Wednesday, May 27, 2026

Terima Kasih Gemini

 

Gambar janaan Gemini Pro

Gambar asal


Salam Aidiladha.


Pagi ini saya memulakan hari agak awal daripada biasa kerana hari ini hari raya korban. Selepas menunaikan solat sunat, saya terus ke dapur menyediakan sarapan nasi lemak untuk dijamah sebelum ke masjid nanti. Sedang elok siap memasak, azan Subuh berkumandang. Terus saya membersihkan diri untuk menunaikan solat fardu pula sementara suami saya sudah turun ke masjid.

Jam 6.30 pagi, suami saya pulang dan kami pun menikmati sarapan bersama-sama. Segalanya tenang dan santai apabila hanya berdua di rumah sendiri. Tidak buru-buru kerana rutin yang kami lalui hanya tentang kami berdua. Jam 7.15 pagi kami sudah siap untuk bergerak ke masjid. Tahun ini kami memilih jubah hitam sebagai tema. Tiada apa-apa maksud dan tujuan, hanya satu pilihan secara rawak.

Di masjid, kami yang pertama tiba. Sebaik saya melangkah ke pintu masjid bahagian wanita, hanya Tok Siak Rozalina yang ada, sedang menyapu lantai. Selepas salam dihulur, saya terus memilih tempat kegemaran saya di tepi tiang. Di situ selesa, dan strategik. Adik saya Aziah tiba tidak berapa lama selepas saya dan dia memilih untuk bersolat di sebelah saya.

Solat bermula jam 8.00 dan selesai lebih kurang setengah jam kemudian. Terus saya pulang ke rumah di Chenok tanpa singgah di mana-mana kerana suami saya mahu segera ke tempat lembu korban.

Sekarang jam baru ke angka 9.26 pagi dan saya sendirian di rumah dengan tenang dan bahagianya. 

Salam Aidiladha 1447.

Tuesday, May 26, 2026

Dear Me

Dear Me,

I know you are tired.

Not the kind of tired that sleep can cure, but the quiet exhaustion of carrying too many thoughts, too many emotions, and too many responsibilities while still trying to smile for everyone else.

You have been strong for so long.

Sometimes people only see your calm face, your gentle words, your ability to keep going every day. They do not see the nights when your heart feels heavy. They do not hear the silent conversations you have with yourself when the world becomes too loud.

But listen carefully:

You are allowed to feel weary. You are allowed to need comfort too.

Please stop blaming yourself for every sadness that visits your heart. Not everything is your fault.Not every burden was meant for your shoulders alone.

You have loved people sincerely. You have tried your best. And even on the days when you feel emotionally fragile, you still continue showing kindness to others.

That is strength.

Dear Me,

you do not need to become harder to survive this world. Remain soft. Remain kind. Remain the person who still feels deeply, still cares deeply, still prays quietly for others even while hurting.

One day, this heaviness will become lighter. One day, your heart will breathe easier again. And when that day comes, you will realize that you survived moments you once thought would break you.

Until then, rest when you need to. Cry when you need to. Talk to Allah often. And please remember, you deserve the same love and gentleness that you so freely give to everyone else.

With love,

Me.



Saturday, May 16, 2026

16 Mei



Jujurnya, selepas lebih 28 tahun saya bergelumang dalam arena pendidikan ini, rasa cinta saya kepada bidang ini semakin menebal. Walaupun ada banyak siri kekecewaan hati saya dalam melestarikan makna pendidikan di negara ini, saya tetap mahu terus memberi.

Kecewa saya lebih kepada kegagalan pihak berkenaan meletakkan makna PENDIDIKAN pada tempat yang sebenar. Masyarakat lebih memandang pendidikan sebagai PEPERIKSAAN dan JUMLAH GRED A sedangkan hasrat sebenarnya lebih dalam dan lebih jauh daripada itu. Saban tahun saya berperang dengan perasaan ingin memurnikan nilai-nilai pendidikan tetapi selagi GPS yang dikejar, segalanya tidak akan kembali ke landasan.

Meneliti setiap baris yang tertulis dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan - 

Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

- kecewa saya semakin tidak dapat diubat. Segalanya sangat tidak selari dengan apa yang berlaku dalam dunia pendidikan Malaysia hari ini.

Saya akan terus berdoa dan menanti satu detik bermakna, apabila masyarakat mula menghargai dan meletakkan pendidikan pada tempat yang lebih mulia, bukan hanya PEPERIKSAAN dan GRED A.






