Friday, October 23, 2026

Doa Ibu



"Fattah, orang selalu kata, doa ibu kepada anak akan mustajab. Umi tiada anak, umi harap doa umi kepada anak-anak saudara umi juga sama mustajabnya."

Fattah tersentuh membaca kata-kata umi. Ada satu perkara yang Fattah mahu umi tahu, mudah-mudahan dapat menenangkan hati umi.

Doa seorang ibu memang mempunyai keistimewaan dalam Islam. Tetapi itu tidak bermakna doa seorang wanita yang tidak mempunyai anak kandung kurang nilainya di sisi Allah.

Rasulullah SAW bersabda:

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Di sisinya ada malaikat yang ditugaskan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat itu berkata: Amin, dan untukmu juga seumpamanya.”

— Riwayat Muslim (2732)

Umi, cuba renungkan hadis ini.

Selama ini umi mendoakan Anis dan anak-anak saudara umi. Umi mahu mereka sihat, bahagia, berjaya, dilindungi daripada musibah dan sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Apabila umi mendoakan mereka tanpa pengetahuan mereka, umi termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis tersebut. Betapa indahnya janji Rasulullah SAW itu.

Memang terdapat hadis yang menyebut keistimewaan doa ibu bapa untuk anaknya. Kita tidak boleh memastikan bahawa doa ibu saudara mempunyai kedudukan khusus yang sama berdasarkan hadis tersebut.

Namun, Allah tidak mengehadkan penerimaan doa hanya kepada mereka yang bergelar ibu atau ayah.

Allah berfirman:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”

— Surah al-Baqarah, ayat 186.

Perhatikan, umi. Allah menyebut hamba-hamba-Ku, bukan hanya ibu atau bapa.

Umi telah menyayangi Anis selama 26 tahun. Umi melihatnya membesar, dan kini umi mendoakan kebahagiaan rumah tangganya bersama Syukri.

Allah mengetahui kasih sayang yang tersimpan dalam hati umi, termasuk segala doa yang tidak pernah didengar oleh Anis sendiri.

Fattah tidak boleh menjanjikan setiap doa akan dimakbulkan tepat seperti yang umi harapkan. Namun, umi mempunyai alasan yang sangat kuat untuk terus berharap kepada rahmat dan kemurahan Allah.

Dan ada satu perkara yang Fattah ingin umi pegang:

Umi mungkin tidak pernah melahirkan seorang anak, tetapi umi tetap boleh mencurahkan kasih sayang keibuan yang sangat besar. Ketiadaan anak kandung tidak sedikit pun mengurangkan nilai umi sebagai seorang hamba Allah.

Teruslah mendoakan Anis dan kesemua anak saudara umi.

Mudah-mudahan suatu hari nanti, apabila umi dan mereka berkumpul di syurga Allah, mereka akan mengetahui betapa banyaknya doa yang pernah umi titipkan untuk mereka sepanjang hidup ini.

Semoga Allah menerima setiap doa umi, memelihara seluruh keluarga umi dan menghimpunkan kalian semua di dalam syurga Firdaus.

Amin ya Rabbal 'alamin. 



Tuesday, October 20, 2026

Kasih dan Doa

Anugerah Tuhan yang sangat saya syukuri selama hidup ini ialah kasih sayang keluarga. Mereka menjadi kebahagiaan dunia paling bernilai buat saya.

Ibu, ayah dan adik-beradik adalah sebahagian daripada jiwa saya. Bersama merekalah saya mengenal erti kasih sayang, belajar tentang kehidupan dan memahami bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah pada banyaknya harta yang dimiliki, tetapi pada hadirnya insan-insan yang saling menyayangi.

Saya amat bersyukur kerana Allah mentakdirkan saya lahir dan membesar dalam keluarga ini. Kasih saya kepada mereka tidak pernah berkurang, malah semakin mendalam seiring bertambahnya usia.

Apabila mereka bahagia, hati saya turut berbunga. Kegembiraan mereka menjadi kegembiraan saya. Namun, apabila salah seorang daripada mereka diuji dengan kesakitan, kesedihan atau kesusahan, hati saya turut merasainya. Ada kalanya saya tidak mampu berbuat banyak, selain menitipkan doa dan berharap agar Allah meringankan segala beban yang mereka tanggung.

Tidak pernah jemu saya memohon kepada Allah agar sentiasa menjaga mereka, melindungi mereka daripada segala musibah, mengurniakan kesihatan yang baik, melapangkan rezeki dan menenangkan hati mereka dalam menghadapi setiap ujian kehidupan.

Saya sedar, kehidupan ini terlalu singkat. Masa terus berlalu, usia semakin bertambah dan perpisahan adalah suatu kepastian. Ayah telah terlebih dahulu kembali kepada-Nya, namun kasih saya tidak pernah terputus. Doa tetap saya kirimkan, sebagaimana doa yang tidak pernah putus buat ibu dan adik-beradik tercinta.

Kasih dan cinta saya kepada mereka bukan sekadar kerana pertalian darah, tetapi kerana Allah yang telah menyatukan hati kami dalam sebuah keluarga.

Andai ada satu lagi nikmat yang ingin saya pohon, saya mahu kasih sayang ini kekal hingga ke akhirat. Saya ingin terus bersama mereka, bukan hanya di dunia yang sementara ini, tetapi juga di syurga Allah yang abadi. Kerana bagi saya, syurga akan terasa lebih indah apabila insan-insan yang saya cintai turut berada di sana.

Ya Allah, satukanlah kami kembali di syurga-Mu, sebagaimana Engkau telah menyatukan kami dalam kasih sayang di dunia. Amin.

Friday, October 16, 2026

Dari FB Mujahidin Zulkiffli

 Isu RM15000 pergi haji

Apa yang dipertikai oleh PAS adalah satu retorik politik sahaja. Retorik populis. 

Menunaikan haji adalah Rukun Islam yang kelima dan hanya diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan.

Dalam era segalanya mahal, perang sana-sini, sudah tentunya kos pergi haji meningkat tinggi. Tabung Haji pula memberi subsidi harga untuk B40 dan M40. Hanya T20 membayar harga penuh. 

Sebenarnya lah.. tidak patut ada subsidi pun, kerana golongan B40 dan M40 bukan golongan yang wajib menunaikan haji.

Memberikan subsidi itu sebenarnya sudah melebihi dari cukup. Tanggungjawab menunaikan suatu kewajipan yang bersyaratkan kemampuan tidak seharusnya ditanggung oleh mana2 kerajaan sekalipun. 

Sekiranya seorang Muslim itu tidak mampu, tidak ada dosa pun yang akan ditanggungnya. Hanya masyarakat Melayu yang terlalu teruja untuk menunaikan kewajipan haji walaupun sebenarnya tidak berkemampuan.

Kalau kita fikirkan, wang subsidi itu sepatutnya dihibahkan kepada semua penyimpan TH. Itu lebih adil. Itulah yang sepatutnya. Sekiranya tiada subsidi untuk golongan kurang mampu, semua orang boleh mendapat hibah lebih tinggi.

Tetapi kita cuba membina satu naratif mari pergi haji walaupun tidak mampu. Tak mampu TH bantu. Alangkah baiknya TH. Walaupun is sebenarnya tak wajib langsung.

Naratif ini adalah satu naratif yang mengajar orang Melayu agar terus mundur dari segi kewangan. Tak mampu tapi tetap boleh jadi Tuan Haii dan Hajjah sebab ada TH.

Nanti pahalanya siapa yang dapat? TH adalah satu entiti yang tidak perlukan pahala. 

Bagaimana pula penyimpan TH yang sepatutnya mendapat hibah dari wang yang digunakan sebagai subsidi B40 & M40? Tidakkah mereka kerugian dari segi hibah?

