RASA JIWA HAMBA
rasa yang di jiwa, rasa diri sebagai hamba
Saturday, October 31, 2026
Harga Emas
Friday, October 30, 2026
Tentang Hari Ini
Terima kasih Tuhan untuk usia yang masih ada. Bangkit pagi ini, batuk dan bersin masih tersisa. Semalam sepertinya badan saya sudah hampir normal, tetapi hari ini terasa kembali memberat. Mungkin badan saya sedang meluahkan sisa-sisa kesakitan dari bakteria dan virus penghabisan yang masih tertinggal. Mudah-mudahan esok saya akan pulih sebaiknya.
Hari ini Jumaat, hujung minggu di tempat saya. Saya hanya memiliki sehari ini untuk urusan rumah tangga. Esok saya ada kelas tambahan pula, walaupun Sabtu. Tak mengapa, saya ok sahaja.
Kisah semalam (Khamis), izinkan saya lakarkan di skrin bisu ini.
Pagi bermula nyaman. Cuaca tengkujuh sudah mula membunga, hujan saban malam membawa ke pagi. Sekolah tetap saya ladeni demi rezeki. Cuma hari ini, saya mohon keluar awal untuk ke HUSM. Pengetua membenarkan dan saya memanggil Grab pada jam 11.45 pagi.
Pemandu Grab itu rupanya Wan Azlan, anak saudara sepupu suami saya yang mana Amir anak lelakinya ialah anak murid saya. Rancaklah kami berbual sehingga tiba di HUSM.
Sebenarnya, saya cuma bertemu janji di kaunter farmasi, bukan di klinik. Sekejap sahaja menunggu kerana orang tidak ramai. Jam 1.15 selesai. Sempat saya menghubungi emak di rumah, bertanya khabar.
Kisahnya, petang Rabu semalam saya seperti biasa ke rumah emak sebentar. Emak sedang terbaring di tempat rehatnya, dengan wajah sugul seperti demam. Kata emak, badannya sakit-sakit. Emak sakit bahu juga. Saya tanya, ada ubatkah? Emak telan panadol sahaja.
Kasihan emak. Ubat tahan sakit saya pula tidak saya bawa, kalau tidak boleh beri pada emak. Emak kata tak apa, panadol ada lagi. Saya cuma mampu berpesan saja supaya emak rehat dan kalau ada apa-apa, beritahu. Jauh di sudut hati, saya ralat kerana tidak mampu membantu dengan lebih baik.
Hari ini, melalui corong telefon itu, emak kata dia rasa makin sakit. Saya kata kena pergi klinik ni, dan emak setuju. Nanti emak ajak Cik Nab petang ni, katanya.
Saya tiba di rumah jam 2.30 petang. Saya bercerita tentang emak kepada suami saya. Suami saya kata, beritahu emak kita bawa dia ke klinik sekejap lagi. Usai makan tengah hari, kami bersiap.
Kami ke klinik Primer Nilam Puri pada jam 3.20 petang. Alhamdulillah orang tak ramai. Emak disuntik dan doktor bekalkan Arcoxia dan Myonal untuk emak.
Saya kembali berehat di rumah, dan pukul 6 petang turun ke rumah mek pula. Saya hubungi emak lagi, bertanya khabar. Emak kata dia dah ok, dah kurang sakitnya. Alhamdulillah. Tetapi pada masa yang sama, emak menyampaikan berita tentang Farid, sepupu kami di Seremban yang sedang tenat. Emak mohon doakan dia. Apakan daya, ajalnya tiba pada jam lebih kurang 8.30 malam. Innalillahi wainna ilaihi raajiuun. Pulang sudah Farid Abu Bakar pada usia 57 tahun.
Begitulah perjalanan hidup. Dalam usia yang pelbagai, ajal tidak pernah mengira. Semoga setiap kita sedar dan bersedia.
Friday, October 23, 2026
Doa Ibu
"Fattah, orang selalu kata, doa ibu kepada anak akan mustajab. Umi tiada anak, umi harap doa umi kepada anak-anak saudara umi juga sama mustajabnya."
Fattah tersentuh membaca kata-kata umi. Ada satu perkara yang Fattah mahu umi tahu, mudah-mudahan dapat menenangkan hati umi.
Doa seorang ibu memang mempunyai keistimewaan dalam Islam. Tetapi itu tidak bermakna doa seorang wanita yang tidak mempunyai anak kandung kurang nilainya di sisi Allah.
Rasulullah SAW bersabda:
“Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Di sisinya ada malaikat yang ditugaskan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat itu berkata: Amin, dan untukmu juga seumpamanya.”
— Riwayat Muslim (2732)
Umi, cuba renungkan hadis ini.
Selama ini umi mendoakan Anis dan anak-anak saudara umi. Umi mahu mereka sihat, bahagia, berjaya, dilindungi daripada musibah dan sentiasa berada dalam rahmat Allah.
Apabila umi mendoakan mereka tanpa pengetahuan mereka, umi termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis tersebut. Betapa indahnya janji Rasulullah SAW itu.
Memang terdapat hadis yang menyebut keistimewaan doa ibu bapa untuk anaknya. Kita tidak boleh memastikan bahawa doa ibu saudara mempunyai kedudukan khusus yang sama berdasarkan hadis tersebut.
Namun, Allah tidak mengehadkan penerimaan doa hanya kepada mereka yang bergelar ibu atau ayah.
Allah berfirman:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”
— Surah al-Baqarah, ayat 186.
Perhatikan, umi. Allah menyebut hamba-hamba-Ku, bukan hanya ibu atau bapa.
Umi telah menyayangi Anis selama 26 tahun. Umi melihatnya membesar, dan kini umi mendoakan kebahagiaan rumah tangganya bersama Syukri.
Allah mengetahui kasih sayang yang tersimpan dalam hati umi, termasuk segala doa yang tidak pernah didengar oleh Anis sendiri.
Fattah tidak boleh menjanjikan setiap doa akan dimakbulkan tepat seperti yang umi harapkan. Namun, umi mempunyai alasan yang sangat kuat untuk terus berharap kepada rahmat dan kemurahan Allah.
Dan ada satu perkara yang Fattah ingin umi pegang:
Umi mungkin tidak pernah melahirkan seorang anak, tetapi umi tetap boleh mencurahkan kasih sayang keibuan yang sangat besar. Ketiadaan anak kandung tidak sedikit pun mengurangkan nilai umi sebagai seorang hamba Allah.
Teruslah mendoakan Anis dan kesemua anak saudara umi.
Mudah-mudahan suatu hari nanti, apabila umi dan mereka berkumpul di syurga Allah, mereka akan mengetahui betapa banyaknya doa yang pernah umi titipkan untuk mereka sepanjang hidup ini.
Semoga Allah menerima setiap doa umi, memelihara seluruh keluarga umi dan menghimpunkan kalian semua di dalam syurga Firdaus.
Amin ya Rabbal 'alamin.
Tuesday, October 20, 2026
Kasih dan Doa
Anugerah Tuhan yang sangat saya syukuri selama hidup ini ialah kasih sayang keluarga. Mereka menjadi kebahagiaan dunia paling bernilai buat saya.
Ibu, ayah dan adik-beradik adalah sebahagian daripada jiwa saya. Bersama merekalah saya mengenal erti kasih sayang, belajar tentang kehidupan dan memahami bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah pada banyaknya harta yang dimiliki, tetapi pada hadirnya insan-insan yang saling menyayangi.
Saya amat bersyukur kerana Allah mentakdirkan saya lahir dan membesar dalam keluarga ini. Kasih saya kepada mereka tidak pernah berkurang, malah semakin mendalam seiring bertambahnya usia.
Apabila mereka bahagia, hati saya turut berbunga. Kegembiraan mereka menjadi kegembiraan saya. Namun, apabila salah seorang daripada mereka diuji dengan kesakitan, kesedihan atau kesusahan, hati saya turut merasainya. Ada kalanya saya tidak mampu berbuat banyak, selain menitipkan doa dan berharap agar Allah meringankan segala beban yang mereka tanggung.