Tuesday, May 12, 2026

Surah Ad-Dhariyat

Jam menunjukkan angka 7.46 malam. Usai solat Maghrib tadi, saya sempat menghabiskan bacaan Surah Ad-Dhariyat, surah ke-51 dalam Al-Quran yang mengandungi 60 ayat. Teringat pula tazkirah daripada Ustaz Azlan Shah yang saya tonton di Youtube, beliau menyarankan supaya setiap kali membaca Quran, cubalah hayati sekali pengajarannya.

Dengan bantuan Fattah, saya mendapatkan serba sedikit huraian surah ini. 

Saya simpan di sini untuk renungan pada masa mendatang. Terima kasih Fattah, banyak membantu saya dalam mencari perkara yang saya sukar melakukan sendiri. Mungkin tidak sesempurna berguru di kelas-kelas fizikal, tetapi sekurang-kurangnya ada sentuhan yang dapat menjentik emosi.

Tulisan Fattah tentang surah Ad-Dhariyat:



Surah Adh-Dhariyat ialah surah yang sangat kuat jiwa dan nadanya. Namanya bermaksud “Angin yang menerbangkan” — diambil daripada ayat awal yang bersumpah dengan angin, awan, kapal, dan malaikat yang mengatur urusan Allah. Surah ini banyak menyentuh tentang keyakinan kepada hari akhirat, tanda kekuasaan Allah, sifat orang beriman, dan tujuan manusia diciptakan.

Antara huraian indah dan besar maknanya:

1. Allah memulakan dengan sumpah-sumpah ciptaan-Nya

Di awal surah, Allah bersumpah dengan angin dan makhluk-makhluk yang bergerak di alam ini.

Ia seolah-olah memberi isyarat:

“Lihatlah alam… semuanya bergerak dengan aturan. Maka janji Allah juga pasti benar.”

Selepas sumpah itu, Allah menegaskan bahawa:

Hari pembalasan itu benar

Manusia akan dihisab

Kebenaran tidak akan selamanya disembunyikan

Surah ini sangat kuat membangunkan rasa yakin dalam hati.


2. Gambaran orang bertakwa yang sangat indah

Allah menggambarkan sifat ahli syurga dengan sangat lembut:

Mereka sedikit tidur pada waktu malam

Mereka beristighfar pada waktu sahur

Mereka berkongsi rezeki dengan orang miskin dan yang memerlukan

Ayat-ayat ini menggambarkan bahawa orang soleh bukan sekadar banyak ibadah, tetapi juga:

hati mereka hidup,

jiwa mereka lembut,

dan mereka peduli pada manusia lain.

Bahagian ini sangat menyentuh kerana ia menggambarkan “keindahan iman” dalam kehidupan harian.


3. Allah mengajak manusia berfikir tentang diri sendiri

Antara ayat paling terkenal dalam surah ini:

“Dan pada diri kamu sendiri, apakah kamu tidak melihat?”

Allah mengingatkan bahawa tanda kekuasaan-Nya bukan sahaja di langit dan bumi, tetapi:

pada tubuh manusia,

perjalanan hidup,

emosi,

rezeki,

sakit,

sembuh,

usia,

dan hati manusia sendiri.

Kadang-kadang manusia mencari Tuhan terlalu jauh… sedangkan bukti kebesaran-Nya ada dalam dirinya sendiri.


4. Kisah Nabi Ibrahim dan para tetamu malaikat

Allah menceritakan bagaimana malaikat datang kepada Nabi Ibrahim dalam rupa manusia.

Nabi Ibrahim segera memuliakan tetamu tanpa banyak soal. Ini menunjukkan:

adab melayan tetamu,

kemurahan hati,

dan akhlak para nabi.

Kemudian malaikat menyampaikan berita:

kelahiran Nabi Ishaq,

dan azab terhadap kaum Nabi Lut.

Di sini ada pengajaran bahawa:

rahmat Allah sangat luas,

tetapi kezaliman dan dosa yang berterusan juga ada balasannya.


5. Kisah kaum-kaum terdahulu

Surah ini menyebut kaum:

Nabi Nuh,

‘Ad,

Thamud,

Firaun,

dan kaum Lut.

Tujuannya bukan sekadar sejarah, tetapi peringatan:

manusia sering menjadi sombong apabila merasa kuat.

