Semalam, anak saudara saya Ain Amirah selamat melahirkan putera sulung yang comel dan sihat di HUSM. Hari ini pula ialah hari lahir ke-56 abang sulung saya yang tercinta, Mohd Lutfi, menyamai usia arwah ayah kami sewaktu pulang kepada-Nya. Hari ini juga, saya menerima berita kepulangan seorang jiran, Abdul Kadir Muhammad Razali, yang kami panggil Pok Dir dalam usia 49 tahun.
Hati saya diselubungi pelbagai rasa. Bahagia menerima ahli keluarga baharu, syukur meraikan usia Abang Lutfi yang masih sihat dan ceria, namun pada masa yang sama turut bersedih atas pemergian Pok Dir. Semoga Allah merahmati rohnya.
Apa yang dilalui hari ini semoga menjadi wasilah rasa insaf di hati tentang kefanaan sebuah kehidupan.
Aktiviti harian tetap berjalan seperti biasa. Di sekolah, saya hanya mempunyai satu kelas, iaitu 4C4 (10.10–11.10). Cuaca hujan sejak awal pagi menjadikan suasana sepanjang hari begitu nyaman. Sejuk begini, saya cepat lapar. Sarapan nasi goreng pada jam 8 pagi tidak mampu bertahan lama. Pada jam 12 tengah hari, saya mula mencari sesuatu di kantin.
Saya pulang dijemput suami sekitar jam 2.30 petang, dan kami makan tengah hari di Restoran Alisya, menikmati hidangan chicken chop.
Kejutan pemergian Pok Dir benar-benar menyentuh rasa. Saya masih terbayang-bayang kelibatnya bekerja di halaman rumah kami dan keramahan beliau menegur saya setiap kali terserempak.
Malam ini jenazahnya akan dikebumikan. Berehatlah, Pok Dir, dalam jagaan Tuhan.
No comments:
Post a Comment