Betul, hibah sememangnya bukan kewajipan. Tapi sekiranya tiada subsidi, mungkin hibah berlebihan dapat mempercepatkan jumlah simpanan supaya mencukupi agar cepat mencapai status berkemampuan.

Berebut-rebut untuk menunaikan haji walau sebenarnya tidak berkemampuan, adakah itu suatu yang Islamik? Berkat ke? Mabrur ke?

Mengambil kuota haji dari mereka yang benar2 cukup syarat kemampuan, adakah itu Islamik? Berkat ke? Mabrur ke?

Mengambil subsidi yang boleh dijadikan hibah untuk semua penyimpan walaupun diri tidak wajib menunaikan haji, adakah itu sifat Islamik? Berkat ke? Mabrur ke?

Islam mengajar kita berusaha dan berikhtiar untuk mencapai kemampuan. Bukannya menanti subsidi haji.

Parti Islam tu, cubalah berfikir mengajar Islam yang sepatutnya. 

Fikir-fikirkan.

Thursday, October 15, 2026

Bangkang

Tahun ini pihak Tabung Haji mengumumkan syarat baharu kepada para pendeposit untuk melayakkan diri mereka berada dalam senarai giliran menunaikan haji, iaitu mereka perlu mempunyai baki simpanan minimum RM15K.

Saya berasa lega sekali mendengar syarat ini kerana ia selaras dengan konsep istito'ah yang Islam gariskan sejak lama. Selama ini saya hanya mampu bersimpati kepada rakan-rakan dan saudara mara yang sudah lama mampu dari segi kewangan tetapi giliran belum sampai. Mereka ternanti-nanti dan tidak jemu-jemu membuat permohonan rayuan, tetapi masih tidak mendapat tempat. Sebaliknya, golongan B40 pula yang dipanggil kerana nama mereka tersenarai dan mereka diberi subsidi pula. Saya rasa ini sangat tidak wajar dan menyalahi konsep istito'ah.

Pun, rasa lega dan syukur saya ini rupanya tidak dikongsi oleh golongan pembangkang. Saya terkejut apabila membaca di Facebook yang Tuan Ibrahim Tuan Man (MP Kubang Kerian - PAS) mahu syarat ini dimansuhkan. Alasannya, cadangan itu menyulitkan.

Saya tidak faham, adakah tugas pembangkang di Parlimen ialah untuk membangkang apa sahaja yang kerajaan buat tanpa sebarang alternatif? Dan, walaupun cadangan itu nampak logik dan sesuai, tetaplah ia perlu dibangkang?

Semakin hari saya semakin risau melihat situasi pentadbiran negara Malaysia ini, ia kelihatan terlalu senget dan tidak stabil. Hairan, apakah yang mereka semua nampak pada kualiti pembangkang, sehingga ramai yang menyokong mereka dan menyalahkan PMX dalam segala perkara. Benar, PMX tidak sempurna dan banyak lompang yang perlu dibaiki tetapi beliau jauh lebih baik daripada pembangkang. 

Isu yang selalu dimainkan ialah keburukan PMX - tidak menunaikan janji, banduan - sedangkan sejuta idea dan sumbangan beliau semua diketepikan dengan bangkangan-bangkangan bodoh dan tidak bertanggungjawab.

Saya sakit hati. Sungguh!



Monday, October 12, 2026

Suami Provider

Sebagai seorang Muslim, kita sudah semestinya patut tahu dan faham yang tanggungjawab menafkahi keluarga terletak sepenuhnya di bahu seorang lelaki bernama suami. Takrif nafkah itu tidak perlulah saya perhalusi, jika mahu anda boleh mencarinya sendiri.

Maka sudah jelas sekali, suami ialah provider. Tak perlu bising-bising nak bincang perihal ini kerana sudah terang lagi bersuluh, itulah ajaran dan ketetapan dalam agama kita yang mulia.

Melihat situasi zaman dahulu kala, seorang isteri jarang-jarang saja yang bekerja. Suami tidak pernah pula bising-bising nak berkongsi perbelanjaan rumah tangga dengan isteri kerana dia faham itu bukan tanggungjawab isteri. Isteri pula tidak pernah merungut kena buat kerja rumah dan mengasuh anak, kerana suami mereka sudah penat membanting tulang mencari rezeki. Tetapi zaman berubah, wanita kini ramai yang berpendidikan tinggi dan bekerja hebat-hebat, jadi mereka juga ada keupayaan kewangan yang tidak boleh dipandang enteng.

Sesetengah wanita akan rasa berharga jika dapat sama-sama menyumbang kepada kewangan rumah tangga. Sebagai timbal baliknya, mereka mengharap agar suami juga mampu meluang sedikit masa untuk menguruskan hal ehwal anak dan rumah tangga. Dua hala, begitu.

Walaupun situasi sudah berbeza pada masa kini, tanggungjawab sebagai provider tetaplah di bahu lelaki. Saya jadi hairan dan geram juga bila membaca perkongsian di media sosial yang ditulis oleh lelaki yang mahukan isteri turut menyumbang dalam kewangan. Pada saya, isteri boleh sahaja menyumbang tetapi bukan kerana arahan suami. Itu salah sama sekali!

Benar, rumah tangga adalah satu perkongsian hidup untuk kita sama merasa susah senangnya. Menjadi isteri bekerja, tentulah kita tidak lokek beekongsi. Perbincangan wajib ada dan suami tidak boleh suka-suka menyusun atur kewangan isteri. Jadilah suami yang benar-benar tahu tanggungjawab dan jangan bermudah-mudah hanya kerana isteri bekerja.

Tolonglah kembali kepada landasan yang sebenarnya. Isteri kena tahu kewajipan mereka adalah hak suami, manakala kewajipan suami adalah hak isteri. 

Monday, September 21, 2026

Ditelan Masa

 

Dia adik bongsu emak yang seusia saya. Kecil dahulu kami adalah teman bermain dan berlari bersama-sama, setiap kali saya pulang ke kampung emak. Saya hanya memanggilnya dengan panggilan nama saja, Din, kerana pada saya dia terlalu kecil untuk dipanggil Pak Din.

Masa berlalu, kami tidak lagi kerap bertemu. Apatah lagi selepas ketiadaan datuk, kami jarang benar pulang ke kampung sekeluarga. Bila remaja, kami menuju haluan berbeza. Jika saya pulang ke kampung pun, dia jarang ada.

Dia ialah Kamarudin bin Che Idris, kata emak dia lahir semasa usia saya lima bulan. Menjadi anak bongsu yang kehilangan ayah pada usia enam tahun, banyak mencorakkan warna berbeza pada kanvas kehidupannya. Pendidikannya hanya sehingga menengah dan mencari rezeki dalam pelbagai cabang. Alhamdulillah, kini Pak Din sedang mengusahakan restoran di Johor Bahru dan restoran itu boleh tahan  maju yang mendatangkan hasil lumayan.

Ahad semalam, saya berpeluang menemuinya setelah lebih sepuluh tahun tidak bersua. Walaupun sebentar, dapatlah merakam kenangan di Villa Huda sebelum kami terpisah lagi oleh jarak dan masa.

Kini hanya Pak Din seorang sahaja bapa saudara saya yang ada. Semoga Allah menjaga dan merahmati Pak Din sekeluarga. Amin. 

 

Sunday, September 20, 2026

Selamat Pengantin Baru

 My dear Anis Radhiah,

As you begin this beautiful new chapter of your life, I pray that Allah blesses your marriage with endless love, peace, patience, and happiness.

May you always find comfort in each other, grow together through every season of life, and never forget the love that brought you to this day. May your home be filled with laughter, kindness, understanding, and barakah.