Namun sehebat mana pun manusia, semuanya tetap berada di bawah kekuasaan Allah.


6. Ayat yang sangat terkenal tentang tujuan hidup manusia

Antara ayat paling masyhur dalam surah ini:

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.”

Ayat ini bukan bermaksud hidup hanya solat semata-mata, tetapi:

seluruh hidup menjadi jalan mendekat kepada Allah,

bekerja dengan amanah,

berbuat baik,

sabar,

mencari ilmu,

menjaga manusia,

semuanya boleh menjadi ibadah.

Ayat ini memberi makna besar kepada kehidupan manusia.


7. Penutup surah: jangan berpaling daripada Allah

Di hujung surah, Allah menyeru manusia supaya:

kembali kepada-Nya,

jangan menyekutukan-Nya,

dan jangan terlalu sombong dengan dunia.

Nada penutupnya sangat tegas tetapi penuh kasih sayang — seperti panggilan terakhir sebelum manusia tersesat terlalu jauh.

Surah ini terasa seperti:

satu seruan untuk berfikir,

satu sentuhan untuk hati,

dan satu peringatan bahawa hidup ini bukan kebetulan.

Ada ketikanya surah ini membuat manusia merasa kecil… tetapi dalam masa yang sama merasa sangat dekat dengan Allah.


Sunday, May 10, 2026

Keibuan Tanpa Syarat

Ada wanita yang menjadi ibu melalui rahim, dan ada wanita yang menjadi ibu melalui hati.

Kasih sayang, kelembutan, cara mengambil berat tentang orang lain, cara bercakap dengan penuh adab dan doa, itu semua adalah bahasa keibuan juga. Naluri itu tidak hilang hanya kerana takdir hidup berjalan dengan cara yang berbeza.

Bukan semua pelukan datang daripada seorang ibu kandung. Kadang-kadang, ada hati yang Allah ciptakan untuk menjadi tempat teduh kepada ramai orang — adik-adik, anak saudara, anak murid, sahabat, malah orang yang hanya singgah sebentar dalam hidupnya.

Keibuan bukan sekadar melahirkan.

Kadang-kadang ia adalah kemampuan untuk menyayangi tanpa syarat, mendoakan tanpa jemu, dan memahami luka orang lain dengan lembut.

Hari Ibu bukan hanya tentang siapa yang pernah melahirkan anak. Ia juga tentang wanita yang memiliki hati seorang ibu, yang menyayangi, menjaga, mendoakan, dan memberi kasih tanpa berkira.

Ada anak murid yang mungkin rasa tenang bila berada di sisi.

Ada anak saudara yang rasa disayangi bila berada bersama.

Itu juga keibuan.

Itu juga seorang “ibu” dalam bentuk yang Allah tentukan berbeza.

Kadang-kadang, Allah tidak memberi seseorang anak untuk dipeluk tetapi Allah beri hati yang berusaha memeluk banyak jiwa, dengan penuh rasa keibuan.

Selamat Hari Ibu.





Lutut




Derita sakit lutut yang saya alami ini sudah lama, cuma ia seperti iklan Chipsmore - kejap ada, kejap tak ada.

Sudah lebih sepuluh tahun rasanya saya mengalami sakit yang "on off" dan sudah pernah saya mengambil suntikan di Klinik Sayyida pada tahun 2016 (kalau tak silap saya). Waktu itu cuma suntikan painkiller sahaja, dan ia melegakan untuk tempoh yang lama.

Tahun lepas, sakit itu kembali lagi dan saya ke klinik Farahain Tunjong. Doktor di situ mengesyaki saya mengidap gout dan memberi ubat gout. Oh tidak! Saya bukan kena goutlah doktor, ini sakit lutut, bukan sakit sendi. Kadang-kadang geram juga bila doktor tak diagnos betul-betul.

Tahun ini, sakit itu makin pelik. Ia seperti menjalar ke seluruh kaki saya termasuk paha dan betis. Malam-malam ia berdenyut dan sengal-sengal, nak tidur pun susah. Eh, tapi saya lena je.

Bila berjalan saya tak rasa sakit. Bila naik turun tangga, saya kena pegang pada pemegang seban ada sikit rasa sakit terutama ketika turun. Kalau solat, masa nak turun sujud, dan masa duduk tu saya tak boleh duduk rapat. Saya kena ejas supaya tiada rasa sakit. Nak bersila, bolehlah seminit. Seterusnya kena berlunjur dah. Begitulah situasi sakit saya. Tidaklah kronik, tapi mengganggu sedikit aktiviti harian saya.

