Showing posts with label bahan bacaan. Show all posts
Showing posts with label bahan bacaan. Show all posts

Friday, July 27, 2018

Tadabbur

Sempena bulan bahasa di sekolah saya, Kedai Buku Banggol datang berkampung selama dua hari untuk pameran buku. Sambutan boleh tahan juga, cuma buku-buku yang dibawa tidaklah sebanyak mana. Mereka tahu sasaran ialah pelajar sekolah jadi buku-buku PT3 dan SPM dilebihkan. Buku-buku lain pun ada, tetapi terhad.

Sambil mencuci mata, saya terbeli juga tujuh buah buku yang pada pandangan pertama saya mempunyai sesuatu yang boleh diterokai. Kebanyakannya tulisan anak-anak muda kelahiran 90-an. Tidak salah untuk menyokong, bukan?

Buku-bukunya:
1. "Tadabbur" tulisan Misiah Bayani, terbitan Mustread.

2. "Cikgu Bukan Ultraman" tulisan Mohd Zamri Husaini, terbitan NAQ Publication

3. "Ujian Tanpa Henti" tulisan Effi Aizat & Farah Fakhira, terbitan Effi n Farah Global

4. "Up To You" tulisan Bonda Nor, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

5. "Pantang Menyerah" tulisan Bonda Nor, Farizah Shamsuddin, Ammar Kamilin dan Abdul Muiez Ruslee, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

6. "Semusim Dalam Jahilliah" tulisan Nuridhzuan Alfarikh, terbitan Aqada Institute

7. "Aku Bukan Wahabi" tulisan Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

In shaa Allah saya akan fokus membaca kesemuanya untuk satu kepuasan yang tidak terucapkan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, September 27, 2017

Pesta Buku

"Ti, Kak Sham dan Una nak ke Pesta Buku. Ti buat relief ya!"

Suara Kak Sham memecah hening pagi saat saya masih mengadap skrin komputer di bilik peperiksaan untuk menyiapkan jadual relief pagi ini.

"Ok Kak Sham!"

Saya meneruskan kerja dan Kak Sham berbual-bual dengan Nani yang baru tiba. Selesai urusan relief, saya turut menyertai mereka. 

"Bestnya Kak Sham pergi Pesta Buku. Nak ikut boleh?"

"Marilah Ti! Lagi seronok kalau Ti ada!"

Wah! Saya teruja! Berapi-api keinginan untuk ke sana. Sementelah jadual saya hari ini tidak padat dan murid-murid saya sudah diberi lembaran kerja. Saya cuma perlu memohon kebenaran daripada pentadbir sahaja.

Dari aras bilik peperiksaan itu, saya nampak kelibat Puan PKP di aras bawah. Terus kami menuju kepadanya dan memaklumkan yang kami mahu ke Pesta Buku bertiga. PKP terus sahaja mengizinkan. Alhamdulillah. 

Jam 8.10 pagi, saya, Kak Sham dan Una menuju ke Pesta Buku di Lundang menaiki Nissan Teana milik Kak Sham dan tiba sekitar jam 8.40 pagi.

Ramainya murid-murid yang dibawa guru ke sini. Arahan PPD demikian adanya, supaya murid-murid datang ke sini beriring guru perpustakaan. 

Pun, Pesta Buku ini kecil sahaja. Tidak banyak bahan bacaan yang mengujakan saya. Tidak mengapalah. Masih ada yang boleh saya beli.

Kak Sham yang minat memasak, membeli beberapa buah buku masakan. Saya pula, tentunya buku-buku genre yang selalu saya beli. Una? Entah di mana-mana dia. Segala jenis buku agaknya yang dia beli. Dia paling lama di dalam dewan dan paling banyak membeli buku. 

Nanti tahun hadapan, saya mahu mencelah ke sini lagi walaupun saya bukan guru perpustakaan.

Hasil pancingan saya. Majalah ADIK itu percuma ya!

Saya dan Kak Sham sedang menanti Una. Ustazah Norizan turut meneman.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, July 31, 2017

Tiga Buku

Lama saya tidak menjelajah di MPHOnline, tiba-tiba minggu lepas saya melakukannya. Ada rasa yang kembali mengetuk, kembali ingin membawa saya mencari bahan bacaan untuk mengisi ruang lapang yang ada.