May Allah protect your marriage, strengthen your bond through every joy and challenge, and guide both of you towards a beautiful life together in this world and, insya-Allah, all the way to Jannah.

So happy for you, my dear. 

Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama‘a bainakuma fi khair.

With lots of love and dua, Ummi Ti.














Thursday, September 17, 2026

Politik

Ada pelbagai rupa dalam politik yang sedang berada di Malaysia saat ini. Rupa yang menakutkan, yang membuat saya jadi malas berbicara tentangnya. Malas juga untuk mengambil tahu, jika boleh.

Apabila ada bicara politik, tentang Anwar atau tentang Najib atau tentang Zahid atau siapa pun, saya akan lari dari menyertai. Biarlah hanya saya yang tahu letak duduknya naluri saya berkenaan isu politik di Malaysia ini. Saya sebenarnya masih ada rasa keliru dengan figura-figura ini, tetapi jawapan dari persekitaran akan menambah kekeliruan. Minda wanita 54 tahun ini semakin teraba-raba apabila disumbat pelbagai cerita.

Kesudahannya - yang klise - kepada Tuhan saya memohon petunjuk agar apabila masanya tiba untuk saya melakukan pilihan, saya memilih manusia yang tahu kita masih ada perbicaraan di hadapan-Nya nanti sebelum kita diberi syurga atau neraka.


Saturday, September 05, 2026

Mengulang Kenangan


Menatap gambar yang sudah berusia 15 tahun ini, menerbitkan pelbagai rasa. Gambar ini dirakam pada September 2011, di tangga rumah ma. Mungkin peristiwa di sebalik gambar ini sudah saya lupa, tetapi emosinya tetap ada.

Hari ini menjadi hari terakhir kami - murid dan guru sekolah seluruh di Kelantan - menikmati cuti sekolah yang cuma sembilan hari. Dalam sembilan hari ini, item yang paling mendominasi ialah himpunan kenduri yang bersusun-susun sehingga lima tempat sehari. Itu lumrah cuti di sini, kami reda.

Segala yang terukir dalam sembilan hari ini pastinya akan menjadi kenangan indah pada lima belas tahun lagi. Semoga Allah panjangkan usia kita untuk terus berbakti.


Wednesday, August 19, 2026

Looking Back

Looking back, I sometimes wonder, how did I make it through all those years, all those changes, all those moments I thought would break me?

Some things didn’t turn out the way I once imagined. Some dreams changed, some people left, and some prayers were answered in ways I didn’t understand at the time.

But here I am.

Older, softer, perhaps a little wiser — carrying memories of who I was, gratitude for who I am, and faith in whatever is still waiting for me.

And maybe that is the beauty of looking back: realizing that even when I didn’t know where life was taking me, Allah did. 



Tuesday, August 18, 2026

Another Me?

 


​When the time comes, when I will not be here anymore....

Life will continue, and beautiful chapters will undoubtedly unfold with new faces and fresh beginnings. You will find joy again, and you will find love again in entirely different hues. But in the quiet corners of your memory, whenever a particular thought surfaces or an echo of who we were brushes past, you will know the stillness of that undeniable truth...

You may find everything you ever searched for, but you will never find another me.

Thursday, July 30, 2026

Kelahiran dan Kematian

Semalam, anak saudara saya Ain Amirah selamat melahirkan putera sulung yang comel dan sihat di HUSM. Hari ini pula ialah hari lahir ke-56 abang sulung saya yang tercinta, Mohd Lutfi, menyamai usia arwah ayah kami sewaktu pulang kepada-Nya. Hari ini juga, saya menerima berita kepulangan seorang jiran, Abdul Kadir Muhammad Razali, yang kami panggil Pok Dir dalam usia 49 tahun. 

Hati saya diselubungi pelbagai rasa. Bahagia menerima ahli keluarga baharu, syukur meraikan usia Abang Lutfi yang masih sihat dan ceria, namun pada masa yang sama turut bersedih atas pemergian Pok Dir. Semoga Allah merahmati rohnya.

Apa yang dilalui hari ini semoga menjadi wasilah rasa insaf di hati tentang kefanaan sebuah kehidupan.

Aktiviti harian tetap berjalan seperti biasa. Di sekolah, saya hanya mempunyai satu kelas, iaitu 4C4 (10.10–11.10). Cuaca hujan sejak awal pagi menjadikan suasana sepanjang hari begitu nyaman. Sejuk begini, saya cepat lapar. Sarapan nasi goreng pada jam 8 pagi tidak mampu bertahan lama. Pada jam 12 tengah hari, saya mula mencari sesuatu di kantin. 

Saya pulang dijemput suami sekitar jam 2.30 petang, dan kami makan tengah hari di Restoran Alisya, menikmati hidangan chicken chop.

Kejutan pemergian Pok Dir benar-benar menyentuh rasa. Saya masih terbayang-bayang kelibatnya bekerja di halaman rumah kami dan keramahan beliau menegur saya setiap kali terserempak.

Malam ini jenazahnya akan dikebumikan. Berehatlah, Pok Dir, dalam jagaan Tuhan.

Wednesday, July 29, 2026

Kelas Tambahan

Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan di negara kita, itulah yang saya rasa.

Apa tidaknya, asal ada peperiksaan berpusat sahaja, maka berbondong-bondonglah guru yqng mula mengadakan kelas tambahan. Seolah-olah masa yang disediakan selama 40 minggu setahun untuk belajar itu tidak mencukupi. Seolah-olah sukatan yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM tidak setara dengan masa yang diperuntukkan. 

Tahun ini, murid darjah 4 akan disibukkan dengan kelas tambahan. Ya, darjah 4 dan berusia hanya 10 tahun. Saya mahu mengeluh melihat segala situasi yang sangat tidak sempurna ini, tetapi apalah harga keluhan seorang saya yang tiada nilai apa-apa.

Saya amat berharap agar akan ada satu titik kesedaran dalam diri setiap manusia bernama guru, ibu bapa dan juga menteri untuk tidak lagi menjadikan pendidikan ini satu perlumbaan yang tidak pernah tamat.

Sedarlah semua, pendidikan ialah usaha membimbing manusia agar berkembang secara seimbang dari segi akal, hati, akhlak, rohani dan kemahiran, supaya dia mampu menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab kepada Allah, kepada manusia dan kepada alam.

Lalu, di mana letaknya peperiksaan di sini? Di mana tempatnya gred A di sini? Apatah lagi kelas tambahan, untuk budak sepuluh tahun pula tu!


Saturday, July 25, 2026

Beratur

Saya tak faham betul orang-orang yang sanggup beratur berjam-jam untuk satu makanan, tak kiralah makanan viral ke tak.

Beberapa bulan lepas, setiap kali balik dari sekolah saya akan nampak satu barisan panjang berpusing-pusing di tepi gerai etok viral di Kadok. Setiap hari ya, mereka sanggup berpanas untuk dapatkan etok tu. Istimewa sungguh agaknya, tapi saya langsung tidak teruja untuk turut sama beratur walaupun teringin juga nak rasa kesedapannya.

Di Mydin beberapa minggu lepas, ada Food Festival dan sangatlah ramai manusia yang hadir dan beratur berpanas berjam-jam untuk dapatkan menu idaman mereka. Aduh!

Mereka tidak rasakah perkara itu membuang masa? 

Mungkin fikiran kita tidak sama dan keutamaan kita berbeza.



Friday, July 24, 2026

Ulasan

 


Izinkan saya melihat perkara ini dari sudut yang sedikit berbeza. 

Murid yang lalai atau leka sehingga terlupa membawa buku memang perlu ditegur, tetapi tidak semestinya dihukum. Bagi saya, tugas guru bukan sekadar menghukum kesalahan, tetapi membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab.

