Monday, October 22, 2012

Bukuku Kali Ini


Lama tidak membeli buku, rasanya. Hinggalah pada Jumaat baru-baru ini.

Jam 10 pagi, suami menghantar saya ke rumah emak. Dia ada jemputan makan tengah hari jadi saya mengambil kesempatan ini untuk berada agak lama di rumah emak.Seperti biasa, saya kepingin untuk ronda-ronda dan berbelanja. Lalu selepas Asar, saya bersama-sama si dara Ismah bergerak keluar untuk ke tempat yang dihajati.

Pun, kasihan saya. Dompet saya tertinggal di rumah kerana menggunakan beg tangan lain. Semalam, saya dan suami membawa mek ke klinik. Saya menggunakan beg tangan kecil sahaja untuk membawa dompet dan telefon bimbit. Hari ini, saya lupa memasukkan dompet itu kembali ke beg tangan utama saya. Sudahnya, saya ketiadaan wang!

Mujur sebelum itu, emak memberikan saya RM128 untuk bayaran bil elektrik bulan ini. Seperti selalu, saya tolong bayarkan melalui perbankan internet. Jadi dapatlah saya berbelanja juga walaupun dalam kadar yang amat terhad.

Di kedai buku, suasana lengang dan memberi keselesaan kepada saya dan Ismah memilih. Sayang sungguh dompet tertinggal. Jika tidak, banyak lagi yang dapat saya beli.

Meneliti judul buku dari satu rak ke rak yang lain, hati berkenan pada dua buah buku seperti di atas. Avant Garde tulisan Ridhuan Tee dicadang Ismah. Dia yang nampak buku itu, dan menghulur pada saya. Terlihat pula buku berkaitan politik Catatan Hujung tulisan Ahmad Lutfi Osman. Lama dahulu, saya pernah melihat arwah ayah membaca buku-buku tulisan Ahmad Lutfi. Beliau juga merupakan bekas pengarang akhbar Harakah. Tanpa banyak bicara, saya mengambilnya untuk santapan minda kali ini.

Walaupun kedua-dua penulis ini terpalit dengan pelbagai kontroversi, saya rasa tidak salah menatap nukilan mereka dengan minda yang terbuka.Kita diberi Allah akal yang waras, yang mampu menimbang dan mengukur. Jangan sesekali meng'underestimate' keupayaan sendiri.

No comments:

Post a Comment