Wednesday, July 29, 2026

Kelas Tambahan

Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan di negara kita, itulah yang saya rasa.

Apa tidaknya, asal ada peperiksaan berpusat sahaja, maka berbondong-bondonglah guru yqng mula mengadakan kelas tambahan. Seolah-olah masa yang disediakan selama 40 minggu setahun untuk belajar itu tidak mencukupi. Seolah-olah sukatan yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM tidak setara dengan masa yang diperuntukkan. 

Tahun ini, murid darjah 4 akan disibukkan dengan kelas tambahan. Ya, darjah 4 dan berusia hanya 10 tahun. Saya mahu mengeluh melihat segala situasi yang sangat tidak sempurna ini, tetapi apalah harga keluhan seorang saya yang tiada nilai apa-apa.

Saya amat berharap agar akan ada satu titik kesedaran dalam diri setiap manusia bernama guru, ibu bapa dan juga menteri untuk tidak lagi menjadikan pendidikan ini satu perlumbaan yang tidak pernah tamat.

Sedarlah semua, pendidikan ialah usaha membimbing manusia agar berkembang secara seimbang dari segi akal, hati, akhlak, rohani dan kemahiran, supaya dia mampu menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab kepada Allah, kepada manusia dan kepada alam.

Lalu, di mana letaknya peperiksaan di sini? Di mana tempatnya gred A di sini? Apatah lagi kelas tambahan, untuk budak sepuluh tahun pula tu!


No comments:

Post a Comment