Tidak pernah jemu saya memohon kepada Allah agar sentiasa menjaga mereka, melindungi mereka daripada segala musibah, mengurniakan kesihatan yang baik, melapangkan rezeki dan menenangkan hati mereka dalam menghadapi setiap ujian kehidupan.
Saya sedar, kehidupan ini terlalu singkat. Masa terus berlalu, usia semakin bertambah dan perpisahan adalah suatu kepastian. Ayah telah terlebih dahulu kembali kepada-Nya, namun kasih saya tidak pernah terputus. Doa tetap saya kirimkan, sebagaimana doa yang tidak pernah putus buat ibu dan adik-beradik tercinta.
Kasih dan cinta saya kepada mereka bukan sekadar kerana pertalian darah, tetapi kerana Allah yang telah menyatukan hati kami dalam sebuah keluarga.
Andai ada satu lagi nikmat yang ingin saya pohon, saya mahu kasih sayang ini kekal hingga ke akhirat. Saya ingin terus bersama mereka, bukan hanya di dunia yang sementara ini, tetapi juga di syurga Allah yang abadi. Kerana bagi saya, syurga akan terasa lebih indah apabila insan-insan yang saya cintai turut berada di sana.
Ya Allah, satukanlah kami kembali di syurga-Mu, sebagaimana Engkau telah menyatukan kami dalam kasih sayang di dunia. Amin.
Friday, October 16, 2026
Dari FB Mujahidin Zulkiffli
Isu RM15000 pergi haji
Apa yang dipertikai oleh PAS adalah satu retorik politik sahaja. Retorik populis.
Menunaikan haji adalah Rukun Islam yang kelima dan hanya diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan.
Dalam era segalanya mahal, perang sana-sini, sudah tentunya kos pergi haji meningkat tinggi. Tabung Haji pula memberi subsidi harga untuk B40 dan M40. Hanya T20 membayar harga penuh.
Sebenarnya lah.. tidak patut ada subsidi pun, kerana golongan B40 dan M40 bukan golongan yang wajib menunaikan haji.
Memberikan subsidi itu sebenarnya sudah melebihi dari cukup. Tanggungjawab menunaikan suatu kewajipan yang bersyaratkan kemampuan tidak seharusnya ditanggung oleh mana2 kerajaan sekalipun.
Sekiranya seorang Muslim itu tidak mampu, tidak ada dosa pun yang akan ditanggungnya. Hanya masyarakat Melayu yang terlalu teruja untuk menunaikan kewajipan haji walaupun sebenarnya tidak berkemampuan.
Kalau kita fikirkan, wang subsidi itu sepatutnya dihibahkan kepada semua penyimpan TH. Itu lebih adil. Itulah yang sepatutnya. Sekiranya tiada subsidi untuk golongan kurang mampu, semua orang boleh mendapat hibah lebih tinggi.
Tetapi kita cuba membina satu naratif mari pergi haji walaupun tidak mampu. Tak mampu TH bantu. Alangkah baiknya TH. Walaupun is sebenarnya tak wajib langsung.
Naratif ini adalah satu naratif yang mengajar orang Melayu agar terus mundur dari segi kewangan. Tak mampu tapi tetap boleh jadi Tuan Haii dan Hajjah sebab ada TH.
Nanti pahalanya siapa yang dapat? TH adalah satu entiti yang tidak perlukan pahala.
Bagaimana pula penyimpan TH yang sepatutnya mendapat hibah dari wang yang digunakan sebagai subsidi B40 & M40? Tidakkah mereka kerugian dari segi hibah?
Betul, hibah sememangnya bukan kewajipan. Tapi sekiranya tiada subsidi, mungkin hibah berlebihan dapat mempercepatkan jumlah simpanan supaya mencukupi agar cepat mencapai status berkemampuan.
Berebut-rebut untuk menunaikan haji walau sebenarnya tidak berkemampuan, adakah itu suatu yang Islamik? Berkat ke? Mabrur ke?
Mengambil kuota haji dari mereka yang benar2 cukup syarat kemampuan, adakah itu Islamik? Berkat ke? Mabrur ke?
Mengambil subsidi yang boleh dijadikan hibah untuk semua penyimpan walaupun diri tidak wajib menunaikan haji, adakah itu sifat Islamik? Berkat ke? Mabrur ke?
Islam mengajar kita berusaha dan berikhtiar untuk mencapai kemampuan. Bukannya menanti subsidi haji.
Parti Islam tu, cubalah berfikir mengajar Islam yang sepatutnya.
Fikir-fikirkan.
Thursday, October 15, 2026
Bangkang
Monday, October 12, 2026
Suami Provider
Monday, September 21, 2026
Ditelan Masa
Dia adik bongsu emak yang seusia saya. Kecil dahulu kami adalah teman bermain dan berlari bersama-sama, setiap kali saya pulang ke kampung emak. Saya hanya memanggilnya dengan panggilan nama saja, Din, kerana pada saya dia terlalu kecil untuk dipanggil Pak Din.
Masa berlalu, kami tidak lagi kerap bertemu. Apatah lagi selepas ketiadaan datuk, kami jarang benar pulang ke kampung sekeluarga. Bila remaja, kami menuju haluan berbeza. Jika saya pulang ke kampung pun, dia jarang ada.
Dia ialah Kamarudin bin Che Idris, kata emak dia lahir semasa usia saya lima bulan. Menjadi anak bongsu yang kehilangan ayah pada usia enam tahun, banyak mencorakkan warna berbeza pada kanvas kehidupannya. Pendidikannya hanya sehingga menengah dan mencari rezeki dalam pelbagai cabang. Alhamdulillah, kini Pak Din sedang mengusahakan restoran di Johor Bahru dan restoran itu boleh tahan maju yang mendatangkan hasil lumayan.
Ahad semalam, saya berpeluang menemuinya setelah lebih sepuluh tahun tidak bersua. Walaupun sebentar, dapatlah merakam kenangan di Villa Huda sebelum kami terpisah lagi oleh jarak dan masa.
Kini hanya Pak Din seorang sahaja bapa saudara saya yang ada. Semoga Allah menjaga dan merahmati Pak Din sekeluarga. Amin.
Sunday, September 20, 2026
Selamat Pengantin Baru
My dear Anis Radhiah,
As you begin this beautiful new chapter of your life, I pray that Allah blesses your marriage with endless love, peace, patience, and happiness.
May you always find comfort in each other, grow together through every season of life, and never forget the love that brought you to this day. May your home be filled with laughter, kindness, understanding, and barakah.
May Allah protect your marriage, strengthen your bond through every joy and challenge, and guide both of you towards a beautiful life together in this world and, insya-Allah, all the way to Jannah.
So happy for you, my dear.
Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama‘a bainakuma fi khair.
With lots of love and dua, Ummi Ti.
Thursday, September 17, 2026
Politik
Ada pelbagai rupa dalam politik yang sedang berada di Malaysia saat ini. Rupa yang menakutkan, yang membuat saya jadi malas berbicara tentangnya. Malas juga untuk mengambil tahu, jika boleh.
Apabila ada bicara politik, tentang Anwar atau tentang Najib atau tentang Zahid atau siapa pun, saya akan lari dari menyertai. Biarlah hanya saya yang tahu letak duduknya naluri saya berkenaan isu politik di Malaysia ini. Saya sebenarnya masih ada rasa keliru dengan figura-figura ini, tetapi jawapan dari persekitaran akan menambah kekeliruan. Minda wanita 54 tahun ini semakin teraba-raba apabila disumbat pelbagai cerita.
Kesudahannya - yang klise - kepada Tuhan saya memohon petunjuk agar apabila masanya tiba untuk saya melakukan pilihan, saya memilih manusia yang tahu kita masih ada perbicaraan di hadapan-Nya nanti sebelum kita diberi syurga atau neraka.
Saturday, September 05, 2026
Mengulang Kenangan
Wednesday, August 19, 2026
Looking Back
Looking back, I sometimes wonder, how did I make it through all those years, all those changes, all those moments I thought would break me?
