Tuesday, October 30, 2012

Rasa

Sesekali, terbit rasa yang tidak dapat dikenalpasti dalam diri. Rasa yang menukar gembira kepada sedih, yang menukar riang kepada sepi. Rasa yang tidak diketahui puncanya. Rasa yang seakan misteri.

Rasa itu, sering mengganggu saya akhir-akhir ini. Menguji pasrah dalam diri, lalu menjadikan hati saya kerisauan tanpa sebab. Bagai ingin mengusir segala manusia di sekeliling, dan membiarkan saya menyepi melayan hati sendiri. Begitulah!

Perubahan hormonkah?

Seringkali, itulah alasan yang diulang-ulang. Padahal, sebagai manusia yang dikurnia Allah akal untuk mengawal emosi, boleh sahaja saya menggunakannya. Boleh sahaja saya mencari sedikit ruang fikir, untuk meletak semula diri pada landasan yang sepatutnya, agar ada beza antara saya dan pesakit mental!

Aduhai… berkarya begini boleh juga memujuk hati. Kalau pun tidak sesempurna pujukan yang tersayang, sekurang-kurangnya meluah pada blog bisu ini mencipta juga ruang ketenangan. Biarpun ketenangan itu sementara cuma.

Pada kali lain, saya berjanji akan lebih matang menangani emosi sendiri. Insya Allah.

“Kehilanganmu
atas sebuah kerelaan
walau keasingan dalam luka
mengisi masaku..”

No comments:

Post a Comment