Sunday, October 07, 2012

Umrah

Seperti selalu, tatkala musim haji tiba, saya jadi rindu. Rindu yang sungguh-sungguh pada segala ketenangan dan kedamaian yang pernah saya rasai sewaktu lima puluh satu hari menghuni Tanah Suci dua tahun lalu. Ingin benar saya ke sana lagi, mengubat segala rindu dan mengutip segala peluang, merintih dan mendekati-Nya.

Ya Allah, berilah aku peluang itu!

Siang tadi, emak membuka rasa. Dia ingin ke sana, setelah hampir sepuluh tahun merindu. Saya tahu rasa dalam jiwa emak kerana saya juga memiliki rasa yang sama. Maka saya patrikan janji, untuk mengintai peluang itu sekitar pertengahan tahun hadapan. Harap Allah mengizinkan kami.

Pada suami, saya sampaikan hasrat emak. Dia bersetuju dan seperti saya, dia juga memilih pertengahan tahun hadapan untuk mengunjungi Baitullah. Alhamdulillah, saya rasa sangat bahagia!

Walaupun masih jauh, saya sudah boleh berkira-kira. Teringat saya pada kata-kata ustazah sewaktu di Mekah dahulu. Alangkah bertuahnya seorang anak yang dapat membawa ibu atau bapanya ke Mekah, kerana dia bukan sahaja mendapat pahala mengerjakan haji atau umrah, tetapi juga pahala berbakti kepada ibu bapa yang sangat besar ganjarannya.

Semoga keizinan Allah itu tiba, menyatakan impian nan mulia... amin!!

No comments:

Post a Comment