Friday, October 26, 2012

Haji

Dahulu, saya bayangkan ibadat haji ini sukar dan memenatkan. Saya sangka perjalanannya payah, kena hafal banyak perkara dan sangat komplikated. Ini menyebabkan saya risau untuk mengerjakan haji. Saya takut jika tersalah kaedah, saya tidak mendapat haji.

Saya bayangkan Arafah dan Mina itu begitu sukar. Saya nampak tawaf dan saie itu begitu penat. Saya takut bersesak-sesak. Saya juga takut jika saya hilang dalam kesesakan!

Apatah lagi cerita-cerita pelik yang saya baca dan dengar begitu banyak. Seumpama ada pembalasan bagi muslim yang berdosa apabila sampai di Mekah. 

Tetapi, kerana menyedari ia adalah salah satu rukun Islam dan wajib ditunaikan apabila berkemampuan, saya berdoa untuk segera ke sana. Saya tidak mahu bertangguh kerana saya tahu, menangguhkannya tanpa sebab itu satu dosa.

Saya cuba positifkan minda. Melalui kursus, ceramah dan pembacaan, segala fikiran negatif dan ketakutan saya itu beransur-ansur hilang.

Ibadah haji sesungguhnya sangat indah. Sukar, penat dan bersesak itu benar tetapi keindahan ibadah itu mengatasi segalanya. Keseronokan berada di tanah suci menjadikan yang sukar itu mudah, yang penat itu segar, dan yang sesak itu lapang.

Berada di Madinah selama lapan hari yang bahagia, diteruskan dengan enam minggu lagi di Mekah.

Bermula dengan wukuf di Arafah, diikuti mabit di Muzdalifah, seterusnya bermalam di Mina, kemudian melontar di tiga jamrah, bergunting, tawaf dan saie. Alhamdulillah, perjalanan kami tiada liku. Allah maha penyayang.

Saudara dan sahabatku, bersegeralah ke sana. Kemanisan dan kepuasan dalam beribadat di sana tidak dapat ditandingi. Rasanya cukup berbeza.

Kerana itu bila pulang ke tanah air, kerinduan untuk ke sana lagi bagai tidak terbendung.

Sungguh. Percayalah!

No comments:

Post a Comment