Tuesday, July 11, 2017

Sunat

"Saya rasa sihatlah sepanjang puasa sebulan baru-baru ini. Jom kita puasa enam, nak?"

Indah dan bermakna sekali ajakan suami saya pada kali ini. Begitu dia mahu melakukan sesuatu yang lebih baik dari tahun ke tahun dan saya sepatutnya memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Boleh." Jawab saya, menerima cadangan.

"Ok, kita mula pada hari pertama sekolah nanti."

Ahad, 2 Julai bermulalah sesi persekolahan selepas cuti hari raya berakhir. Seperti yang kami janjikan, kami berpuasa. Alhamdulillah.

Malam Isnin itu saya bertanya, "esok bagaimana? Masih mahu berpuasa?"

"Mahulah. Kita puasa lagi ya!"

Benar-benar dia seronok berpuasa sedang saya sudah mula melalang. Saya mengintai jadual sendiri dan esok padat benar. Lusa pula ada temujanji di klinik. Tulat dan langkat, ada kelas tambahan.

"Rasanya, saya hanya boleh berpuasa pada Ahad. Hari lain saya tidak mampu. Saya cepat penat. Ramadan baru ni pun saya tidak mengajar kelas saya, hanya latihan ulangkaji sahaja. Janji saya pada budak-budak lepas raya nak pulun. So, saya tak puasalah esok. Awak aje lah puasa ya?"

Begitu alasan saya. Dia mendengar, faham dan setuju. Tiada kata-kata lain daripadanya kerana dia menerima.

Pagi itu, saya sediakan sahur untuknya seawal jam 4.45 pagi dan dia berpuasa sedang saya tidak. Berterusanlah begitu sehingga hari Khamis. Jumaat dan Sabtu kami tidak berpuasa kerana ada jemputan.

Ahad 7 Julai menjelma. Saya keuzuran pula, dan dia masih berbaki sehari untuk melengkapkan puasa enamnya. Katanya, dia mahu menyelesaikan puasa keenamnya pada Isnin kerana dia sudah merancang untuk berbuka beramai-ramai dengan sahabat-sahabat tempat kerjanya. Mereka mahu ke sebuah restoran yang menghidangkan sup burung merpati di Pasir Puteh.

Isnin itu, segala yang dirancang berlangsung sempurna. Saya menyediakan sahur nasi lemak untuknya, sedang saya masih keuzuran. Jam 6.30 petang, dia keluar untuk berbuka bersama sahabat-sahabatnya seperti yang dijanjikan.

Alhamdulillah, selesai puasa enam suami saya. Jam 9.30 malam dia tiba di rumah dan saya mengucapkan tahniah kepadanya, berserta selamat hari raya enam.

Dan jawapannya, "mana boleh hari raya enam, bidaah!"

Ouch!

2 comments: