh murid pula untuk urusan-urusan tertentu.

Saya?

Sama sekali tidak. Tanyalah suami saya, apakah kerja sekolah saya yang dia pernah buat? Saya bukan jenis manusia yang suka mengambil kesempatan. Apa yang saya tak tahu, saya belajar. Apa yang saya tak sempat, saya cari masa. Pengurusan masa itulah yang penting.

Kesimpulannya, saya hidup dengan penuh berdikari demi memastikan segala rezeki yang Allah beri kepada saya diberkati (amin). Meminta bantuan tidak salah jika kena masa dan caranya, tetapi jangan sampai berlepas tangan terhadap sesuatu yang memang diamanahkan kepada kita.

Tuesday, April 28, 2026

Bius

Saya tidak pasti adakah sama situasi dibius penuh dan ditidurkan. Apabila membaca satu status seorang Hamba Allah yang bertanya pengalaman ditidurkan, saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman dibius penuh.


Lima kali saya melalui pengalaman dibius penuh sepanjang 54 tahun ini. Kali pertama pada Ogos 1998, seterusnya pada Januari 2006, September 2006, Mac 2023 dan Julai 2024.

Semuanya sama. Saya ditolak ke bilik bedah yang sejuk dan nyaman, kemudian para doktor dan petugas-petugas yang ada akan memastikan saya dirapikan seperti yang sepatutnya, sambil berbual-bual dengan saya. Sehinggalah mereka memakaikan topeng oksigen ke muka saya, dan meminta saya berdoa dan mengucap, dan seterusnya saya sudah tidak sedar apa-apa.

Segalanya hanya seperti sekelip mata. Saya akan terus terjaga dan mendengar nama saya dipanggil, saya akan cuba membuka mata tetapi masih mengantuk. Pada kali pertama hingga ketiga saya akan muntah kerana sangat pening dan loya sebaik terjaga, tetapi pada kali keempat dan kelima saya tak pening pun.

Walaupun sebenarnya saya tidur selama berjam-jam, saya tak rasa pun ia lama begitu. Saya tidak bermimpi, saya tidak berada di alam lain, saya cuma rasa saya "dimatikan" seketika.

Begitulah apa yang saya rasa. Seperti hanya sesaat sahaja, terus terjaga dengan rasa yang berbeza.   

Sunday, April 19, 2026

Semak Semula

Hari ini sudah 20 hari pengumuman keputusan SPM berlalu, namun guru-guru pemeriksa kertas masih bertungkus lumus menyemak "timbunan" kertas permohonan semak semula. Tahun ini permohonan semak semula sangatlah banyak, sehingga tidak terkata kesibukan guru-guru penyemak kertas belakangan ini.

Banyak faktor menyebabkan kebanjiran permohonan semak semula berlaku pada tahun ini. Menariknya, banyak juga gred yang berunah selepas semakan semula ini. Di sekolah saya ini, ada yang naik sehingga dua gred - dari B+ menjadi A. Tertanya-tanya juga, bagaimana kualiti pemeriksaan kertas ini dijaga sehingga sebegitu sekali ia berubah?

Merenung kembali pengalaman saya pada hari menerima keputusan SPM 1989 pada Mac 1990 dahulu, ada juga saya rasa tidak puas hati dengan gred diterima tetapi waktu itu permohonan semak semula bukanlah trend. 

Kalaulah boleh, saya mahu menyemak dua mata pelajaran SPM saya iaitu Matematik dan Bahasa Inggeris.

Gred Matematik saya tertera A2 sedangkan saya rasa saya boleh jawab dengan baik sewaktu peperiksaan. Apa yang lebih membuatkan saya rasa terkilan ialah gred Matematik Tambahan saya juga A2, sama dengan Matematik pada hal Matematik Tambahan jauh lebih susah. Sewaktu Percubaan SPM, saya mendapat gred A2 untuk Matematik tetapi Matematik Tambahan saya waktu itu hanya C5. Sepatutnya pada SPM sebenar gred Matematik menjadi lebih baik iaitu A1. Kan?

Bahasa Inggeris pula, saya menyasarkan gred A2 tetapi saya mendapat C3. Bahasa Inggeris saya tidaklah teruk, sepanjang lima tahun di MRSMKT, saya sentiasa mengekalkan tempat di Set 1 (kumpulan markah tertinggi) bagi subjek ini. Pernah karangan saya mendapat pujian cikgu Saadullah, sehingga dia memberi remark "perfect language" sambil mengumumkan nama saya dalam kelas sewaktu Tingkatan 4.

Sewaktu peperiksaan, saya dapat menjawab dengan baik kecuali beberapa bahagian sahaja yang tersekat. Sebab itu saya jangkakan gred A2, bukan A1 tetapi yang saya dapat ialah C3. Sungguh saya terkilan. 

Bagi tujuh lagi mata pelajaran SPM yang lain, saya berpuas hati dengan gred yang diterima. Alhamdulillah. 

Apa pun, saya tetap bersyukur dengan segala kurniaan Allah ini.



Saturday, April 18, 2026

Panas

Sudah hampir sebulan (atau lebih?) kami di Kelantan "menikmati" kepanasan cuaca yang tidak terkata. Suhu menjangkau 36°C membuatkan setiap pergerakan kami mengeluarkan peluh. Menitik-nitik.

Saya akui kepanasan begini sangat mendera. Apabila berada di kelas, baju dan tudung saya basah dek peluh dan ini sangat tidak selesa. Murid-murid pun sama. Kelas sangat panas dan mereka kegelisahan.

Apalah daya yang ada, selain bertahan sahaja dalam cuaca sebegini. Setiap tahun pun inilah yang berlaku, selagi tiada bajet untuk menjadikan bilik darjah berhawa dingi semuanya. 

Semoga cepat ia berlalu. Semoga ganjara Allah buat kami ada. Amin.

Sunday, April 12, 2026

Merajuk


Tahukah anda, suami saya ialah seorang lelaki yang tidak pandai memujuk dan saya pula seorang wanita yang sangat-sangat jarang merajuk.

Pernah saya cuba merajuk waktu awal perkahwinan dulu tetapi dia bukan sekadar tidak memujuk sebaliknya dia pun turut senyap macam dia pula yang merajuk. Ah sudah!

Akhirnya, saya kena luahkan saja apa yang saya rasa secara terus terang. Beritahu sejelasnya apa yang saya nak marah pasal dia. Senang. Merajuk buat apa, buat lagi sakit hati je!

Pada saya pula, secara peribadi, saya memang tidak suka orang merajuk. Nampak lemah dan sangat kebudak-budakan. Tak matang langsung. Wanita yang matang dan berhemah tidak akan merajuk dan tidak memerlukan lelaki memujuk.

Ada masalah, beritahu dan bincang. Pada awal perkahwinan dulu saya kerap membuat sesi luahan rasa kepada suami saya, sampai menangis-nangis depan dia. Beritahu sejelas-jelasnya apa yang saya tak suka tentang apa saja berkaitan dia. Dia ok, terima dengan hati terbuka dan meminta maaf.

Kini dalam usia lebih separuh abad, sesi itu sudah lama tiada. Kami pun masing-masing sudah mula lembut hati, lebih bertolak ansur dan banyak memberi tanpa mengharap balasan. Hubungan kami berdua kini lebih matang dan tiada lagi egoistik. Dia menghargai kelebihan saya dan menerima kekurangan saya, dan saya juga begitu.

Semoga rumah tangga kami yang sudah berusia 28 tahun ini akan kekal teguh sampai syurga.
Uploaded Image

Friday, April 10, 2026

Jiwa

Saya baru sahaja selesai menyuap mek makan. Malam ini saya mengurus mek sepenuhnya kerana suami saya perlu menyelesaikan tugasnya di Masjid. Sebagai AJK, tentulah dia terlibat dengan pengurusan Majlis Aidilfitri yang berlangsung malam ini.

Mek begitulah, dan saya beginilah. Esok saya ada kelas tambahan di sekolah. Dua kelas tingkatan lima akan saya ladeni dengan penuh tanggungjawab. Mereka amanah Tuhan untuk saya, dan saya ikhlas menerima.

Jiwa guru saya masih tebal. Dua puluh lapan tahun saya memikul amanah ini, belum lagi saya mahu berhenti. Cuma ada waktunya saya rasa beban yang diletak di bahu saya makin memberat. Pun tidak mengapa, saya boleh mencari penyelesaiannya.

Khamis semalam, saya penat sungguh. Kelas lapan masa, ditambah stayback sejam setengah, dibebani pula tugas analisis peperiksaan yang bertindih-tindih, saya rasa mahu rebah! Saya nekad ke bilik PKP untuk meluah rasa, tetapi dia ada tetamu. Tidaklah sempat saya mencurah perasaan kepadanya. Tidak mengapa, Ahad ini saya akan lunaskan.

Apa yang saya mahu luah kepadanya?

Saya mahu memohon kepada PKP supaya kurangkan masa PdPc saya dengan membuang subjek PJPK. Jujurnya, saya sangat tidak gemar mengajar subjek yang bukan opsyen saya. Kebetulan, ada seorang guru baru di sekolah saya yang baru melapor diri minggu lepas. Dia belum menerima jadual rasmi jadi sedang eloklah jika kelas PJPK saya itu diserah kepadanya.

Begitu hajat di hati, semoga Ahad ini saya mampu meluahkan perasaan itu sebaiknya, dengan nada penuh sopan dan berhemah.