Saya ketemu tiga buku.


Segala yang saya mahu, harap ada di dalam buku-buku ini. Tentang dorongan, tentang kasih sayang, tentang harapan masa depan.

Saya akan terus menacari.

Tuesday, July 25, 2017

Travelog

Saya dan buku, sememangnya akrab sekali. Saya gemar sungguh membaca apa sahaja bahan bacaan dan paling seronok jika memilikinya. Dahulu, sewaktu masih belajar dan kekurangan belanja, saya masih tetap memperuntukkan sedikit wang untuk buku. Dalam kesesakan pun, saya tetap mahu memiliki buku-buku impian saya. Jika tidak mampu juga, saya akan lama-lama di kedai buku UNIKEB untuk membaca buku-buku di situ, tanpa membeli. Begitulah. 

Apabila saya berwang, saya mula melayani hobi yang indah ini. Ke kedai buku, saya akan begitu ralit melihat, membelek dan mencari. Tetapi masa dan upaya sering mengekang saya. Mana mungkin saya punya ruang yang banyak untuk ke kedai buku selalu-selalu?

Pada 2008, saya mula berjinak-jinak dengan kedai buku atas talian. Saya mengenali e-kedai.net dan mula mencari buku-buku di situ. Setiap kali posmen menghantar bungkusan, saya akan berasa gembira sekali. Novel, travelog, biografi, dan semualah, saya tidak akan pernah jemu membeli dan memiliki!

Cita-cita saya ialah untuk memiliki perpustakaan sendiri, tetapi ia amat sukar. Rumah saya tidak sebesar mana dan ruang untuk perpustakaan perlu luas dan selesa. Mungkin cita-cita ini amat sukar untuk saya capai, tetapi tidak mengapalah. Buku-buku saya yang banyak itu, saya simpan sahaja di dalam kotak.

Antara buku pertama yang saya beli secara atas talian ialah buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" tulisan Prof. Muhd Kamil Ibrahim melalui e-kedai.net. Waktu itu, saya bakal menjadi jemaah haji jadi saya mahu sangat membaca dan menelaah pengalaman di tanah suci yang dilalui Prof. Ternyata buku itu amat berguna untuk saya. Cara penulisan dan gaya bahasa Prof begitu memikat dan amat melekat di hati. Lalu saya memberitahu tentang buku itu kepada rakan-rakan saya yang juga bakal mengerjakan haji (pada tahun 2010 dan 2011). Mereka lalu mahu meminjam.

Saya tiada masalah, saya memberi mereka pinjam dan buku itu bergerak dari tangan ke tangan. Sehinggalah ke tahun 2014, buku itu masih belum mahu pulang kepada saya. Saya ini, amat menyayangi buku saya. Rindulah juga untuk mengulang baca.

Lalu, saya biarkan sahaja buku itu dibawa arus pinjam-meminjam. Dengan hati penuh rindu, saya membeli pula buku "Travelog Haji Mengusik Hati" yang merupakan gabungan tiga buah buku tulisan Prof, termasuk buku saya yang sudah dipinjam ramai itu. Terubatlah rasa di hati, kerana saya tidak perlu lagi menanti buku itu kembali. Saya sudah ada pengganti.

Sekitar hujung 2014, peminjam terakhir buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" itu pun memulangkan kepada saya, tetapi hati saya ingin menghadiahkan sahaja buku itu kepadanya. Dia berterima kasih.

Minggu lepas, Tuan Pengetua saya yang akan menunaikan haji pada tahun ini tiba-tiba bertanya saya tentang buku itu. Entah dari mana maklumat sampai kepadanya, saya tidak mahu kisah. Nampaknya, buku baru saya ini akan saya beri pinjam lagi dan hati saya terasa sedikit cuak.