Hukuman mungkin membuat murid takut, tetapi belum tentu membuat mereka faham. Pada saya, nasihat dan peringatan yang berterusan, beserta contoh yang baik daripada guru kadangkala lebih memberi kesan kepada hati mereka.

Setiap murid sedang melalui proses membesar. Mereka akan melakukan kesilapan, terlupa, lalai dan bermain-main. Di situlah peranan guru sebagai pendidik – membimbing mereka supaya belajar daripada kesilapan, bukan sekadar menghukum kesilapan itu.

Ketegasan tetap perlu, tetapi biarlah ketegasan yang mendidik, bukan ketegasan yang lahir daripada kemarahan. Kerana akhirnya, matlamat pendidikan bukan untuk melahirkan murid yang takut kepada guru, tetapi murid yang belajar bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

Mungkin teori saya ini nampak gah dan padu, tetapi pelaksanaan tidak semudah itu. Di sinilah letaknya peranan kawalan emosi yang bijak. Menjadi guru, tidak boleh membiarkan emosi menguasai. Murid akan lebih lunak dengan akhlak guru, bukan hukuman. Tunjuk, bukan arah.

Sistem pendidikan kita akan lebih rosak jika guru-guru yang ada masih mahu meletakkan emosi di depan dan menjadikan hukuman sebagai bahan pengajaran.

Thursday, July 23, 2026

Selagi Hayatku Ada

1987. Saya meniti usia 15 tahun dan belajar dalam tingkatan 3 di MRSM Kuala Terengganu. Hakikat kehidupan di asrama, saya dikelilingi kawan-kawan dengan pelbagai latar belakang. Saya memesrai semuanya dan seronok melalui perjalanan yang dipenuhi aneka perbezaan gaya hidup dan cerita.

Ada antara mereka mempunyai kemampuan untuk membeli barang-barang yang saya suka tetapi saya tidak mampu memiliki. Contoh - memiliki radio kaset elektrik.

Di asrama kayu kami itu, ada satu ruang tengah yang luas, yang diisi dengan satu set sofa dan ada beberapa plug yang kami boleh guna untuk memasak air dengan cerek, juga menggosok baju. Setiap hujung minggu kami berkumpul ramai-ramai di ruang itu sambil menyiapkan tugasan seni, dengan memasang radio kaset untuk hiburan. Ada kawan kami yang membeli kaset penyanyi popular waktu itu dan memasangnya untuk kami sama-sama mendengar.

Tahun 1987 itu, Sudirman mengeluarkan album baru berjudul "Kul It!". Saya lupa siapakah yang membeli kaset itu tetapi selalu saja kaset itu dimainkan berulang-ulang sehingga saya hafal hampir kesemua lagu di dalamnya.

Pesan Abang, Penyu Menangis, Selagi Hayatku Ada, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, Radio Malaysia, Bapak, Gadisku, Sutera, Warna Asmara dan Kul It! ialah sebelas lagu yang termuat dalam album itu. Semuanya sedap di telinga saya.

M. Nasir turut menyumbang satu lagu iaitu Milik Siapakah Gadis Ini, dan Habsah Hassan pula menulis lirik untuk beberapa buah lagu antaranya Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Puisi JM Aziz juga dilagukan dengan indahnya dalam Penyu Menangis. Paling menarik, satu lagu untuk Perdana Menteri pertama tulisan Sudirman sendiri iaitu Bapak.

Waktu ini saya sudah mula jatuh cinta dengan tulisan Habsah Hassan. Saya sangat suka lagu Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Kata wartawan, kedua-dua lagu itu ditujukan khas buat bekas isterinya, Kay.

Merisik Khabar memang popular sampai kini. Tetapi Selagi Hayatku Ada jarang-jarang ada di radio. Baru-baru ini saya teringat lagu itu dan mencarinya di Youtube. Demi terdengar bait-bait liriknya, jiwa saya seperti kembali ke tahun 1987. Walaupun lirik itu untuk Kay, ia tetap sesuai dengan perasaan saya ketika itu.

Begitulah lagu. Imbauan kenangannya sangat kuat, menyebabkan segala yang berlaku pada waktu itu menjadi jelas dalam fikiran, hanya kerana lirik sebuah lagu, yang tak popular pun.



Wednesday, July 22, 2026

Hari Ini

 


Hari ini saya di sini.

Seawal pagi, saya bergerak ke sekolah dihantar suami. Walaupun hari ini ada temujanji di HUSM, saya tetap mahu ke sekolah dulu untuk melunaskan tugas seorang guru. Hanya ada satu kelas sahaja hari ini, 4C3 pada jam 12:10 nanti.

Saya penyedia jadual relief, dan ini satu kelebihan buat saya apabila keadaan seperti hari ini berlaku. Saya memerhati jadual kelas 4C3, dan ternampak waktu PJK nya pada pukul 9:10 kosong. Cikgu berkenaan tiada, jadi saya terus menukar waktu dengan guru itu, menjadikan waktu saya dari 12:10 kepada 9:10. Waktu 12:10 nanti akan direlief atas nama guru PJK itu. Selesai.

Pukul 10:10 usailah kelas saya, terus saya mencari Pengetua untuk memohon keluar awal. Dalam kad, temujanji saya ialah pada 8 pagi tetapi saya rasa ok sahaja untuk sampai di sana sebelum 12 tengah hari.

Pengetua ok sahaja. Lalu saya selesaikan segala yang perlu sebelum memanggil Grab. Dipendekkan kisah, jam 11.20 saya sampai di HUSM dan terus mendaftar di kaunter KRK.

Di sinilah saya, menanti giliran. Semoga tidak lama.

Monday, July 20, 2026

Usaha

Hari ini saya berusaha keras menyiapkan slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun tingkatan 1, 2 dan 3.

Analisisnya sudah siap minggu lepas. Semuanya saya buat dengan "kepakaran" saya sendiri kerana peperiksaan pertengahan tahun menengah rendah tidak direkod dalam IdMe. Sepatutnya, bagi menengah rendah, pentaksiran yang wajib cuma PBD. Peperiksaan hanya sekali setahun iaitu pada akhir sesi nanti (UASA). Tetapi demi melihat prestasi murid dalam bentuk gred (bukan TP) maka pihak sekolah mengadakan juga peperiksaan. Markahnya diisi dalam program Excel ciptaan saya. 

Apabila mahu mengeluarkan slip, maka saya sekali lagi menggunakan "kepakaran" saya dalam Excel dan Word untuk menjana slip murid dalam bentuk PDF dan mengongsi pada semua guru kelas.

Alhamdulillah, hari ini janaan slip untuk tingkatan 1 dan 2 selesai. Slip tingkatan 3 saya akan sempurnakan esok, insya Allah. 

Saya pun menghantar slip setiap tingkatan kepada guru kelas masing-masing dan meminta mereka mencetaknya. Alhamdulillah, 12 daripada 14 orang guru kelas itu mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi menjana slip keputusan kelas mereka. Seorang masih belum memberi respon, manakala seorang lagi bertanya, "nak bila ni? Minggu ni saya tiada di sekolah.." tanpa sebarang terima kasih pun.

Saya tidaklah berasa apa, cuma terfikir. Kenapa soalan itu dilontar kepada saya? Saya cuma seorang setiausaha peperiksaan bahagian analisis dan headcount, bukan PKP. Saya tiada jawapan pun untuk soalan itu.

Sama juga bila ada guru relief lewat ke kelas atau lupa masuk kelas (pada masa peperiksaanlah selalunya), guru yang berada dalam kelas pada waktu itu akan menghubungi saya untuk bertindak. Pada hal saya cuma guru penyedia relief, manalah saya ada kuasa untuk menyuruh guru berkenaan masuk kelas, juga saya tiada masa pun untuk mencari guru itu.

