Tahun Baharu Cina jatuh pada 17 dan 18 Februari iaitu pada hari Selasa dan Rabu. Seperti kebiasaan, takwim persekolahan Malaysia memperuntukkan cuti seminggu bagi meraikan perayaan ini. Cuti bermula pada 13 Februari dan sekolah dibuka semula pada 22 Februari (bagi negeri-negeri Kumpulan A).
Selepas lima minggu kami bekerja, dapatlah kami para guru berehat sebentar dan mengisi masa dengan aktiviti peribadi. Alhamdulillah, pada Isnin 16 Februari saya menjemput semua ahli keluarga untuk sedikit jamuan di rumah Ma. Saya menempah lima dulang nasi maqlubah daripada sahabat saya Kak Sham untuk kami sekeluarga menikmati bersama-sama.
Kebetulan, 1 Ramadan bermula dalam cuti ini juga iaitu pada Khamis 19 Februari. Rasa tenangnya hati saya menyambut Ramadan di rumah sendiri. Adik-adik saya mengajak saya berbuka beramai-ramai di rumah Ma pada hari pertama Ramadan itu, tetapi saya tidak memenuhi undangan itu. Bukanlah kerana saya sombong, tetapi ruang agak tidak begitu memberi peluang. Terliur sebenarnya untuk berada dalam kalangan adik-adik dan ahli keluarga tetapi tiada rezeki saya kali ini. Saya reda.
Hari ini menjadi hari terakhir cuti, dan esok saya akan kembali bekerja juga kembali menghuni rumah Mek. Saya terima setiap ketetapan perjalanan kehidupan saya ini dengan penuh rasa syukur, kerana ia ditulis oleh Tuhan yang maha mengetahui.


No comments:
Post a Comment