Some things didn’t turn out the way I once imagined. Some dreams changed, some people left, and some prayers were answered in ways I didn’t understand at the time.
But here I am.
Older, softer, perhaps a little wiser — carrying memories of who I was, gratitude for who I am, and faith in whatever is still waiting for me.
And maybe that is the beauty of looking back: realizing that even when I didn’t know where life was taking me, Allah did.
Tuesday, August 18, 2026
Another Me?
When the time comes, when I will not be here anymore....
Life will continue, and beautiful chapters will undoubtedly unfold with new faces and fresh beginnings. You will find joy again, and you will find love again in entirely different hues. But in the quiet corners of your memory, whenever a particular thought surfaces or an echo of who we were brushes past, you will know the stillness of that undeniable truth...
You may find everything you ever searched for, but you will never find another me.
Thursday, July 30, 2026
Kelahiran dan Kematian
Wednesday, July 29, 2026
Kelas Tambahan
Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan di negara kita, itulah yang saya rasa.
Apa tidaknya, asal ada peperiksaan berpusat sahaja, maka berbondong-bondonglah guru yqng mula mengadakan kelas tambahan. Seolah-olah masa yang disediakan selama 40 minggu setahun untuk belajar itu tidak mencukupi. Seolah-olah sukatan yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM tidak setara dengan masa yang diperuntukkan.
Tahun ini, murid darjah 4 akan disibukkan dengan kelas tambahan. Ya, darjah 4 dan berusia hanya 10 tahun. Saya mahu mengeluh melihat segala situasi yang sangat tidak sempurna ini, tetapi apalah harga keluhan seorang saya yang tiada nilai apa-apa.
Saya amat berharap agar akan ada satu titik kesedaran dalam diri setiap manusia bernama guru, ibu bapa dan juga menteri untuk tidak lagi menjadikan pendidikan ini satu perlumbaan yang tidak pernah tamat.
Sedarlah semua, pendidikan ialah usaha membimbing manusia agar berkembang secara seimbang dari segi akal, hati, akhlak, rohani dan kemahiran, supaya dia mampu menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab kepada Allah, kepada manusia dan kepada alam.
Lalu, di mana letaknya peperiksaan di sini? Di mana tempatnya gred A di sini? Apatah lagi kelas tambahan, untuk budak sepuluh tahun pula tu!
Saturday, July 25, 2026
Beratur
Saya tak faham betul orang-orang yang sanggup beratur berjam-jam untuk satu makanan, tak kiralah makanan viral ke tak.
Beberapa bulan lepas, setiap kali balik dari sekolah saya akan nampak satu barisan panjang berpusing-pusing di tepi gerai etok viral di Kadok. Setiap hari ya, mereka sanggup berpanas untuk dapatkan etok tu. Istimewa sungguh agaknya, tapi saya langsung tidak teruja untuk turut sama beratur walaupun teringin juga nak rasa kesedapannya.
Di Mydin beberapa minggu lepas, ada Food Festival dan sangatlah ramai manusia yang hadir dan beratur berpanas berjam-jam untuk dapatkan menu idaman mereka. Aduh!
Mereka tidak rasakah perkara itu membuang masa?
Mungkin fikiran kita tidak sama dan keutamaan kita berbeza.
Friday, July 24, 2026
Ulasan
Izinkan saya melihat perkara ini dari sudut yang sedikit berbeza.
Murid yang lalai atau leka sehingga terlupa membawa buku memang perlu ditegur, tetapi tidak semestinya dihukum. Bagi saya, tugas guru bukan sekadar menghukum kesalahan, tetapi membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Hukuman mungkin membuat murid takut, tetapi belum tentu membuat mereka faham. Pada saya, nasihat dan peringatan yang berterusan, beserta contoh yang baik daripada guru kadangkala lebih memberi kesan kepada hati mereka.
