Semalam merupakan hari terakhir persekolahan sebelum bermulanya cuti seminggu. Rutin saya berjalan seperti biasa walaupun jadual hari Khamis agak padat dengan 7 masa PdPc. Selain mengajar, tugas hakiki saya setiap pagi adalah menyusun jadual relief.
Cabaran bermula apabila ramai rakan guru tidak hadir—enam orang bercuti CRK, lima lagi mengiringi murid ke perlawanan bola, dan ada juga yang mempunyai urusan lain. Akhirnya, banyak kelas terpaksa ditandakan sebagai "tiada pengganti".
Tepat jam 9.19 pagi, satu pengumuman masuk di grup rasmi sekolah daripada PK HEM. Ada ceramah Ambang Ramadan di dewan pada jam 12.30 tengah hari dan semua murid dibenarkan pulang pada jam 1.10 petang.
Sebagai guru, kami akur. Namun, timbul persoalan: jika murid balik awal, bagaimana pula dengan guru? Tanpa arahan rasmi, waktu pulang kami tetap kekal jam 2.15 petang. Saya secara peribadi tidak kisah kerana suami hanya menjemput pada jam 2.30 petang, tetapi bagi guru lain, timbul desas-desus untuk pulang lebih awal.
Pada hemat saya, apabila murid sudah tiada, tidak salah jika guru turut dibenarkan pulang. Ruang kelas pun sudah kosong. Walaupun ada kerja lain, ia boleh diselesaikan pada waktu lain. Jujurnya, jika rakan-rakan lain pulang awal tetapi saya tidak, saya tetap gembira. Dalam kesunyian bilik guru itulah saya berpeluang melayan hobi '3M' saya—menulis, membaca, dan mengira.
No comments:
Post a Comment