Terima kasih MB Kelantan kerana menghadiahi cuti ini buat kami rakyat Kelantan. Walaupun belum pasti lagi TRW menang atau tidak dalam final Piala Malaysia, cuti tetap cuti. Baik kan MB kami?
Alhamdulillah, rezeki Allah Ta'ala berpihak pada Kelantan. Dengan kemenangan 3-2 mengatasi ATM dalam masa tambahan, Kelantan mencipta rekod tersendiri pada musim ini kerana berjaya membawa pulang tiga piala - Piala FA, Piala Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia. Bravo The Red Warriors!!
Sebenarnya, saya tidaklah menonton sepenuhnya perlawanan malam tadi. Sewaktu perlawanan bermula, saya membelek buku Avant Garde tulisan Ridhuan Tee yang baru saya beli pada Jumaat lalu. TV yang terpasang di hadapan hanya ditonton suami. Rupanya, sangat tidak kondusif membaca buku dalam suasana perlawanan bola begini. Selepas dua puluh minit, saya berhenti membaca dan bergerak ke bilik air. Oh, saya terlebih rajin untuk mencuci bilik air itu malam-malam begini!
Dari bilik air saya mendengar sorakan gemuruh di kaca TV serentak dengan suara suami saya berkata, "akhirnya!" Hmm, gollah tu..
Keluar dari bilik air, separuh masa pertama sudah selesai. Saya solat Isya' dan bersedia untuk tidur.
Saya sebenarnya sudah malas membiarkan diri berdebar. Ia satu perasaan yang tidak seronok. Berdebar, kemudian kecewa. Aduh! Saya tidak sanggup begitu. Biarlah saya menanti sahaja keputusan penuhnya bila tamat perlawanan nanti.
Tetapi, bagaimana caranya untuk tidak menonton jika TV terpasang di depan mata? Tak kan saya nak keluar ke ruang tamu dan bersendirian di sana. Isk!
Saya ambil telefon saya, pasang lagu dan sumbat telinga dengan earphone. Ya, saya berjaya! Saya tidak mendengar suara TV lagi. Hampir tertidur saya apabila Kelantan menjaring gol kemenangan pada masa tambahan. Saya celikkan mata sekejap, tetapi masih enggan menonton sepenuhnya.
Akhirnya, apabila Kelantan disahkan sebagai juara, saya berasa lega dan menyambung tidur semula.
Hari ini, saya menikmati cuti saya dengan fikiran yang tenang. Cuaca yang sejuk, hujan yang lebat pada pagi ini memberi ruang santai untuk saya berehat. Sebenarnya, saya sudah letih berminggu-minggu. Cuti hari ini sangat saya nantikan. Semalam, walaupun Sabtu saya terpaksa ke sekolah kerana ada majlis jamuan laksa PIBG dan kelas tambahan Tingkatan Lima. Dari 10.00 pagi hingga 4.00 petang saya berkampung di sekolah, lebih lama daripada hari bekerja. Minggu depan, saya tahu saya bakal penat lagi kerana hari raya Aidil Adha disambut pada Jumaat. Pun, saya bersedia mental dan fizikal.
No comments:
Post a Comment