Friday, April 03, 2026

Banding


Tidak perlu pun membandingkan pencapaian SPM antara sekolah. Setiap sekolah berdiri di atas realiti yang berbeza, latar belakang pelajar tidak sama, sokongan keluarga tidak serupa, kemudahan juga tidak setara. Jadi, atas dasar apa kita merasakan perbandingan itu adil?

Kita kena faham tentang konsep pendidikan. Ia bukan perlumbaan sekolah mana paling bagus pencapaiannya, tetapi sejauh manakah kita mampu membawa setiap anak itu melangkah ke hadapan walaupun sedikit. 

Apabila terlalu fokus kepada ranking, kita jadi lupa yang di sebalik setiap GPS, ada usaha guru yang tidak terlihat, ada pelajar yang berjuang dalam kepayahan, dan ada sekolah yang bertahan dalam serba kekurangan.

Boleh bandingkan untuk penambahbaikan beberapa aspek, tetapi bukan untuk meletakkan nilai pada kedudukan kerana hakikatnya, tidak semua kejayaan boleh diukur dengan nombor. 

Thursday, April 02, 2026

Ahli Syurga

 Sahih Muslim:

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، قَالَتْ دُعِيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى جَنَازَةِ صَبِيٍّ مِنَ الأَنْصَارِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ طُوبَى لِهَذَا عُصْفُورٌ مِنْ عَصَافِيرِ الْجَنَّةِ لَمْ يَعْمَلِ السُّوءَ وَلَمْ يُدْرِكْهُ قَالَ ‏ "‏ أَوَغَيْرَ ذَلِكَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ لِلْجَنَّةِ أَهْلاً خَلَقَهُمْ لَهَا وَهُمْ فِي أَصْلاَبِ آبَائِهِمْ وَخَلَقَ لِلنَّارِ أَهْلاً خَلَقَهُمْ لَهَا وَهُمْ فِي أَصْلاَبِ آبَائِهِمْ ‏"‏ ‏

Aisyah, Ummul Mukminin RA berkata: "Rasulullah ﷺ dipanggil untuk menyembahyangkan jenazah seorang anak kecil daripada golongan Ansar. Maka aku berkata, 

'Wahai Rasulullah, sungguh beruntung anak ini, dia adalah burung dari burung-burung syurga, dia tidak pernah melakukan kejahatan dan tidak sempat mengerjakannya.' 

Baginda bersabda: 'Bagaimana kalau tidak begitu, wahai Aisyah!? Sesungguhnya Allah telah menciptakan ahli syurga dan Dia menciptakan mereka untuknya ketika mereka masih di dalam sulbi bapa-bapa mereka. Dan Dia telah menciptakan ahli neraka dan Dia menciptakan mereka untuknya ketika mereka masih di dalam sulbi bapa-bapa mereka.'"

https://sunnah.com/muslim:2662c

Respons Rasulullah ﷺ itu bukan penolakan terus-terang. Ia adalah satu teguran halus, satu peringatan agar kita tidak terburu-buru membuat dakwaan tentang nasib seseorang secara spesifik dan 'jazam'. Baginda ﷺ mengajar kita sesuatu yang amat mendasar: hanya Allah ﷻ yang mengetahui apa yang tersimpan di hadapan setiap jiwa. 

Frasa "أَوَغَيْرَ ذَلِكَ" yang bererti "atau mungkin tidak begitu" difahami oleh kebanyakan ulama sebagai larangan daripada membuat pernyataan gopoh tentang perkara al-ghayb, bukan sebagai kepastian bahawa kanak-kanak itu tersedia untuk neraka.

Teguran Baginda ﷺ kepada 'A'ishah r.a. dibaca sebagai satu pendidikan terhadap 'risiko kesombongan intelektual manusia' khususnya di zaman kita sekarang, dalam hal-hal yang hanya milik Allah ﷻ.

Kita terlalu mudah bercakap tentang syurga dan neraka.

Terlalu yakin tentang siapa yang layak dan siapa yang tidak.

Para ulama memetik hadis ini sebagai amaran kepada kita agar tidak sewenang-wenangnya mengisytiharkan keadaan rohani seseorang, sama ada menghukum si pendosa ke neraka atau menjamin si soleh ke syurga, kecuali apabila ada nas yang jelas dan kukuh.

Hadis ini meneguhkan satu prinsip yang amat asasi dalam Islam: penghakiman akhir itu hak mutlak Allah ﷻ semata-mata.

Wallahu a'lam.

Tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di Facebooknya.

Wednesday, April 01, 2026

Selamat Bertunang

Alhamdulillah, pada hari Khamis yang ceria bertarikh 26 Mac 2026 baru-baru ini, anak saudara sulung saya selamat bertunang dengan jejaka pilihannya yang berasal dari Perak.

Tahniah Anis Radhiah binti Mohd Lutfi, semoga segala yang dirancang terlaksana dengan baik dan diberkati Allah.

Uploaded Image