Akan bernasib samakah nanti buku itu? Akan mengambil masa bertahun pulakah untuk ia sampai kembali kepada saya? Saya menjadi khuatir tiba-tiba. Saat begini, saya bertanya-tanya di dalam hati, kenapa mereka lebih gemar meminjam? Susahkah untuk membeli? Sedang pada saya, memiliki sendiri buku yang kita mahu adalah suatu nikmat yang tidak dapat saya gambarkan. Ia perasaan yang indah dan membahagiakan.

Hanya saya sahajakah yang berperasaan begitu?

Saturday, November 14, 2015

Membaca

Belakangan ini, hobi yang begitu lama bersarang dalam diri saya bagai terlupakan. Pada saat gajet-gajet android mula mengelilingi saya, buku-buku bagai terpinggir. Apa yang saya mahu tahu dan baca ada pada gajet itu.

Kasihan. Buku-buku itu tidak bersalah. Saya yang terhukum oleh kepesatan teknologi sehingga gagal mencari keseimbangan.

Semalam, bertemankan Adinda Ismah, saya menuju ke G-Orange Mall yang tersergam megah di Tunjung itu. Tidak banyak mana pun lagi premis perniagaan di dalamnya. Maklumlah masih baru, tetapi yang satu ini menggamit rasa jiwa. Ya, kedai buku SMO.

Melangkah ke dalamnya, saya kembali menggamit rindu pada buku-buku. Ikutkan hati, saya mahu banyak lagi tetapi cukuplah yang ini dahulu.

"Membedah P. Ramlee" oleh Daniyal Kadir, "Aku ____, Maka Aku Ada!" oleh Faisal Tehrani, "Dia Bukan Lelaki Biasa" oleh Syarafuddin Sulaiman dan "If I Stay" karya Gayle Forman.

Malam tadi, saya sempat menatap beberapa muka surat dari setiap buku-buku itu. Menarik semuanya.

Kali ini saya berjanji untuk mengembalikan hobi kepada diri.


Sent from Samsung Mobile

Monday, May 25, 2015

Tenggelamnya kapal Van der Wijck

Sebuah karya daripada Hamka, tertulis pada 1938. Saya pernah meladeni naskhah ini sewaktu menengah dahulu. Beberapa kali juga, terakhirnya yang dibeli arwah ayah pada 1989. Tetapi saya memberi pinjam buku itu kepada sahabat yang sehingga kini tidak memulangkannya. Tidak mengapalah. Mungkin dia lupa.

Beberapa hari lepas, saya menerima novel ini selepas menempahnya di PTS Online. Saya mahu memesrainya sekali lagi. Saya mahu kembali menghayati kisah sedih Zainuddin dan Hayati yang sudah hampir luput daripada memori saya ini.

Semoga ada ruang itu dalam masa terdekat ini.

"Demikianlah perempuan, dia hanya  ingat kekejaman orang kepada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walaupun bagaimana besarnya."

Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 27, 2014

Bacalah


Selasa baru-baru ini saya ke HUSM untuk temujanji dengan doktor pakar. Seperti biasa kami akan keluar awal, sekitar 12.30 tengah hari walaupun temujanji itu akan berlangsung pada jam 2.00 petang.

Kami tidak terus ke HUSM tetapi singgah makan tengah hari dahulu di gerai berdekatan. Selepas itu suami saya akan tinggalkan saya di HUSM dan dia pulang menunggu di rumah. Bukan apa, menunggu di HUSM sangat lama dan tentu membuang masa. Lagi pun, saya selesa sendirian. Saya resah kalau ada yang menunggu saya dalam tempoh lama.

Si HUSM, solat zohor boleh sahaja di surau yang sangat dekat dengan klinik pakar sakit puan saya itu. Kemudian menantilah saya untuk dirawat.

Kebetulan saya tiba awal maka saya yang pertama dipanggil. Rawatan masih yang sama. Saya diimbas dan disuntik. Selesai.

Jam baru ke angka 3. Selalunya sekitar jam empat baru selesai. Saya mengambil peluang ini untuk meninjau-ninjau gerai di sekitar situ.

Dan hasilnya, saya berbelanja sebanyak RM130 untuk lima buah buku baru, seperti gambar di atas.

Saya bakal mencari masa untuk membaca buku-buku tersebut. 