Setiap murid sedang melalui proses membesar. Mereka akan melakukan kesilapan, terlupa, lalai dan bermain-main. Di situlah peranan guru sebagai pendidik – membimbing mereka supaya belajar daripada kesilapan, bukan sekadar menghukum kesilapan itu.
Ketegasan tetap perlu, tetapi biarlah ketegasan yang mendidik, bukan ketegasan yang lahir daripada kemarahan. Kerana akhirnya, matlamat pendidikan bukan untuk melahirkan murid yang takut kepada guru, tetapi murid yang belajar bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
Mungkin teori saya ini nampak gah dan padu, tetapi pelaksanaan tidak semudah itu. Di sinilah letaknya peranan kawalan emosi yang bijak. Menjadi guru, tidak boleh membiarkan emosi menguasai. Murid akan lebih lunak dengan akhlak guru, bukan hukuman. Tunjuk, bukan arah.
Sistem pendidikan kita akan lebih rosak jika guru-guru yang ada masih mahu meletakkan emosi di depan dan menjadikan hukuman sebagai bahan pengajaran.
Thursday, July 23, 2026
Selagi Hayatku Ada
1987. Saya meniti usia 15 tahun dan belajar dalam tingkatan 3 di MRSM Kuala Terengganu. Hakikat kehidupan di asrama, saya dikelilingi kawan-kawan dengan pelbagai latar belakang. Saya memesrai semuanya dan seronok melalui perjalanan yang dipenuhi aneka perbezaan gaya hidup dan cerita.
Ada antara mereka mempunyai kemampuan untuk membeli barang-barang yang saya suka tetapi saya tidak mampu memiliki. Contoh - memiliki radio kaset elektrik.
Di asrama kayu kami itu, ada satu ruang tengah yang luas, yang diisi dengan satu set sofa dan ada beberapa plug yang kami boleh guna untuk memasak air dengan cerek, juga menggosok baju. Setiap hujung minggu kami berkumpul ramai-ramai di ruang itu sambil menyiapkan tugasan seni, dengan memasang radio kaset untuk hiburan. Ada kawan kami yang membeli kaset penyanyi popular waktu itu dan memasangnya untuk kami sama-sama mendengar.
Tahun 1987 itu, Sudirman mengeluarkan album baru berjudul "Kul It!". Saya lupa siapakah yang membeli kaset itu tetapi selalu saja kaset itu dimainkan berulang-ulang sehingga saya hafal hampir kesemua lagu di dalamnya.
Pesan Abang, Penyu Menangis, Selagi Hayatku Ada, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, Radio Malaysia, Bapak, Gadisku, Sutera, Warna Asmara dan Kul It! ialah sebelas lagu yang termuat dalam album itu. Semuanya sedap di telinga saya.
M. Nasir turut menyumbang satu lagu iaitu Milik Siapakah Gadis Ini, dan Habsah Hassan pula menulis lirik untuk beberapa buah lagu antaranya Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Puisi JM Aziz juga dilagukan dengan indahnya dalam Penyu Menangis. Paling menarik, satu lagu untuk Perdana Menteri pertama tulisan Sudirman sendiri iaitu Bapak.
Waktu ini saya sudah mula jatuh cinta dengan tulisan Habsah Hassan. Saya sangat suka lagu Merisik Khabar dan Selagi Hayatku Ada. Kata wartawan, kedua-dua lagu itu ditujukan khas buat bekas isterinya, Kay.
Merisik Khabar memang popular sampai kini. Tetapi Selagi Hayatku Ada jarang-jarang ada di radio. Baru-baru ini saya teringat lagu itu dan mencarinya di Youtube. Demi terdengar bait-bait liriknya, jiwa saya seperti kembali ke tahun 1987. Walaupun lirik itu untuk Kay, ia tetap sesuai dengan perasaan saya ketika itu.
Begitulah lagu. Imbauan kenangannya sangat kuat, menyebabkan segala yang berlaku pada waktu itu menjadi jelas dalam fikiran, hanya kerana lirik sebuah lagu, yang tak popular pun.
Wednesday, July 22, 2026
Hari Ini






