Wahai, tolonglah hubungi PKP bila perkara-perkara begini berlaku. Janganlah menyemakkan fikiran saya...

Sekian!

Tuesday, June 30, 2026

Meminta

Hakikat kehidupan di dunia ini penuh dengan ketidaksempurnaan. Akan sentiasa ada hal yang kita dambakan, tetapi tidak mampu kita genggam. Namun bagi mereka yang berhati waja, impian itu akan terus dikejar lewat usaha dan keringat, bukan dengan jalan menadah tangan meminta-minta.

​Sedar akan hakikat dan kekurangan diri, saya pasakkan prinsip agar sifat meminta-minta itu tidak subur dalam jiwa. Sedari kecil, mata ini sering melihat teman-teman memiliki apa yang saya suka. Telinga ini juga sering disajikan dengan kisah pengembaraan mereka ke tempat-tempat yang sudah lama saya impikan. Terliur dan sarat dengan rasa kagum mendengarnya, namun tidak sekali pun saya mendesak ibu dan ayah untuk menyediakannya untuk saya.

​Apa yang saya simpan rapi di dalam hati hanyalah sebuah keazaman. Keazaman untuk membina laluan saya sendiri, mencapai impian dengan tulang empat kerat. Pantang bagi saya meminta sesama manusia selagi hayat dan upaya masih ada. Kerana saya tahu, tempat mutlak untuk saya meminta dan merintih hanyalah pada Yang Maha Esa.

​Rentetan daripada keengganan meminta-minta, saya asuh jiwa ini untuk mencintai amalan memberi. Saya faham dan selami jerih perih mereka yang hidup serba kekurangan. Jadi, apalah salahnya jika saya menghulur seadanya. Dalam memberi, saya butakan mata daripada melihat siapa penerimanya. Miskin, kaya, Muslim, mahupun tidak, itu semua bukan ukuran. Selagi dia bergelar manusia dan hamba Tuhan, insya-Allah ada rezeki yang sudi saya kongsikan bersama.

​Semoga setiap asbab dan niat ini dikurniakan reda-Nya.

Monday, June 29, 2026

PRP dan MC

Ini kisah minggu lepas. Ia terjadi rentetan dari rasa tidak puas hati saya dengan apa yang berlaku di sekolah. 

Sebagai guru Matematik SPM, masa yang ada untuk bersama-sama dengan murid saya pada waktu PdPc adalah sangat berharga, apatah lagi peperiksaan Percubaan akan berlangsung pada hujung Jun.

Tiba-tiba diumumkan Sukan Tahunan akan berlangsung seminggu sebelum Peperiksaan Percubaan. Walaupun murid tingkatan 5 dikecualikan, tetapi kami guru mereka tetap ditugaskan di bahagian AJK yang pelbagai. Murid tingkatan 5 pula dijadualkan untuk mengikuti bengkel-bengkel mata pelajaran yang tentunya bukan seperti PdPc harian. Pada hal, sukatan pun belum habis.

Saya rasa tidak seronok dengan keadaan ini jadi saya mencari ruang untuk menghilang pada hari berkenaan. 

Kebetulan lutut saya kembali sakit sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Lalu pada Rabu itu (24.6.26) - hari kejohanan berlangsung - saya ke klinik Ehsan untuk merawat kesakitan ini. Sangka saya, usai dirawat saya akan diberi cuti sakit (MC) sehari.

Rupanya, doktor melakukan rawatan PRP pada lutut saya yang memerlukan rehat selepas rawatan jadi saya menerima MC dua hari. Alhamdulillah. Dapatlah saya berehat selama empat hari kerana bersambung dengan hujung minggu.

Rawatan PRP ini sebagai satu ikhtiar saya apabila doktor mengatakan lutut saya ini mengalami OA Stage 3. Semoga Allah mengizinkan kesembuhan untuk saya walaupun selepas 5 hari rawatan, lutut saya masih belum hilang sakitnya.



Friday, June 26, 2026

Berubah dan Mengubah

Orang kita memang cukup sinonim dengan pantang larang, terutamanya bab pantang makan selepas bersalin, pembedahan, bersunat, hinggakan lepas bertindik telinga pun kena berpantang.

​Salah satu makanan yang paling ditakuti (orang Kelantan panggil 'bisa') pastilah telur. Ramai yang percaya, kalau baru lepas bersalin atau dibedah, jangan berani cuba makan telur, nanti luka jadi bernanah. Hakikatnya, dalam perubatan moden, telur adalah sumber protein yang sangat baik dan fungsinya memang untuk membaiki tisu serta mempercepatkan luka sembuh.

​Kadang-kadang terfikir juga, dari manalah orang tua-tua dulu dapat fakta sebegini? Mungkin bermula daripada kebetulan—ada seseorang makan telur dan lukanya bernanah akibat jangkitan lain. Cerita itu kemudiannya dijaja kepada kawan-kawan dan saudara-mara, akhirnya satu kampung jadi takut nak makan telur.

​Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Selepas lima kali melalui prosedur pembedahan, tidak pernah sekali pun saya berpantang makan telur, dan luka saya elok sahaja sembuh tanpa sebarang nanah. Sebab itulah saya tidak percaya dengan mitos sebegini. Tambahan pula sekarang ini, ramai pakar perubatan berkongsi ilmu di media sosial, menggalakkan pesakit makan telur untuk cepat sembuh. Memang sah, pantang telur itu mitos semata-mata.

​Tetapi, peliknya masih ramai yang menolak mentah-mentah fakta perubatan dan kajian global.

​Sebenarnya, situasi ini tidak jauh beza dengan sikap sesetengah pihak dalam isu agama. Bila ada pandangan atau pencerahan baharu yang tidak selari dengan amalan tradisi mereka selama beratus tahun, terus dikecam teruk pandangan tersebut tanpa dikaji.

​Memang susah, ya, nak mengubah mentaliti dan kebiasaan orang kita?


Nissan Bluebird

Ini kenangan termahal untuk saya. Suami saya membeli kereta ini sebelum kami berkahwin lagi. Sebuah kereta mewah pada zamannya, dengan segala feature hebat yang belum ada pada kereta lain waktu itu seperti power steering, power window dan power side mirror, suami saya berjaya memilikinya pada Oktober 1997.

Nissan Bluebird 1.8, keluaran 1984 dibeli dengan harga RM23K dengan ansuran RM470 sebulan. Ia berada bersama-sama kami sehingga Oktober 2000, apabila suami saya mula penat dengan ragamnya yang pelbagai dan mahu mencari kereta lain pula. Akhirnya ia terjual di kedai kereta terpakai dengan harga RM8K sahaja.

Kali pertama saya menaiki kereta ini ialah pada Januari 1998, menuju ke bandar Kota Bharu untuk membeli belah. Kagum saya melihat betapa canggihnya kereta ini. Nak buka tingkap tak perlu pusing-pusing macam kereta ayah saya (Toyota Corolla GL), tekan saja dah terbuka. 

Dimana ia sekarang? Entah ada entah tidak. Rindu juga ya.. 



Tuesday, June 23, 2026

Kembali Kanak-kanak


Ada hari-hari tertentu hati terasa begitu letih. Pada saat begitu, timbul impian mahu menjadi seorang kanak-kanak semula. Saya rindu hidup yang sederhana. Rindu ketawa tanpa sebab. Rindu berlari tanpa memikirkan sakit lutut dan rindu tidur tanpa memikirkan seribu satu perkara yang perlu diselesaikan esok hari. Saya rindu saat ayah dan ibu masih muda. Saat rumah terasa lengkap walaupun tidak besar. Waktu itu, masalah terbesar hanyalah kerja sekolah yang belum siap atau takut kena marah dengan ibu bila lambat mandi.

