Wednesday, March 04, 2026

Cuti Rehat Khas

Suami kesayangan saya mengadu sakit pada pagi Isnin itu. Jam baru 3.50 pagi, belum waktunya untuk saya menyediakan sahur tetapi terjaga apabila dikejut suami saya. Kasihan dia, sakit di bahagian abdomen sehingga tidak lena langsung semalaman. Muntah juga. Marilah ke klinik, bang.

Saya mahu memanggil adik saya untuk menghantar kami ke klinik tetapi suami saya kata dia boleh memandu sendiri. Bergeraklah kami ke klinik Al-Farahain di Tunjong pada jam 4.08 pagi. Doktor memeriksa dan mengesyaki ada batu dalam buah pinggang suami saya. Dia menyuntik ubat tahan sakit dan memberi ubat untuk memecah batu. 

Saya terus mengambil keputusan untuk bercuti. Saya menghubungi pengetua memohon CRK dan menghubungi rakan guru saya Niswatillaily untuk memaklumkan ketiadaan saya dan dia perlu menggantikan saya menyediakan jadual relief pagi ini. 

Kesan ubat tahan sakit itu agak lambat juga, tetapi sekitar jam 9 pagi suami saya semakin lega. Saya meminta dia berehat dan menggantikan tidur yang terganggu malam tadi.

Pada Selasa, saya kembali ke sekolah manakala suami saya yang masih sakit on off, menuju ke klinik sekali lagi. Kali ini doktor mengimbas dan mendapati ada ketulan batu kecil dengan saiz tidak sampai 1 cm di dalam buah pinggang suami saya. Kata doktor, saiz sebegitu boleh dipecahkan dengan ubat dan tidak perlukan pembedahan. Dia menambah lagi bekalan ubat Rowatinex untuk dua bulan.

Alhamdulillah pada jam lebih kurang 5.20 petang, seketul batu kecil keluar melalui kencing. Suami saya berasa lega sedikit walaupun sakit masih ada. 

Ya Allah ya Syafi, sembuhkanlah suami saya dengan kesembuhan sepenuhnya. Amin. 

No comments:

Post a Comment