Thursday, July 30, 2026
Kelahiran dan Kematian
Wednesday, July 29, 2026
Kelas Tambahan
Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan di negara kita, itulah yang saya rasa.
Apa tidaknya, asal ada peperiksaan berpusat sahaja, maka berbondong-bondonglah guru yqng mula mengadakan kelas tambahan. Seolah-olah masa yang disediakan selama 40 minggu setahun untuk belajar itu tidak mencukupi. Seolah-olah sukatan yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM tidak setara dengan masa yang diperuntukkan.
Tahun ini, murid darjah 4 akan disibukkan dengan kelas tambahan. Ya, darjah 4 dan berusia hanya 10 tahun. Saya mahu mengeluh melihat segala situasi yang sangat tidak sempurna ini, tetapi apalah harga keluhan seorang saya yang tiada nilai apa-apa.
Saya amat berharap agar akan ada satu titik kesedaran dalam diri setiap manusia bernama guru, ibu bapa dan juga menteri untuk tidak lagi menjadikan pendidikan ini satu perlumbaan yang tidak pernah tamat.
Sedarlah semua, pendidikan ialah usaha membimbing manusia agar berkembang secara seimbang dari segi akal, hati, akhlak, rohani dan kemahiran, supaya dia mampu menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab kepada Allah, kepada manusia dan kepada alam.
Lalu, di mana letaknya peperiksaan di sini? Di mana tempatnya gred A di sini? Apatah lagi kelas tambahan, untuk budak sepuluh tahun pula tu!
Saturday, July 25, 2026
Beratur
Saya tak faham betul orang-orang yang sanggup beratur berjam-jam untuk satu makanan, tak kiralah makanan viral ke tak.
Beberapa bulan lepas, setiap kali balik dari sekolah saya akan nampak satu barisan panjang berpusing-pusing di tepi gerai etok viral di Kadok. Setiap hari ya, mereka sanggup berpanas untuk dapatkan etok tu. Istimewa sungguh agaknya, tapi saya langsung tidak teruja untuk turut sama beratur walaupun teringin juga nak rasa kesedapannya.
Di Mydin beberapa minggu lepas, ada Food Festival dan sangatlah ramai manusia yang hadir dan beratur berpanas berjam-jam untuk dapatkan menu idaman mereka. Aduh!
Mereka tidak rasakah perkara itu membuang masa?
Mungkin fikiran kita tidak sama dan keutamaan kita berbeza.
Friday, July 24, 2026
Ulasan
Izinkan saya melihat perkara ini dari sudut yang sedikit berbeza.
Murid yang lalai atau leka sehingga terlupa membawa buku memang perlu ditegur, tetapi tidak semestinya dihukum. Bagi saya, tugas guru bukan sekadar menghukum kesalahan, tetapi membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Hukuman mungkin membuat murid takut, tetapi belum tentu membuat mereka faham. Pada saya, nasihat dan peringatan yang berterusan, beserta contoh yang baik daripada guru kadangkala lebih memberi kesan kepada hati mereka.
Setiap murid sedang melalui proses membesar. Mereka akan melakukan kesilapan, terlupa, lalai dan bermain-main. Di situlah peranan guru sebagai pendidik – membimbing mereka supaya belajar daripada kesilapan, bukan sekadar menghukum kesilapan itu.
Ketegasan tetap perlu, tetapi biarlah ketegasan yang mendidik, bukan ketegasan yang lahir daripada kemarahan. Kerana akhirnya, matlamat pendidikan bukan untuk melahirkan murid yang takut kepada guru, tetapi murid yang belajar bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
Mungkin teori saya ini nampak gah dan padu, tetapi pelaksanaan tidak semudah itu. Di sinilah letaknya peranan kawalan emosi yang bijak. Menjadi guru, tidak boleh membiarkan emosi menguasai. Murid akan lebih lunak dengan akhlak guru, bukan hukuman. Tunjuk, bukan arah.
Sistem pendidikan kita akan lebih rosak jika guru-guru yang ada masih mahu meletakkan emosi di depan dan menjadikan hukuman sebagai bahan pengajaran.
Thursday, July 23, 2026
Selagi Hayatku Ada
1987. Saya meniti usia 15 tahun dan belajar dalam tingkatan 3 di MRSM Kuala Terengganu. Hakikat kehidupan di asrama, saya dikelilingi kawan-kawan dengan pelbagai latar belakang. Saya memesrai semuanya dan seronok melalui perjalanan yang dipenuhi aneka perbezaan gaya hidup dan cerita.
Ada antara mereka mempunyai kemampuan untuk membeli barang-barang yang saya suka tetapi saya tidak mampu memiliki. Contoh - memiliki radio kaset elektrik.
Di asrama kayu kami itu, ada satu ruang tengah yang luas, yang diisi dengan satu set sofa dan ada beberapa plug yang kami boleh guna untuk memasak air dengan cerek, juga menggosok baju. Setiap hujung minggu kami berkumpul ramai-ramai di ruang itu sambil menyiapkan tugasan seni, dengan memasang radio kaset untuk hiburan. Ada kawan kami yang membeli kaset penyanyi popular waktu itu dan memasangnya untuk kami sama-sama mendengar.
Tahun 1987 itu, Sudirman mengeluarkan album baru berjudul "Kul It!". Saya lupa siapakah yang membeli kaset itu tetapi selalu saja kaset itu dimainkan berulang-ulang sehingga saya hafal hampir kesemua lagu di dalamnya.
Pesan Abang, Penyu Menangis, Selagi Hayatku Ada, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, Radio Malaysia, Bapak, Gadisku, Sutera, Warna Asmara dan Kul It! ialah sebelas lagu yang termuat dalam album itu. Semuanya sedap di telinga saya.
M. Nasir turut menyumbang satu lagu iaitu Milik Siapakah Gadis Ini, dan Habsah Hassan pula menulis lirik untuk beberapa buah lagu antaranya Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Puisi JM Aziz juga dilagukan dengan indahnya dalam Penyu Menangis. Paling menarik, satu lagu untuk Perdana Menteri pertama tulisan Sudirman sendiri iaitu Bapak.
Waktu ini saya sudah mula jatuh cinta dengan tulisan Habsah Hassan. Saya sangat suka lagu Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Kata wartawan, kedua-dua lagu itu ditujukan khas buat bekas isterinya, Kay.
Merisik Khabar memang popular sampai kini. Tetapi Selagi Hayatku Ada jarang-jarang ada di radio. Baru-baru ini saya teringat lagu itu dan mencarinya di Youtube. Demi terdengar bait-bait liriknya, jiwa saya seperti kembali ke tahun 1987. Walaupun lirik itu untuk Kay, ia tetap sesuai dengan perasaan saya ketika itu.
Begitulah lagu. Imbauan kenangannya sangat kuat, menyebabkan segala yang berlaku pada waktu itu menjadi jelas dalam fikiran, hanya kerana lirik sebuah lagu, yang tak popular pun.
Wednesday, July 22, 2026
Hari Ini