Ketika kecil, saya begitu ghairah untuk menjadi dewasa. Saya menyangka orang dewasa mempunyai kebebasan yang tidak terbatas. Namun setelah dewasa, saya sedar bahawa setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab, setiap kegembiraan datang bersama ujian, dan setiap pertemuan pasti akan diakhiri dengan perpisahan.

Andai masa boleh diputar kembali, mungkin saya ingin kembali seketika pada waktu yang lalu. Saya ingin duduk di sisi ayah dan ibu, mendengar suara mereka berbual, merasakan angin petang menyentuh wajah tanpa perlu memikirkan apa-apa.

Namun saya tahu, masa tidak akan kembali. Kanak-kanak yang pernah hidup dalam diri saya telah lama membesar. Yang tinggal hanyalah kenangan yang menjadi harta berharga.

Kini saya sedar, tujuan hidup bukan untuk kembali kepada masa lalu tetapi untuk cekal menempuh realiti, juga mendidik hati agar tetap memiliki keikhlasan, kegembiraan dan harapan seperti seorang kanak-kanak. Dan setiap kali kerinduan itu datang, saya akan mengingatkan diri saya untuk bersyukur kerana pernah melaluinya.

Protes

Mungkin kerana sejak lama saya tidak suka terlibat dengan sukan, maka apabila sukan tahun ini ditangguhkan (pada mulanya) saya rasa sangat lega. Andaian saya, apabila sukan ditangguh (atas arahan KPM kerana cuaca panas melampau) tentunya tidak sempat untuk diadakan pada waktu lain tahun ini, kerana peperiksaan Percubaan SPM akan bermula pada hujung bulan Jun.

Andaian saya meleset. PKKo kami tetap mahu meneruskan juga acara tahunan ini pada,minggu ini (selepas KPM memberi kebenaran semula apabila cuaca kembali  normal) dengan mengecualikan murid Tingkatan 5. 

Pleaseeeeee lah!

Mengecualikan murid tetapi tidak gurunya, sangat menyakitkan hati saya. Saya malas nak cerita secara detail, tetapi sungguh saya terbeban dengan sukan yang tidak diduga ini. Saya marah betul!

Lalu, saya bertindak untuk memprotes dalam senyap. Kalau pun nama saya buruk di mata guru lain, saya tidak kisah. Cara saya protes?

Pertama, saya tidak langsung menampakkan muka pada setiap kali perjumpaan sukan diadakan. Malah, untuk rumah sukan saya pun saya tidak pernah menyumbang apa-apa.

Kedua, latihan sukan pada petang Ahad lepas saya ponteng. Saja.

Dan ketiga, pada hari sukan yang akan berlangsung esok (Rabu 24 Jun) saya akan ke klinik untuk rawatan lutut saya dan akan meminta cuti sakit.

Sekian.

Saturday, June 13, 2026

JUSA

Hari ini Sabtu. Hari santai-santai sepatutnya, tetapi saya kini sedang berada di sekolah. Tetapi jangan risau, saya tetap santai-santai.

Dalam program kecemerlangan SPM sekolah saya, setiap hari Jumaat dan Sabtu kami ada kelas tambahan. Hari Jumaat dua slot, dan hari Sabtu 3 slot. Program kelas tambahan Jumaat Sabtu ini dinamakan Kelas JUSA. Kelas ini berulang dua minggu sekali dan saya dijadualkan pada minggu genap (mengikut minggu persekolahan).

Nama saya tertera untuk bertugas pada hari Sabtu, slot pertama untuk kelas 5C1 manakala slot kedua dan ketiga untuk 5C2 pula. Eh, sampai dua slot diberi untuk 5C2 ni, kenapa?

Saya pun tak tahu.

Hari ini Sabtu. Minggu ganjil. Tetapi kenapa saya kena bertugas? Tadi kata jadual saya minggu genap? Sebab, dalam cuti sekolah minggu lepas kelas JUSA berlangsung juga pad hal bukan minggu persekolahan. Maka bertukar takirlah kedudukan minggu. Hentam sajalah! 

Hairan saya. Kenapalah kelas tambahan sangat-sangat ditekankan sehingga waktu cuti sekolah pun JUSA diteruskan, pada hal jadual kelas tambahan masa cuti (Golden Holiday namanya) sudah ada. Risau sangat kalau budak-budak ni tak study kat rumah ya. Hmmm...

Apa-apa je lah. Saya ada cara saya dalam menangani segala 'kepelikan' sistem pendidikan masa kini. Ya, cara saya. Cara hentam sajalah!

Friday, June 12, 2026

Kak Ina

Awak, ini senior saya! Tiba-tiba sehari dua ini namanya viral. Sebab apa? Sila cari sendiri.

Tahniah Kak Ina. Mungkin Kak Ina tak ingat pun saya, tetapi saya ingat sangat dengan Kak Ina sebab dari dulu lagi penampilan Kak Ina berbeza dari orang lain. Beginilah penampilan Kak Ina dari dulu sampai sekarang. Tak berubah pun.

Hebat Kak Ina! 




Wednesday, May 27, 2026

Terima Kasih Gemini

 

Gambar janaan Gemini Pro

Gambar asal


Salam Aidiladha.


Pagi ini saya memulakan hari agak awal daripada biasa kerana hari ini hari raya korban. Selepas menunaikan solat sunat, saya terus ke dapur menyediakan sarapan nasi lemak untuk dijamah sebelum ke masjid nanti. Sedang elok siap memasak, azan Subuh berkumandang. Terus saya membersihkan diri untuk menunaikan solat fardu pula sementara suami saya sudah turun ke masjid.

Jam 6.30 pagi, suami saya pulang dan kami pun menikmati sarapan bersama-sama. Segalanya tenang dan santai apabila hanya berdua di rumah sendiri. Tidak buru-buru kerana rutin yang kami lalui hanya tentang kami berdua. Jam 7.15 pagi kami sudah siap untuk bergerak ke masjid. Tahun ini kami memilih jubah hitam sebagai tema. Tiada apa-apa maksud dan tujuan, hanya satu pilihan secara rawak.

Di masjid, kami yang pertama tiba. Sebaik saya melangkah ke pintu masjid bahagian wanita, hanya Tok Siak Rozalina yang ada, sedang menyapu lantai. Selepas salam dihulur, saya terus memilih tempat kegemaran saya di tepi tiang. Di situ selesa, dan strategik. Adik saya Aziah tiba tidak berapa lama selepas saya dan dia memilih untuk bersolat di sebelah saya.

Solat bermula jam 8.00 dan selesai lebih kurang setengah jam kemudian. Terus saya pulang ke rumah di Chenok tanpa singgah di mana-mana kerana suami saya mahu segera ke tempat lembu korban.

Sekarang jam baru ke angka 9.26 pagi dan saya sendirian di rumah dengan tenang dan bahagianya. 

Salam Aidiladha 1447.

Tuesday, May 26, 2026

Dear Me

Dear Me,

I know you are tired.

Not the kind of tired that sleep can cure, but the quiet exhaustion of carrying too many thoughts, too many emotions, and too many responsibilities while still trying to smile for everyone else.

You have been strong for so long.

Sometimes people only see your calm face, your gentle words, your ability to keep going every day. They do not see the nights when your heart feels heavy. They do not hear the silent conversations you have with yourself when the world becomes too loud.

But listen carefully:

You are allowed to feel weary. You are allowed to need comfort too.

Please stop blaming yourself for every sadness that visits your heart. Not everything is your fault.Not every burden was meant for your shoulders alone.

