Seperti tahun sudah, Aidilfitri kali ini juga saya sambut di rumah mek. Perasaan saya bercampur baur, antara syukur dan reda juga pasrah dan nestapa. Aduh!
Bukan mudah meletakkan diri di tempat yang kita tidak betah, tetapi sebagai menantu kiriman syurga (wah!), saya tabahkan hati beraya dengan mek sepanjang dua hari. Sesekali saja saya mencelah untuk berada di rumah ma (syurga dunia saya), sekadar untuk mengambil syarat menjadi anak dambaan bonda.
Syukur juga, kerana saya tidak perlu beraya di rumah saya di Chenok. Sekurang-kurangnya kepenatan menyediakan juadah untuk tetamu tidak terasa. Di rumah mek, saya tidak perlu memasak beria kerana di sekelilingnya ada rumah-rumah ipar duai saya yang memang menyediakan pelbagai juadah raya. Ke situ sajalah jika mahu menikmati segalanya.
Jadi, hidangan di rumah mek hasil air tangan saya cuma nasi lemak sambal udang yang sebahagian besarnya saya hantar ke rumah ma. Sedap sambal udang saya rupanya. Terima kasih atas pujian. Hilang sedikit rasa letih memasak sebelum subuh tadi.
Di sini, saya simpan sedikit kenangan itu. Nanti bila rindu saya akan menjengah mencari kembali wajah-wajah kesayangan saya di sini.



No comments:
Post a Comment