Saya dan buku, sememangnya akrab sekali. Saya gemar sungguh membaca apa sahaja bahan bacaan dan paling seronok jika memilikinya. Dahulu, sewaktu masih belajar dan kekurangan belanja, saya masih tetap memperuntukkan sedikit wang untuk buku. Dalam kesesakan pun, saya tetap mahu memiliki buku-buku impian saya. Jika tidak mampu juga, saya akan lama-lama di kedai buku UNIKEB untuk membaca buku-buku di situ, tanpa membeli. Begitulah.
Apabila saya berwang, saya mula melayani hobi yang indah ini. Ke kedai buku, saya akan begitu ralit melihat, membelek dan mencari. Tetapi masa dan upaya sering mengekang saya. Mana mungkin saya punya ruang yang banyak untuk ke kedai buku selalu-selalu?
Pada 2008, saya mula berjinak-jinak dengan kedai buku atas talian. Saya mengenali e-kedai.net dan mula mencari buku-buku di situ. Setiap kali posmen menghantar bungkusan, saya akan berasa gembira sekali. Novel, travelog, biografi, dan semualah, saya tidak akan pernah jemu membeli dan memiliki!
Cita-cita saya ialah untuk memiliki perpustakaan sendiri, tetapi ia amat sukar. Rumah saya tidak sebesar mana dan ruang untuk perpustakaan perlu luas dan selesa. Mungkin cita-cita ini amat sukar untuk saya capai, tetapi tidak mengapalah. Buku-buku saya yang banyak itu, saya simpan sahaja di dalam kotak.
Antara buku pertama yang saya beli secara atas talian ialah buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" tulisan Prof. Muhd Kamil Ibrahim melalui e-kedai.net. Waktu itu, saya bakal menjadi jemaah haji jadi saya mahu sangat membaca dan menelaah pengalaman di tanah suci yang dilalui Prof. Ternyata buku itu amat berguna untuk saya. Cara penulisan dan gaya bahasa Prof begitu memikat dan amat melekat di hati. Lalu saya memberitahu tentang buku itu kepada rakan-rakan saya yang juga bakal mengerjakan haji (pada tahun 2010 dan 2011). Mereka lalu mahu meminjam.
Saya tiada masalah, saya memberi mereka pinjam dan buku itu bergerak dari tangan ke tangan. Sehinggalah ke tahun 2014, buku itu masih belum mahu pulang kepada saya. Saya ini, amat menyayangi buku saya. Rindulah juga untuk mengulang baca.
Lalu, saya biarkan sahaja buku itu dibawa arus pinjam-meminjam. Dengan hati penuh rindu, saya membeli pula buku "Travelog Haji Mengusik Hati" yang merupakan gabungan tiga buah buku tulisan Prof, termasuk buku saya yang sudah dipinjam ramai itu. Terubatlah rasa di hati, kerana saya tidak perlu lagi menanti buku itu kembali. Saya sudah ada pengganti.
Sekitar hujung 2014, peminjam terakhir buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" itu pun memulangkan kepada saya, tetapi hati saya ingin menghadiahkan sahaja buku itu kepadanya. Dia berterima kasih.
Minggu lepas, Tuan Pengetua saya yang akan menunaikan haji pada tahun ini tiba-tiba bertanya saya tentang buku itu. Entah dari mana maklumat sampai kepadanya, saya tidak mahu kisah. Nampaknya, buku baru saya ini akan saya beri pinjam lagi dan hati saya terasa sedikit cuak.
Akan bernasib samakah nanti buku itu? Akan mengambil masa bertahun pulakah untuk ia sampai kembali kepada saya? Saya menjadi khuatir tiba-tiba. Saat begini, saya bertanya-tanya di dalam hati, kenapa mereka lebih gemar meminjam? Susahkah untuk membeli? Sedang pada saya, memiliki sendiri buku yang kita mahu adalah suatu nikmat yang tidak dapat saya gambarkan. Ia perasaan yang indah dan membahagiakan.
Hanya saya sahajakah yang berperasaan begitu?
Hanya saya sahajakah yang berperasaan begitu?
No comments:
Post a Comment