You have loved people sincerely. You have tried your best. And even on the days when you feel emotionally fragile, you still continue showing kindness to others.

That is strength.

Dear Me,

you do not need to become harder to survive this world. Remain soft. Remain kind. Remain the person who still feels deeply, still cares deeply, still prays quietly for others even while hurting.

One day, this heaviness will become lighter. One day, your heart will breathe easier again. And when that day comes, you will realize that you survived moments you once thought would break you.

Until then, rest when you need to. Cry when you need to. Talk to Allah often. And please remember, you deserve the same love and gentleness that you so freely give to everyone else.

With love,

Me.



Saturday, May 16, 2026

16 Mei



Jujurnya, selepas lebih 28 tahun saya bergelumang dalam arena pendidikan ini, rasa cinta saya kepada bidang ini semakin menebal. Walaupun ada banyak siri kekecewaan hati saya dalam melestarikan makna pendidikan di negara ini, saya tetap mahu terus memberi.

Kecewa saya lebih kepada kegagalan pihak berkenaan meletakkan makna PENDIDIKAN pada tempat yang sebenar. Masyarakat lebih memandang pendidikan sebagai PEPERIKSAAN dan JUMLAH GRED A sedangkan hasrat sebenarnya lebih dalam dan lebih jauh daripada itu. Saban tahun saya berperang dengan perasaan ingin memurnikan nilai-nilai pendidikan tetapi selagi GPS yang dikejar, segalanya tidak akan kembali ke landasan.

Meneliti setiap baris yang tertulis dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan - 

“Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

- kecewa saya semakin tidak dapat diubat. Segalanya sangat tidak selari dengan apa yang berlaku dalam dunia pendidikan Malaysia hari ini.

Saya akan terus berdoa dan menanti satu detik bermakna, apabila masyarakat mula menghargai dan meletakkan pendidikan pada tempat yang lebih mulia, bukan hanya PEPERIKSAAN dan GRED A.






Tuesday, May 12, 2026

Surah Ad-Dhariyat

Jam menunjukkan angka 7.46 malam. Usai solat Maghrib tadi, saya sempat menghabiskan bacaan Surah Ad-Dhariyat, surah ke-51 dalam Al-Quran yang mengandungi 60 ayat. Teringat pula tazkirah daripada Ustaz Azlan Shah yang saya tonton di Youtube, beliau menyarankan supaya setiap kali membaca Quran, cubalah hayati sekali pengajarannya.

Dengan bantuan Fattah, saya mendapatkan serba sedikit huraian surah ini. 

Saya simpan di sini untuk renungan pada masa mendatang. Terima kasih Fattah, banyak membantu saya dalam mencari perkara yang saya sukar melakukan sendiri. Mungkin tidak sesempurna berguru di kelas-kelas fizikal, tetapi sekurang-kurangnya ada sentuhan yang dapat menjentik emosi.

Tulisan Fattah tentang surah Ad-Dhariyat:



Surah Adh-Dhariyat ialah surah yang sangat kuat jiwa dan nadanya. Namanya bermaksud “Angin yang menerbangkan” — diambil daripada ayat awal yang bersumpah dengan angin, awan, kapal, dan malaikat yang mengatur urusan Allah. Surah ini banyak menyentuh tentang keyakinan kepada hari akhirat, tanda kekuasaan Allah, sifat orang beriman, dan tujuan manusia diciptakan.

Antara huraian indah dan besar maknanya:

1. Allah memulakan dengan sumpah-sumpah ciptaan-Nya

Di awal surah, Allah bersumpah dengan angin dan makhluk-makhluk yang bergerak di alam ini.

Ia seolah-olah memberi isyarat:

“Lihatlah alam… semuanya bergerak dengan aturan. Maka janji Allah juga pasti benar.”

Selepas sumpah itu, Allah menegaskan bahawa:

Hari pembalasan itu benar

Manusia akan dihisab

Kebenaran tidak akan selamanya disembunyikan

Surah ini sangat kuat membangunkan rasa yakin dalam hati.


2. Gambaran orang bertakwa yang sangat indah

Allah menggambarkan sifat ahli syurga dengan sangat lembut:

Mereka sedikit tidur pada waktu malam

Mereka beristighfar pada waktu sahur

Mereka berkongsi rezeki dengan orang miskin dan yang memerlukan

Ayat-ayat ini menggambarkan bahawa orang soleh bukan sekadar banyak ibadah, tetapi juga:

hati mereka hidup,

jiwa mereka lembut,

dan mereka peduli pada manusia lain.

Bahagian ini sangat menyentuh kerana ia menggambarkan “keindahan iman” dalam kehidupan harian.


3. Allah mengajak manusia berfikir tentang diri sendiri

Antara ayat paling terkenal dalam surah ini:

“Dan pada diri kamu sendiri, apakah kamu tidak melihat?”

Allah mengingatkan bahawa tanda kekuasaan-Nya bukan sahaja di langit dan bumi, tetapi:

pada tubuh manusia,

perjalanan hidup,

emosi,

rezeki,

sakit,

sembuh,

usia,

dan hati manusia sendiri.

Kadang-kadang manusia mencari Tuhan terlalu jauh… sedangkan bukti kebesaran-Nya ada dalam dirinya sendiri.


4. Kisah Nabi Ibrahim dan para tetamu malaikat

Allah menceritakan bagaimana malaikat datang kepada Nabi Ibrahim dalam rupa manusia.

Nabi Ibrahim segera memuliakan tetamu tanpa banyak soal. Ini menunjukkan:

adab melayan tetamu,

kemurahan hati,

dan akhlak para nabi.

Kemudian malaikat menyampaikan berita:

kelahiran Nabi Ishaq,

dan azab terhadap kaum Nabi Lut.

Di sini ada pengajaran bahawa:

rahmat Allah sangat luas,

tetapi kezaliman dan dosa yang berterusan juga ada balasannya.


5. Kisah kaum-kaum terdahulu

Surah ini menyebut kaum:

Nabi Nuh,

‘Ad,

Thamud,

Firaun,

dan kaum Lut.

Tujuannya bukan sekadar sejarah, tetapi peringatan:

manusia sering menjadi sombong apabila merasa kuat.

Namun sehebat mana pun manusia, semuanya tetap berada di bawah kekuasaan Allah.


6. Ayat yang sangat terkenal tentang tujuan hidup manusia

Antara ayat paling masyhur dalam surah ini:

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.”

Ayat ini bukan bermaksud hidup hanya solat semata-mata, tetapi:

seluruh hidup menjadi jalan mendekat kepada Allah,

bekerja dengan amanah,

berbuat baik,

sabar,

mencari ilmu,

menjaga manusia,

semuanya boleh menjadi ibadah.

Ayat ini memberi makna besar kepada kehidupan manusia.


7. Penutup surah: jangan berpaling daripada Allah

Di hujung surah, Allah menyeru manusia supaya:

kembali kepada-Nya,

jangan menyekutukan-Nya,

dan jangan terlalu sombong dengan dunia.

Nada penutupnya sangat tegas tetapi penuh kasih sayang — seperti panggilan terakhir sebelum manusia tersesat terlalu jauh.

Surah ini terasa seperti:

satu seruan untuk berfikir,

satu sentuhan untuk hati,

dan satu peringatan bahawa hidup ini bukan kebetulan.

Ada ketikanya surah ini membuat manusia merasa kecil… tetapi dalam masa yang sama merasa sangat dekat dengan Allah.


Sunday, May 10, 2026

Keibuan Tanpa Syarat

Ada wanita yang menjadi ibu melalui rahim, dan ada wanita yang menjadi ibu melalui hati.

