Kita hidup dalam satu zaman di mana manusia (baca:pendosa) merasa tenang apabila dapat menunjuk dosa orang lain, seolah-olah dengan itu dosanya sendiri menjadi lebih ringan.
Kita lupa, tiada satu pun dosa manusia yang terlepas daripada pengetahuan Allah. Yang zahir di mata manusia belum tentu paling berat di sisi Tuhan, dan yang tersembunyi di balik senyuman dan amalan mungkin sedang menunggu hari perhitungan.
Allah tidak pernah melantik kita sebagai hakim atas iman dan dosa hamba-Nya. Yang Allah perintahkan hanyalah agar kita menjadi hamba yang tunduk, yang sibuk membaiki diri sendiri sebelum berbicara tentang kelemahan orang lain.
Bukankah Allah berfirman:
"Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dialah yang lebih mengetahui siapa yang bertakwa."
(Surah An-Najm: 32)
Betapa sering kita lupa, bahawa orang yang sedang kita pandang rendah hari ini mungkin lebih dekat dengan Allah kerana taubatnya yang tulus di tengah malam. Dan betapa ramai pula yang kelihatan baik di mata manusia, namun hatinya penuh dengan ujub, riya' dan merasa diri paling benar.
Andai kita benar-benar memahami makna dosa dan rahmat, kita tidak akan cepat menghukum kerana kita sedar setiap helaan nafas yang masih diberi adalah peluang untuk bertaubat, bukan lesen untuk merasa lebih suci daripada orang lain.
Rasulullah ﷺ mengajar kita bahawa hidayah bukan milik manusia tetapi milik Allah sepenuhnya. Tugas kita bukan menutup pintu rahmat untuk orang lain, tetapi membuka pintu harapan dengan doa, akhlak dan kasih sayang. Jika kita melihat saudara kita tersalah langkah, ingatlah kita juga sedang diuji, cuma dengan cara yang berbeza. Hari ini Allah menutup aib kita, esok belum tentu jika kita terus angkuh dan lupa diri.
Ya Allah,
jangan biarkan kami merasa suci, kerana perasaan itu lebih berbahaya daripada dosa. Ajarkan kami untuk tunduk dan diam apabila hati belum bersih, dan untuk sibuk memperbaiki diri sebelum menilai insan lain.
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang lembut hatinya, panjang sabarnya, dan sentiasa takut andai satu hari nanti dosa yang kita pandang remeh menjadi sebab kita jauh daripada rahmat-Nya.

No comments:
Post a Comment