Thursday, July 23, 2026

Selagi Hayatku Ada

1987. Saya meniti usia 15 tahun dan belajar dalam tingkatan 3 di MRSM Kuala Terengganu. Hakikat kehidupan di asrama, saya dikelilingi kawan-kawan dengan pelbagai latar belakang. Saya memesrai semuanya dan seronok melalui perjalanan yang dipenuhi aneka perbezaan gaya hidup dan cerita.

Ada antara mereka mempunyai kemampuan untuk membeli barang-barang yang saya suka tetapi saya tidak mampu memiliki. Contoh - memiliki radio kaset elektrik.

Di asrama kayu kami itu, ada satu ruang tengah yang luas, yang diisi dengan satu set sofa dan ada beberapa plug yang kami boleh guna untuk memasak air dengan cerek, juga menggosok baju. Setiap hujung minggu kami berkumpul ramai-ramai di ruang itu sambil menyiapkan tugasan seni, dengan memasang radio kaset untuk hiburan. Ada kawan kami yang membeli kaset penyanyi popular waktu itu dan memasangnya untuk kami sama-sama mendengar.

Tahun 1987 itu, Sudirman mengeluarkan album baru berjudul "Kul It!". Saya lupa siapakah yang membeli kaset itu tetapi selalu saja kaset itu dimainkan berulang-ulang sehingga saya hafal hampir kesemua lagu di dalamnya.

Pesan Abang, Penyu Menangis, Selagi Hayatku Ada, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, Radio Malaysia, Bapak, Gadisku, Sutera, Warna Asmara dan Kul It! ialah sebelas lagu yang termuat dalam album itu. Semuanya sedap di telinga saya.

M. Nasir turut menyumbang satu lagu iaitu Milik Siapakah Gadis Ini, dan Habsah Hassan pula menulis lirik untuk beberapa buah lagu antaranya Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Puisi JM Aziz juga dilagukan dengan indahnya dalam Penyu Menangis. Paling menarik, satu lagu untuk Perdana Menteri pertama tulisan Sudirman sendiri iaitu Bapak.

Waktu ini saya sudah mula jatuh cinta dengan tulisan Habsah Hassan. Saya sangat suka lagu Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Kata wartawan, kedua-dua lagu itu ditujukan khas buat bekas isterinya, Kay.

Merisik Khabar memang popular sampai kini. Tetapi Selagi Hayatku Ada jarang-jarang ada di radio. Baru-baru ini saya teringat lagu itu dan mencarinya di Youtube. Demi terdengar bait-bait liriknya, jiwa saya seperti kembali ke tahun 1987. Walaupun lirik itu untuk Kay, ia tetap sesuai dengan perasaan saya ketika itu.

Begitulah lagu. Imbauan kenangannya sangat kuat, menyebabkan segala yang berlaku pada waktu itu menjadi jelas dalam fikiran, hanya kerana lirik sebuah lagu, yang tak popular pun.



No comments:

Post a Comment