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, May 14, 2013

Buku-Buku Baru Saya




Nampak gayanya, saya tidak hanya menempah Ensiklopedia Bidaah, tetapi turut menambah beberapa buku lain lagi di MPHOnline.

"Telling It Straight" merupakan kompilasi artikel-artikel tulisan Puan Marina Mahathir dalam surat khabar The Star dalam tempoh beberapa tahun ini. Tulisan beliau menarik dan menyentuh pelbagai isu - daripada isu pendidikan, hak wanita, undang-undang dan agama. Seronok dibaca namun penuh kontroversi. Gaya bahasa yang bersahaja memudahkan saya memahami intipatinya, tetapi banyak juga yang perlu diberi penilaian semula.

Buku "Al-Kisah" pula ialah antologi cerpen tulisan Zainal Rashid Ahmad yang pernah tersiar dalam beberapa majalah dan surat khabar. Cerpen-cerpenya sarat nilai sastera yang tinggi dan berbeza daripada kebanyakan penulis. Pun saya sedikit terkilan kerana cerpen pertama beliau yang saya baca, berjudul "Perkahwinan" yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sekitar 1992, sewaktu saya di UKM tiada dalam antologi ini. Cerpen itu sangat menyentuh hati dan cerpen itulah yang membawa nama Zainal dalam kamus penulis yang saya sering ikuti.

Selain itu, saya turut memesan buku "Panduan Umrah dan Ziarah" untuk saya bawa sebagai bekalan mengunjungi Tanah Suci sekitar dua minggu lagi.


Thursday, May 02, 2013

Ensiklopedia Bidaah

Kasihan saya. Rasanya sudah setahun, atau mungkin lebih buku ini berada di pasaran. Saya teringin sekali membacanya. Manakan tidak, penulisnya adalah adinda kesayangan saya, Ustaz Rifqi. Dahulu saya mahu membelinya tetapi adik perempuan saya kata sudah ada satu naskhah di rumah yang Abang Rifqi beri. Bila saya mencarinya baru-baru ini, naskhah tersebut sudah diberi pada orang. Kata adik, emak hadiahkan kepada sahabatnya. Oh! Emak memang suka bersedekah.

Sekitar Februari lalu, sewaktu mesyuarat PIBG berlangsung di sekolah saya, buku ini dijadikan cenderamata untuk perasmi, Dato' Hj. Mohd Alwi b Che Ahmad. Saya berasa bangga juga apabila memberitahu mereka, buku ini tulisan adik saya tetapi saya tidak boleh bercerita lebih-lebih kerana saya sendiri belum membacanya.

Saya teringin sungguh memilikinya, dan tanpa ragu saya menempahnya di MPHOnline. Mungkin sekitar minggu depan saya bakal menerima tempahan itu. Sambil menunggu ketibaan, saya mencari-cari ulasan buku ini di internet dan terjumpa ulasan ini.

Dan, keratan akhbar ini turut saya muat turun untuk simpanan peribadi.

Semoga Ustaz Rifqi terus aktif berkarya demi pembangunan ummah sejagat.


Wednesday, February 06, 2013

Buku dan buku

Baru sebentar tadi, saya menerimanya.

Bayu Kerinduan di Bumi Haramain, tulisan Abu Fatih Al Mubaraki. Sebuah travelog Tanah Suci yang saya pasti, akan menggemarinya. Apa sahaja kisah-kisah tentang pengalaman di sana, sangat mudah menyentuh hati saya. Sejak kaki saya meletakkan jejak di Madinah dan Makkah lebih dua tahun lalu, kerinduan untuk kembali menyusur jejak-jejak itu sangat kuat. Kerana itulah, saya membeli buku ini. Ia bakal menjadi buku pertama saya telaah daripada keempat-empat buku yang saya terima hari ini.

Formula Solat Sempurna, tulisan Dr. Zaharuddin Ab Rahman yang sangat saya kagumi. Memiliki buku ini menjadi satu keperluan bagi saya yang masih merangkak-rangkak dalam menyempurnai ibadah fardhu ini. Banyak yang perlu saya selami, dan buku ini bakal memberi sedikit panduan bertulis dan bergambar selain meneruskan perkongsian ilmu secara berhadapan.

