Saya tidak tahu apa sebenarnya yang bergetar dalam hati saya ketika mendengar keluhan mek semalam.
“Anak ada, tapi menantu buat…”
Nada suaranya seakan tidak mengizinkan saya membersihkan dirinya, sedangkan ketika itu tiada seorang pun anak perempuannya di rumah. Saya bukan jenis yang mudah terasa. Sedikit pun saya tidak berkecil hati dengan kata-kata mek. Namun, seketika saya hilang arah. Jika mek tidak mahu saya melakukannya, siapa lagi yang akan melakukannya?
Suami saya juga anaknya, tetapi mek tidak selesa jika diuruskan oleh orang lelaki.
Begitulah mek. Hatinya benar-benar mengharapkan sentuhan anak-anak sendiri, bukan menantu. Sekali lagi, saya tidak berkecil hati. Saya faham, sebagai seorang ibu, tentu lebih damai rasanya jika dilayani oleh darah daging sendiri.
Dan anak-anaklah yang sepatutnya lebih memahami bahawa setiap bakti yang dicurahkan kepada ibu, ganjarannya terlalu besar di sisi Allah. Kerana itulah, saya sentiasa memberi ruang agar anak-anak meklah yang lebih banyak berada di sisinya, bukan saya. Biarlah pahala itu mereka rebut dengan penuh kasih dan tanggungjawab.
Semoga Allah terus memelihara mek dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.
No comments:
Post a Comment