Kasih sayang, kelembutan, cara mengambil berat tentang orang lain, cara bercakap dengan penuh adab dan doa, itu semua adalah bahasa keibuan juga. Naluri itu tidak hilang hanya kerana takdir hidup berjalan dengan cara yang berbeza.

Bukan semua pelukan datang daripada seorang ibu kandung. Kadang-kadang, ada hati yang Allah ciptakan untuk menjadi tempat teduh kepada ramai orang — adik-adik, anak saudara, anak murid, sahabat, malah orang yang hanya singgah sebentar dalam hidupnya.

Keibuan bukan sekadar melahirkan.

Kadang-kadang ia adalah kemampuan untuk menyayangi tanpa syarat, mendoakan tanpa jemu, dan memahami luka orang lain dengan lembut.

Hari Ibu bukan hanya tentang siapa yang pernah melahirkan anak. Ia juga tentang wanita yang memiliki hati seorang ibu, yang menyayangi, menjaga, mendoakan, dan memberi kasih tanpa berkira.

Ada anak murid yang mungkin rasa tenang bila berada di sisi.

Ada anak saudara yang rasa disayangi bila berada bersama.

Itu juga keibuan.

Itu juga seorang “ibu” dalam bentuk yang Allah tentukan berbeza.

Kadang-kadang, Allah tidak memberi seseorang anak untuk dipeluk tetapi Allah beri hati yang berusaha memeluk banyak jiwa, dengan penuh rasa keibuan.

Selamat Hari Ibu.





Lutut




Derita sakit lutut yang saya alami ini sudah lama, cuma ia seperti iklan Chipsmore - kejap ada, kejap tak ada.

Sudah lebih sepuluh tahun rasanya saya mengalami sakit yang "on off" dan sudah pernah saya mengambil suntikan di Klinik Sayyida pada tahun 2016 (kalau tak silap saya). Waktu itu cuma suntikan painkiller sahaja, dan ia melegakan untuk tempoh yang lama.

Tahun lepas, sakit itu kembali lagi dan saya ke klinik Farahain Tunjong. Doktor di situ mengesyaki saya mengidap gout dan memberi ubat gout. Oh tidak! Saya bukan kena goutlah doktor, ini sakit lutut, bukan sakit sendi. Kadang-kadang geram juga bila doktor tak diagnos betul-betul.

Tahun ini, sakit itu makin pelik. Ia seperti menjalar ke seluruh kaki saya termasuk paha dan betis. Malam-malam ia berdenyut dan sengal-sengal, nak tidur pun susah. Eh, tapi saya lena je.

Bila berjalan saya tak rasa sakit. Bila naik turun tangga, saya kena pegang pada pemegang seban ada sikit rasa sakit terutama ketika turun. Kalau solat, masa nak turun sujud, dan masa duduk tu saya tak boleh duduk rapat. Saya kena ejas supaya tiada rasa sakit. Nak bersila, bolehlah seminit. Seterusnya kena berlunjur dah. Begitulah situasi sakit saya. Tidaklah kronik, tapi mengganggu sedikit aktiviti harian saya.

Beberapa hari lepas, saya ternampak kain rentang di tepi jalan mempromosikan klinik Hijaz di Kok Lanas yang mana kepakaran yang diiklankan ialah  berkaitan lutut. Jadi Sabtu semalam, suami saya membawa saya ke sana.

Dipendekkan cerita, soktor bertugas - Dr. Marwan Mohamad yang muda dan kacak itu meneliti lutut, betis dan paha saya lalu menyimpulkan sakit yang saya alami ini berkaitan dengan saraf. Cadangan rawatan ialah suntikan ubat saraf berharga RM350 di bahagian lutut yang sakit. Saya meminta Dr. Marwan menyuntik sebelah kiri sahaja dulu walaupun saya sakit kedua-dua belah.

Sekejap saja prosedurnya, tak sampai lima minit pun. Dan kesakitan saya serta merta hilang. Wah!

Klinik Hijaz turut membekalkan ubat-ubat lain untuk saya iaitu Myonal 50mg (ambil sebiji sekali sehari), Dexamethasone 0.75mg (ambil 4 biji sekali sehari), dan Pregabalin 75mg (am il sebiji sekali sehari). Seterusnya saya diminta hadir temujanji untuk sambung ubat pada Rabu nanti.

Hari ini, saya rasa lega dan ringan sekali sewaktu berjalan turun naik tangga. Walaupun kaki sebelah kanan saya masih belum dirawat, saya sudah rasa perbezaannya.

Alhamdulillah. Saya berdoa semoga rawatan saya kali ini berhasil dan diberi kesembuhan jua. Amin.

Saturday, May 09, 2026

Dahaga

Soalan:

Fattah, betul ke bila kita semakin berusia, kita dah tak rasa dahaga sangat walaupun badan kita kekurangan air?

Jawapan:

Ya umi, memang betul. Apabila usia semakin meningkat, rasa dahaga biasanya menjadi semakin kurang sensitif walaupun tubuh sebenarnya masih memerlukan air. Ini memang berlaku secara semula jadi pada ramai orang yang berusia.

Antara sebabnya:

Pusat kawalan dahaga dalam otak menjadi kurang peka.

Buah pinggang juga tidak secekap dulu dalam mengekalkan keseimbangan air.

Kadang-kadang tubuh sudah mula kekurangan air sedikit, barulah rasa haus muncul.

Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan badan lebih mudah kehilangan air.

Sebab itu, orang yang lebih berusia kadang-kadang boleh mengalami dehidrasi ringan tanpa sedar — walaupun tidak rasa haus sangat.

Tanda-tanda badan mungkin kurang air termasuk:

Mulut kering

Cepat letih atau lesu

Pening ringan

Sakit kepala

Air kencing lebih pekat atau sedikit

Kulit terasa lebih kering

Untuk umi yang juga sedang menjaga berat badan dan kawalan gula darah, minum air yang cukup memang penting. Kadang-kadang badan rasa “lapar”, tetapi sebenarnya hanya kurang air.

Tak perlu tunggu haus sangat baru minum. Lebih baik minum sedikit-sedikit tetapi kerap sepanjang hari. Contohnya:

Segelas selepas bangun tidur

Sedikit setiap kali selepas solat

Bawa botol air dekat dengan umi supaya mudah capai

Tubuh kita bila meningkat usia, dia semakin pendiam dalam memberi isyarat. Dahaga, letih, bahkan sedih pun kadang-kadang tidak lagi “menjerit” seperti dulu — cuma berbisik perlahan. Sebab itu kita perlu lebih lembut dan lebih peka menjaga diri sendiri.



Monday, May 04, 2026

Selamat Hari Jadi Aliya

Anak comel lagi manja ini sangat mudah tersenyum. Melihat senyumannya hati Umiti jadi cair. Ya Allah, indahnya kurniaan-Mu. Tetapi sukar pula untuk Umiti dekati. Mungkin Umiti tidak cukup pandai mencuri hatinya.

Hari ini anak comel bernama Aliya Nurinsyeerah ini genap tiga tahun. Dilahirkan pada tarikh 4 Mei 2023, Aliya merupakan anak bongsu pasangan Muhammad dan Farah Dalila. Memiliki dua orang abang iaitu Areef Irsyad dan Afeef Mukrim, juga seorang kakak iaitu Amal Nurkhayreen, Aliya dilengkapi ahli keluarga yang penyayang.

Alhamdulillah, syukur pada-Mu ya Allah atas segala kurnia. Doa Umiti, semoga Aliya dikurniakan kesihatan yang baik, dilindungi dari segala perkara yang tidak diingini, dan berjaya di dunia dan di akhirat. 

Semoga pada cuti sekolah nanti, Umiti dapat mendekati dan memesrai Aliya dengan lebih baik. Amin.