Cintaku Luruh di Oxford, buah tangan terbaru Jemari Seni, karya Noor Suraya dan Imaen menjadi novel yang entah keberapa bakal ada dalam simpanan saya. Sebenarnya, masih banyak novel yang belum sempat saya ladeni saat sepi saya, pun karya ini tidak mampu saya tangguh-tangguhkan lagi. Noor Suraya memang sangat saya minati kerana novelnya sentiasa memberi sesuatu yang segar untuk saya. Bukan cerita picisan yang bersepah di sana-sini, tetapi bermesej dan bermotivasi. Saya percaya, karyanya kali ini bakal memberi yang serupa.

Perbualan Harian Bahasa Mandarin pula saya beli atas permintaan adinda Husna saya yang memerlukan sedikit kemahiran berbahasa Mandarin memandangkan dia kini bertugas di SK Yok Eng, Pasir Mas.

Semoga diberkati Allah segala perbelanjaan saya ini.

Amin.

Monday, January 14, 2013

Buku Baru






Untuk kali pertamanya, saya menempah buku di galeriilmu.com.my kerana hati terpikat dengan "Hikmat yang Tersirat" yang tiada di mphonline.com. Hajat hati inginkan buku itu sahaja, tetapi apabila menggelintar laman itu, saya ketemu enam lagi judul buku yang menjentik hati saya. Tanpa lengah, semuanya saya rembat!

Tempahan saya bertarikh 27 Disember 2012 tetapi dek ketidaksabaran untuk membaca, pada 6 Januari 2013 saya memaklumkan pihak Galeri Ilmu yang saya belum menerima buku-buku tersebut.

Keesokannya - 7 Januari buku itu tiba. Seronok bukan kepalang, tetapi tertangguh lagi untuk membaca kerana ia ada di rumah ma. Tak mengapa, sekurang-kurangnya Ismah dan Husna ada di sana untuk merasmikannya.

Tiba-tiba, bungkusan berisi buku-buku yang sama diterima lagi pada 12 Januari. Saya tidak pasti kenapa sampai dua kali mereka menghantar sedang saya bayar hanya sekali! Apa perlu saya buat? Menjualnya?

Lupakanlah dahulu tentang itu kerana saya telah memaklumkan pihak Galeri Ilmu tentang kesilapan itu pada hari itu juga tetapi mereka masih belum memberi maklumbalas sehingga ke hari ini.



Friday, November 16, 2012

..dan buku-buku lagi...






Meneruskan minat dalam diri, saya menambah lagi koleksi buku saya pada bulan ini. Chicken Soup for The Soul: The Power of Positive menjadi buku ketiga siri Chicken Soup for The Soul yang saya miliki. Buku ini mengandungi kisah-kisah penuh inspirasi yang boleh dijadikan panduan untuk kita memandang kehidupan dari sudut positif. Kadang-kadang, persekitaran sangat menekan dan memberi banyak kesukaran untuk kita meneruskan hidup namun reaksi positif kita sesungguhnya amat mengundang sejahtera.

Syed Mokhtar Al Bukhary - A Biography pula menjadi pilihan saya untuk mengenali lebih dekat insan yang begitu tersohor ini. Apa yang dilaluinya, liku-liku perjalanan dan kehidupan sehariannya sering mengundang tanya di hati. Mungkin buku inni memberi jawab yang tepat buat saya.

Sangkar, novel tulisan Samsiah Mohd Noor ini pernah saya miliki pada 1996 sewaktu menuntut di UKM. Namun entah ke mana hilangnya kini. Pun, saya yang meminati penulisan Samsiah masih teringat-ingat isi cerita ini dan mahu sekali mengulang baca. Kebetulan, bertemu buku ini di MPHOnline saya tanpa ragu menempahnya. Ada beberapa lagi novel lama yang saya idamkan, seperti Hartini tulisan Aziz Afkar dan karya-karya Khadijah Hashim, tetapi masa belum menemukan buku-buku itu kepada saya.

Money, You and Islam pula, buku tulisan Dr Zaharuddin Ab Rahman berkaitan isu-isu kewangan semasa. Saya yakin ia sangat penting untuk membolehkan saya mendalami lagi ilmu kewangan. Harapnya, saya mampu menghadam buku ini sesegera mungkin.

