Sunday, October 14, 2012

Pantai Perkasa

Ada waktu-waktunya, saya mencari ruang untuk berpergian. Bukan kerana kebosanan tetapi meminta sedikit perubahan suasana. Di rumah, saya melihat benda yang sama sentiasa. Yang rutin. Yang tiada cabaran.

Apabila pihak sekolah memaklumkan satu kem kecemerlangan untuk pelajar-pelajar tingkatan empat akan diadakan sebelum peperiksaan akhir tahun menjelang, selama satu malam di Pantai Perkasa, saya menghulur kesudian untuk menyertai mereka. Pinta saya, mahu bermalam.

Ramai rakan bertanya, tidak apa-apakah si dia di rumah? Memberi izinkah dia atas keinginan saya ini?

Oh, saya sama sekali tidak khuatir. Si suami tersayang sangat fleksibel. Dia bukan veto. Saya tiada masalah tentang itu. Apatah lagi kami sama-sama guru dan dia sangat tahu apa program yang bakal saya lalui ini. Cuma, dia tidak mahu diajak bersama. Dia rela bersendirian di rumah tanpa saya daripada mengikut saya ke sana. Tidak mengapalah, kali ini giliran saya pula untuk memahaminya.

Pagi Jumaat yang bening. Selesai memasak sarapan – nasi goreng dan ikan bawal goreng – suami menghantar saya ke sekolah. Saya bakal menaiki bas bersama-sama 82 orang pelajar tingkatan empat yang menyertai program ini. Bas dijangka tiba pada 9.00 pagi dan bertolak sekitar 9.30 pagi. Malangnya, hanya sebuah bas yang tiba tepat pada masanya. Bas kedua tidak muncul-muncul menyebabkan bas pertama tadi terpaksa mengambil kami untuk pusingan kedua. Lama juga, berpeluh menanti. 11.15 pagi barulah kami selamat bergerak.

Jam 12.15 tengah hari, Pantai Perkasa menyambut kehadiran kami dengan bayu pantai nian nyaman. Suasana yang tenang, lagi menenangkan. Kebiruan air laut mendamaikan jiwa, deruan ombak menyerlahkan suasana. Ya, saya menyukainya.

Usai solat Jumaat, kami berkumpul di Dewan untuk slot pertama. Pelajar-pelajar yang kami bawa ini sememangnya terdidik molek. Tiada masalah besar dalam mengawal mereka. Alhamdulillah.

Petang tiba, bersama bayu yang membelai mesra. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan berehat-rehat di tepi pantai sambil menyaksikan kanak-kanak bermain. Ditemani keropok dan colek buah, petang menjadi sangat indah.

Selepas Isya’ kami beramai-ramai membakar ayam untuk majlis BBQ. Meriah, kerana pada tv kecil di hadapan kami ada siaran langsung bola sepak semi final Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan.

Melihat gelagat anak-anak remaja ini, sememangnya menghiburkan. Teringat juga saat-saat remaja saya dahulu. Begitulah, sama sahaja. Ketawa riang, berjenaka dan berlari berkejaran pada usia belasan tahun, sungguh menghiburkan. Tidak banyak perkara yang menyesakkan fikiran seperti sekarang. Benarlah, apabila waktu berlalu, rindu begitu setia menemani. Rindu pada waktu-waktu yang telah tiada. Rindu yang tidak akan padam sampai bila-bila.

Kelantan akhirnya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Selangor dengan agregat 3 – 0. Ternyata kegembiraan ini milik kami rakyat Kelantan. Pun, mata saya terlalu berat untuk terus melayan keseronokan malam ini. Jam 10.15 saya pulang ke bilik. Mereka masih riuh bermain dan berkejaran hingga ke tengah malam. Teruskanlah. Asalkan tahu batasan-batasannya.

Subuh pagi Sabtu, saya terjaga dengan jiwa yang segar. Selesai mandi dan solat, saya keluar ke pantai. Rakan-rakan saya sudah pun di sana, berjoging. Saya tidak berpakaian sukan maka hanya berjalan-jalan sahaja.

Mentari pagi nian indah. Merah dan bercahaya memberi semangat baru dalam jiwa. Saya ingin menjadi seperti matahari. Menerangi alam  tanpa pernah menyeksa diri. Terus gagah dan setia berbakti sehingga ke akhir nanti. Bukan seperti lilin yang membakar dirinya demi menerangi orang lain. Bukan, saya bukan lilin!

Selesai sarapan, pelajar-pelajar kembali ke dewan untuk slot LDK. Saya meneruskan agenda di tepi pantai. Sesekali menyinggah juga ke bilik untuk sesi baring-baring.

Jam 1.00 kami menikmati sajian tengah hari. Nasi putih, ayam masak merah dan air sirap. Ringkas namun menyelerakan apabila dinikmati bersama teman dan rakan. Alhamdulillah.

Selesai solat Zohor, kami berkemas untuk pulang. Jam 2.25 bas tiba dan sekitar 2.45 kami bertolak pulang.
Selamat tinggal Pantai Perkasa. Ada umur kita jumpa lagi….

No comments:

Post a Comment