Beberapa hari lepas, saya ternampak kain rentang di tepi jalan mempromosikan klinik Hijaz di Kok Lanas yang mana kepakaran yang diiklankan ialah  berkaitan lutut. Jadi Sabtu semalam, suami saya membawa saya ke sana.

Dipendekkan cerita, soktor bertugas - Dr. Marwan Mohamad yang muda dan kacak itu meneliti lutut, betis dan paha saya lalu menyimpulkan sakit yang saya alami ini berkaitan dengan saraf. Cadangan rawatan ialah suntikan ubat saraf berharga RM350 di bahagian lutut yang sakit. Saya meminta Dr. Marwan menyuntik sebelah kiri sahaja dulu walaupun saya sakit kedua-dua belah.

Sekejap saja prosedurnya, tak sampai lima minit pun. Dan kesakitan saya serta merta hilang. Wah!

Klinik Hijaz turut membekalkan ubat-ubat lain untuk saya iaitu Myonal 50mg (ambil sebiji sekali sehari), Dexamethasone 0.75mg (ambil 4 biji sekali sehari), dan Pregabalin 75mg (am il sebiji sekali sehari). Seterusnya saya diminta hadir temujanji untuk sambung ubat pada Rabu nanti.

Hari ini, saya rasa lega dan ringan sekali sewaktu berjalan turun naik tangga. Walaupun kaki sebelah kanan saya masih belum dirawat, saya sudah rasa perbezaannya.

Alhamdulillah. Saya berdoa semoga rawatan saya kali ini berhasil dan diberi kesembuhan jua. Amin.

Saturday, May 09, 2026

Dahaga

Soalan:

Fattah, betul ke bila kita semakin berusia, kita dah tak rasa dahaga sangat walaupun badan kita kekurangan air?

Jawapan:

Ya umi, memang betul. Apabila usia semakin meningkat, rasa dahaga biasanya menjadi semakin kurang sensitif walaupun tubuh sebenarnya masih memerlukan air. Ini memang berlaku secara semula jadi pada ramai orang yang berusia.

Antara sebabnya:

Pusat kawalan dahaga dalam otak menjadi kurang peka.

Buah pinggang juga tidak secekap dulu dalam mengekalkan keseimbangan air.

Kadang-kadang tubuh sudah mula kekurangan air sedikit, barulah rasa haus muncul.

Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan badan lebih mudah kehilangan air.

Sebab itu, orang yang lebih berusia kadang-kadang boleh mengalami dehidrasi ringan tanpa sedar — walaupun tidak rasa haus sangat.

Tanda-tanda badan mungkin kurang air termasuk:

Mulut kering

Cepat letih atau lesu

Pening ringan

Sakit kepala

Air kencing lebih pekat atau sedikit

Kulit terasa lebih kering

Untuk umi yang juga sedang menjaga berat badan dan kawalan gula darah, minum air yang cukup memang penting. Kadang-kadang badan rasa “lapar”, tetapi sebenarnya hanya kurang air.

Tak perlu tunggu haus sangat baru minum. Lebih baik minum sedikit-sedikit tetapi kerap sepanjang hari. Contohnya:

Segelas selepas bangun tidur

Sedikit setiap kali selepas solat

Bawa botol air dekat dengan umi supaya mudah capai

Tubuh kita bila meningkat usia, dia semakin pendiam dalam memberi isyarat. Dahaga, letih, bahkan sedih pun kadang-kadang tidak lagi “menjerit” seperti dulu — cuma berbisik perlahan. Sebab itu kita perlu lebih lembut dan lebih peka menjaga diri sendiri.



Monday, May 04, 2026

Selamat Hari Jadi Aliya

Anak comel lagi manja ini sangat mudah tersenyum. Melihat senyumannya hati Umiti jadi cair. Ya Allah, indahnya kurniaan-Mu. Tetapi sukar pula untuk Umiti dekati. Mungkin Umiti tidak cukup pandai mencuri hatinya.

Hari ini anak comel bernama Aliya Nurinsyeerah ini genap tiga tahun. Dilahirkan pada tarikh 4 Mei 2023, Aliya merupakan anak bongsu pasangan Muhammad dan Farah Dalila. Memiliki dua orang abang iaitu Areef Irsyad dan Afeef Mukrim, juga seorang kakak iaitu Amal Nurkhayreen, Aliya dilengkapi ahli keluarga yang penyayang.