Akhir sekali, buku yang saya beli di Muda Osman KB Mall iaitu Kanser Payudaraku tulisan Allahyarham Dalilah Tamrin. Buku yang memberi gambaran jelas bagaimana seorang pengidap kanser payudara meneruskan hidup, dan bagaimana penyakitnya itu mengubah persepsi beliau terhadap sebuah kehidupan. Ia ringkas, tetapi mengesankan.

Buku-buku ini, bakal mewarnai cuti sekolah saya kali ini.

Monday, October 22, 2012

Bukuku Kali Ini


Lama tidak membeli buku, rasanya. Hinggalah pada Jumaat baru-baru ini.

Jam 10 pagi, suami menghantar saya ke rumah emak. Dia ada jemputan makan tengah hari jadi saya mengambil kesempatan ini untuk berada agak lama di rumah emak.Seperti biasa, saya kepingin untuk ronda-ronda dan berbelanja. Lalu selepas Asar, saya bersama-sama si dara Ismah bergerak keluar untuk ke tempat yang dihajati.

Pun, kasihan saya. Dompet saya tertinggal di rumah kerana menggunakan beg tangan lain. Semalam, saya dan suami membawa mek ke klinik. Saya menggunakan beg tangan kecil sahaja untuk membawa dompet dan telefon bimbit. Hari ini, saya lupa memasukkan dompet itu kembali ke beg tangan utama saya. Sudahnya, saya ketiadaan wang!

Mujur sebelum itu, emak memberikan saya RM128 untuk bayaran bil elektrik bulan ini. Seperti selalu, saya tolong bayarkan melalui perbankan internet. Jadi dapatlah saya berbelanja juga walaupun dalam kadar yang amat terhad.

Di kedai buku, suasana lengang dan memberi keselesaan kepada saya dan Ismah memilih. Sayang sungguh dompet tertinggal. Jika tidak, banyak lagi yang dapat saya beli.

Meneliti judul buku dari satu rak ke rak yang lain, hati berkenan pada dua buah buku seperti di atas. Avant Garde tulisan Ridhuan Tee dicadang Ismah. Dia yang nampak buku itu, dan menghulur pada saya. Terlihat pula buku berkaitan politik Catatan Hujung tulisan Ahmad Lutfi Osman. Lama dahulu, saya pernah melihat arwah ayah membaca buku-buku tulisan Ahmad Lutfi. Beliau juga merupakan bekas pengarang akhbar Harakah. Tanpa banyak bicara, saya mengambilnya untuk santapan minda kali ini.

Walaupun kedua-dua penulis ini terpalit dengan pelbagai kontroversi, saya rasa tidak salah menatap nukilan mereka dengan minda yang terbuka.Kita diberi Allah akal yang waras, yang mampu menimbang dan mengukur. Jangan sesekali meng'underestimate' keupayaan sendiri.

Wednesday, August 01, 2012

Buku buku terkini

Beberapa buah buku kini berada dalam senarai menunggu untuk saya baca, bermula bulan Julai baru-baru ini. 

Dua buah buku Pahrol Mohd Juoi pemberian adik saya Ismah - Beduk diketuk dan Cinta Kerana Allah serta lima buah buku yang saya beli di mphonline.com - Doktor Umum (Mahathir Mohamed), Perempuan nan Bercinta (Faisal Tehrani), Cinta Tiga Rasa (Noraslina Jusin), Bersyukur Saat Diuju (Prof Muhd Kamil Ibrahim) dan Batu Bata Kehidupan (Hilal Asyraf).

Insya Allah, saya akan membacanya dengan akal dan minda, dengan penuh analitik. Semoga berkualiti.








Tuesday, June 05, 2012

Santapan Minda Bulan ini


Tiga buah buku baru daripada penulis-penulis berbeza ini bakal saya hadap dan hadam sepanjang Jun ini. Harapnya, ia terkesan di hati.

Dua buah travelog - "Jangan Berhenti Berlari" tulisan Dr. Zaharuddin Ab Rahman dan "Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu" karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menjadi pilihan kali ini. Mereka berdua antara ilmuwan popular dan hebat di Malaysia dengan lontaran idea serta kupasan yang jitu terhadap sesuatu isu. Buku-buku ini merupakan warna-warni perjalanan mereka dalam mencari ilmu, bergelut dengan kesukaran dan penuh pengalaman yang boleh dijadikan teladan.

"Berfikir Positif" pula adalah buku terjemahan daripada siri "Chicken Soup for the Soul" dan ia lebih kepada bacaan motivasi.

Semoga bermanfaat. Insya Allah.

Saturday, March 31, 2012

Pesta Buku Kelantan


Buku-buku yang saya beli:




Yang ini pula, adinda Ismah bagi present...

Friday, February 03, 2012

Mencari Lagi

Saya mengharap sesuatu yang lebih bermanfaat kali ini. Dek sentiasa diburu persoalan-persoalan yang tidak mampu saya hadam kerana kecetekan ilmu yang ada, maka saya mencari dan terus mencari.

Siang tadi, bertemankan dua orang adinda saya yang begitu setia di sisi, kami berlegar-legar di KB Mall. Sekadar memenuhi masa luang bersama-sama yang jarang-jarang ada. Kami menjamu selera di Chicken Rice Shop, sebelum membeli belah di sekitar situ. Tempat wajib kami singgah tentulah kedai buku. Di Popular, manusia sangat ramai. Begitu juga di Muda Osman. Pun kami tetap meneruskan hajat kami untuk membeli apa yang kami mahu. Dan inilah santapan minda saya untuk bulan ini.





Kedua-duanya adalah buah tangan Dr. Danial Zainal Abidin yang sangat saya kagumi. Semoga ia memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.

Friday, January 13, 2012

Buku Oh Buku!

Sesungguhnya, saya keliru dengan hobi saya yang satu ini. Suka membaca buku atau suka membeli buku? Semakin bertambah bilangan buku yang belum habis dibaca, semakin galak pula saya memesan buku lagi dan lagi di MPHOnline!

Kali ini, saya menerima empat buah buku lagi.

Buku yang pertama ialah The Road To Mecca - Muhammad Asad


Saya mengetahui tentang buku ini melalui pembacaan juga. Menurut Dina Zaman, penulis buku I Am Muslim, untuk kisah dan biodata Nabi Muhammad S.A.W yang lengkap, bacalah buku ini. Sebagai Muslim yang masih lagi samar-samar tentang peribadi Rasulullah, saya ingin sekali memiliki buku ini. Tanpa lengah, saya memesannya di MPHOnline. Ia naskhah lama, terbitan pertamanya pada 1954 namun ilmu di dalamnya tiada luput ditelan zaman.

Seterusnya, saya membeli juga Mukmin Profesional - Pahrol Mohd Juoi


Suatu pagi yang nyaman, saya menonton Tanyalah Ustaz di TV9. Hosnya ialah Ustaz Zahazan Mohamad dan tajuk perbincangannya, saya lupa! Dalam episod itu, beliau menyarankan setiap mukmin membaca buku tulisan sahabatnya ini. Kata beliau, sangat bermanfaat dan penuh maklumat. Saya tergoda lagi. Bukan pada ustaz, tetapi pada saranannya.

Pada episod yang sama, beliau turut membawa buku yang berikutnya - Hadis 40 Imam Nawawi susunan beliau sendiri. Melihat beliau membelek-belek buku itu sambil berkuliah, saya terpikat (pada buku itu). Dan membelinya juga di MPHOnline.



Akhir sekali, saya turut menempah sebuah novel tahun 70-an karya Khadijah Hashim, Badai Semalam. Ia adalah impian saya sejak lama. Meskipun telah berkali-kali khatam novel ini sejak di sekolah rendah lagi, saya tidak pernah jemu membacanya dan ingin memilikinya.


Hmm, jam sudah pun lima petang, saya ingin menonton al Kuliyyah sebentar. Kebetulan, Ustaz jemputan hari ini ialah Ustaz Zahazan Mohamad yang akan berbicara tentang tajuk - Menolak Fitrah.

Jumpa lagi!