Alhamdulillah, syukur pada-Mu ya Allah atas segala kurnia. Doa Umiti, semoga Aliya dikurniakan kesihatan yang baik, dilindungi dari segala perkara yang tidak diingini, dan berjaya di dunia dan di akhirat. 

Semoga pada cuti sekolah nanti, Umiti dapat mendekati dan memesrai Aliya dengan lebih baik. Amin.








TV Mama

Cuaca di Kelantan kini sangatlah panas. Suhu mencecah 36-37 darjah. Dalam bilik berhawa dingin pun peluh masih memercik. 

Rumah Mama turut terkesan dengan cuaca sebegini. Mama suka berbaring di ruang rehat itu, sambil menonton TV tetapi kini ruang rehat Mama sudah menjadi tidak nyaman. Kipas sahaja tidak memadai kerana bahang panas terlalu menusuk.

Saya menyarankan Mama berehat di bilik tengah, yang dilengkapi penyaman udara dan bilik air. Mama pun suka berehat di situ tetapi masalahnya, tiada TV. Mama rasa bosan jika hanya berbaring dan menatal telefon pintarnya sahaja tanpa TV. Mama suka menonton rancangan-rancangan ilmiah dan berita.

Lalu saya membeli sebuah TV baru, bersaiz 32 inci berjenama Samsung untuk Mama. Mulanya Mama menolak, tetapi saya tetap juga beli dari Shopee dengan harga RM594. TV itu berkualiti sederhana sahaja, bukan Full HD tetapi tetap cantik gambarnya. Ia selamat tiba pada 23 April lalu dan pemasangannya selesai pada hari ini. 

Alhamdulillah, Mama nampak gembira. Ceria sekali nada suara Mama di hujung corong telefon sewaktu memaklumkan TV itu sudah boleh diguna. Semoga Mama gembira selalu, dan tenang melayan hari-hari tua Mama, walaupun bersendirian di rumah pusaka tinggalan arwah ayah itu.

Sayang Mama!






Sunday, May 03, 2026

Solat

 


Tulisan di atas menggambarkan betapa salahnya konsep solat yang diterap dalam diri anak-anak kecil, menyebabkan mereka dewasa menyalahkan Tuhan.

Anak-anak kecil memang perlu diajar solat seawal 7 tahun tetapi janganlah digula-gulakan mereka dengan mengatakan jika kita solat Allah beri itu, Allah beri ini, tetapi kerana Allah beri kita banyak nikmatlah kita perlu bersolat untuk menunjukkan rasa kasih dan kehambaan kita.

Saya pernah baca, petikan dialog seorang ibu berkongsi kata-kata nasihat untuk anaknya (yang dibahasakan sebagaik kakak) supaya tidak tinggal solat. Petikan ini saya ambil dari satu perkongsian di Facebook. 

“Kakak tahu tak, dulu bila kakak solat betul-betul, Allah selalu kabulkan doa kakak. Apa kakak minta, Allah bagi. Nak result exam baik, dapat. Nak pergi jalan tempat best, pun dapat. Semua tu sebab kakak solat dan doa sungguh-sungguh.”

“Sekarang ni bila kakak dah mula lalai, kadang-kadang Allah tak terus bagi apa yang kakak minta. Bukan sebab Allah tak sayang, tapi Allah nak kakak betulkan dulu solat kakak.”

Entah kenapa, saya rasa ada yang tidak kena dengan kata-kata sebegini kepada anak kecil yang masih tidak faham tentang konsep solat. Ibunya seperti menjadikan solat itu dengan tujuan, bukan dengan keikhlasan.

Sebaiknya, dialog itu diubah kepada,

“Kakak tahu tak, kakak kena solat betul-betul, sebab Allah selalu kabulkan doa kakak. Apa kakak minta, Allah bagi. Nak result exam baik, dapat. Nak pergi jalan tempat best, pun dapat. Jadi kakak kena solat sungguh-sungguh sebab Allah beri banyak nikmat kepada kakak."

“Kalau kakak lalai, apa yang Allah bagi tu nanti tak berkat. Hidup tanpa keberkatan ni, walaupun senang dan kaya, tapi hati tak tenang.”

Mohon betulkan jika saya salah.